Lupakan kerana tiada kejayaan boleh diraih tanpa usaha keras dan pengorbanan.
Ramai mahu cemerlang dalam pelajaran tapi kebanyakannya malas membuat ulang kaji. Jika disuruh belajar, mereka mengeluh, memberi alasan.
Mustahil dan tidak masuk akal. Pepatah 'kejayaan tidak datang bergolek' membuktikan jika mahu berjaya, perlu berusaha. Jika hanya berpeluk tubuh, tentu tiada hasil boleh dituai.
Pelajar bijak pandai menguruskan masa apabila membuat persiapan sejak awal sebelum menghadapi peperiksaan. Bukan belajar pada saat akhir dalam suasana kelam kabut.
Bagaimanapun, ramai pelajar berbuat demikian, gagal menguruskan masa kerana selalu lalai. Pada masa sama mengamalkan sikap bertangguh dan memberi seribu satu alasan.
Fenomena ini tidak sihat jika dibiarkan akan merugikan pelajar. Mereka bukan saja gelisah, susah hati atau dihambat rasa kurang keyakinan diri malah menjejaskan tumpuan menghadapi peperiksaan.
Ubahlah tanggapan belajar di saat akhir sebaliknya mengulang kaji sejak awal kerana banyak manfaatnya.
Pelajar bukan saja mempunyai banyak masa memperbaiki kesilapan malah boleh belajar dengan selesa dan tenang.
Ia juga lebih selamat kerana diri dan fikiran tidak terbeban, sekali gus memberi kerehatan pada minda selepas penat mengulang kaji.
Saya suka nasihatkan pelajar sentiasa bersedia dari awal kerana sikap bertangguh memberi bebanan berganda pada minda dan kehidupan seharian.
Bukan itu saja, kualiti pembelajaran juga akan merudum sekali gus memberi impak negatif pada sesi pembelajaran masa depan.
Bagaimana mahu mengenali pelajar yang tidak bertanggungjawab pada diri sendiri dan sebaliknya?
Biasanya, perwatakan mereka 'selamba' serta tidak kisah apa yang berlaku. Dia tidak mengambil iktibar daripada pengalaman kegagalan lalu sebaliknya masih buat tidak tahu.
Mereka ambil mudah sedangkan masih berpeluang cerah memperbaiki diri jika mempunyai persediaan ulang kaji awal dan terancang.
Salahkah mereka? Saya rasa itu bukan tindakan bijak, kita kena lihat kenapa jadi begitu. Mungkin asuhan sejak kecil atau kurangnya aspek motivasi diri menjadi faktor penyumbang.
Tapi, ini bukan bermakna membiarkan mereka terus hanyut sebaliknya memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak seperti kelas bimbingan intensif, sokongan rakan, ibu bapa dan guru.
Saya percaya, jika sentiasa menerima galakan, mereka boleh menukar tabiat buruk itu dan bermuhasabah diri.
Sentiasa buat perbincangan dengan rakan. Ia bukan saja memudahkan pembelajaran tapi membantu pelajar lebih mengingati pelbagai fakta.
Tiada jalan pintas untuk menjadi cemerlang jika kita tidak menciptanya.
Thursday, July 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment