Friday, January 8, 2010
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang :Penggunaan kalimah “ALLAH”
Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.
Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama ?. Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.
Apa yang perlu di fahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab ?. Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini ?. Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat islam di serata dunia yang terdiri dari berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.
Perkataan Allah di sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.
Firman Allah bermaksud:
61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.
Firman Allah bermaksud:
63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).
Firman Allah bermaksud:
25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).
Firman Allah bermaksud:
38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".
Firman Allah bermaksud:
9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".
Firman Allah bermaksud:
87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?
Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.
Hari ini kita melihat mukjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD dan LORD; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.
Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.
Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al Asma Al Husna) . Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al Asma Wa Sifat).
“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan” .
Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.
Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:
64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".
Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang di halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.
Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama-sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah ALLAH di hadapan umat Islam.
Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun :
(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).
Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.
Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.
Firman Allah yang bermaksud :
108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.
Wallahua’alam.
Strategi Umno zaman-berzaman
2. Kekuatan kedua-dua sosok pimpinan utama PAS itu menyebabkan pimpinan UMNO tidak senang duduk. Kunci untuk melumpuhkan/melemahkan PAS adalah dengan melumpuhkan Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkifli.
3. Pelbagai cubaan dilakukan untuk mematikan karier politik kedua-duanya.
4. Dr. Burhanuddin ditahan di bawah ISA pada tahun 1964 hingga 1966. Walaupun dibebaskan pada 1966, beliau dikenakan tahanan terhad. Pada tahun 1969, beliau meninggal dunia akibat penyakit lelah dan kesan seksaan yang diterima sepanjang meringkuk dalam tahanan.
5. Perkara yang berlaku kepada Dr. Zulkifli juga menyayat hati. Beliau terlibat dalam kemalangan di Kuantan sewaktu dalam perjalanan dari Kelantan ke Perak. Peliknya, Tunku Abdul Rahman terpaksa membuat kenyataan penafian bahawa kemalangan yang meragut nyawa Dr. Zulkifli dan isteri itu didalangi oleh UMNO.
6. Samada benar UMNO terlibat atau tidak hanya Allah yang lebih tahu.
7. Pada tahun 1999, PAS memenangi kerusi 27 Dewan Rakyat. Undi Melayu jelas memihak kepada PAS dan Barisan Alternatif. Kegusaran itu adalah antara punca yang memaksa Dr. Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada tahun 2002.
8. Sepanjang penggal 1999 – 2004, bukan sedikit usaha dilakukan untuk melemahkan PAS. Melaga-lagakan PAS dengan DAP melalui isu Negara Islam, menafikan hak rakyat Royalti Minyak untuk rakyat Terengganu serta paling utama – memburuk-burukkan pimpinan utama PAS secara agresif.
9. Dua pemimpin utama PAS yang diburuk-burukkan oleh UMNO pasca PRU 1999 adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
10. Amanat Haji Hadi yang disunting dari satu ucapan Ustaz Hadi pada pada 7 April 1981 diangkat menjadi suatu amanat semata-mata untuk memburuk-burukkan pimpinan PAS tersebut bagi melemahkan PAS. Peranan Ustaz Hadi selaku Menteri Besar Terengganu juga dilumpuhkan melalui penafian hak royalti minyak Terenganu yang merupakan sumber utama kewangan kerajaan negeri. Hasilnya, PAS tumbang di Terengganu pada tahun 2004.
11. Serangan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dilancarkan secara agresif. Ucapan-ucapan Ustaz Nik Aziz disunting dan diolah semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan dan kebencian di kalangan rakyat terhadap sosok utama PAS itu.
12. Untuk mengaitkan Ustaz Nik Aziz dengan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, isu ‘komisen Kapal Selam’,isu Liwat’ atau isu ‘Bawa Lari Anak Raja’ sudah tentu rakyat tak akan percaya. Oleh itu, UMNO berusaha menimbulkan keraguan di kalangan rakyat terhadap peribadi Ustaz Nik Aziz sebagai seorang Ulama’.
13. Isu ‘Tuhan Samseng’, ‘Undi Pas Masuk Syurga’, ‘Sanggup Berkawan dengan Syaitan’, ‘Tuhan Mencarut’ sebagainya digunakan untuk menggambarkan Ustaz Nik Aziz sebagai seorang Ulama’ yang sesat lagi menyesatkan. Terbaru, isu ‘Doa Bala Untuk PM’ pula dimainkan.
14. Semua itu akan terus dilakukan oleh UMNO selagi mana Ustaz Nik Aziz masih bernyawa.
15. Walaupun tidak semua termakan dengan dengan propaganda itu, tidak dinafikan bahawa ada juga yang percaya. Bukan sedikit anak muda, belia, kaum ibu dan orang tua yang memandang serong Ustaz Nik Aziz. Bukan sedikit manusia yang tergamak melabelkan beliau sebagai ‘Ulama’ Sesat’, ‘Kambing Tua’, ‘Tok Guru Sesat’ dan sebagainya. Dan tidak sedikit yang membenci beliau.
16. Namun itulah asam garam perjuangan yang sedang ditanggung oleh seorang insan yang sudah berusia 78 tahun itu.
17. Semoga Tok Guru terus diberikan kekuatan oleh Allah dalam meniti usia yang masih bersisa. Mudah-mudahan.
Monday, December 28, 2009
Haris Zalkapli : Siapa sebenarnya agen Yahudi?
Umno kini dikemukakan dalam sesetengah blog dan media propembangkang sebagai mempunyai hubungan dengan "Yahudi." Apa yang ditulis dan cuba diterangkan sebenarnya tidak jelas dan sangat superfisial, kerana tiada siapa yang dapat menunjukkan dengan terperinci bagaimana hubungan itu memberi kesan kepada dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional.
Secara mudah, yang penting dalam mesej itu ialah mengaitkan Umno dengan Yahudi, memainkan sentimen naif dan tersasar sebahagian pembaca dan pengikut pembangkang yang bencikan Umno.
Ekoran tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak memanggil pulang wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria kerana mengundi menentang resolusi berhubung kawalan nuklear terhadap Iran, Malaysia dan perdana menteri mendapat kritikan banyak pihak.
Tindakan itu, yang menempatkan Malaysia bersama Cuba dan Venezuela itu telah mengejutkan kerajaan Malaysia kerana tidak selari dengan sikap Malaysia, yang seperti biasa tidak menunjukkan penentangan terhadap kuasa-kuasa besar.
Bagi sesetengah pihak, insiden ini dijadikan hujah menjelaskan pentadbiran Najib sebenarnya rapat dengan AS, walaupun Umno begitu keras dengan kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan "agen Amerika Syarikat/Yahudi."
Hakikatnya, "Yahudi" seperti dikemukakan oleh banyak pihak dalam debat politik di negara kita tidak menjelaskan banyak perkara dan mungkin juga memberikan satu gambaran yang salah.
Banyak organisasi dan kumpulan masyarakat sivil dikuasai Yahudi (dan bukan mengikut maksud yang difahami oleh orang ramai), dengan matlamat yang berbeza-beza. Kumpulan ini mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin politik Malaysia.
Hubungan baik pentadbiran Najib dengan Barat dan "Yahudi" juga tidak secara automatik bermakna parti-parti lain anti-Barat dan tidak mempunyai hubungan dengan "Yahudi."
Gambaran-gambaran seperti "Barat," "dikuasai Yahudi" dan sebagainya hanya memperbodohkan lagi rakyat Malaysia yang mengikuti wacana politik di media, terutama yang menelan segala yang dikemukakan oleh media yang mereka percaya sebagai ayat-ayat suci.
Hal yang sama melibatkan istilah "Barat." Kritikan Mahathir tidak bermakna pentadbiran beliau dulu tidak sehaluan dengan Barat, terutama AS, kerana Mahathir sendiri mencapai satu perjanjian ketenteraan dengan AS semasa pentadbirannya.
Dasar luar ialah satu ruang politik yang pragmatik yang sentiasa mempunyai hubungan dengan politik dalaman. Dasar luar mudah digunakan untuk keperluan politik dalaman, dan mudah juga ditutup daripada audiens dalam negara.
Contohnya, ucapan-ucapan pemimpin negara di PBB memberikan impak yang kecil di sana, tetapi dikemukakan dengan gah kepada audiens dalam negara untuk keperluan politik dalaman.
Parti-parti politik Malaysia juga mengendalikan pelbagai isu global, contohnya Palestin, berdasarkan keperluan masing-masing. Ada parti yang menunjukkan kesungguhan dan ada yang mengabaikan isu tersebut.
Kuala Lumpur, semasa di bawah pentadbiran Mahathir, menyokong usaha AS menyerang Iraq melalui persetujuan Majlis Keselamatan PBB, walaupun pada masa sama mengambil sikap kritikal kepada AS.
Tidak ada yang mudah dalam hubungan antara negara, disebabkan kepentingan-kepentingan lain yang berkait. Malaysia tidak akan mengambil sikap yang bertentangan dengan AS, tetapi pada masa sama berbangga dengan kedudukannya sebagai anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Kedudukan Malaysia dalam NAM dan OIC tidak secara automatik menjadikan sikap Malaysia sentiasa sehaluan dengan semangat dua organisasi ini. Beberapa minggu lalu, perdana menteri sendiri mengeluarkan kenyataan pendek menyokong Arab Saudi dalam tindakan ketenteraannya ke atas sebuah kumpulan di utara Yaman.
Kenyataan itu tidak mengandungi saranan usaha damai tetapi hanya menunjukkan sokongan penuh kepada Arab Saudi.
Satu tindakan atau kenyataan - atau tulisan di blog - tidak memberikan gambaran sebenar tentang dasar sesebuah kerajaan. Setakat ini, hubungan kerajaan Malaysia - sama ada di bawah Mahathir atau Najib - berada pada tahap yang rapat dengan AS, dan tidak kelihatan beza yang besar melibatkan kerajaan pada masa ini dengan pentadbiran-pentadbiran sebelumnya.
Yang pasti ialah dasar luar kekal sebagai satu ruang politik yang mempunyai hubungan jelas dengan politik dalaman, dan akan sentiasa berdepan manipulasi untuk kepentingan politik tertentu
Abdul Aziz Ismail: Peringatan tentang janji yang belum tertunai
Kebanyakan rakyat beragama Islam mulai insaf sistem pemerintahan dan pentadbiran yang bersandarkan hukum syariah Islam harus diperkenal bagi menggantikan sistem sekular demokrasi ala-Barat yang sudah menampakkan wajah hodohnya serta keboborakan sistemnya sejak diamalkan Umno lebih 50 tahun lalu.
Pemimpin Umno sudah dilihat melakukan banyak keburukan dan menjadi korban kepada sistem sekular yang dianuti hingga akhirnya melahirkan pemimpin yang bertunjangkan fahaman material dan melupakan tanggungjawab moral dan hukum agama.
Segalanya boleh dilakukan atas nama wang. Segalanya boleh berlaku jika ada kehadiran kuasa wang yang boleh menyelesaikan banyak masalah hukum dan peraturan ciptaan manusia dengan pelbagai helah. Rasuah dan penyelewangan mengambil tempat berleluasa yang akhirnya melahirkan pemimpin dan insan yang kaya raya dan berharta tetapi kotor moral, keji di mata rakyat dan dipandang hina agama.
Pemimpin Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu adalah kerana sikap mereka itu. Ini ditambah buruk lagi ketika itu parti diketuai oleh pemimpin yang lemah dan dikelilingi beberapa lagi pemimpin lain baru dan lama kebanyakannya terlibat rasuah, mengamalkan politik wang untuk merebut jawatan dan pangkat serta mementingkan kaum keluarga untuk mengaut keuntungan material dengan melupakan agenda rakyat.
Orang bukan Melayu juga menyokong PAS dengan harapan parti itu boleh membetulkan sistem pemerintahan di bawah BN yang ketika itu sedia goyah dan jelas mudah ditumbangkan. Ini ditambah buruk dengan anggapan kekuasan dan penguasaan Umno kononnya dalam kerajaan bersama parti komponen lain dalam BN sukar digugat setelah menjadi pemerintah selama lebih 50 tahun.
Ternyata mereka lupa bahawa pemimpinnya sudah melakukan banyak kerosakan yang jelas di mata rakyat akibat lupa diri serta menampakkan ruang kebocoran sikap buruk satu dua kerat pemimpin yang ketara gelojoh menggunakan kuasa dan pengaruh untuk mengaut keuntungan peribadi dan kroninya bagi meneruskan agenda peribadi tanpa menghiraukan sensitiviti rakyat bawahan.
Kemenangan PAS dalam banyak tempat termasuk di kawasan bukan Melayu adalah bukti sokongan kaum bukan Melayu kepada agenda perjuangan Islam yang dibawa PAS untuk memberi alternatif kepada cara pentadbiran yang lebih adil dan saksama.
Orang Muslim terutama yang muda dan berpelajaran berharap PAS dapat memberi pilihan terbaik kepada cara pentadbiran yang sesuai dan selari dengan tuntutan agama bagi melahirkan pemimpin yang besih dan bermoral tinggi serta mengwujudkan negara berkebajikan yang mementingkan keperluan rakyat terbanyak.
Orang Melayu dikatakan boleh berharap kepada PAS dan PKR untuk membela kehidupan mereka sementara bukan Melayu boleh bergantung kepada kepada DAP dan juga PKR. Mereka bergabung atas nama Pakatan Rakyat bagi memberi saingan kepada BN.
Pemimpin PR bersedia melupakan perbezaan ideologi ketara parti masing-masing bagi satu misi perjuangan menumbangkan BN dan menubuhkan kerajaan baharu yang dijanjikan lebih merakyatkan rakyat tanpa mengira kaum.
Berbagai janji-janji besar dan manis ditaburkan untuk mengambil hati rakyat dalam pilihan raya Mac 2008 lalu seperti kerajaan berkebajikan, sistem pentadbiran cara Khalifah Umar Abdul Aziz, pemberian biasiswa kepada semua rakyat, pemberian sumbangan wang saguhati istimewa kepada rakyat yang memerlukan, penurunan cukai tertentu dan berbagai insentif lain bagi memikat mereka dengan harapan rakyat memilih parti mereka menggantikan pemerintahan BN yang sedia bermasalah.
Tenyata janji-janji besar dan manis itu tergendala dan setengahnya belum terlaksana langsung sehingga kini. Rakyat yang mengundi menanti dan menagih janji seperti yang diharapkan tetapi kebanyakan pemimpin PR masih dibuai kemenangan luar biasa mereka menawan lima negeri (kini tinggal empat), menuntut berbagai hak istimewa yang tidak sepatutnya, mencari kelemahan kerajaan terdahulu yang tidak perlu, pertikaian sesama sendiri tanpa menyedari mereka belum melunaskan janji-janji pilihan raya yang sepatutnya didahulukan lebih dari agenda lain.
Mereka asyik berpolitik dan berselisih atas agenda masing-masing yang sesetengahnya cuba menjatuhkan rakan pemimpin lain yang tidak sehaluan. Setengah pihak cuba menjuarai isu-isu sensitif yang menyentuh hak perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu tanpa menyedari banyak isu lain yang lebih relevan boleh dibangkitkan demi rakyat.
Ahli Parlimen dan Dun yang menang daripada PR sepatutnya bersyukur bahawa kemenangan luar biasa yang dihadiahkan rakyat dalam pilihan raya lalu harus dibalas dengan tanggungjawab ikhlas dan kerja keras bagi membela kehidupan rakyat yang lebih baik, bukan retorik politik yang sedap didengar tapi tidak mendatangkan hasil.
Benar juga kebimbangan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa PR boleh pudar dan ditolak rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti jika mereka gagal merapatkan perbezaan dan bersatu pandangan dalam agenda yang lebih besar. Jika masing-masing parti masih melihat kepentingan kaum dan agama masing-masing lebih besar dari agenda kepentingan rakyat terbanyak, sukar bagi mereka mengelak ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Jangan asyik menyalahkan dan membongkar keburukan pemimpin Umno/BN saja tetapi perlulah menyelami dan mengakui kesilapan sendiri. Rakyat kini semakin bijak dan boleh menilai apa yang berlaku di depan mata dengan pandangan yang kritis.
Rakyat mahukan perubahan dan perlaksanaan janji yang sudah ditabur dan bukan cakap-cakap politik manis yang tidak berkesudahan tanpa membawa keuntungan kepada kehidupan mereka. Rakyat mahu agenda pembangunan yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka demi kelangsungan kehidupan yang ketara terhimpit dan sukar dalam situasi ekonoimi dunia yang belum pulih.
Pemimpin yang bertanggungjwab harus memikirkan agenda rakyat terbanyak tanpa mengira kaum dan mempunyai niat yang jelas dan bersih.
Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang melaksanakan apa yang dikata dan menjuarai impian rakyat seperti yang dihajatkan.
Safar Jumaat :10 budak hitam: Boikot..senyap...serang
Mereka masih belum puas hati dengan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar masih kekal walaupun pelbagai usaha menjatuhkannya dijalankan, termasuk menggugat kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.
Mula-mula, mereka memboikot persidangan DUN. Alasan yang digunakan ketika memboikot persidangan itu, mereka menerima SMS bernada ugutan yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Tindakan memboikot itu selesai dengan campurtangan Perdana Menteri (PM) yang mengarahkan kesemua ‘10 Budak Hitam’ mesti menghadiri persidangan.
Lebih menarik, Menteri Besar ketika ditanya wartawan adakah beliau akan memujuk ’10 Budak Hitam’ ini supaya menghadiri persidangan DUN, dengan bersahaja menjawab, “tidak sama sekali.”
10 Budak Hitam merasakan mereka sudah berjaya dalam usahanya ‘menjatuhkan’ Ahmad apabila jawatan Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri terlucut. Besorak-sorai mereka ini dengan perkembangan itu dan mengharapkan jawatan Menteri Besar juga akan terlucut.
Gerakan mereka ini akhirnya menyebabkan Hishammuddin menjemput semua ketua-ketua bahagian dan semua ADUN-ADUN BN mengadakan pertemuan dengannya dalam dua sessi di Pejabat Menteri Dalam Negeri.
Khabarnya, salah seorang anggota ‘10 Budak Hitam’ mencaci kepimpinan Ahmad di depan Hishammuddin yang didengari sendiri Ahmad dan Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut sumber, Ahmad tidak sedikit pun menjawab untuk mempertahankan dirinya sebaliknya mendengar dengan penuh sabar cacian dari salah seorang orang kuat ‘10 Budak Hitam’ ini.
Mereka melakukan semua ini dengan harapan Hishammuddin akan melantik pegawai-pegawai Badan Perhubungan Umno Negeri dari kalangan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka tahu hubungan Hishammuddin dengan Idris dikatakan cukup intim – namun apa yang mereka mahukan tidak terjadi.
Pusingan kedua, 10 Budak Hitam menghadiri persidangan DUN tetapi kesemuanya ‘menjahit mulut’ tanda memprotes. Ahmad ketika memberi komen tentang sikap berdiam diri 10 Budak Hitam ini dengan kata-kata, “sudah ada perubahan terhadap mereka ini. Dulu mereka tak datang langsung, sekarang mereka dah datang,”
Dengan lain perkataan, strategi yang diatur 10 Budak Hitam nampaknya tidak menjadi. Apa sahaja mereka buat, Ahmad menganggapnya sebagai positif. Maknanya, Ahmad tidak terganggu dengan karenah 10 Budak Hitam. Ini yang menyebabkan 10 Budak Hitam terpaksa merubah strategi dengan menghadiri persidangan dan bercakap.
Kali ini mereka bukan sekadar bercakap, malahan menggunakan ‘ledakan bom’ – meminjam kata-kata Ahmad (Harakah muka surat N8, Bil 1499 – 25-27 Disember 2009 bertajuk Sidang Dun Terengganu kembali ‘panas’ ADUN BN ‘serang’ MB Terengganu) ketika menjawab serangan dari ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah dan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam dalam persidangan baru-baru ini.
Paling ketara, sebelum ini sudah kedengaran ‘10 Budak Hitam’ mengadakan pertemuan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi usaha mereka untuk melompat tidak mendapat sambutan.
Tidak pula diketahui apakah ada ‘amaran secara senyap’ dari Kuala Lumpur terhadap ‘10 Budak Hitam’ ini kerana selepas mereka mengeluarkan kenyataan mahu melompat parti, seolah-olah ‘lompatan’ mereka tidak melepasi palang yang diletakkan di hadapan mereka.
Apakah strategi 10 Budak Hitam ini akan bertukar lagi selepas ini apabila mereka kemudiannya dilibas oleh Ahmad ketika menjawab serangan dan ledakan bom ini? Atau, mereka akan menggunakan strategi senyap dengan menjadikan Kuala Lumpur tempat mereka memburuk-burukan kepimpinan Ahmad?
Dari mereka yang rapat dengan Ahmad mendakwa, dari 10 ADUN yang menentang Ahmad ini, sudah enam ADUN kembali bersama-sama Ahmad dan tidak mahu lagi terlibat dengan ‘10 Budak Hitam’ yang berketuakan Idris Jusoh.
Tidak hairanlah jika hanya Alias dan Din sahaja yang kelihatan beria-ia sangat bercakap dalam persidangan DUN kali ini, itu pun selepas Din dikatakan diberikan jawatan di Kuala Lumpur oleh Hishammuddin, sebagai ‘upah bertukar haluan’ dari tidak menyokong Ahmad kepada menyokong Ahmad.
Sambil bergurau, seorang penganalisis politik di Kuala Lumpur membuat komen, kononnya keberanian Din itu sebagai ‘persembahannya’ di hadapan Idris yang turut memerhatikan gelagat 10 Budak Hitam. Siapakah yang masih ‘lulus ujian’ dan siapakah yang sudah meninggalkan Idris kerana ‘kembali ke pangkal jalan’.
Din mungkin mahu terus ‘hidup di depan Idris, terus hidup di depan Hishammuddin’ dan tidak apalah jika terpaksa ‘menjadi cacing kepanasan’ bila berdepan dengan Ahmad. Maklumlah, Din mungkin merasakan dia lebih layak menjadi Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad kerana di bawah pentadbiran Idris, Ahmad dan Din adalah Exco Idris.
Din lupa, Ahmad adalah orang lama dalam Umno/BN Terengganu yang menyebabkan Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan, beliau adalah yang paling senior di kalangan ADUN-ADUN Terengganu yang ada sekarang, termasuk Idris.
Namun kenyataan Ahmad yang mengatakan beliau paling senior tidak dihiraukan Idris dan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka memang tidak dapat menerima Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu kononnya kerana Ahmad bukan dipilih atas kehendak pucuk pimpinan parti sebaliknya Ahmad hanya dikehendaki Istana Terengganu.
Itulah sebabnya, ada ADUN BN Terengganu yang sanggup mengoncang pagar istana kerana mahu menunjukkan protes kepada pihak istana, bahawa mereka tidak bersetuju dengan kehendak istana tetapi mahu Idris atau Datuk Rosol Wahid atau Din atau Alias atau, si anu-si anu boleh jadi MB Terengganu, asalkan bukan Ahmad.
Sunday, December 27, 2009
Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.
Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.
Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.
Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.
“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.
Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.
Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.
Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.
Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.
Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.
Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.
Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.
Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.
Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.
Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.
Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.
Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.
Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.
Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.
Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.
Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.
Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.
Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.
Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.
“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka. (harakahdaily)
Tok Pepijat :Kenali Orang Kelantan yang "murtad"
Tentang budu, mereka sanggup pikul gelen budu masuk ke perut kapal terbang jika mereka merantau jauh atau balik dari bercuti di kampung halaman. Begitu juga "kecek" mereka. Mereka tetap amalkan loghat mereka di mana jua berada.
Bahkan ramai rakan-rakan mereka dari negeri lain terikut-ikut dengan "kecek Kelantan". Malah ada rakyat Mesir dapat bercakap loghat Kelantan hasil pergaulan dengan pelajar Kelantan di Mesir. Begitu kuat pengaruh budaya mereka.
Kesatuan komuniti rakyat Kelantan juga tinggi. Lihatlah semasa Final Piala Malaysia 2009. Ramai rakyat Kelantan yang tinggal, bekerja dan belajar di sekitar Lembah Kelang "turun" ke Stadium Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.
Sifat budaya kesatuan komuniti ini di bawa oleh mereka bertujuan untuk tolong menolong dan saling bantu membantu. Jika orang Cina boleh wujudkan "China Town" di seluruh dunia, orang Kelantan juga telah mewujudkan "Kelantan Village" di seluruh negara.
Dengan 3 aspek budaya di atas tadi iaitu budu, loghat dan kesatuan melahirkan orang Kelantan yang berjiwa bebas, merdeka, punya jati diri , bijak berpolitik, sayang dan kasih kepada negeri mereka.
Mana-mana orang Kelantan yang "menjauhi" dari 3 aspek budaya itu, akan dipinggirkan dan di gelar sebagai "Ore Kelate ye murtad" ! Jika ada orang Kelantan yang "kecek bahasa luar" sesama sendiri akan mendapat label "murtad". Begitu juga yang tidak bergaul dengan komuniti sendiri dan mengutuk dan tidak membela negeri sendiri juga bakal di gelar demikian.
Dalam kes royalti, suatu sikap yang aneh lagi pelik apabila ada orang Kelantan tidak "satu hati" menuntut hak negeri mereka sendiri. Alangkah peliknya nama-nama besar seperti Awang Adek, Mustafa Mohammad, Ibrahim Ali dan Anuar Musa "bersungguh-sungguh" menafikan hak Kelantan mendapat royati minyak.
Mereka semua punya pengaruh di Putrajaya. Mereka juga anak jati Kelantan. Mana dia sifat jati diri, kesatuan komuniti dan sayang kepada bumi kelahiran ?
Berlainan isu pampasan Empangan Pergau tahun 1991 dahulu. Semua rakyat Kelantan "satu hati" menyokong tuntutan TG Nik Aziz terhadap pampasan dari TNB.
Kalau Ahmad Maslan maupun Samy Vellu menentang hak royalti Kelantan, itu bukannya suatu yang pelik. Tetapi ini mereka adalah anak kelahiran Jeli, Bachok, Melor dan Pasir Mas. Bukan lahir kat Sungai Siput !
Mungkin pembesar-pembesar Kelantan ini sudah lama tidak makan budu, kecek bahasa luar dan asyik bergaul dengan orang Kuala Lumpur. Inikah orang Kelantan yang "murtad" ?