Monday, December 20, 2010

Dr. Syed Azman Syed Ahmad : Hasil tertinggi tetapi rakyat termiskin

Bajet Negara 2011 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai bajet yang tidak seimbang dan hanyalah menjurus kepada Pilihan Raya Umum dalam tempoh yang terdekat. Ia memperuntukkan RM213 bilion, RM162.8 bilion untuk belanja mengurus, RM49.2 bilion untuk pembangunan tetapi ternyata gagal untuk menangani isu yang paling besar iaitu masalah defisit perbelanjaan kerajaan. Begitu juga dengan kesamaran peranan sebenar agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah bagi membangunkan ekonomi rakyat miskin diseluruh negara?

Persoalannya apakah bajet ini untuk kesejahteraan rakyat? Apakah projek mega berpuluh bilion ringgit termasuk pembinaan bangunan pencakar langit 100 tingkat akan bermanfaat kepada golongan miskin? Bagaimana dengan Pak Mat di bandar Kuala Terengganu yang menarik beca dengan tulang empat keratnya mencari rezeki halal buat mengisi perut lapan anaknya yang semuanya masih bersekolah? Apa kabar pula dengan Pak Dollah di pantai Kuala Ibai yang saban hari turun ke laut bagi mencari ’serial sehamas’ (sedikit pendapatan) bagi menyuap nasi anak-anak di rumah usang di tepi pantai? Dan bagimana pula dengan Mek Minah, seorang balu beranak lima dari Kampong Kuala Ibai Pantai yang kerjanya menyiang ikan bagi membuat kerepok lekor yang hidup ’kais pagi makan pagi kais petang makan petang’.

Nasib Pak Mat, Pak Dollah dan Mek Minah serta keluarga mereka kini dikongsi bersama oleh hampir 30,000 keluarga lain yang dikategorikan sebagai miskin di seluruh Terengganu. Sukar untuk digambarkan, negeri bergelar ’Kuwait Malaysia’ yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara, mempunyai keluarga miskin yang begitu ramai jumlahnya. Keluarga-keluarga berkenaan dikategorikan sebagai golongan miskin iaitu mereka yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan iaitu RM529.50 ke bawah sebulan. Golongan inilah yang sepatutnya menjadi sasaran utama peruntukan Bajet 2011. Ini belum termasuk lagi dengan golongan termiskin di Sabah dan Sarawak yang juga perlu di berikan perhatian serius.

Di Terengganu sebagi contohnya, penduduk miskin sentiasa dihulurkan bantuan ‘subsidi’ melalui dana khas dan wang ehsan, tetapi sampai bila mereka akan terikat dengan ‘mentaliti subsidi’ ini? Sungguhpun kerajaan negeri Terengganu dari semasa ke semasa mengeluarkan statistik penduduk miskin dan menyatakan tidak ada lagi kemiskinan tegar, namun hakikatnya masih wujud ribuan kelauarga miskin yang perlu dibantu di seluruh pelusuk negeri.

Inilah persoalannya. Perlu diingat bahawa di negeri Terenganu taraf kemiskinan rakyat adalah negeri antara yang termiskin di Malaysia walaupun ia mendapat hasil lebih RM 12 billion hasil minyak sejak 26 tahun lalu. Malah antara tahun 2000-2009 negeri Terengganu telah menerima ROYALTI lebih RM 15.4 billion.

Namun kemiskinan serta penderitaan rakyat Terengganu masih jauh dari dapat di atasi. Malahan ketirisan dalam budget perbelanjaan, penyelewengan serta menipulasi ‘budaya subsidi” kepada rakyat termiskin serta ugutan terus di lakukan oleh sesetengah pemimpin kerajaan negeri yang tidak bertanggungjawab.

Apa erti ini semua sedangkan jawapan dari kepimpinan Menteri Besar menyatakan bahawa kadar kemiskinan negeri Terengganu dikatakan telah menurun dengan drastik dari tahun 2004 yang berkadar 15.4%, kepada kadar 6.7% bagi tahun 2007 dan di jangka menurun lagi kepada kadar 2.6% menjelang akhir tahun 2010. Persoalannya, apakah kadar kemiskinan ini tepat bagi negeri Terengganu? Kadar kemiskinan manakah yang digunakapai oleh kerajaan negeri? Dan apakah ianya releven dengan kos kenaikan sara hidup yang terpaksa dibebani oleh setiap penduduk Terengganu?

Lihat sahajalah kenaikan harga minyak, gas, gula, tepung serta pelbagai keperluan harian lagi yang terlalu membebankan golongan bawahan. Misalnya ramai memperkatakan bahawa kos barang keperluan harian di negeri Terengganu adalah jauh lebuh mahal dari dari kota-kota besar seperti Kuala Lumpur atau Ipoh.

Mengikut statistik yang ada, sekiranya negeri Terengganu menggunapakai ’kadar kemiskinan’ (poverty level) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdan Menteri (JPM) yang meletakkan bahawa ’kemiskinan’ adalah RM731 setiap isi rumah seramai 5 orang manakala Index ’kemiskinan tegar’ adalah RM419 setiap isi rumah seramai 5 orang.

Tertapi jawapan yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah ”kita (kerajaan negeri Terengganu) terima pakai apa yang sudah ditetapkan oleh kerajaan Pusat iaitu kemiskinan secara puratanya yang miskin ialah perkapita dalam RM180 dan miskin tegar dalam RM180 iaitu angka yang kita terima pakai”.

Bagi saya Index yang di gunapakai oleh negeri Terengganu ini tidak tepat dan tidak sesuai langsung bagi negeri Terengganu. Malahan ia tidak mencerminkan langsung kedudukan penduduk miskin yang masih terlalu tinggi di seluruh negeri Terengganu.

Sebagi contohnya, kerajaan negeri Selangor telah megambil langkah menaikkan index kemiskinan kepada RM1500 setiap isi rumah menjadikan kadar kemiskinan negeri tersebut naik dari 1.1% kepada 22% dengan mengambilkira kemiskinan Bandar yang meruncing akibat kenaikan kos sara hidup.

Malahan sekiranya di teliti bagi tahun 2010 sahaja, kerajaan negeri Terengganu telah memperuntukkan sejumlah RM 50 juta ’Dana Khas Bantuan Hari raya’ kepada sejumlah 150,000 warga miskin seluruh negeri Terengganu.

Namun sekiranya dinisbah jumlah penerima bantuan hari raya seramai lebih 150,000 orang yang terdiri dari golongan termiskin dengan jumlah penduduk Terengganu maka kadar kemiskinan di negeri ini akan mencecah lebih 15% dari kalangan rakyat Terengganu. Inilah realiti negeri Gganukite apabila berhadapan dengan bajet negara 2011....

Nasrudin Hassan ; Ketuanan Islam: Alternatif yang enggan difikirkan?

1. Seusai Kongres PKR , kini UMNO dan BN seperti mendapat peluru tembaga untuk dibidik tepat ke jantung PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. Biadab , kurang ajar , khianat , pelacur politik dan 1001 kata - kata kesat dihamburkan ekoran kenyataan dari presiden PKR Datin Seri Wan Azizah binti Dato' Wan Ismail .

2. Saya tidak sempat menghadhiri Kongres PKR kerana menerima undangan saat akhir sedang saya telah mempunyai komitmen untuk menghadhiri Hari keluarga DPP Malaysia di Pulau Pangkor . Walau bagaimana pun saya mengikuti perkembangan dan berita mengenainya . Terlebih dahulu saya ucapkan syabas kepada PKR dan AMK yang telah selesai berkongres semoga PKR dan AMK semakin utuh dan mantap selepas ini mendepani cabaran dan halangan perjuangan yang sukar ini .

3. Tidak puas - puas UMNO dan BN membelasah PKR . Sebelum dan selepas kongres , ada sahaja peluru baru yang dilepaskan oleh pelbagai agensi mereka untuk membunuh PKR dan sekaligus dilihat sebagai percubaan untuk melemahkan Pakatan rakyat. Terkini isu Ketuanan Melayu menjadi turning point UMNO dan BN untuk memperbaharui serangan ke atas Pakatan Rakyat .

4. Wartawan pula bertalli arus menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan saya tegaskan atas 3 point penting :

A. ] Sejak merdeka sehingga kini sudah lebih 50 tahun , Melayu belum menjadi tuan .

UMNO dan BN awal - awal lagi sebenarnya tidak layak pun hendak bercakap soal Ketuanan Melayu , apalagi bersilat untuk mempertahankannya . Keris panjang tidak bersarung milik UMNO selama ini tidak ubah seperti keris sisip di pinggang sang pengantin . Bukan sahaja tidak berfungsi malah sedikit pun tidak menambah keberanian sang pengantin selain hanya menurut sahaja apa yang disuruh . Disuruh bangun mereka bangun , disuruh duduk mereka duduk , disuruh senyum mereka senyum , disuruh suap mereka suap , disuruh makan mereka makan , disuruh basuh periuk belanga mereka basuh. Menurut saja apa yang disuruh walau keris tersisip dipinggang , bersampin dan bertanjak .

Sepanjang tempoh 50 tahun lebih inilah , menyaksikan melayu hilang maruah , hilang jati diri , hilang tanah , hilang kuasa , hilang upaya ekonomi dan hilang kehebatan . Malah fenomena ini diakui sendiri oleh pemimpin UMNO dan BN apabila sehari dua ini mereka selalu bertanya kemanakah hilangnya kuasa politik orang melayu ? . Walaupun soalan itu seperti mahu menyalahkan Pakatan Rakyat tetapi rakyat umumnya mengetahui bahawa Pakatan Rakyat belum sepenggal mengurus pemerintahan beberapa buah negeri yang dimandatkan oleh rakyat , sementara Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN malah berkuasa penuh sejak lebih 50 tahun yang lalu . Pertanyaan itu seperti UMNO meludah ke langit dan akhirnya menimpa muka sendiri .

B. ] Tidak salah perjuangkan bangsa dan pertahankannya sebagaimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan .

Melalui perlembagaan Malaysia yang sedia ada telah dimaktubkan hak keistemewaan orang melayu . Saya tidak prejudis mengenainya bahkan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa kita melayu juga adalah adalah suatu yang tidak bertentangan dengan Islam . Sebagaimana nabi saw sendiri berbangga sebagai bangsa Arab Quraisy .Terutama majoriti penduduk negara ini ialah melayu dan mereka pula rata - ratanya masih perlu pembelaan kerana taraf hidup yang rendah angkara amalan kronisme dan dasar ekonomi yang korup oleh kerajaan UMNO dan BN sejak 53 tahun yang lalu .

[ Lantaran selama ini hanya segelintir melayu yang kaya raya dan harta negara berlegar dari kalangan pembesar dan kroni mereka. ]

Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa yang saya maksudkan tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang.

C. ] Saya mencadangkan Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu tajaan UMNO dan BN .

Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua .

Islam dirujuk kepada kitab suci al Quranul Karim yang rata - rata pemimpin Pakatan Rakyat termasuk non muslim mula memetiknya untuk berhujjah justeru ia satu pengiktirafan kepada kebenaran yang dibawa oleh Islam . Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah .

5. Negara dan dunia serta seluruh isinya memerlukan Islam . Saya menegaskan demikian bukan bermakna Islam memaksa manusia menganutnya . Menerima bukan semestinya menganut Islam . Ahli zimmah [ non muslim yang tidak menentang Islam ] boleh menerima sistem dan dasar kepimpinan serta pemerintahan Islam sementara mereka kekal dengan agama dan kepercayaan mereka. Seperti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadikan Khlaifah Umar bin Abdul Aziz sebagai idola dan contoh kepimpinannya , maka perlu difahami bahawa Khalifah umar bin Abdul Aziz menjadi hebat kerana Islam yang diyakininya.

Abd Shukur Harun; Konvensyen PR jangan layan isu perkauman

Sepatutnya isu perkauman dengan segala rangkaiannya tidak wajar mendominasi pemikiran rakyat Malaysia, justru ada pelbagai masalah yang jauh lebih penting dan mendesak untuk segera diselesaikan.

Malaysia dengan masyarakat majmuknya sepatutnya menumpukan perhatian kepada masalah yang sangat mendesak – iaitu isu penting mengenai keadilan dan demokrasi, harga barangan yang terus meningkat, isu rasuah yang sangat melemaskan, isu buang bayi, kes- kes jenayah yang terus meningkat, isu salah guna kuasa oleh pihak tertentu, isu pembaziran wang rakyat, isu projek mewah yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat – kecuali segelintir golongan elit yang berkepentingan.

Juga isu kekurangan tenaga kerja tempatan, ke mana ‘hilang’ atau ‘bersembunyi’nya belia tempatan, khususnya belia Melayu yang kini tidak berada dalam pasaran kerja menyebabkan pekerja asing melimpah ruah di pasaran hingga mereka mendominasi bandar-bandar di hari-hari cuti umum dan banyak lagi isu.

Sepatutnya semua isu ini yang menjadi tumpuan pemikiran sesetengah rakyat justru semua masalah ini benar-benar menyentuh kehidupan rakyat Malaysia. Malangnya, hampir seluruh masa, tenaga dan pemikiran, malah wang ringgit dihabiskan untuk membincangkan isu perkauman ini.

Isu harga barangan naik sangat dirasakan oleh semua rakyat – tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain – kecuali golongan elit yang berkuasa, serta golongan korporat yang mewah, yang tidak pernah merasakan pedihnya berbelanja di pasar atau di kedai runcit.

Dalam masa yang sama bagaimana pemimpin politik boleh memiliki rumah seperti istana, kenderaan mewah yang memenuhi sekitar halaman rumah di lereng bukit, perabut rumah yang tidak terkira harganya yang dibeli di luar negeri, keluar negeri dengan berbelanja sesuka hati dan pelbagai lagi kehidupan mewah yang dipamerkan.

Dari mana mereka mendapat wang semewah dan sebanyak itu. Dalam masa yang sama, mangsa banjir di Kedah, Perlis, di Kelantan dan di tempat lain menitiskan air mata menyaksikan kemusnahan barangan mereka di samping bagaimana pula untuk mereka meneruskan kehidupan.

Para nelayan di Kuala Sedili, Kemaman, Kuala Kedah, Juru, Pantai Remis dan tempat lain yang menghadapi tekanan hidup begitu berat sekali mengeluh melihat harga barang yang terus menerus naik setiap kali pergi ke pasar atau ke kedai runcit untuk membeli beras, gula, tepung dan barangan keperluan lain. Semuanya ini adalah luka rakyat yang sangat memedihkan.

Oleh itu apa perlunya isu perkauman dimainkan dalam keadaan negara begitu banyak masalah yang tidak terselesaikan. Belum lagi masalah rasuah yang sangat menakutkan, demokrasi yang entah terumbang-ambing, gejala sosial – buang bayi, bersekedudukan, dadah dan bakal datang pula hub hiburan yang sangat menakutkan dan pelbagai lagi masalah.

Justru apa perlunya rakyat diasak dengan isu perkauman setiap hari yang dimainkan oleh media tradisional dan kata-kata pemimpin politik. Teriakan perkauman ini tidak menguntungkan negara yang sepatutnya kita pelihara dengan sebaik-baiknya.

Malaysia, seperti kata pengarang Inggeris, Anthony Burgess, adalah bumi yang sangat subur. Katanya, campak saja benih di mana-mana akan tumbuh subur, pantai dan lautnya banyak ikan, negerinya indah, bergunung-gunang, pantai dan pulau-pulaunya cantik.

Demikian kaya dan suburnya bumi Malaysia ini.

Oleh itu dalam keadaan dan suasana begini mengapa masih lagi kedengaran teriakan perkauman, adu domba dan segalanya.

Lebih-lebih lagi semakin dekatnya Pilihan Raya Umum Ke-13, teriakan perkauman itu semakin nyaring dan amat menakutkan, sepergi ngaum singa dan harimau di hutan Afrika.

Sebab itu, pada pendapat saya Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke- 2 di Pulau Pinang 19 Disember ini sewajarnya tidak melayan teriakan isu perkauman yang merugikan ini. Konvensyen yang penting itu, yang mungkin terakhir sebelum PRU Ke-13 perlu hanya memberi fokas iaitu cara mana menawan hati nurani rakyat supaya menyokong Pakatan dalam pilihan raya nanti, agar dapat membuat perubahan untuk kebaikan rakyat.

Isu perkauman nampaknya lebih banyak ditujukan kepada penduduk luar bandar, yang jauh di pedalaman, yang tidak melayari internet dan saluran media alternatif. Golongan inilah sewajarnya diberikan tumpuan untuk menjelaskan kepada mereka akan tawaran Pakatan Rakyat jika memenangi pilihanraya nanti.

Kepada pengundi luar bandar hal inilah perlu diterangkan bezanya antara Umno/BN dan Pakatan Rakyat. Bagaiamana rakyat pelbagai kaum di negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat, dilayan seadil-adilnya dari semua segi bidang kehidupan.

Tidak dinafikan, antara masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat dan mesti diselesaikan segera ialah soal membina rangkaian penerangan yang benar-benar berkesan dan ini mesti dilakukan sekarang justru PRU Ke-13 sangat dekat.

Sementara itu, seperti yang dinyatakan berulang kali, pendaftaran pengundi baru – khususnya di kalangan anak dan saudara mara serta sahabat handai warga Pakatan Rakyat mestilah juga disegerakan.

Tentu saja Konvensyen 19 Disember ini di mana Dr. Mujahid Yusuf Rawa sebagai Pengarah Sekretariatnya menjadi perhatian oleh pelbagai pihak, sejauh mana ia menyusun jentera pilihan raya, melakar strategi dan manifesto, bagaimana ia membaca senario politik yang ada dan menanganinya.

Berhentilah membincangkan isu siapa Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan berkuasa, isu negara Islam dan hudud, isu pembahagian kerusi dan isu-isu yang boleh menjadi ‘bola tanggung’ kepada Umno/ BN. Isu ini sebenarnya boleh dibincangkan di peringkat dalaan dan tertutup, bukan diluahkan di depan media.

Idris Ahmad ; Tanah Melayu terhakis angkara Umno

Umno sebagai tonggak BN akan buat apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihanraya. Semua diktator di dunia, perkara yang paling mereka gerun ialah seksa di di dunia, iaitu hilang kuasa. Pemimpin umno semakin gelisah untuk menghadapi hari-hari tua yang berada dihujung senja. Puas mereka memutar isu untuk meyakinkan rakyat walaupun kena di batang hidung mereka. Pedekatan matlamat menghalalkan cara.

Isu yang rancak dimainkan di dalam media ialah isu Melayu semakin terhakis kerana Pakatan Rakyat semakin kuat, dan umno pula tidak larat. Mereka menggunakan media televisyen terutamanya untuk menggambarkan bahawa yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan Islam ialah Umno. Pemimpin Umno silap, dunia sudah berubah dan rakyat sudah celik sejarah terutama mereka yang terpelajar.

Mereka yang buta maklumat semakin pupus di atas dunia ini, Insya Allah generasi yang celik maklumat akan membuat perhitungan dengan pemimpin Umno. Generasi ini tidak akan biarkan setengah abad kedua negara ini diperintah oleh perakus harta negara yang merompak secara terhormat.

Apabila Harakah mendedahkan pengakuan yang dibuat oleh ADUN Umno Pulau Pinang ketika forum 'Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian' anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang pada 10 November lalu berpunca daripada pemimpin Umno.

Maka 22 November 2010 Utusan Malaysia yang menjadi proksi Umno terus membuat satu laporan khas mengenai tanah Pulau Pinang untuk mengatakan putih walaupun satu dunia mengatakan hitam. Begitullah juga taktik Utusan Malaysia yang cuba hendak menyalahkan DAP yang tidak sampai tiga tahun memerintah menyebabkan tanah melayu Pulau Pinang papa kedana? Laporan tu juga membela Umno tidak boleh disalahkan sehingga tanah orang melayu tinggal 1.16%. Laporan yang layak dilaporkan di zaman batu, bukan zaman maklumat yang boleh diketahui berbatu-batu.

Ini fakta menunjukkan Umno penjahanam tanah orang Melayu:

Pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.

22,000 ekar tanah kerajaan di gadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung.

200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di gadai oleh pemimpin umno kepada YTL ) Ini tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway.

9 ribu hektar tanah Rezab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rezab Melayu. Hanya 1/3 sahaja (lebih kurang 3 ribu hektar sahaja yang diganti. Selebihnya jin tanah makan.

Pada tahun 1990, seramai 80 orang penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang duduk di atas tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort.

Pada tahun 1990, sebanyak 930 hektar tanah Rezab Melayu Kampung Mambau Negeri Sembilan telah diambil untuk projek Seremban 2. Sebelumnya terdapat 600 orang yang tinggal disitu.

26,000 hektar tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Pia Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.

300 ekar tanah Rezab Melayu di Pulau Redang Teregganu kepada Vicent Tan untuk projek perlancungan.

Pada tahun 1993, 1000 ekar tanah Rezab Melayu di Kerpan Kedah (tapak sawah yang subur) untuk projek kolam udang.

13 Jun 2008 (Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor di sini. Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera. Ini siapa punya angkara? Pakatan Rakyat atau Umno.

Akibat kejahilan pemimpin Umno menyebabkan Pulau Batu Putih pun terlepas yang dapat hanya pulau tenggelam timbul (Batuan Tengah dan Tubir Selatan). Kalau air pasang batu tenggelam, kalau air surut maka Pulau Batu itu timbul. Inilah yang disebut oleh Datuk Rais Yatim Menteri Luar menang-menang. Menang pada Umno ialah Singapura dapat pulau yang tidak tenggelam, manakala Malaysia dapat pulau tenggelam timbul. Inilah lawaknya pemimpin Umno yang jaga kedaulatan negara.

Kampung Chu Badak Sentul Kuala Lumpur, sebanyak 273 ekar tanah kampung Melayu tradisi telah menyebabkan kira-kira 160 keluarga telah dihalau keluar kerana pembangunan mega akan dibuat disitu.

Tanah rezab Melayu seluas 94 ekar yang diteroka sejak 72 tahun telah terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

Sebanyak 840 hektar tanah rezab melayu di Pahang bakal hilang apabila projek ECER (Koridor ekonomi pantai timur)

Tanah seluas 2500 ekar ladang kelapa sawit di Jalong Tinggi Sungai Siput Perak telah dijual kepada China Singapura.

Siapa pula yang menghalau penduduk di Kampung Berembang Ampang. Pada hal mereka ini adalah penyokong umno tegar. Apabila penduduk dihalau yang membela mereka ialah daripada PAS, PKR, DAP dan NGO. Tidak nampak muka pemimpin Umno pada hari penduduk yang dihalau macam anjing.

217 hektar tanah Keretaapi Tanah Melayu di Singapura kepada Singapura. Tanah yang berharga emas terlepas secara terhormat.

Menghalau 290 buah rumah penduduk Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang Johor. Mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun. Yang menjadi pendinding dan perunding ialah pemimpin PAS, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16/10/2009. Kesemua mereka ialah penyokong umno tegar, apabila mereka dihalau batang hidung pemimpin umno tidak nampak.

Daripada fakta di atas bolehlah dirumuskan Umnolah pengkhianat dan menggadai tanah orang Melayu, Bukan PAS, bukan PKR dan bukan DAP.

Sebenarnya slogan Umno “Hidup Melayu” perlu ditukar kepada slogan sebaliknya, iaitu “di mana Umno kuat di situ Melayu merempat”.

Idris Ahmad : Kenali ketuanan Melayu ala Umno

Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.

Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan umno juara melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan melayu ala umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah umno sahaja yang mempertahankan ketuanan melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno?

Faktanya ketuanan melayu umno telah merugikan orang melayu, bukan mengangkat martabat melayu di negara ini.

- Ketuanan melayu umno menjadikan taraf hidup orang melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu. Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan melayu umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak

- Ketuanan melayu umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat di sekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?

- Ketuanan Melayu umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar umno. Sewaktu mereka dihalau batang hidung pemimpin umno tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada Pas, Pkr, Dap dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin umno yang hendak menegakkan ketuanan melayu ketika penyokong mereka dihalau.

- Ketuanan melayu umno menyebabkan orang melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman China 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.

- Ketuanan melayu umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan umno telah mengkhianat orang melayu-Islam semata-mata untuk melawan Pas. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.

- Ketuanan melayu umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.

- Ketuanan melayu umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.

- Ketuanan melayu umno sehingga sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada umno.

- Ketuanan melayu umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh Profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.

Idris Ahmad :Umno biadab dengan Raja-Raja Melayu

Sah, pemimpin Umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia. Contohnya Umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana.

Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja Melayu. Tindakan Umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”.

Sebenarnya pemimpin Umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin Umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.

1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.

2. Tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Datuk Seri Tajol Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Datuk Seri Tajol Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.(UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.

3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Datuk Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.

4. 1983 Umno hendak meminda supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5.P ada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?

7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya?

8. Pada 18 Januari 1993, Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)

9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.

10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada Sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk mengganti Sutan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil?

12. Kenyataan biadab Shahidan Kasim, bekas MB Perlis mengatakan “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11 Jun 1993.)

13. Datuk Mohd Taib kata Nizar derhaka. Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun BN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan? Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang? Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009.

15. Datuk Seri Shahidan Kassim boikot perlantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai MB Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?

16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.

17. Datuk Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan, ultan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campur tangan soal pelantikan Raja-Raja Melayu.

Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993.

Berita Harian pada 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu.

Wan Nik Wan Yussof:Umno tak layak bincang kepimpinan Islam

Merujuk kenyataan dua ketua bahagian Umno, iaitu Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (Sinar Harian-edisi online, 11 Disember 2010) dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman (Sinar Harian-edisi Kelantan, 11 Disember 2010), maka saya menganggap kedua-dua mereka itu tidak layak bercakap mengenai kepimpinan Islam. Ini kerana parti Umno itu sendiri tidak pernah berniat untuk memartabatkan Islam sebagai teras kepimpinan negara.

Kunci kepada kenyataan dua ketua bahagian itu adalah respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perlantikan timbalan perdana menteri Malaysia seharusnya dari kalangan seorang muslim yang soleh. Bagi saya, kenyataan Tuan Guru ini adalah suatu prinsip jelas dalam kepimpinan Islam, maka apabila ia dipadukan kepada individu yang bernama Lim Kit Siang yang kebetulan Penasihat parti DAP, maka ia sudah kelihatan suatu polemik yang menimbulkan penolakan total pihak Umno. Jelas terserlah kebebalan Umno di dalam menghayati maksud tersirat Tuan Guru sebagai tokoh uyang tegas memperjuangkan asas dakwah di dalam bentuk olahan politik Islam.

Apabila meneliti respons Fatmi itu, ia jelas tidak bersetuju lalu menyifatkan kenyataan Tuan Guru sebagai kenyataan politik. Demikian pula Zawawi yang baru setahun jagung memegang ketua bahagian telah meletakkan taraf kenyataan Tuan Guru sebagai kebudak-budakan.

Justeru Fatmi mahupun Zawawi boleh dianggap mewakili pemikiran pemimpin Umno yang begitu alahan (alergic) tatkala membincangkan soal kepimpinan politik, bila mana isu kepimpinan dipadukan dengan nilai-nilai kempimpinan Islam. Ia semacam cuba mengelakkan daripada menerima hakikat teras kekuatan Malaysia hari ini adalah Islam biukannya kaum. Oleh itu, ramai pemimpin Umno dan penyokong mereka menganggap kenyataan Tuan Guru sebagai aancaman kepada poerjuangan Umno dan Barisan Nasional itu sendiri.

Sehubungan itu, kenyataan dilapor media tersebut boleh fahami sebagai respons yang jelas membayangkan sikap hipokrit pemimpin Umno terhadap Islam. Maka kenyataan Fatmi dan Zawawi sebenarnya boleh dijadikan disifatkan sebagai kebudak-budakan bukannya kenyataan Tuan Guru yang kebudak-budakan.

Ini kerana kenyataan itu, awal-awal lagi didapaati bercanggahan dengan prinsip kebebasan dan hak-hak beragama individu warganegara Malaysia. Di samping itu, kenyataan tersebut dilihat sebagai tidak menggambarkan sifat orang Melayu yang beragama Islam yang cuba mempermainkan usaha dakwah dalam konteks seruan Islam.

Sementelah pula, ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam sendiri yang telah menetapkan ukuran akil baligh di dalam menentukan dosa dan pahala, sedangkan Lim Kit Siang sebagai orang yang akil baligh, peguam dan politicians berpengalaman, amat pasti ia amat matang dengan pendiriannya tentang agama. Justeru kenyataan itu yang turut memperlekehkan kewibawaan Lim Kit Siang sekaligus menggambarkan sikap pemimpin Umno yang tidak menghormati kepimpinan pihak lawan yang jelas bercanggah dengan sunnah Raslullah SAW. Malah ia suatu kedangkalan dalam memahami nilai diplomasi politik dalam negara ini.

Sebagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai Perdana Menteri pertama di dunia ini yang memartabatkan Islam di dalam pemerintahan tidak pernah pun menyebut fasal ‘bangsa-bangsa’ jauh sama sekali menerima pakai prinsip kebangsaan di dalam menguruskan politik dan pentadbiran Negara. Sedangkan kewujudan bangsa itu sedia ada lebih awal lagi. Hakikat ini, Umno sudah jauh tersasar. Justeru itu, agak pelik dan ajaib sekiranya pemimpin Umno itu bercakap soal ‘masuk Islam’ dan menilai keikhlasan seseorang itu untuk masuk Islam, sedang amalan parti dia sendiri bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Masakan tidak, disebabkan pemimpin Umno-lah seorang ulama seperti Ustaz Ibrahim Mahmood dan pengikutnya dibunuh di dalam Peristiwa Memali tahun 1985. Malah pernah berlaku, alim-ulama termasuk dari Kelantan turut ditahan di bawah oleh akta zalim ISA. Tidak padan dengan itu, pernah arwah Tuan Guru Haji Mustapha dari Pasir Tumboh telah diseret ke mahkamah dan dijatuhkan hikuman atas dakwaan kononnya mengkafir sesama Islam. Sedang semua tuan guru atau ustaz tersebut berhujah bersandarkan kitab suci al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Lebih teruk lagi, dalam era kekuasaan Umno jugalah berlakunya sekatan bantuan kepada sekolah agama Islam di seluruh negara akibat terpengaruh dengan Amerika yang mentohmahkan sekolah-sekolah agama sebagai pusat aktiviti pengganas. Melarang guru dan ustaz di sekolah-sekoilah memakai kopiah, kerana kopiah identiti Islam. Paling malang lagi, Umno era Abdullah Ahmad Badawi turut memperkenalkan Islam Hadhari sebagai pendekatan yang salah kerana ia didapati seiringan dengan pemikiran orientalis yang bertujuan mengelirukan ajaran Islam sebenar.

Jawapannya, terlalu banyak percanggahan amalan pemimpin Umno sepanjang mereka berkuasa di negara ini yang dilakukan adalah tidak menyokong usaha memartabatkan Islam itu sendiri.

Oleh sebab itu, sejak negara merdeka sehingga ke hari ini, Umno sebagai parti yang memperjuangkan Melayu, didapati tidak berani menawarkan kepada pemimpin MCA atau pun MIC untuk duduk ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Atau sekurang-kurang bersifat demokratik untuk membuka jawatan timbalan menteri besar atau ketua menteri kepada MCA atau MIC. Sebaliknya, amalan kebangsaan Umno itu diragui kerana pernah menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew, Pulau Pinang kepada Gerakan meskipun pada satu ketika kerusi Umno majoriti di dewan negeri Pulau Pinang. Begitu juga dalam konteks Sabah, era Dr. Mahathir pernah mencaturkan jawatan Ketua Menteri kepada sistem giliran membolehkan pemimpin bukan Melayu mendudukinya.

Justeru itu, dalam negara yang mencatatkan hak-hak atas prinsip demokrasi apa salahnya membincangkan jawatan TPM itu kepada bukan Melayu. Paling tidak salah, sekiranya bakal penjawat TPM itu seorang beragama Islam. Ini kerana Islam adalah agama Persekutuan dan penganut Islam adalah mewakili majoriti rakyat yang kebetulan merentasi kaum––tidak hanya orang Melayu malah ada Cina, India, Sabahan, Sarawakian dan kaum-kaum lain adalah beragama Islam. Maka, nilai Islam itu sudah merentasi nilai-nilai perkauman yang dipuja oleh Umno, MCA dan MIC. Logik inilah menjadi hujah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz melontarkan idea jawatan TPM itu hendaklah berteraskan prinsip perlembagaan dan hendaknya juga selari dengan Islam, iaitu seorang yang soleh. Di sini diperturunkan kenyataan sebenar Tuan Guru seperti di dalam blognya:

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

Rumusannya, kita umat Islam mahu pun rakan-rakan dari agama selain Islam, janganlah mudah percaya dengan ‘ajakan Islam’ yang terhambur dari mulut pemimpin Umno. Kerana mulut mereka hakikat memiliki bau yang busuk terhadap Islam itu sendiri. Lantaran itu, komen Ketua Umno Pasir Puteh dan Bahagian Kota Bharu tersebut adalah olahan politik yang menyerlahkan kelemasan bernafas dek kebimbangan hilangnya kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.