Monday, November 15, 2010

Pengakuan kasyaf Nor Idris dianggap sesat

KOTA BHARU, 15 Nov: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.

“Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah mengakui diri mereka kasyaf.

"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta ulama itu berdoa.

"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.

Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai sesat.

Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor.

“Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan pemimpin PAS itu ada syaitan,” katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar yang berlaku.

“Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

“Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan,” katanya.

Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

“Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu. Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah kuatkan lagi semangat Mursyidul Am,” katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan perut semata-mata.

PAS Tidak Akan Naik Kapal Bocor

Parti Islam Semalaysia PAS menolak pelawaan Datuk Ahmad Maslan untuk menyertai BN.

PAS tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam, malahan PAS akan berusaha supaya ahli-ahli umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan PAS.

PAS tidak akan bersama dengan BN sebaliknya terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti.

Sekarang Umno sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi.

Perjuangan yang hanya mementingkan ”perutism” sahaja.

Menjadikan perjuangan sebagai batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.

Umno hanya boleh hidup dengan 3 M sahaja, iaitu Wang, jentera kerajaan dan media.

Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata.

Jika Umno tidak ada 3 M maka umno akan berkubur begitu sahaja.

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, kerana ini adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia yang agak muda.

Umno dengan kekuatan media perdana ynag berada di tangan mereka cuba menggelapkan berita kebaikan PAS yang telah disumbangkan melalui Pakatan Rakyat, kes banjir di Kedah adalah satu contoh.

PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai idelologi yang jelas dan mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan ahli yang ikhlas akan terus mara kedepan bagi membentuk lanskap baru dalam politik negara.

PAS menganggap cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad.

Apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang?

Rakyat merasakan sudah cukup penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh mereka dengan tekanan hidup akibat salah guna kuasa.

Walaupun negara ini adalah anugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai rakyat yang tidak bertanah.

Contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air.

PAS tidak akan izinkan Umno, mengkhianat rakyat untuk separuh abad yang kedua pula.

PAS wajib ganti Umno.

Pasca Galas: PAS perlukan pendekatan baru

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk’ Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Apa perkara terbesar dalam kempen PAS in Galas yang tidak boleh diulangi di PRU-13?

TITM: Seawalnya, ana ucapan terima kasih kepada seluruh jentera dan petugas parti yang bertungkus lumus untuk menjayakan missi di Galas.\

Dan ketewasan yang kita alami bukanlah bermakna segala usaha dan keringat yang kita tabur hancur berkecai bersama keputusan yang diumumkan. Di sebalik kegagalan kita bersyukur ada beberapa saudara baru yang menganut Islam, mengingatkan kita pada sirah Rasulullah di Taif.

Apapun, bedah siasat akan dilakukan bagi menyusun strategi, bukan sekadar mencari kesilapan, kamudian menyimpan di dalam fail tanpa mengambil manfaat daripada postmortem tersebut. Itulah kebiasaan yang berlaku.

Saya lihat PAS perlu keluar dari strategi lama yang tertumpu kepada ceramah umum yang dihadiri oleh penyokong sendiri bahkan sebahagian besarnya bukan pengundi.

Gerakan mendekati pengundi rumah ke rumah perlu dibanyakkan kerana ia lebih tertumpu bahkan sebagai tugasan tetap muslimat dan nisa'.

Manakala golongan ulamak jangan pula tertumpu di masjid dan surau untuk memberikan tazkirah kepada ahli PAS, sedangkan pengundi sasaran belum berjaya dipecahkan.

Pendekatan tidak menyerang peribadi merupakan kaedah Islamik yang perlu dikekalkan; kerana pertembungan PAS dan UMNO adalah pertembungan dasar.

Namun, terdapat keganjilan berhubung dengan jumlah undi yg diperolehi BN; dengan peningkatan lebih 1,500 undi, sedangkan undi PAS berbanding PRU 12 hanya merosot lebih kurang 250 undi.

Misteri 4 peti undi asli yang tidak dijumlah di tempat mengundi serta daftar pemilih baru perlu diberi perhatian. Kita bukan gagal mendapat simpati rakyat; tetapi kita gagal mengubah strategi baru dalam pendekatan pilihanraya yang serba baru.

SA: Saya rasa ada satu perkara yang kita agak terlepas pandang... perkara-perkara yang bersifat strategi - kita tidak perlu dedahkan kepada umum. Saya rasa semua kepimpinan PAS faham tentang perkara ini dan ia sememangnya tidak boleh diulangi pada masa-masa yang akan datang.

MO: Satu perkara yang harus diberikan perhatian ialah kita tidak boleh membuat sesuatu pengistiharan umpamanya seperti yang mengatakan bahawa pengundi-pengundi luar ini akan diberikan wang duit tambang kerana perkara itu tidak seharusnya dibuat kenyataan yang terbuka.

Kita pun tahu UMNO sendiri pun melakukan perkara yang sedemikian, akan tetapi mereka tidak mengumumkan secara terbuka kepada public kerana ia akan memberikan kesan dan dimanipulasikan sebagai satu bentuk rasuah, sedangkan itu caranya bagi PAS membantu SPR meningkatkan peratusan mengundi.

Cadangan saya di sini ialah SPR seharusnya mengenal pasti selepas ini iaitu membuka peluang kepada pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan pilihanraya, mereka boleh membuang undi di mana-mana tempat mereka tinggal sekarang.

Umpamanya mereka pengundi di Galas, tetapi mereka tinggal di Kuala Lumpur, mereka harus diberikan peluang untuk mendaftar untuk membuang undi di Kuala Lumpur bagi DUN Galas dan juga Parlimen Gua Musang.

Ini satu cara yang baik untuk memastikan setiap orang yang ada dalam senarai daftar, dia akan membuang undi barulah peratus mengundi akan tinggi.

Yang keduanya, SPR sendiri yang harus menyediakan wang tambang untuk pengundi-pengundi luar untuk balik mengundi. Jadi di sini dapat menyelesaikan masalah yang sepatutnya dibangkitkan di Galas.

Soalan 2:

Menjadi pimpinan ini memang sibuk dengan pelbagai program parti dan memenuhi undangan masyarakat. Bagaimana NP mengurus kesibukan dan melayani keperluan keluarga? Bagaimana pula NP mengurus kesihatan, kerana ramai pimpinan PAS berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan?

TITM: Masa memang sibuk sentiasa, tapi saya teringat kata guru saya " sesiapa yang kata dia tak ada masa, sebenarnya ia tidak pendai mengurus masa, takkanlah kita lebih sibuk dari Nabi Sulaiman".

Dalam soal keluarga, yang penting ialah memahami kesibukan suami dan anak-anak yang perlu diberi kefahaman. Tapi biasanya saya akan gunakan masa terluang untuk keluarga, makan di luar dengan anak-anak, dan berkelah di pantai dan sungai serta membawa mereka melancong kalau ada kesempatan masa.

Soal kesihatan memang sepatutnya diutamakan, tapi dalam program parti, biasanya makan tak menentu masa; akan tetapi yang sangat kurang ialah riadah.

Jangan menyalahkan apa yang anda makan, tapi salahkan anda tiada riadah. Jadi kalau kita lihat cadangan al-syahid Hassan alBanna, pemeriksaan kesihatan perlu dibuat 6 bulan sekali, tetapi sayangnya amanatnya hanya tinggal dalam buku panduan usrah sahaja.

SA: Kita mesti mempunyai perancangan dan time management yang efektif yang boleh kita cuba sedaya mungkin untuk mengurus masa kita.

Sebenarnya kita masih mempunyai ruang untuk meluangkan masa untuk keluarga kita. Sesibuk kita pun kena ada untuk masa untuk bersama keluarga.

Dari segi kesihatan, saya memang mengambil initiatif untuk memeriksa kesihatan saya pada perkara asas seperti kandungan gula dan tekanan darah... paling tidakpun dua kali sebulan untuk saya memeriksa kesihatan saya secara rutin. Memang saya disiplinkan diri ke arah itu, dan alhamdulilah setakat ini saya berjaya mengawal semuanya itu.

MO: Pertama sekali, saya lebih banyak masa di luar daripada berada bersama keluarga. Masa saya lebih banyak dengan parti, masyarakat dengan rakyat berbanding dengan masa dengan keluarga.

Yang paling utama, keluarga perlu diberikan kefahaman bahawa saya bukan hanya milik mereka, tetapi saya ialah milik orang ramai. Jadi apabila mereka dapat memahami, mereka tidak banyak timbulkan masalah pada saya. Akan tetapi, saya juga kena faham, mereka juga ada hak ke atas saya. Jadi saya kena sediakan waktu-waktu tertentu bersama mereka untuk berehat, berjalan ke mana-mana dan ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak tekanan akibat berjauhan dengan saya.

Dari segi kesihatan pula, saya akui saya antara orang yang tidak begitu sangat memberikan perhatian kepada soal kesihatan. Akan tetapi, akhir-akhir ini apabila badan terasa kurang sihat, saya barulah mula memberikan sedikit perhatian kepada persoalan kesihatan dengan penjagaan tradisional dan juga secara moden.

Soalan 3:

Apakah bentuk langkah-langkah proaktif yang bakal diambil oleh PAS bersama Pakatan Rakyat dalam mencegah kemungkaran dalam pengisian program media arus perdana, khususnya di televsyen masakini yang ternyata banyak melalaikan dan melemahkan ummah, apabila diberi mandat, InsyaAllah, selepas PRU 13 kelak ?

TITM: Kita perlu membina rakyat yang bermoral, semua kepimpinan Pakatan Rakyat mesti menentukan beberapa asas utama dalam meletakkan apakah nilai moral yang perlu kita sepakati.

Kita menyedari kegawatan gejala sosial yang sedang kita hadapi dan betapa seriusnya keadaan keselamatan dan sosial kita.

Negara bukan sekadar memerlukan perubahan politik tetapi turut memerlukan perubahan moral rakyat. Media perlu disusun ke arah proses pembinaan ini kerana besar pengaruhnya kepada rakyat.

Kita perlu melahirkan model kepimpinan yang menjadi idola remaja yang bermoral dan di waktu yang sama, program yang tidak sesuai dengan budaya timur dan tidak membina jati diri rakyat perlu disemak semula.

Untuk ke arah itu, satu blueprint media perdana perlu disiapkan, untuk diketengahkan kepada rakyat menjelang PRU ke 13.

SA: Saya rasa kita memerlukan satu reform terhadap akta yang melibatkan media dan komunikasi ini. Untuk saya, apa yang penting adalah sikap bertanggungjawab – kita akan memimpin minda rakyat supaya apa jua maklumat yang disampaikan mestilah penuh dengan tanggungjawab.

Kita juga harus perkuasakan undang-undang itu dalam konteks dan kerangka kebebasan untuk bersuara tetapi mestilah dalam etika yang bertanggungjawab.

MO: Pertama sekali, PAS akan adakan satu guideline untuk media arus perdana untuk menjadikannya satu medan untuk memberikan pendidikan kepada rakyat, dan bukan lagi tertumpu menjadi media komersial yang mementingkan keuntungan sahaja.

Apabila media lebih bermatlamatkan komersial, di sinilah berlakunya media arus perdana ini sudah lari daripada arus sebenarnya iaitu memberikan pendidikan yang baik untuk pembentukan sifat-sifat kemanusiaan dan sebagainya kepada rakyat di negara kita.

Selain guideline, media arus perdana juga memerlukan satu penguatkuasaan terhadapnya. Hari ini, kita nampak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri yang menjaga media arus perdana ini tidak banyak menguatkuasakan garis-garis panduan untuk media arus perdana dan juga media lain di mana kita saksikan lambakan pelbagai jenis majalah-majalah yang sudah tidak terkawal sehingga terdorong kepada pembinaan akhlak-akhlak yang kurang sihat.

Pada saya, kerajaan tidak boleh menjadikan media arus perdana sebagai alat untuk membawa pulangan lumayan kepada negara, sebaliknya menjadikan media arus perdana ini bebas daripada dosa-dosa.

Menara Warisan: Najib mewarisi kekejaman terhadap rakyat dan mahasiswa

Perdana menteri, Najib Razak sememang seorang Perdana menteri yang prihatin. Prihatin dengan peninggalan dahulu. Terlalu sangat prihatin. Perdana menteri mencadangkan pembinaan menara warisan 100 tingkat.

Amat menarik. Menara warisan sebagai lambang negara maju. Apa kaitanya negara maju dengan menara warisan?

Keadaan kini menampakkan pembaziran kerajaan kepada perkara yang sia- sia. Jika projek sebegini diluluskan, maka akan banyak duit rakyat akan di perah. Semakin kembung pula poket orang- orang mereka.

Kerajaan pusat bukan lah kerajaan yang membela rakyat. Kita terfikir, kenapa Najib beriya mahu membina menara warisan sedangkan banyak perkara yang di perlukan kepada perkara lain.

Mahasiswa dan para pelajar merupakan pemimpin masa depan negara. Golongan sebegini sebenarnya waris negara. Membina waris negara. Bukan membina menara warisan. Sepatutnya peruntukan untuk membina menara tersebut di salurkan kepada kalangan mahasiswa.

Diberi biasiswa kepada mahasiswa atau golongan yang kurang kemampuan. Mengurangkan yuran pembelanjaan mahasiswa di kampus- kampus. Membina penempatan yang secukupnya kepada mahasiswa. Membina infrastuktur di universiti supaya pembelajaran menjadi lebih lancar.

Rakyat ternyata susah dengan pembinaan menara warisan yang belum pasti lagi fungsinya. Projek ini hanyalah alasan untuk meluluskan proses mengeluarkan duit negara kemudian di masukkan ke poket masing- masing.

Jika kerajaan prihatin, hapuskan segala bayaran di sekolah- sekolah. Beri bantuan kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan atau sekolah agama rakyat(SAR). Menara warisan ini hanya sebagai lambang Najib mewarisi kekejaman kerajaan ke atas rakyat. Sama- sama kita gerakkan rakyat.

Kita ubah kerajaan. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang

Hebatnya Rosmah Mansor

Kita sering menuding jari kepada Amerika dengan menyatakan bahawa AS adalah kepala pengganas dunia. AS berlagak sebagai polis dunia dalam misi untuk mengamankan dunia. Pemimpin- pemimpin negara Malaysia juga tidak terkecuali merujuk AS sebagai polis dunia. Kini polis dunia itu telah berusaha membersihkan imej Islam dengan mengikis islamophobia.

Usaha itu telah di sahut oleh perdana menteri sendiri. Perdana menteri berusaha mengikis Islamophobia ini. Antara langkah awal perdana menteri mengikis islamophobia ini ialah, menghantar Rosmah Mansor menuntut ilmu bagi memulihkan gejala sosial buang bayi ke Belgium.

Ini menunjukkan keterbukaan kerajaan Malaysia merujuk Negara bukan Islam sebagai rujukan utama. Padahal semua ummat Islam sedia maklum bahawa Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan utama.

Sabda nabi “ aku telah tinggalkan dua perkara kepada kamu, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitabullah dan sunnaturrasul”. Tetapi mengapa gejala sosial sering berlaku dalam Negara kita.

Kenapa gejala Islamophobia itu wujud? Kerana kerajaan sendiri tidak merujuk Al-quran dan As-sunnah. Mereka merujuk barat. Mereka merujuk Negara lain. Sepatutnya mereka merujuk Al-Quran terlebih dahulu. Adakah mereka tidak yakin Al-Quran itu sebagai penyelesai masalah? Adakah mereka menolak Al-Quran? Kitab mukjizat nabi Muhammad.

Jawapanya, mustahil mereka dapat merujuk Al-Quran sekiranya dasar parti mereka bercanggah dengan Islam. Beginikah pemimpin yang kita mahukan? Islamnya pada luaran, tapi perlaksanaan mengikut jahiliyyah.

Kini, Najib dan Rosmah Mansor lebih terbuka fikiran mereka. Rakyat berterima kasih banyak kerana telah membuka mata rakyat bahawa fesyen show Islam itu lebih terbuka dan lebih terdedah. Sangat hairan bagaimana seorang yang tidak berfesyen seperti garis- garis Islam dapat menganjurkan sebuah program diberi nama “ Islamic Fashion Show ”.

Sangat menarik dan sangat hebat. Rupa- rupanya, program tersebut menggayakan pelbagai fesyen. Fesyen yang menepati cita rasa penganjur seperti Rosmah Mansor. Hal ini ibarat menempah tiket ke neraka.

Terima kasih buat penganjur kerana membuka mata rakyat bahawa pemimpin Negara sekarang adalah jelmaan Mustafa Kamal Attarturk. Program tersebut telah menghina nama dan imej islam. Inilah petanda- petanda bahawa kejahilan agama berleluasa. Kalau dia jahil sendiri tak apa tapi, sekarang ini, dia nak bagi semua orang jahil sama macam dia. Sesat orang-orang macam ini. Sama taraf macam ayah pin. Bahkan lebih teruk dari binatang ternakan.

Ramai- ramai kita bantah tindakan melampau menhina dan memfitnah Islam ini. Di mana golongan dan penasihat agama kepada perdana menteri. Adakah mulut mereka di bisukan. Kenapa dibiarkan program menghina Islam berjalan. Kenapa? Persoalan yang sering di putarkan. Jika mereka masuk ke tangki najis, pasti najis tersebut akan terpalit. Pasti badan juga akan busuk. Bantahan tetap bantahan. Kita tukar kerajaan dalam PRU-13 nanti sebagai bantahan kepada penghina Islam. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.

Parti ‘Pokko’ Dan ‘Perut’ tak layak perintah negara

Presiden PAS sewaktu merasmi seminar ‘PAS Sedia Ganti Umno’ pada pagi Sabtu (13 Nov 2010) memulakan dengan ayat di mana janji Allah untuk memberi kemenangan kepada umat Islam yang berjuang dan peluang memerintah, serta ciri-ciri pemerintah itu yang menunaikan solat dan mengeluarkan zakat iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.

Tepat sekali ucaptama PAS ganti Umno dimulakan dengan ayat tersebut. Umno sebagai pemerintah memandang ringan perintah solat, terkesan kepada rakyat.

Demikian juga dengan hubungan sesama manusia. Tok Guru juga mengingatkan supaya kita mengambil semangat Aid al-Adha, antaranya pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail as.

Seterusnya diajak menoleh kepada Perjanjian Aqabah (yang disebut oleh Kaab bin Malik dalam satu riwayat hadis sebagai sangat bernilai bagi dirinya lebih dari Perang Badar walaupun Perang Badar lebih disebut-sebut oleh orang lain) kerana nilai-nilai perjuangan yang sangat tinggi di dalam butiran Perjanjian Aqabah tersebut: berjanji setia untuk mempertahankan Nabi, dan tentunya Islam dalam apa jua situasi yang mendatang-ketika rajin, malas, bersemangat atau benci. Janji setia itu dilafaz dengan penuh yakin walaupun suasana di Mekah, Yathrib dan Tanah Arab ketika itu sedang mengepung Nabi SAW.

Perjanjian Aqabah menjadi antara muqaddimah penting menyediakan tapak dan kader bagi merealisasikan tegaknya negara Islam Madinah selepas itu. Madinah bukan sahaja menjadi negara Islam, bahkan membina tamadun baharu dan mengislamkan tamadun itu sendiri di saat dunia sedang berada dalam kecamuk tamadun kebendaan Rom dan Parsi yang tidak berpaksi kepada Aqidah tauhid. Tamadun Islam inilah yang kemudiannya menyelamatkan manusia dan kemanusiaan sepanjang lebih 14 abad selepas itu.

Allah menentukan bahawa akhirnya Pemerintahan Islam jatuh di zaman Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924. Ia berbeza dengan kejatuhan pemerintahan Barat atau Timur. Khilafah Islamiyyah jatuh apabila umat Islam meninggalkan ideologi Islam dan ajarannya. Pemerintah di Barat atau Timur jatuh kerana berpegang dengan ideologi yang ternyata gagal menyelamatkan manusia.

Benarlah Saidina Umar al-Khattab yang mengingatkan bahawa kita adalah satu kaum yang dimuliakan dengan Islam. Selagi kita berpegang dengan Islam, kita akan mulia. Apabila kita tinggalkan Islam, kita menjadi hina. Umar tidak berbangga dengan kabilah Arabnya walaupun kabilah Umar barangkali jauh lebih baik dari bangsa Melayu kini.

Dalam sejarah, umat Islam mencipta pelbagai kehebatan dan kekuatan ketika memerintah. Kehebatan dan kekuatan yang tidak ada sepertinya sebelum atau selepas pemerintahan Islam. Cubalah baca kajian yang dibuat terhadap idea-idea baharu di zaman Umar al-Khattab misalnya. Benarlah Nabi SAW yang menyebut bahawa para Sahabat seperti bintang di langit. Sesiapa sahaja di kalangan mereka yang diikuti, akan mendapat petunjuk.

Walaupun ‘Islam Adil Untuk Semua’ tidak menjadi tema rasmi pemerintahan setiap kali khalifah-khalifah baharu naik memerintah, seperti yang berlaku dalam dunia moden sekarang termasuk Malaysia, yang bertujuan untuk membaiki imej yang rosak teruk dek kefasiqan sendiri, namun itulah yang dilaksanakan oleh pemerintah Islam mulai Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, termasuk di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat adil itu.

Apabila khilafah Islam jatuh, umat Islam mula meninggalkan Islam, di samping masuknya ideologi-ideologi asing seperti Sekularisme, Nasionalisme dan isme-isme cabang darinya. Semangat kebangsaan menjadi asas menuntut kemerdekaan. Ia juga menjadi senjata untuk menjatuhkan khilafah Islamiyyah. Negara umat Islam merdeka tetapi dari kulit sahaja. Perjuangan menuntut kemerdekaan dan menentang penjajah di Tanah Melayu sebenarnya bermula pada 1511 iaitu semenjak datangnya penjajah.

Namun tokoh-tokoh Melayu berpegang kepada agama digelapkan dari sejarah sebagai pejuang kemerdekaan dan menjaga Islam. Umno sebenarnya yang diberikan kuasa memerintah hanyalah memenuhi agenda British sahaja. Penjajah keluar dari tanahair tetapi agenda penjajah diteruskan oleh anak didik penjajah. Mereka yang mahukan kepada Islam dan benar-benar mahu memerdekakan tanahair dengan ertikata sebenar tiada dalam Umno atau keluar Umno. Umno hanyalah kelongsong yang hilang isinya.

Sekularisme yang datang tanpa dijemput ke Tanah Melayu menjadikan parti UMNO, yang tidak berteraskan Aqidah dan ajaran Islam itu, rosak teruk hingga ke ususnya. Bukan kepada usus partinya sahaja, bahkan berjangkit dalam usus masyarakat. Lihatlah kesan dari gastritis dan ulcer itu dalam masyarakat. Walaupun Najib baharu sahaja keluar dari wad ICU selepas ulcer, tetapi ulcer dalam masyarakat hasil meninggalkan Islam dan menganut sekularisme walaupun tanpa isytihar secara formal menyebabkan struktur sosial masyarakat runtuh. Dalam bahasa mudah, akhlak sudah kembali menjadi jahiliyyah.

Sekularisme banyak melahirkan cabang-cabang berpenyakit. ‘Pokko’isme dan ‘perut’isme dalam Umno menjadikan Umno tidak layak lagi memerintah negara. ‘Pokko’ isme merujuk kepada pokko-binatang sesumpah yang bertukar warna berdasarkan warna batang pokok atau daun yang dihinggap.

Begitulah Umno. Tiada prinsip dan aqidah. Ia berubah menurut keadaan, tempat, suasana tanpa mengira prinsip. ‘Perut’isme merujuk kepada kepentingan harta, wang ringgit, habuan tanpa mengenal betul salah, berprinsip atau tidak, halal haram, rakyat punya, negara punya atau sendiri punya.

‘Pokko’ isme dan ‘perut’isme, ditambah ulser dan busuk hingga ke usus yang telah lama dibicarakan melengkapkan lagi ciri-ciri kehancuran UMNO yang tidak melayakkan ia terus memerintah dan mengaku parti menjaga kepentingan Melayu di negara Malaysia ini. Enough is enough!


**Penulis adalah Ketua Lajnah Ulama Pelapis, Dewan Ulama PAS Terengganu.