Wednesday, November 19, 2008

Perkahwinan Berasaskan Ibadah Menjamin Kebahagiaan


HUJUNG minggu lalu, ketika meraikan perkahwinan saudara saya di Kelantan, kedengaran pelbagai ucapan selamat daripada para jemputan. Wajah mempelai berseri-seri kerana bahagia membina mahligai impian. Rata-rata ucapan yang diberikan seperti di bawah:
“Selamat pengantin baru semoga berbahagia sehingga ke anak cucu.”
“Selamat berbahagia semoga kekal di dunia dan akhirat.“
“Selamat pengantin baru, semoga berbahagia.”

Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata:
“Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua.”
“Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?”
“Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa.”

Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya:

"Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan."(Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)Inilah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah).

Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan?Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?

Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis. Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.·Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.·Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.·Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi . Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.

Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih.Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud:

“Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya."(Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu."(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami.Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman.Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina.

Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:

" (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia."(Surah an-Nur, ayat 26)

No comments: