Monday, December 28, 2009

Haris Zalkapli : Siapa sebenarnya agen Yahudi?

Umno kini dikemukakan dalam sesetengah blog dan media propembangkang sebagai mempunyai hubungan dengan "Yahudi." Apa yang ditulis dan cuba diterangkan sebenarnya tidak jelas dan sangat superfisial, kerana tiada siapa yang dapat menunjukkan dengan terperinci bagaimana hubungan itu memberi kesan kepada dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional.

Secara mudah, yang penting dalam mesej itu ialah mengaitkan Umno dengan Yahudi, memainkan sentimen naif dan tersasar sebahagian pembaca dan pengikut pembangkang yang bencikan Umno.

Ekoran tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak memanggil pulang wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria kerana mengundi menentang resolusi berhubung kawalan nuklear terhadap Iran, Malaysia dan perdana menteri mendapat kritikan banyak pihak.

Tindakan itu, yang menempatkan Malaysia bersama Cuba dan Venezuela itu telah mengejutkan kerajaan Malaysia kerana tidak selari dengan sikap Malaysia, yang seperti biasa tidak menunjukkan penentangan terhadap kuasa-kuasa besar.

Bagi sesetengah pihak, insiden ini dijadikan hujah menjelaskan pentadbiran Najib sebenarnya rapat dengan AS, walaupun Umno begitu keras dengan kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan "agen Amerika Syarikat/Yahudi."

Hakikatnya, "Yahudi" seperti dikemukakan oleh banyak pihak dalam debat politik di negara kita tidak menjelaskan banyak perkara dan mungkin juga memberikan satu gambaran yang salah.

Banyak organisasi dan kumpulan masyarakat sivil dikuasai Yahudi (dan bukan mengikut maksud yang difahami oleh orang ramai), dengan matlamat yang berbeza-beza. Kumpulan ini mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin politik Malaysia.

Hubungan baik pentadbiran Najib dengan Barat dan "Yahudi" juga tidak secara automatik bermakna parti-parti lain anti-Barat dan tidak mempunyai hubungan dengan "Yahudi."

Gambaran-gambaran seperti "Barat," "dikuasai Yahudi" dan sebagainya hanya memperbodohkan lagi rakyat Malaysia yang mengikuti wacana politik di media, terutama yang menelan segala yang dikemukakan oleh media yang mereka percaya sebagai ayat-ayat suci.

Hal yang sama melibatkan istilah "Barat." Kritikan Mahathir tidak bermakna pentadbiran beliau dulu tidak sehaluan dengan Barat, terutama AS, kerana Mahathir sendiri mencapai satu perjanjian ketenteraan dengan AS semasa pentadbirannya.

Dasar luar ialah satu ruang politik yang pragmatik yang sentiasa mempunyai hubungan dengan politik dalaman. Dasar luar mudah digunakan untuk keperluan politik dalaman, dan mudah juga ditutup daripada audiens dalam negara.

Contohnya, ucapan-ucapan pemimpin negara di PBB memberikan impak yang kecil di sana, tetapi dikemukakan dengan gah kepada audiens dalam negara untuk keperluan politik dalaman.

Parti-parti politik Malaysia juga mengendalikan pelbagai isu global, contohnya Palestin, berdasarkan keperluan masing-masing. Ada parti yang menunjukkan kesungguhan dan ada yang mengabaikan isu tersebut.

Kuala Lumpur, semasa di bawah pentadbiran Mahathir, menyokong usaha AS menyerang Iraq melalui persetujuan Majlis Keselamatan PBB, walaupun pada masa sama mengambil sikap kritikal kepada AS.

Tidak ada yang mudah dalam hubungan antara negara, disebabkan kepentingan-kepentingan lain yang berkait. Malaysia tidak akan mengambil sikap yang bertentangan dengan AS, tetapi pada masa sama berbangga dengan kedudukannya sebagai anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Kedudukan Malaysia dalam NAM dan OIC tidak secara automatik menjadikan sikap Malaysia sentiasa sehaluan dengan semangat dua organisasi ini. Beberapa minggu lalu, perdana menteri sendiri mengeluarkan kenyataan pendek menyokong Arab Saudi dalam tindakan ketenteraannya ke atas sebuah kumpulan di utara Yaman.

Kenyataan itu tidak mengandungi saranan usaha damai tetapi hanya menunjukkan sokongan penuh kepada Arab Saudi.

Satu tindakan atau kenyataan - atau tulisan di blog - tidak memberikan gambaran sebenar tentang dasar sesebuah kerajaan. Setakat ini, hubungan kerajaan Malaysia - sama ada di bawah Mahathir atau Najib - berada pada tahap yang rapat dengan AS, dan tidak kelihatan beza yang besar melibatkan kerajaan pada masa ini dengan pentadbiran-pentadbiran sebelumnya.

Yang pasti ialah dasar luar kekal sebagai satu ruang politik yang mempunyai hubungan jelas dengan politik dalaman, dan akan sentiasa berdepan manipulasi untuk kepentingan politik tertentu

Abdul Aziz Ismail: Peringatan tentang janji yang belum tertunai

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa kemenangan besar PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu adalah kerana perubahan sikap orang Melayu yang sudah mulai sedar dan ketara inginkan Islam menjadi tunggak pemerintahan negara.

Kebanyakan rakyat beragama Islam mulai insaf sistem pemerintahan dan pentadbiran yang bersandarkan hukum syariah Islam harus diperkenal bagi menggantikan sistem sekular demokrasi ala-Barat yang sudah menampakkan wajah hodohnya serta keboborakan sistemnya sejak diamalkan Umno lebih 50 tahun lalu.

Pemimpin Umno sudah dilihat melakukan banyak keburukan dan menjadi korban kepada sistem sekular yang dianuti hingga akhirnya melahirkan pemimpin yang bertunjangkan fahaman material dan melupakan tanggungjawab moral dan hukum agama.

Segalanya boleh dilakukan atas nama wang. Segalanya boleh berlaku jika ada kehadiran kuasa wang yang boleh menyelesaikan banyak masalah hukum dan peraturan ciptaan manusia dengan pelbagai helah. Rasuah dan penyelewangan mengambil tempat berleluasa yang akhirnya melahirkan pemimpin dan insan yang kaya raya dan berharta tetapi kotor moral, keji di mata rakyat dan dipandang hina agama.

Pemimpin Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu adalah kerana sikap mereka itu. Ini ditambah buruk lagi ketika itu parti diketuai oleh pemimpin yang lemah dan dikelilingi beberapa lagi pemimpin lain baru dan lama kebanyakannya terlibat rasuah, mengamalkan politik wang untuk merebut jawatan dan pangkat serta mementingkan kaum keluarga untuk mengaut keuntungan material dengan melupakan agenda rakyat.

Orang bukan Melayu juga menyokong PAS dengan harapan parti itu boleh membetulkan sistem pemerintahan di bawah BN yang ketika itu sedia goyah dan jelas mudah ditumbangkan. Ini ditambah buruk dengan anggapan kekuasan dan penguasaan Umno kononnya dalam kerajaan bersama parti komponen lain dalam BN sukar digugat setelah menjadi pemerintah selama lebih 50 tahun.

Ternyata mereka lupa bahawa pemimpinnya sudah melakukan banyak kerosakan yang jelas di mata rakyat akibat lupa diri serta menampakkan ruang kebocoran sikap buruk satu dua kerat pemimpin yang ketara gelojoh menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengaut keuntungan peribadi dan kroninya bagi meneruskan agenda peribadi tanpa menghiraukan sensitiviti rakyat bawahan.

Kemenangan PAS dalam banyak tempat termasuk di kawasan bukan Melayu adalah bukti sokongan kaum bukan Melayu kepada agenda perjuangan Islam yang dibawa PAS untuk memberi alternatif kepada cara pentadbiran yang lebih adil dan saksama.

Orang Muslim terutama yang muda dan berpelajaran berharap PAS dapat memberi pilihan terbaik kepada cara pentadbiran yang sesuai dan selari dengan tuntutan agama bagi melahirkan pemimpin yang besih dan bermoral tinggi serta mengwujudkan negara berkebajikan yang mementingkan keperluan rakyat terbanyak.

Orang Melayu dikatakan boleh berharap kepada PAS dan PKR untuk membela kehidupan mereka sementara bukan Melayu boleh bergantung kepada kepada DAP dan juga PKR. Mereka bergabung atas nama Pakatan Rakyat bagi memberi saingan kepada BN.

Pemimpin PR bersedia melupakan perbezaan ideologi ketara parti masing-masing bagi satu misi perjuangan menumbangkan BN dan menubuhkan kerajaan baharu yang dijanjikan lebih merakyatkan rakyat tanpa mengira kaum.

Berbagai janji-janji besar dan manis ditaburkan untuk mengambil hati rakyat dalam pilihan raya Mac 2008 lalu seperti kerajaan berkebajikan, sistem pentadbiran cara Khalifah Umar Abdul Aziz, pemberian biasiswa kepada semua rakyat, pemberian sumbangan wang saguhati istimewa kepada rakyat yang memerlukan, penurunan cukai tertentu dan berbagai insentif lain bagi memikat mereka dengan harapan rakyat memilih parti mereka menggantikan pemerintahan BN yang sedia bermasalah.

Tenyata janji-janji besar dan manis itu tergendala dan setengahnya belum terlaksana langsung sehingga kini. Rakyat yang mengundi menanti dan menagih janji seperti yang diharapkan tetapi kebanyakan pemimpin PR masih dibuai kemenangan luar biasa mereka menawan lima negeri (kini tinggal empat), menuntut berbagai hak istimewa yang tidak sepatutnya, mencari kelemahan kerajaan terdahulu yang tidak perlu, pertikaian sesama sendiri tanpa menyedari mereka belum melunaskan janji-janji pilihan raya yang sepatutnya didahulukan lebih dari agenda lain.

Mereka asyik berpolitik dan berselisih atas agenda masing-masing yang sesetengahnya cuba menjatuhkan rakan pemimpin lain yang tidak sehaluan. Setengah pihak cuba menjuarai isu-isu sensitif yang menyentuh hak perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu tanpa menyedari banyak isu lain yang lebih relevan boleh dibangkitkan demi rakyat.

Ahli Parlimen dan Dun yang menang daripada PR sepatutnya bersyukur bahawa kemenangan luar biasa yang dihadiahkan rakyat dalam pilihan raya lalu harus dibalas dengan tanggungjawab ikhlas dan kerja keras bagi membela kehidupan rakyat yang lebih baik, bukan retorik politik yang sedap didengar tapi tidak mendatangkan hasil.

Benar juga kebimbangan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa PR boleh pudar dan ditolak rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka gagal merapatkan perbezaan dan bersatu pandangan dalam agenda yang lebih besar. Jika masing-masing parti masih melihat kepentingan kaum dan agama masing-masing lebih besar dari agenda kepentingan rakyat terbanyak, sukar bagi mereka mengelak ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Jangan asyik menyalahkan dan membongkar keburukan pemimpin Umno/BN saja tetapi perlulah menyelami dan mengakui kesilapan sendiri. Rakyat kini semakin bijak dan boleh menilai apa yang berlaku di depan mata dengan pandangan yang kritis.

Rakyat mahukan perubahan dan perlaksanaan janji yang sudah ditabur dan bukan cakap-cakap politik manis yang tidak berkesudahan tanpa membawa keuntungan kepada kehidupan mereka. Rakyat mahu agenda pembangunan yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka demi kelangsungan kehidupan yang ketara terhimpit dan sukar dalam situasi ekonoimi dunia yang belum pulih.

Pemimpin yang bertanggungjwab harus memikirkan agenda rakyat terbanyak tanpa mengira kaum dan mempunyai niat yang jelas dan bersih.

Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang melaksanakan apa yang dikata dan menjuarai impian rakyat seperti yang dihajatkan.

Safar Jumaat :10 budak hitam: Boikot..senyap...serang

PERSIDANGAN DUN Terengganu baru-baru ini menjadi medan ‘10 Budak Hitam’ yang khabarnya sudah tinggal empat sahaja menyerang Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said, sekaligus mengesahkan kata-kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kemelut politik Umno Terengganu sudah selesai, sebagai tidak betul.

Mereka masih belum puas hati dengan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar masih kekal walaupun pelbagai usaha menjatuhkannya dijalankan, termasuk menggugat kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Mula-mula, mereka memboikot persidangan DUN. Alasan yang digunakan ketika memboikot persidangan itu, mereka menerima SMS bernada ugutan yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Tindakan memboikot itu selesai dengan campurtangan Perdana Menteri (PM) yang mengarahkan kesemua ‘10 Budak Hitam’ mesti menghadiri persidangan.

Lebih menarik, Menteri Besar ketika ditanya wartawan adakah beliau akan memujuk ’10 Budak Hitam’ ini supaya menghadiri persidangan DUN, dengan bersahaja menjawab, “tidak sama sekali.”

10 Budak Hitam merasakan mereka sudah berjaya dalam usahanya ‘menjatuhkan’ Ahmad apabila jawatan Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri terlucut. Besorak-sorai mereka ini dengan perkembangan itu dan mengharapkan jawatan Menteri Besar juga akan terlucut.

Gerakan mereka ini akhirnya menyebabkan Hishammuddin menjemput semua ketua-ketua bahagian dan semua ADUN-ADUN BN mengadakan pertemuan dengannya dalam dua sessi di Pejabat Menteri Dalam Negeri.

Khabarnya, salah seorang anggota ‘10 Budak Hitam’ mencaci kepimpinan Ahmad di depan Hishammuddin yang didengari sendiri Ahmad dan Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut sumber, Ahmad tidak sedikit pun menjawab untuk mempertahankan dirinya sebaliknya mendengar dengan penuh sabar cacian dari salah seorang orang kuat ‘10 Budak Hitam’ ini.

Mereka melakukan semua ini dengan harapan Hishammuddin akan melantik pegawai-pegawai Badan Perhubungan Umno Negeri dari kalangan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka tahu hubungan Hishammuddin dengan Idris dikatakan cukup intim – namun apa yang mereka mahukan tidak terjadi.

Pusingan kedua, 10 Budak Hitam menghadiri persidangan DUN tetapi kesemuanya ‘menjahit mulut’ tanda memprotes. Ahmad ketika memberi komen tentang sikap berdiam diri 10 Budak Hitam ini dengan kata-kata, “sudah ada perubahan terhadap mereka ini. Dulu mereka tak datang langsung, sekarang mereka dah datang,”

Dengan lain perkataan, strategi yang diatur 10 Budak Hitam nampaknya tidak menjadi. Apa sahaja mereka buat, Ahmad menganggapnya sebagai positif. Maknanya, Ahmad tidak terganggu dengan karenah 10 Budak Hitam. Ini yang menyebabkan 10 Budak Hitam terpaksa merubah strategi dengan menghadiri persidangan dan bercakap.

Kali ini mereka bukan sekadar bercakap, malahan menggunakan ‘ledakan bom’ – meminjam kata-kata Ahmad (Harakah muka surat N8, Bil 1499 – 25-27 Disember 2009 bertajuk Sidang Dun Terengganu kembali ‘panas’ ADUN BN ‘serang’ MB Terengganu) ketika menjawab serangan dari ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah dan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam dalam persidangan baru-baru ini.

Paling ketara, sebelum ini sudah kedengaran ‘10 Budak Hitam’ mengadakan pertemuan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi usaha mereka untuk melompat tidak mendapat sambutan.

Tidak pula diketahui apakah ada ‘amaran secara senyap’ dari Kuala Lumpur terhadap ‘10 Budak Hitam’ ini kerana selepas mereka mengeluarkan kenyataan mahu melompat parti, seolah-olah ‘lompatan’ mereka tidak melepasi palang yang diletakkan di hadapan mereka.

Apakah strategi 10 Budak Hitam ini akan bertukar lagi selepas ini apabila mereka kemudiannya dilibas oleh Ahmad ketika menjawab serangan dan ledakan bom ini? Atau, mereka akan menggunakan strategi senyap dengan menjadikan Kuala Lumpur tempat mereka memburuk-burukan kepimpinan Ahmad?

Dari mereka yang rapat dengan Ahmad mendakwa, dari 10 ADUN yang menentang Ahmad ini, sudah enam ADUN kembali bersama-sama Ahmad dan tidak mahu lagi terlibat dengan ‘10 Budak Hitam’ yang berketuakan Idris Jusoh.

Tidak hairanlah jika hanya Alias dan Din sahaja yang kelihatan beria-ia sangat bercakap dalam persidangan DUN kali ini, itu pun selepas Din dikatakan diberikan jawatan di Kuala Lumpur oleh Hishammuddin, sebagai ‘upah bertukar haluan’ dari tidak menyokong Ahmad kepada menyokong Ahmad.

Sambil bergurau, seorang penganalisis politik di Kuala Lumpur membuat komen, kononnya keberanian Din itu sebagai ‘persembahannya’ di hadapan Idris yang turut memerhatikan gelagat 10 Budak Hitam. Siapakah yang masih ‘lulus ujian’ dan siapakah yang sudah meninggalkan Idris kerana ‘kembali ke pangkal jalan’.

Din mungkin mahu terus ‘hidup di depan Idris, terus hidup di depan Hishammuddin’ dan tidak apalah jika terpaksa ‘menjadi cacing kepanasan’ bila berdepan dengan Ahmad. Maklumlah, Din mungkin merasakan dia lebih layak menjadi Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad kerana di bawah pentadbiran Idris, Ahmad dan Din adalah Exco Idris.

Din lupa, Ahmad adalah orang lama dalam Umno/BN Terengganu yang menyebabkan Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan, beliau adalah yang paling senior di kalangan ADUN-ADUN Terengganu yang ada sekarang, termasuk Idris.

Namun kenyataan Ahmad yang mengatakan beliau paling senior tidak dihiraukan Idris dan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka memang tidak dapat menerima Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu kononnya kerana Ahmad bukan dipilih atas kehendak pucuk pimpinan parti sebaliknya Ahmad hanya dikehendaki Istana Terengganu.

Itulah sebabnya, ada ADUN BN Terengganu yang sanggup mengoncang pagar istana kerana mahu menunjukkan protes kepada pihak istana, bahawa mereka tidak bersetuju dengan kehendak istana tetapi mahu Idris atau Datuk Rosol Wahid atau Din atau Alias atau, si anu-si anu boleh jadi MB Terengganu, asalkan bukan Ahmad.

Sunday, December 27, 2009

Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janji dan tanggungjawab untuk membayar royalti petroleum kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.

Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.

“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.

Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.

Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.

Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.

Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.

Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.

Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.

“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka. (harakahdaily)

Tok Pepijat :Kenali Orang Kelantan yang "murtad"

Rakyat Kelantan terkenal dengan "ketaksuban" mereka dengan budaya mereka. Mereka berada di seluruh pelusok Malaysia. Bahkan di seluruh dunia. Mereka akan membawa budaya mereka ini di mana sahaja mereka berada. Antara budaya-budaya yang "amat keramat" ialah budu , loghat percakapan mereka dan kesatuan komuniti mereka.

Tentang budu, mereka sanggup pikul gelen budu masuk ke perut kapal terbang jika mereka merantau jauh atau balik dari bercuti di kampung halaman. Begitu juga "kecek" mereka. Mereka tetap amalkan loghat mereka di mana jua berada.
Bahkan ramai rakan-rakan mereka dari negeri lain terikut-ikut dengan "kecek Kelantan". Malah ada rakyat Mesir dapat bercakap loghat Kelantan hasil pergaulan dengan pelajar Kelantan di Mesir. Begitu kuat pengaruh budaya mereka.

Kesatuan komuniti rakyat Kelantan juga tinggi. Lihatlah semasa Final Piala Malaysia 2009. Ramai rakyat Kelantan yang tinggal, bekerja dan belajar di sekitar Lembah Kelang "turun" ke Stadium Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.

Sifat budaya kesatuan komuniti ini di bawa oleh mereka bertujuan untuk tolong menolong dan saling bantu membantu. Jika orang Cina boleh wujudkan "China Town" di seluruh dunia, orang Kelantan juga telah mewujudkan "Kelantan Village" di seluruh negara.

Dengan 3 aspek budaya di atas tadi iaitu budu, loghat dan kesatuan melahirkan orang Kelantan yang berjiwa bebas, merdeka, punya jati diri , bijak berpolitik, sayang dan kasih kepada negeri mereka.

Mana-mana orang Kelantan yang "menjauhi" dari 3 aspek budaya itu, akan dipinggirkan dan di gelar sebagai "Ore Kelate ye murtad" ! Jika ada orang Kelantan yang "kecek bahasa luar" sesama sendiri akan mendapat label "murtad". Begitu juga yang tidak bergaul dengan komuniti sendiri dan mengutuk dan tidak membela negeri sendiri juga bakal di gelar demikian.

Dalam kes royalti, suatu sikap yang aneh lagi pelik apabila ada orang Kelantan tidak "satu hati" menuntut hak negeri mereka sendiri. Alangkah peliknya nama-nama besar seperti Awang Adek, Mustafa Mohammad, Ibrahim Ali dan Anuar Musa "bersungguh-sungguh" menafikan hak Kelantan mendapat royati minyak.

Mereka semua punya pengaruh di Putrajaya. Mereka juga anak jati Kelantan. Mana dia sifat jati diri, kesatuan komuniti dan sayang kepada bumi kelahiran ?

Berlainan isu pampasan Empangan Pergau tahun 1991 dahulu. Semua rakyat Kelantan "satu hati" menyokong tuntutan TG Nik Aziz terhadap pampasan dari TNB.

Kalau Ahmad Maslan maupun Samy Vellu menentang hak royalti Kelantan, itu bukannya suatu yang pelik. Tetapi ini mereka adalah anak kelahiran Jeli, Bachok, Melor dan Pasir Mas. Bukan lahir kat Sungai Siput !

Mungkin pembesar-pembesar Kelantan ini sudah lama tidak makan budu, kecek bahasa luar dan asyik bergaul dengan orang Kuala Lumpur. Inikah orang Kelantan yang "murtad" ?

Tuesday, December 22, 2009

Hebatnya Malaysia, boleh 'menghilangkan' enjin jet tentera

Lepas satu, satu lagi episod lawak antarabangsa dihidangkan oleh pemerintah 1Malaysia untuk hiburan penduduk bumi di abad ke 21 yang setiap saatnya terkandung ribuan juta informasi.

Episod kali ini melibatkan agensi pertahanan negara yang tidak sepatutnya menjadi aktor dalam cerita komedi ini. Tapi inilah realitinya bila pemerintah negara dipilih dari kalangan "badut berbibir merah".

Mungkin secara sinisnya kehilangan enjin jet pemintas berharga RM50 juta pada ketika DS Najib sebagai Menteri Pertahanan dan TS Azizan sebagai Panglima TUDM tidak ubah seperti hilangnya carburetor pada enjin motosikal EX5.

Atas alasan itulah mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap agensi itu boleh tidur nyenyak seolah-olah aset berharga RM50 juta itu tidak bernilai langsung kepada negara.

Di ketika 1Malaysia kecoh dengan perkhabaran itu, PM 1Malaysia tampil memberikan jaminan tidak akan menutup kes yang berlaku pada 2007 ketika beliau masih lagi menjadi menteri berkenaan.

Kata Najib, beliau sendiri yang mengarahkan aduan polis dibuat apabila menyedari tentang kejadian tersebut. Tapi tidak pula dinyatakan tarikh sebenar laporan itu dibuat, menurut sumber setahun selepas insiden itu berlaku. Kalau betul sumber itu, mengapa perlu ambil masa yang terlalu lama untuk buat laporan polis?

Atau mungkin laporan itu dibuat sehari selepas Menteri Pertahanan sekarang ini, DS Zahid Hamidi mendedahkannya Sabtu lalu, enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpengkalan di Afrika Selatan.

Walau apa pun, insiden kecurian ini mendedahkan kepada umum kepincangan yang ada pada agensi keselamatan negara kini dan sekaligus mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.

Saranan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz supaya dipanggil Sidang Khas Parlimen ada asasnya. Insiden ini perlu dibincangkan di peringkat pembuat dasar agar keselamatan negara dapat dibaikpulih dengan segera.

Dalam konteks keselamatan ini kepentingan umum perlu didahulukan. Insiden-insiden pencerobohan markas ATM dan berulangnya episod-episod kelakar kebelakangan ini membuktikan pencapaian prestasi Kementerian Pertahanan bukan menjadi keutamaan kepada mereka.

Ini perlu dibincangkan hingga selumatnya, keselamatan negara bukanlah perkara yang boleh dimain-main. Siasatan menyeluruh berkaitan kes akan dapat merungkai kekalutan yang ditimbulkan.

Oleh itu, perlunya pembentukan satu jawatankuasa khas yang diberi kuasa penuh untuk menyiasat sesiapa saja tanpa mengira status atau kedudukannya. Agensi yang bertanggungjawab iaitu PDRM tidak boleh diharap langsung, gagal berfungsi dan memainkan peranannya. Ini terbukti bila PM mendedahkan laporan polis yang telah dibuat ketika beliau masih lagi menteri di kementerian itu.

Polis perlu sedar, organisasi mereka kini sedang diheret untuk dikambing hitamkan. Mereka perlu tampil menjelaskan kepada umum, mengapa sampai sekarang tidak ada satu pun kenyataan mereka berkaitan siasatan kes ini? Sekiranya ada penyiasatan, kenapakah ianya tidak menemui pengakhirannya? Atau, mungkinkah polis mengkategorikan kes ini sama seperti kes kehilangan duit syiling dalam poket seluar di rumah?

Insiden sebesar benua asia ini harus dipertanggungjawabkan terus kepada mereka yang tertinggi dalam agensi keselamatan negara, bukannya ditujukan kepada anggota bawahan lain-lain pangkat seperti kenyataan DS Zahid Hamidi.

Terbaru Zahid memberitahu, empat anggota ATM telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota bawahan lain-lain pangkat yang turut terlibat menghilangkan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM.

Situasi sebeginilah sudah pasti menimbulkan kegelisahan kepada anggota-anggota bawahan ATM, sekiranya nasib tidak baik akan tersenarai dalam 'ramai lagi anggota bawahan' yang akan dikambing hitamkan bagi menutup kelemahan mereka yang berada di atas.

Menteri dan panglima yang terlibat ketika kejadian mesti tampil mengaku kelemahan dan bertanggungjawab di atas segala kecelaruan yang berlaku. Janganlah pula hilang sebagaimana hilangnya enjin-enjin jet F-5E (meminjam kata-kata Mahfuz) yang bukannya sebesar 'çarburetor motosikal EX5' (DRP: PKWR Jerai )

Sofi Wahab :Umno tertidur 35 tahun

Umno sebenarnya tertidur 35 tahun. Sekarang baru dia tersedar bahawa Pulau Pinang sudah terlepas dari gengamannya.

Baru sekarang Umno terhegeh-hegeh menuntut kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang sedangkan sebelum ini tidak berani berbuat demikian.

Sebelum ini Umno sudah beberapa penggal mempunyai kerusi majoriti di DUN Pulau Pinang berbanding Gerakan dan MCA namun tidak berani menuntut kerusi tersebut.

Sekarang bila mereka melihat Gerakan lemah dan tewas teruk dalam Pilihanraya Umum lalu barulah mereka tersedar dari mimpi.

Memang benar Umno tidak ada semangat setia kawan dan tidak jujur dalam persahabatan. Bila kawannya kuat Umno jadi 'Yes Man' bila kawan lemah Umno mahu memijak kepala kawan. Inilah perangai Umno yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara dan politik pecah perintah.

Sebab itulah Umno pernah menerajang PAS dari BN suatu ketika dahulu. Ketika Umno lemah mereka menghulurkan tangan kepada PAS, bila mereka kuat PAS tidak lagi dipandang oleh mereka.

Sama juga dengan isu kerajaan perpaduan baru-baru ini, bila Umno longlai selepas Pilihanraya Umum 2008 mereka cuba meminang PAS untuk 'berkahwin' dalam Kerajaan Perpaduan.

Alhamdulillah PAS sudah mahir dan fasih dengan perangai buruk Umno. Pinangan Umno ditolak.
Kini Gerakan pula mendapat bahana dari kebiadapan Umno.

Maka saya mencadangkan kepada Gerakan dan Presidennya Koh Tsu Kon supaya keluar dari BN dan sertai Pakatan Rakyat kerana Umno dan BN sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Umno kini sedang giat membuli MCA dan Gerakan serta juga MIC.

Apa lagi yang Gerakan hendak tunggu sebelum terlambat sila menyeberang secepat mungkin.