Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.
MARI KITA SEMBANG BERSAMA…
Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk’ Mahfuz Omar (MO)
Selamat membaca!
Soalan 1:
Apa perkara terbesar dalam kempen PAS in Galas yang tidak boleh diulangi di PRU-13?
TITM: Seawalnya, ana ucapan terima kasih kepada seluruh jentera dan petugas parti yang bertungkus lumus untuk menjayakan missi di Galas.\
Dan ketewasan yang kita alami bukanlah bermakna segala usaha dan keringat yang kita tabur hancur berkecai bersama keputusan yang diumumkan. Di sebalik kegagalan kita bersyukur ada beberapa saudara baru yang menganut Islam, mengingatkan kita pada sirah Rasulullah di Taif.
Apapun, bedah siasat akan dilakukan bagi menyusun strategi, bukan sekadar mencari kesilapan, kamudian menyimpan di dalam fail tanpa mengambil manfaat daripada postmortem tersebut. Itulah kebiasaan yang berlaku.
Saya lihat PAS perlu keluar dari strategi lama yang tertumpu kepada ceramah umum yang dihadiri oleh penyokong sendiri bahkan sebahagian besarnya bukan pengundi.
Gerakan mendekati pengundi rumah ke rumah perlu dibanyakkan kerana ia lebih tertumpu bahkan sebagai tugasan tetap muslimat dan nisa'.
Manakala golongan ulamak jangan pula tertumpu di masjid dan surau untuk memberikan tazkirah kepada ahli PAS, sedangkan pengundi sasaran belum berjaya dipecahkan.
Pendekatan tidak menyerang peribadi merupakan kaedah Islamik yang perlu dikekalkan; kerana pertembungan PAS dan UMNO adalah pertembungan dasar.
Namun, terdapat keganjilan berhubung dengan jumlah undi yg diperolehi BN; dengan peningkatan lebih 1,500 undi, sedangkan undi PAS berbanding PRU 12 hanya merosot lebih kurang 250 undi.
Misteri 4 peti undi asli yang tidak dijumlah di tempat mengundi serta daftar pemilih baru perlu diberi perhatian. Kita bukan gagal mendapat simpati rakyat; tetapi kita gagal mengubah strategi baru dalam pendekatan pilihanraya yang serba baru.
SA: Saya rasa ada satu perkara yang kita agak terlepas pandang... perkara-perkara yang bersifat strategi - kita tidak perlu dedahkan kepada umum. Saya rasa semua kepimpinan PAS faham tentang perkara ini dan ia sememangnya tidak boleh diulangi pada masa-masa yang akan datang.
MO: Satu perkara yang harus diberikan perhatian ialah kita tidak boleh membuat sesuatu pengistiharan umpamanya seperti yang mengatakan bahawa pengundi-pengundi luar ini akan diberikan wang duit tambang kerana perkara itu tidak seharusnya dibuat kenyataan yang terbuka.
Kita pun tahu UMNO sendiri pun melakukan perkara yang sedemikian, akan tetapi mereka tidak mengumumkan secara terbuka kepada public kerana ia akan memberikan kesan dan dimanipulasikan sebagai satu bentuk rasuah, sedangkan itu caranya bagi PAS membantu SPR meningkatkan peratusan mengundi.
Cadangan saya di sini ialah SPR seharusnya mengenal pasti selepas ini iaitu membuka peluang kepada pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan pilihanraya, mereka boleh membuang undi di mana-mana tempat mereka tinggal sekarang.
Umpamanya mereka pengundi di Galas, tetapi mereka tinggal di Kuala Lumpur, mereka harus diberikan peluang untuk mendaftar untuk membuang undi di Kuala Lumpur bagi DUN Galas dan juga Parlimen Gua Musang.
Ini satu cara yang baik untuk memastikan setiap orang yang ada dalam senarai daftar, dia akan membuang undi barulah peratus mengundi akan tinggi.
Yang keduanya, SPR sendiri yang harus menyediakan wang tambang untuk pengundi-pengundi luar untuk balik mengundi. Jadi di sini dapat menyelesaikan masalah yang sepatutnya dibangkitkan di Galas.
Soalan 2:
Menjadi pimpinan ini memang sibuk dengan pelbagai program parti dan memenuhi undangan masyarakat. Bagaimana NP mengurus kesibukan dan melayani keperluan keluarga? Bagaimana pula NP mengurus kesihatan, kerana ramai pimpinan PAS berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan?
TITM: Masa memang sibuk sentiasa, tapi saya teringat kata guru saya " sesiapa yang kata dia tak ada masa, sebenarnya ia tidak pendai mengurus masa, takkanlah kita lebih sibuk dari Nabi Sulaiman".
Dalam soal keluarga, yang penting ialah memahami kesibukan suami dan anak-anak yang perlu diberi kefahaman. Tapi biasanya saya akan gunakan masa terluang untuk keluarga, makan di luar dengan anak-anak, dan berkelah di pantai dan sungai serta membawa mereka melancong kalau ada kesempatan masa.
Soal kesihatan memang sepatutnya diutamakan, tapi dalam program parti, biasanya makan tak menentu masa; akan tetapi yang sangat kurang ialah riadah.
Jangan menyalahkan apa yang anda makan, tapi salahkan anda tiada riadah. Jadi kalau kita lihat cadangan al-syahid Hassan alBanna, pemeriksaan kesihatan perlu dibuat 6 bulan sekali, tetapi sayangnya amanatnya hanya tinggal dalam buku panduan usrah sahaja.
SA: Kita mesti mempunyai perancangan dan time management yang efektif yang boleh kita cuba sedaya mungkin untuk mengurus masa kita.
Sebenarnya kita masih mempunyai ruang untuk meluangkan masa untuk keluarga kita. Sesibuk kita pun kena ada untuk masa untuk bersama keluarga.
Dari segi kesihatan, saya memang mengambil initiatif untuk memeriksa kesihatan saya pada perkara asas seperti kandungan gula dan tekanan darah... paling tidakpun dua kali sebulan untuk saya memeriksa kesihatan saya secara rutin. Memang saya disiplinkan diri ke arah itu, dan alhamdulilah setakat ini saya berjaya mengawal semuanya itu.
MO: Pertama sekali, saya lebih banyak masa di luar daripada berada bersama keluarga. Masa saya lebih banyak dengan parti, masyarakat dengan rakyat berbanding dengan masa dengan keluarga.
Yang paling utama, keluarga perlu diberikan kefahaman bahawa saya bukan hanya milik mereka, tetapi saya ialah milik orang ramai. Jadi apabila mereka dapat memahami, mereka tidak banyak timbulkan masalah pada saya. Akan tetapi, saya juga kena faham, mereka juga ada hak ke atas saya. Jadi saya kena sediakan waktu-waktu tertentu bersama mereka untuk berehat, berjalan ke mana-mana dan ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak tekanan akibat berjauhan dengan saya.
Dari segi kesihatan pula, saya akui saya antara orang yang tidak begitu sangat memberikan perhatian kepada soal kesihatan. Akan tetapi, akhir-akhir ini apabila badan terasa kurang sihat, saya barulah mula memberikan sedikit perhatian kepada persoalan kesihatan dengan penjagaan tradisional dan juga secara moden.
Soalan 3:
Apakah bentuk langkah-langkah proaktif yang bakal diambil oleh PAS bersama Pakatan Rakyat dalam mencegah kemungkaran dalam pengisian program media arus perdana, khususnya di televsyen masakini yang ternyata banyak melalaikan dan melemahkan ummah, apabila diberi mandat, InsyaAllah, selepas PRU 13 kelak ?
TITM: Kita perlu membina rakyat yang bermoral, semua kepimpinan Pakatan Rakyat mesti menentukan beberapa asas utama dalam meletakkan apakah nilai moral yang perlu kita sepakati.
Kita menyedari kegawatan gejala sosial yang sedang kita hadapi dan betapa seriusnya keadaan keselamatan dan sosial kita.
Negara bukan sekadar memerlukan perubahan politik tetapi turut memerlukan perubahan moral rakyat. Media perlu disusun ke arah proses pembinaan ini kerana besar pengaruhnya kepada rakyat.
Kita perlu melahirkan model kepimpinan yang menjadi idola remaja yang bermoral dan di waktu yang sama, program yang tidak sesuai dengan budaya timur dan tidak membina jati diri rakyat perlu disemak semula.
Untuk ke arah itu, satu blueprint media perdana perlu disiapkan, untuk diketengahkan kepada rakyat menjelang PRU ke 13.
SA: Saya rasa kita memerlukan satu reform terhadap akta yang melibatkan media dan komunikasi ini. Untuk saya, apa yang penting adalah sikap bertanggungjawab – kita akan memimpin minda rakyat supaya apa jua maklumat yang disampaikan mestilah penuh dengan tanggungjawab.
Kita juga harus perkuasakan undang-undang itu dalam konteks dan kerangka kebebasan untuk bersuara tetapi mestilah dalam etika yang bertanggungjawab.
MO: Pertama sekali, PAS akan adakan satu guideline untuk media arus perdana untuk menjadikannya satu medan untuk memberikan pendidikan kepada rakyat, dan bukan lagi tertumpu menjadi media komersial yang mementingkan keuntungan sahaja.
Apabila media lebih bermatlamatkan komersial, di sinilah berlakunya media arus perdana ini sudah lari daripada arus sebenarnya iaitu memberikan pendidikan yang baik untuk pembentukan sifat-sifat kemanusiaan dan sebagainya kepada rakyat di negara kita.
Selain guideline, media arus perdana juga memerlukan satu penguatkuasaan terhadapnya. Hari ini, kita nampak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri yang menjaga media arus perdana ini tidak banyak menguatkuasakan garis-garis panduan untuk media arus perdana dan juga media lain di mana kita saksikan lambakan pelbagai jenis majalah-majalah yang sudah tidak terkawal sehingga terdorong kepada pembinaan akhlak-akhlak yang kurang sihat.
Pada saya, kerajaan tidak boleh menjadikan media arus perdana sebagai alat untuk membawa pulangan lumayan kepada negara, sebaliknya menjadikan media arus perdana ini bebas daripada dosa-dosa.
Monday, November 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment