Friday, June 4, 2010

Roslan Harun: Mentaliti hari, malam Jumaat

SEBAGAI bekas kakitangan dan pembaca tetap sebuah akhbar harian arus perdana, saya kurang senang dengan tindakan lembaga pengarangnya menyiarkan gambar perempuan seksi pada setiap kali keluaran akhbar itu.

Gambar berkenaan diletakkan pada sisi kiri muka depan, agak saya bagi menarik pembaca membeli akhbar terbabit. Ada kalanya wanita penghias muka depan itu bagaikan tidak cukup kain, maka tersembullah aset yang sepatutnya disembunyikan. Langkah menyiarkan gambar wanita seksi ini bertujuan menaikan jualan akhbar, sekali gus meningkatkan keuntungan, itulah strategi orang yang otaknya fikir fasal bisnes saja.

Disebabkan adanya gambar itu, saya memboikot daripada membeli akhbar berkenaan, yalah bukankah ada hadis yang antara lain bermaksud, seseorang itu perlu menyatakan bantahan (mengubah) perkara maksiat dengan tangan (kuasa), jika tidak dengan lisan (mulut, menulis) dan yang paling rendah menyatakan bantahan dalam hati dan juga larangan bersubahat dalam perkara maksiat.

Namun ada harinya saya terpaksa juga membeli akhbar berkenaan kerana tiada pilihan disebabkan akhbar lain sudah habis. Akhbar-akhbar lain pun dua kali lima, sarat dengan gambar keterlaluan, yang berbahasa Melayu tetap degil menyiarkan keputusan empat nombor ekor manakala sesetengah akhbar berbahasa Inggeris ghairah menyiarkan iklan minuman keras.

Suatu petang Jumaat saya nekad menelefon ketua pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan bantahan. Bukan senang hendak bercakap dengan pengarang berpangkat Datuk ini, selepas mencuba hampir 10 kali, barulah dapat bercakap dengannya. Saya nyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan gambar perempuan seksi yang menjadi penghias muka depan hampir setiap hari.

Saya nyatakan juga alangkah janggal menyiarkan gambar seksi itu pada hari Jumaat, ramailah pembaca menatap gambar wanita itu pada pagi hari kemudian pergi sembahyang Jumaat, begitu bertentangan sekali amalan kita, kejap tengok aurat wanita, kemudian sujud pada Illahi, inilah fikiran sekular, berperangai alim-alim kucing ketika berada dalam masjid tetapi di luar…macam serigala lapar.

Saya nyatakan pada pengarang itu, saya malu untuk mengepit akhbar menyiarkan gambar tak senonoh itu. Demikian juga agak saya dengan ustaz, ustazah, pak haji, tok iman dan mufti, tentulah mereka malu untuk membawa akhbar itu ke sana sini, apatah lagi pada hari Jumaat.

Nampaknya pengarang itu bersetuju dan berjanji akan membuat perubahan. Namun pada hari keesokannya (hari Sabtu), ketika ke gerai akhbar, saya perhatian akhbar itu tetap menyiarkan gambar wanita seksi pada muka depan. Saya pun teruskan boikot saya, tidak beli akhbar itu.

Selepas teguran saya itu, penampilan wanita seksi pada muka depan tetap berlaku kecuali pada hari Jumaat. Pada hari Jumaat disiarkan gambar wanita berpakaian sopan malah kadang-kadang bertudung. Antara gambar dipaparkan adalah artis wanita yang hadir di mahkamah syariah. Tentunya mereka berpakaian sopan termasuk mengenakan tudung.

Demikianlah, betapa sebahagian anggota masyarakat kita bermentalitikan untuk membuat baik dan melakukan kebajikan pada malam dan hari Jumaat sedangkan pada hari lain mereka tidak kisah.

Pengarang akhbar pun berfikiran begitu. Pada setiap hari (keluaran) mereka menyiarkan gambar perempuan seksi tetapi pada keluaran hari Jumaat mereka bertukar sikap, menjadi begitu alim; menyiarkan artikel agama yang menyuruh orang membuat kebaikan dan pada ruangan yang biasanya disiarkan gambar wanita mendedahkan aurat keterlaluan digantikan halaman kegiatan harian seperti pertanian. Jika hari-hari sebelumnya kerap disiarkan gambar buah terlarang tetapi pada hari Jumaat disiarkan buah-buah tempatan seperti betik, mangga dan kelapa mawar.

Jika pengarang akhbar bermentaliti begitu, apa kurang dengan anggota masyarakat. Hari dan malam Jumaat, ramai menjadi alim. Di surau dan masjid, pada malam Jumaat, jemaah sibuk membaca Surah Yassin bersekali dengan tahlil. Ramai baca al-Quran (Surah Yassin) pada malam Jumaat saja, pada malam dan siang hari lain mereka tidak peduli. Baca al-Quran pada malam Jumaat, bagus tetapi alangkah elok mereka membaca dan mentelaahnya sepanjang waktu tanpa menunggu malam Jumaat

Bagi sesetengah wanita, mereka mengenakan baju kurung labuh malah ada yang memadankannya dengan tudung atau selendang pada hari Jumaat. Pada hari lain, mereka tidak peduli, mereka berpakaian seksi, tetapi pada hari Jumaat mahu kelihatan alim. Kononnya mereka menghormati hari Jumaat yang mulia. Apa yang bagusnya, ramai juga gadis Cina dan India (bukan Islam) turut berpakaian baju kurung pada hari Jumaat. Malah budak-budak sekolah bukan Islam pun ramai yang pakai baju kurung pada hari Jumaat.

Bagi budak-budak pula, mereka sering diugut oleh ibu bapa supaya jangan buat nakal pada malam Jumaat. Mereka akan berkata: “Hah kau ingat ini malam apa? Ini malam Jumaat, hormatilah sikit hari Jumaat.” Apakah ini bermakna pada malam dan hari lain, boleh buat nakal? Hantu termasuk pontianak pula dikatakan suka keluar pada malam Jumaat!

Di kalangan sesetengah orang Melayu, malam hari Khamis malam Jumaat dianggap waktu paling istimewa bagi pasangan suami isteri. Jadi berlakulah sindir menyindir kepada pasangan suami atau isteri. Kononnya itulah malam paling sesuai buat ibadah membabitkan suami isteri itu. Persoalannya, mengapa mesti malam Jumaat, malam lain tidak bolehkah? Apakah ia bermakna malam Jumaat wajib, malam lain sunat?

Mentaliti malam Jumaat ini, menyebabkan sesetengah orang kreatif, mengambil kesempatan dan peluang. Misalnya sebuah syarikat memperkenalkan minyak wang dan semburan diberi jenama MJ (Malam Jumaat). Ini adalah orang bijak, mengeksploitasi kepercayaan tidak berasas masyarakat bagi menjana pendapatan lumayan.

Seorang penulis blog (roseharissa.blogspot.com) bertanya: “Tak tahulah kenapa lelaki-lelaki Melayu suka sangat mengaitkan malam Jumaat dengan seks. Habis tu, hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu, Ahad, tak bolehkah? Jadi tak keterlaluan dikatakan bahawa ia hanya mitos mengenai 'ibadah sunat' dan tak ada masuk dalam bab sunnah pun. Cuma mentaliti orang Melayu sudah diterapkan zaman berzaman mengaitkan malam Jumaat sebagai malam bulan madu. Seks malam Jumaat tu cuma mitos orang Melayu!”

Beliau mendakwa disebabkan ‘menunggu malam Jumaat’ ada hubungan suami isteri semakin lama semakin hambar, sebab terlalu lama menunggu, maklumkan seminggu sekali. “Sepatutnya setiap hari adalah sama dan istimewa untuk suami isteri...tak payah tunggu hari Khamis malam Jumaat!” tulisnya.

Rujukan:

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26963:-mentaliti-hari-malam-jumaat&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Abdul Shukur Harun :Satu lagi misi bantuan mencabar Israel

Ketika Israel masih lagi berdepan dengan kecaman masyarakat antarabangsa kerana serangan ganas tenteranya terhadap konvoi kapal Freedom Flotilla yang hendak membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, kini Israel berdepan dengan satu lagi kapal – Rachel Corre - yang akan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini sedang menghampiri pantai Gaza.

Kapal yang mengibarkan bendera Ireland, adalah sebuah kapal dagang yang dibeli oleh para aktivis pro-Palestin dan dinamai menurut nama seorang sukarelawan Amerikayang terbunuh dirempuh oleh bulldozer Israel di Jalur Gaza pada 2003. Kapal itu berangkat dari Malta baru-baru ini, sebuah negara kepulauan di Eropah Selatan.

Perdana Menteri Ireland, Brian Cowen, mendesak Israel untuk membenarkan kapalnya menyampaikan bantuan ke Gaza. Kapal tersebut membawa 15 aktivis termasuk seorang pemenang Nobel Perdamaian dari Ireland Utara, Mairead Corrigan Maguire dan Denis Halliday, seorang mantan diplomat veteran Ireland ke PBB, dan beberapa warga negara Ireland lainnya. Turut serta empat orang sukarelawan Malaysia.

"Pemerintah Ireland secara rasmi meminta kerajaan Israel untuk membenarkan kapal milik Ireland masuk ke Gaza membawa bantuan kemanusiaan," kata Cowen Parlemen di Dublin. Sementara itu, Israel berkeras bahwa kapal manapun datang ke Jalur Gaza akan dilarang.
Namun para aktivis tidak merasa gentar gentar. "Misi kami adalah untuk mematahkan sekatan Israel terhadap 1.5 juta penduduk Gaza dan ini tidak akan menjadi armada terakhir," kata jurucakap Free Gaza Movement Greta Berlin, di Cyprus.

Radio Angkatan Darat Israel melaporkan bahwa kapal itu akan tiba di perairan Gaza pada Jumaat, tapi Berlin menyatakan paling cepat mereka akan sampai pada awal minggu depan. Sekali lagi Israel akan berkonfrantasi dengan masyarakat antara bangsa dan ini menunjukkan ia semakin terpencil dan dibenci oleh dunia, kecuali Amerika.

Liga Arab pula mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Israel kerana melanggar hak asasi manusia kerana mengadakan sekatan terhadap Gaza dan menyerang kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. Langkah ini dilihat lebih kejam, disusul dengan demonstrasi seluruh dunia yang mengutuk rejim Israel.

Sementara itu, banyak yang dapat dipelajari dari peristiwa serangan ganas tentera rejim Israel terhadap kapal misi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Rupanya ada hikmah peristiwa ini. Hendaknya mayarakat, khususnya umat Islam, wajar berfikir secara mendalam akan peristiwa ini. Natijah peristiwa ini ialah:

Pertama. Isu Gaza tidak lagi hanya menjadi isu umat Islam, tetapi kini telah menjadi isu kemanusiaan yang menjadi fokus masyarakat antarabangsa, khususnya negara Eropah. Perkembangan ini sangat menarik, menyebabkan Amerika kebingungan bagaimana hendak menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku selama ini dan tidak pernah diduganya.

Kedua. Selama ini penentangan terhadap pencerobohan Israel di Palestin, khususnya kepungan terhadap Gaza banyak disuarakan oleh umat Islam, justeru majoritinya adalah umat Islam. Tetapi kini senarionya berubah sama sekali dengan kebangkitan masyarakat antarabangsa menentang Israel kerana kekejaman Yahudi itu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat betamadun.

Ketiga. Kemunculan negara Turki yang mengambil inisiatif – bersama NGO hak asasi manusa di Eropah – untuk menyediakan kapal dan mengumpul bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini menyebabkan kerajaan Turki dan rakyatnya muncul menjadi pembela nasib rakyat Gaza, di mana pemerintah Turki pimpinan Presiden Abdullah Gull dan Perdana Menteri, Recip Toyyeb Erdogan sebagai pembela rakyat Gaza.

Keempat. Keberanian Turki memberi amaran dan mencabar Israel kerana keangkuhan dan sikap tidak berperikemanusiaannya.

Kelima. Sikap positif pemerintah negara Eropah dan rakyatnya terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, akibat dikepung oleh Israel.

Keenam.Sikap tidak berperikemanusiaan pemerintah Mesir yang terus menutup sempadan ke Gaza melalui Rafah menyebabkan semua bantuan kemanusiaan melalui jalan darat ke Gaza terhalang. Hanya di saat akhir negara itu membuka sedikit sempadan dengan pemeriksaan sangat ketat dan hanya mereka yang mempunyai urusan amat penting baru mendapat surat izin dari kerajaan Mesir untuk rakyat Gaza menyeberang ke Mesir dan sebaliknya. Mesir hanya membuka sempadannya setelah masyarakat antara bangsa mengutuk Israel kerana tindakannya menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketujuh. Menyerlahkan sikap Israel yang terus berdegil untuk meneruskan sekatan ke Gaza dan enggan menerima keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya diadakan Suruhanjaya Penyiasat Antarabanga mengenai isu serangan terhadap misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Israel juga masih mendakwa serangan itu dimulakan oleh sukarelawan kemanusiaan di kapal tersebut yang kononnya membawa pelagai senjata, dakwaan ini dinafikan oleh pelbagai pihak.

Inilah perkembangan baru yang sangat menarik, membuka mata masyarakat antarabangsa mengenai kezaliman Israel. Selepas ini, jika masih ada lagi negara umat Islam, khususnya pemerintah negara Arab, yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel mestilah dihentikan. Sungguh malang, setelah masyarakat antarabangsa, khususnya masyarakat Eropah menentang kekejaman Israel, mengapa masih ada lagi negara Arab yang mengadakan hubungan dengan negara haram Yahudi itu.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26966:satu-lagi-misi-bantuan-mencabar-israel-&catid=94:global2&Itemid=135

Gagasan rakyat Malaysia menentang Israel

ChargĂ© d’Affaires
Kedutaan Amerika, Malaysia
Mr. Robert G. Rapson

MEMORANDUM KEPADA AMERIKA SYARIKAT MENGENAI GAGASAN RAKYAT MALAYSIA MENENTANG ISRAEL

MAKA persaksikanlah pada hari ini, dengan perhimpunan raksasa rakyat Malaysia di hadapan pagar kedutaan kamu yang berkunci, bahawa inilah harinya kami mengisytiharkan yang kami tidak akan lagi bertolak ansur dengan kerajaan kamu yang mendokong, melindungi dan memanjakan negara jahanam Israel.

Kami amat terkejut dengan sikap pipi tak mancung hidung tersorong-sorong kerajaan kamu hingga ke tahap memalukan Presiden kamu sendiri dalam “lintas langsung” siaran televisyen berbayar bila mana binatang bernama Netanyahu memarahi, membuat muka serta memalingkan diri bila mana Tuan Obama mengesyorkan perbincangan mengenai mandian berdarah oleh Israel di atas kapal “MV Mavi Marmara” di Lautan Mediterranean. Rakyat kamu memilih Obama untuk memimpin Amerika dan sekarang Israel telah memalukan kamu bagaikan anjing yang terselit ekor di kedua-dua celah kakinya.

Apa yang bermain di kepala mu, Amerika? Yakni kamu – kononnya suatu kuasa besar – jadi pengecut dengan bayi kamu bernama Israel, yang kini mengigit tangan kamu dan menunjukkan taringnya?

Kami, rakyat Malaysia demokratik yang sering berdiri menegakkan idealisme sebuah masyarakat yang bebas, tidak dapat menahan diri melainkan ketawa kerana kebodohan dan ketidaktentuan Amerika. Kamu tidak lagi menjadi model dunia merdeka sepertimana yang kamu mahu kami percayai.

Respons kamu yang seolah-olah dibius mengenai pembunuhan membuta-tuli orang awam – 19 orang di mana Israel cuba kurangkan dengan 10 kematian setelah membuang tubuh-tubuh sebahagiannya masih bernyawa ke dalam Lautan Mediterranean – daripada atas kapal “MV Mavi Marmara” pada 31 Mei telah menandakan bahawa hari pembalasan telah tiba untuk Amerika dan masyarakatnya yang terkeliru, sebagai sebuah negara yang besar dan pernah disegani kini jatuh melutut kerana kesilapan dirinya sendiri – yakni penciptaan raksasa gila dan rakus bernama Israel.

Kami, warga Malaysia pelbagai agama dan bangsa hari ini berdiri dalam solidariti bagi mendeklarasikan di depan kamu bahawa kami sekali-kali TIDAK PERNAH dan TIDAK AKAN membiarkan tragedi malang di lautan lepas oleh lanun oleh Israel itu berlalu saja tanpa balasan. Ingat kata-kata ini!

Kami akan pertanggungjawabkan kamu kerana Amerika adalah penyokong dan tukang dana No. 1 untuk Israel. Kamu memalukan diri sendiri dengan bersekongkol dengan negara berisi pengganas ini dan kami tahu kamu akan kecundang akibatnya. Masyarakat sampahan bernama Israel ini membawa malu kepada ketamadunan abad ini dan tindakan sembrononya terhadap 600 penumpang kapal relawan kemanusiaan daripada lebih 50 buah negara pada Mei 31, 2010; menembak sesuka hati dengan peluru hidup, menembak dari jauh, menembak jarak dekat, menggunakan kekerasan dengan menendang, memukul dan memijak mereka, sebenarnya itulah apa yang tentera KAMU mengajar untuk diperlakukan ke atas rakyat Palestin, Iraq, Pakistan, Filipina, Thailand dan Afghanistan.

Sekarang kamu tidak teragak-agak melakukan perkara yang sama ke atas misi kemanusiaan daripada 50 buah negara, ramai di antara mereka adalah sekutu kepada kulit putih Amerika sendiri , kerana kebelakangan ini kamu sudah buta warna dek penangan Israel. Dan ini adalah kesilapan terbesar kamu!

Kini mereka ini memusuhi kamu.

Pegang janji kami – bahawa kami rakyat Malaysia akan tetap bertahan dan terus lawan dan lawan beriringan dengan semua masyarakat bertamadun sedunia sehinggalah rakyat Palestin memperolehi kembali tanahair mereka dan Israel dimusnahkan. Pada ketika itu Amerika akan kepupusan kehormatan, maruah dan sumber yang mengakibatkan kamu menyertai Israel yang ganas itu serta pendokongnya yang juga semakin pupus. Dunia kini tersedar besarnya kesilapan Amerika dengan mendokong biawak hidup Israel sepanjang beberapa dekad, dan kini dunia sedang menentang kamu, Amerika.

Kami, selaku gagasan masyarakat bertamadun mewakili suara hati rakyat Malaysia pada hari ini:

Menyangkal keujudan negara teroris bernama Israel

Membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam semua bentuk

Membantah serangan ganas ketenteraan ke atas orang awam di atas kapal “MV Mavi Marmara”

Menuntut diadakan penyiasatan menyeluruh dan timbang tara terhadap kematian dan penghospitalan mangsa relawan kemanusiaan

Memastikan setiap penumpang kapal dapat dikenalpasti status mereka kini

Memulangkan mereka sama ada hidup ataupun mati kepada waris masing-masing

Siasat penculikan oleh Israel terhadap penumpang-penumpang tertentu dari atas kapal dengan tujuan interogasi dan penyiksaan

Mempertanggungjawabkan sepenuhnya kerajaan Israeli ke atas kehilangan nyawa, kargo yang dirampas, barang pemilikan peribadi para relawan, serta imbuhan kewangan kepada semua relawan dan mereka yang terbunuh oleh tentera Israel

Tegaskan pemulangan semula dengan kadar segera semua kapal dan bantuan yang disasarkan ke Gaza

Meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menjalankan siasatan teliti bagaimana Israel dibenarkan melanggar undang-undang sedangkan flotilla berkenaan menepati kesemua perundangan maritim dan memenuhi sepenuhnya Resolusi 1860 PBB (2009), yang termasuk:

a) merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk membekalkan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuklah makanan, bahan bakar dan bantuan perubatan
b) mempermudahkan proses dan penghantaran bantuan
c) seruan agar mendapatkan sokongan untuk melenyapkan kesengsaraan kemanusiaan dan kelemahan ekonomi di Gaza

Kami mahu agar pengisytiharan ini disampaikan secara peribadi ke meja Tuan Barrack Obama agar dia tahu bahawa orang Palestin sudah memenangi kawan-kawan baru dari SELURUH PELUSUK DUNIA sejak peristiwa “MV Mavi Marmara”. Beritahu Presiden kamu bahawa kami warga Malaysia beserta negara-negara bermaruah seluruh dunia akan terus menganjurkan dan mendana flotila-flotila berikutnya biar apa pun yang akan terjadi.

Ini kerana kami tidak sembunyikan ekor di celah kelangkang kami seperti kamu bila berdepan dengan Israel.

Zulkifli Mohd Nani,
Pengerusi,
Crisis Management Team
for Life Line For Gaza, Malaysia.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26960:gagasan-rakyat-malaysia-menentang-israel&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Thursday, June 3, 2010

Gaza: Kenyataan rasmi MB Kelantan

Bismillahir Rahmanir Rahim

Saya mewakili Kerajaan Kelantan dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Yahudi Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sehingga mengorbankan dua puluh (20) nyawa.

Konvoi ini dilaporkan membawa kira-kira sepuluh ribu (10,000) tan barangan bantuan, seramai lebih lima ratus empat puluh (540) orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk Ahli Parlimen, ahli akademik, ahli NGO petugas media, ulama’, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada lapan puluh tahun. Termasuk dalam rombongan tersebut juga ialah dua belas (12) orang rakyat Malaysia yang turut menjadi tawanan Yahudi Israel.

Sesungguhnya konvoi itu adalah bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan ketenteraan, ia adalah misi kemanusiaan.

Paling penting ialah saya menyeru para ulama’ seluruh dunia dapat bangkit, tunaikan Solat Hajat dan mohon pertolongan Allah S.W.T. demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.

Saya juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu. Saya juga menyeru agar Pertubuhan OIC dan negara-negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin.

Hakikatnya tingkah laku biadab Israel ini berpunca dari kefahaman bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih dan mulia berbanding bangsa-bangsa yang lain. Bagi mereka, hanya mereka yang berhak hidup di bumi ini dan bangsa-bangsa lain hanyalah bertaraf hamba kepada mereka. Ekoran kefahaman sesat seperti inilah, mereka langsung tidak berasa bersalah melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Inilah bahayanya fahaman ‘asobiyyah melampau yang dianuti oleh Yahudi. Selagi fahaman kebangsaan melampau seperti ini menjadi anutan mana-mana pihak, keamanan tidak akan dapat dikecapi di bumi ini.

Oleh kerana itu, saya selaku Menteri Besar Kelantan akan menganjurkan satu Kuliah Pagi Jumaat, pada 21 Jamadil Akhir 1431 (lusa) khusus berhubung dengan isu tindakan tidak bertamadun rejim Israel itu. Disebabkan Kuliah Jumaat ini penting, maka kita akan adakan di pekarangan Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Pihak Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Solat Hajat berserta bacaan Qunut Nazilah ditempat yang sama. Maka saya harapkan kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk perbuatan zalim Yahudi Israel itu dan dapat sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi – Israel.

Saya juga akan mohon kerjasama pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) agar mengarahkan semua masjid di Kelantan menunaikan Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta dapat menyediakan satu Khutbah Khusus mengutuk Israel/Yahudi untuk para khatib persembahkan kepada semua ahli jemaah Sembahyang Jumaat yang terdekat ini (lusa).


Terima kasih.

YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar,
Kota Darulnaim.
19 Jamadilakhir 1431
2 Jun 2010.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26920:gaza-kenyataan-rasmi-mb-kelantan-&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Dr Azman Ibrahim : Campur tangan poltik jejas fungsi Hospital Setiu

Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said selepas mesyuarat Exco baru-baru ini di mana beliau sekali lagi menyuarakan kekecewaannya kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan serta kontraktor atas kegagalan Dewan Bedah Hospital Setiu berfungsi setelah tujuh tahun siap dibina.

Setelah kenyataan pertama berhubung isu ini dikeluarkan oleh Menteri Besar Januari lalu, disusuli kenyataan kedua minggu lepas, saya melihat ada kecenderungan untuk saling tuduh menuduh apabila sesuatu projek yang dibina bermasalah atau mengalami kegagalan.

Sikap menyalahkan pimpinan kerajaan negeri terdahulu (sedangkan MB sekarang adalah sebahagian pimpinan kerajaan negeri terdahulu) dan kementerian serta agensi kerajaan pusat termasuk pihak kontraktor tanpa ada sebarang langkah konkrit ke arah penyelesaian tidak akan mendapat memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Malah rakyat akan menjadi pelanduk yang tersepit di antara gajah-gajah yang telah ‘sendawa’ kekenyangan mengaut keuntungan walaupun hakikatnya projek tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.

Kalau pada kenyataan Menteri Besar Januari lalu, soal serangan hama dan kebocoran bumbung dikatakan menjadi sebab kegagalan dewan bedah berfungsi, kini setelah hampir enam bulan berlalu, masalah kebocoran bumbung yang sama masih ditimbulkan serta belum berjaya diperbaiki.

Pihak pentadbiran Hospital Setiu yang dihubungi pula kelihatan cuba untuk menyembunyikan hakikat keadaan sebenar yang berlaku dari pengetahuan rakyat. Jawapan yang diberikan tidak meyakinkan malah Menteri Besar pula yang disalahkan kerana didakwa terlalu ‘boros’ mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan fakta sebenar.

Malah didakwa oleh sumber dalaman pentadbiran Hospital Setiu, Menteri Besar dikatakan cuba membina imej diri dengan cara suka mengkritik kegagalan orang lain sedangkan beliau sendiri bersikap lepas tangan. Tetapi apabila saya tekankan, apakah kenyataan Menteri Besar itu satu kesilapan dan Dewan Bedah Hospital Setiu sebenarnya berfungsi sebagaimana sepatutnya. Jawapannya, tidak! Sekadar boleh digunakan untuk pembedahan kecil (minor surgery) sahaja.

Kenapa setelah tujuh tahun siap, ianya masih tidak boleh digunakan sepenuhnya?

Akhirnya sumber dalaman pentadbiran hospital mengakui, ia akibat dari terlalu banyak campur tangan politik yang sukar dijelaskan. Kenapa dalam soal projek yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat, masih terdapat campur tangan politik yang memeningkan? Jangan salahkan rakyat kalau mereka sekadar bertanya, apakah projek Hospital Setiu ini juga dibina oleh kontraktor OKU (Orang Kuat Umno).

PAS Setiu tidak berminat untuk terlibat dengan semua polemik ini malah PAS Setiu yakin tidak ada rakyat yang mahu membuang masa melayan semua kerenah ini. Kita ingin melihat Hospital Setiu yang dibina pada tahun 2000 dan dibuka pada 2003 dengan kos RM65.7 juta benar-benar boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

Semua agensi yang terlibat sama ada Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak kontraktor perlu sekali lagi duduk semeja, berbincang dan mengambil langkah penyelesaian konkrit setelah saya difahamkan mesyuarat bersama pada 13 April lalu, wakil kerajaan negeri dan pihak kontraktor tidak dijemput.

Semua pihak tidak terkecuali baik Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya serta kontraktor, wajib segera mengambil tindakan yang cepat dan tepat tanpa perlu saling menuding jari ke arah satu sama lain. Hakikat yang perlu diakui, memang terdapat masalah pada struktur binaan dan kelengkapan Dewan Bedah Hospital Setiu sehingga ia gagal berfungsi sebagaimana dirancang.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26884:campur-tangan-poltik-jejas-fungsi-hospital-setiu&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

Mana tak bankrap 9 tahun lagi, bila...

Terkejut besar dengan kenyataan dari menteri yang satu masa dulu jaga kapalterbang bila katanya Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Satu kenyataan yang saya sifatkan tidak lebih dari menghalalkan tindakan BN yang akan menyusahkan rakyat. Namun tahukah Idris bahawa apa yang disubsidikan oleh kerajaan sebenarnya datang dari rakyat juga, jadi apalah salahnya subsidi? Yang jelas bagi saya negara akan bengkrap bukan kerana subsidi tetapi kerana rasuah berterusan oleh pemimpin BN sehingga wang rakyat sebenarnya banyak yang masuk poket orang politik malah lebih banyak dari subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Bayangkan bagaimana Malaysia boleh jadi bengkrap dengan pengurusan wang dan khazanah negara seperti dibawah bila

1- Negara kehilangan hasil Minyak RM320 billion dengan penyerahan Blok L dan M kepada Brunai.
2- Sime darby rugi lebih RM1 billion
3- Komisen kapalselam kepada individu lebih RM500 juta...
4- PKFZ rugi beratus billion..
5- Pos Malaysia pun rugi lebih RM200 juta...
6- Kerajaan berbelanja RM6.89 juta setahun membayar kepada Putrajaya Holdings bagi menyewa Seri Perdana dan Seri Satria iaitu kediaman resmi PM dan TPM kita.Seri Perdana disewa pada kadar RM4.15 juta setahun ataupun RM345, 833.33 sebulan atau RM11,527.77 sehari! Manakala Seri Satria pula RM2.74 juta setahun ataupun RM228 333.33 sebulan atau RM7,611.11 sehari. Tidak lagi termasuk wang pengurusan yang juga mencecah jutaan ringgit setahu.

Senarai di atas adalah beberapa peratus dari banyak lagi penyelewangan dan pembaziran wang kerajaan yang akan menbengkrapkan negara bukannya kerana subsidi.

Termasuklah bagaimana MAS yang pernah dijaga Idris rugi dan akan bankrap bila 3 buah lukisan yang menghiasi dinding di pejabat Pengerui MAS yang bernilai RM1.5 juta dan seorang Pengurus Kanan MAS bernama Chris Andrews, seorang warga asing yang dibayar gaji RM7,525 sehari! (bersamaan hampir suku juta sebulan ataupun RM2.7 juta setahun!)

Semoga rakyat tidak termakan usaha Idris untuk memperbodohkan rakyat itu, yang penting lagi cepat BN disungkurkan lagi cepat negara kita akan tidak bengkrap. Malah bukannya sampai kena tunggu 9 tahun, bagi saya negara kita telahpun bankrap kerana kerakusan pemimpin BN mengambil harta rakyat setiap kali mandat diberikan.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26840:mana-tak-bankrap-9-tahun-lagi-bila&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Politik dendam, nafsu jahat Umno

Politik balas dendam dan nafsu jahat para pimpinan UMNO Pahang rupanya tidak berakhir atas pentas politik. Sikap rakus dan jamban inilah yang menjadi anutan mereka terhadap musuh politik mereka tanpa menyedari bahawa politik ala zaman batu itu makin dibenci rakyat.

Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun lepas, saya telah dimaklumkan oleh Pegawai MARA Daerah Rompin, bahawa Kerajaan Pahang minta saya keluar dari pejabat premis MARA yang saya sedang sewa sekarang.

Untuk rekod, saya telah menyewa sebuah premis MARA untuk saya mula bertapak sebagai sebuah firma guaman sekitar tahun 2007, Tetuan Mohd Fadzli & Co. Pemilihan saya sebagai penyewa juga melalui saluran yang sah iaitu secara temuduga. Tiada kabel,tiada orang dalam. Saya diterima sebagai penyewa secara merit walaupun terdapat ramai penyewa lain yang turut memohon. Sebagai seorang yang baru mula mengenal erti dunia perniagaan dan bertatih, sudah tentulah mengharap sebuah premis mampu sewa seperti MARA.

Saya menyewa tanpa sebarang masalah. Sewa sentiasa berbayar. Tiada Tunggakan. Rekodnya cemerlang. Dulunya Arked MARA sunyi dan hampir tidak dikenali kalau tiada Pejabat Pos Rompin bermukim di sini. Bukan mendabik dada, tetapi selepas pejabat peguam saya mula beroperasi yang merupakan pejabat peguam pertama di Rompin, Arked MARA meriah sekali kalau tidak hingar bingar pun sesesak pasar malam chow kit.

Kini, UMNO peralatkan MARA untuk usir saya. Semua ini kerana saya bekas calon PAS dalam dua siri pilihanraya lalu. Ditambah perit pula bila saya sering memekakkan telinga pemimpin UMNO dengan berdiri secara terbuka mengecam kezaliman dan salah laku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di pentas-pentas Pakatan Rakyat.

UMNO makin pedih bila saya mengheret perangai korup mereka ke Mahkamah. Kes Ketua Penerangan UMNO Rompin saman Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin), Saman terhadap anak syarikat Kerajaan Pahang kerana lambat serah milik (late delivery), Saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung isu pelatih dirogol jurulatih dan pelatih mati dalam latihan, Saman terhadap Polis kerana menghalang ceramah di Muadzam Shah bersama-sama peguam Hanipa Maidin disamping membantu syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang menang saman RM6 juta terhadap Kerajaan Pahang adalah antara rentetan perangai jahat UMNO yang didedah di Mahkamah.

Saya ingin tegaskan, bahawa tindakan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat politik kotor UMNO/Barisan Nasional. Ini adalah kerana, saya dimaklumkan Pegawai MARA Daerah dalam sambutan aidilfitri tahun lalu bahawa saya mesti mengosongkan premis sewaan saya dalam jangka masa segera.

Pada hal pada ketika itu, tempoh penyewaan saya masih berbaki hampir satu tahun lagi. Saya tidak menyalahkan MARA dan kakitangannya. Tapi sifat dungu UMNO ini terserlah apabila saya dimaklumkan bahawa punca saya disingkir adalah kerana aduan pemimpin UMNO Bahagian Rompin kepada Menteri Besar.

Namun setelah berkeras dan mencabar supaya MARA mengeluarkan surat penamatan pada ketika itu juga, MARA akhirnya memaklumkan saya bahawa saya boleh terus menyewa sehingga tamat perjanjian iaitu sehingga Ogos 2010. Walau apapaun jua yang dibuat, saya tetap tegaskan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat UMNO pada saya!

Inilah UMNO, sebuah parti yang kononnya perjuangkan bangsa Melayu. Saya orang Melayu. Bumiputera. Anak jati Rompin. Warga Pahang tulen. Saya menyewa dengan sebuah agensi yang bercita-cita ingin membantu orang Melayu,Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tapi apa sudah jadi. Saya bukan komunis, bukan penjenayah, tetapi dinafikan oleh bangsa sendiri.Semata-mata berlainan fahaman politik.

Sebenarnya, sikap busuk perut UMNO Pahang ini telah bermula apabila firma guaman lama saya Tetuan M.K Othman & Co yang telah berjaya menjadi peguam panel Unit Perumahan Kerajaan Pahang. Namun apabila mendapat tahu saya menjadi rakan kongsi pemilik M.K Othman & Co, Tuan Khairuddin Othman ( sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Selangor), hanya dengan satu panggilan telefon menamatkan khidmat "panelship" dengan Kerajaan Pahang.

Nasib yang sama menimpa rakan guaman saya, Tuan Iqbal Hamdi (bekas YB Kuala Pahang) apabila beliau bertanding atas kerusi PAS dan menang. Habis semua "panelship" beliau ditarik akibat perangai UMNO ini.

Saya mendapat dokongan teguh rakan-rakan peguam Pahang untuk terus berjuang dan memastikan UMNO/BN akan dikuburkan dalam Pilihanraya akan datang. Politik bodoh UMNO ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat dalam konstituensi Duta Besar Malaysia Bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat.

Masyarakat di barat memandang tinggi Demokrasi yang subur di sana. Bukanlah niat saya untuk berkiblatkan mereka. Tetapi sikap professional mereka dalam melayani musuh politik boleh disanjung. Selepas musim pilihanraya, semua pihak membantu bangunkan negara, tiada istilah balas dendam. Rakyat perlu bangkit untuk menolak budaya hina ini. Ambillah contoh negeri Pakatan Rakyat, carilah satu sahaja contohnya, sekiranya ada mana-mana yang tersingkir dri premis kerajaan kerana jadi calon BN.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26925:-politik-dendam-nafsu-jahat-umno&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46