Friday, October 15, 2010

Subky Latif : Dr M ulangi apa yang Tunku buat

SELEPAS Tun Dr. Mahathir mengkritik politik dan pentadbiran Tun Abdullah Badawi hingga menyebabkan penggantinya itu terlucut dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno, kini Dr. Mahathir mula melepaskan sasarannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula.

Terakhir dari beberapa tegurannya terhadap pentadbiran dan pimpinan Najib ialah kekaburan yang dirasanya tentang slogan 1Malaysia. Dia tidak jelas dengan konsepnya dan mulai melihatnya sebagai suatu yang lemah dan keliru.

Lalu dia minta Najib memberi penjelasan.

Orang mula merasakan Dr. Mahathir mulai hilang keyakinan terhadap orang yang diharapkannya untuk menjadi pemimpin yang baik bagi negara ini sama seperti yang diharapkannya kepada penggantinya Tun Abdullah Badawi.

Kedua-dua Abdullah dan Najib adalah orang harapannya dan pilihannya. Dia mendahulukan Abdullah kerana usianya lebih tua dari Najib. Ada tanda-tanda Najib bukanlah pilihan pertama Abdullah bagi menjadi timbalannya, tetapi tekanan Dr. Mahathir dipercayai mendorong dia memilih Najib.

Ertinya Dr. Mahatahir ada peranan dan pengaruh bagi menjadikan keduanya sebagai penggantinya secara berturut-turut. Atas kekecewaannya kepada Abdullah, dia dikira sebagai orang penting menjatuhkan Abdullah. Dan sekarang dia seolah-olah kecewa pula kepada Najib.

Siapa yang betul padanya dan apa masalahnya orang tua ini? Itu yang orang cuba persoalkan perangai tua Dr. Mahathir. Saya tidak terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir itu malah ia telah saya ramalkan dalam buku saya Dokumen Putrajaya terbit kurang setahun menjelang persaraannya.

Dr. Mahathir adalah orang politik dan pemikir. Orang sepertinya tidak teragak-agak untuk menyatakan fikirannya terhadap apa dia rasa perlu zahirkan, baik dia suka atau tidak suka. Dia akan beri fikiran atas apa jua perkara dan isu.

Jika Tunku Abdul Rahman Putra yang menjadi pemimpinnya dia boleh tegur dan kritik, maka dia boleh tegur dan kritik siapa saja.

Kalau Tunku sendiri yang tidak bermulut luas sepertinya tidak teragak-agak untuk komen terhadap pentadbiran dan kepimpinan Tun Razak yang menjadi penggantinya, dan tidak segan silu menegur pentadbiran Tun Hussein Onn dan pentadbiran Dr. Mahathir, maka Dr. Mahathir yang lantang dari Tunku sudah tentu tidak teragak untuk memberi komen atas apa jua yang tidak disetujuinya.

Andaian itu telah saya sebutkan dalam buku itu. Dr. Mahaathir bukan seorang yang boleh duduk diam saja terhadap apa jua perkembangan. Jika Tunku tidak segan menegur pentadbiran Tun Razak, Tun Hussein dan Dr. Mahathir sendiri, hingga orang terasa tiada orang yang betul bagi Tunku melainkan dirinya saja.

Tidak terfikir orang bahawa Tunku yang pernah menjadi pemimpin boleh menegur secara terbuka dan berterus terang terhadap pemimpin-pemimpin Umno selepasnya.

Akhbar The Star memberi ruang setiap minggu kepada Tunku untuk menulis apa saja yang dia rasa perlu tulis dan Tunku telah menjadikan ruang akhbar itu untuk menyatakan segala pandangannya. Hingga akhirnya pentadbiran Dr. Maahathir menggantung akhbar MCA itu dan billa ia dibenarkan terbit semula
ruang Tunku telah ditiadakan.

Kritik Tunku terhadap Tun Razak menyebabkan penggantinya itu hilang populariti. Pengaruh dan kemasyuran Tun Razak sebenarnya dilihat lebih hebat di masa menjadi timbalan Tunku dari zaman menjadi pengganti Tunku. Hingga ada anggapan Tunku melalui tulisannya itu seperti mahu kembali berpolitik dan mengambil alih kuasa semula dari Tun Razak.

Orang yang mahu Tunku berbuat demikian pun ramai. Apa yang dibuat Tunku itu dirasa orang sama seperti yang Dr. Mahathir telah buat terhadap Tun Abdullah dan yang mula disasarkan terhadap Najib. Hatta Tunku pernah bertekad untuk membentuk parti baru bagi menyaingi Umno dan bagi melucutkan kedudukan Tun Razak.

Tun Razak telah diselamatkan oleh kematiannya dalam perkhidmatan. Usaha mengkritik Tun Razak dihentikan. Tetapi Tunku tidak menghentikan kritiknya kepada pengganti Tun Razak.

Pada saya Tunku berbuat demikian ialah disebabkan dia seorang negawaran yang sebenar-benarnya berpolitik dan ada fikiran serta pendirian. Dia tidak dapat diamkan apa yang dirasanya perlu dinyatakan.

Maka tidak pelik bagi Dr. Mahathir melakukan yang sama terhadap Perdana Menteri dan pemimpin Umno yang menggantinya. Jika Tunku bertindak begitu, maka suatu yang normal pula bagi Dr. Mahathir bersikap seperti yang tunjukkan Tunku.

Kita tidak tahu apakah Tun Razak juga begitu kiranya usianya panjang. Ada pun Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi dirasakan tidak mengikut jalan Tunku dan Dr. Mahathir. Kelas politik Tun Hussein dan Tun Abdullah dirasakan tidak sampai pada kelas Tunku dan Dr. Mahathir.

Dalam alam politik berdiam itu dikira politik bisu. Tunku dan Dr. Mahathir bukan dari jenis yang bisu.

No comments: