Friday, June 25, 2010

Zukri Aksah : APCO: Kembali semula 'Residen British'

Sudah banyak yang diperkatakan tentang peri wujudnya APCO Worldwide, sebuah firma perunding perhubungan awam antarabangsa di Malaysia, yang telah dibukti digajikan oleh Kerajaan Malaysia sebagai perunding imej, media dan perhubungan awam di negara ini.

Sudah pun juga diperkatakan tentang keanggotaan Majlis Penasihat Antarabangsa APCO yang mana telah memunculkan nama-nama seperti Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Bahagian Perlindungan dan Keselamatan serta bekas pegawai keselamatan berpangkat kanan dalam Agensi Keselamatan Israel, Itamar Rabinovich, bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat dan bekas Presiden Universiti Tel Aviv, serta Shimon Stein, bekas Duta Israel ke Jerman dan bekas Menteri serta Pengarah Bahagian Kawalan dan Pelupusan Senjata, Kementerian Luar Israel.

Yang jarang diperkatakan pula ialah APCO juga berafiliasi dengan dua organisasi lain iaitu ASERO Worldwide dan Global Political Strategies.

ASERO Worldwide dikatakan mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan dengan isu keselamatan dalam negeri. Pengasas, Presiden dan CEO ASERO adalah Doron Bergerbest-Eilon, salah seorang ahli Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Worlwide, yang juga berdasarkan biodatanya adalah bekas Ketua Bahagian Perlindungan dan Keselamatan serta bekas pegawai keselamatan berpangkat kanan dalam Agensi Keselamatan Israel.

Global Political Strategies pula telah disahkan mempunyai kepentingan langsung APCO Worldwide di dalamnya. Antara perunding/pengasasnya adalah Itamar Rabinovich, juga salah seorang ahli Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Worlwide, bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat, bekas Presiden Universiti Tel Aviv dan bekas Ketua Perunding dengan Kerajaan Syria di bawah Yitzhak Rabin. Perunding/pengasas Global Political Strategies yang lain adalah Shimon Stein, seorang lagi ahli Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Worldwide yang juga bekas Duta Israel ke Jerman dan bekas Menteri serta Pengarah Bahagian Kawalan dan Pelupusan Senjata, Kementerian Luar Israel.

Saya bukan mahu menjawab persoalan mengapa perlunya sebuah firma yang mempunyai kepentingan dan pengaruh besar pakar-pakar dari Israel beroperasi di sini, atau mengapa tergamaknya Kerajaan Malaysia “berzina” dengan pakar-pakar dari negara haram ini tanpa ijab kabul yang sah dari sekalian rakyat.

Cuma tertanya-tanya apakah cubaan-cubaan kebelakangan ini untuk menghambat atau menghalau APCO keluar dari Malaysia tepat pada masanya, atau sedikit sudah terlambat?

Ini kerana nikah haram APCO bukan setakat berlaku dengan Kerajaan Malaysia, ia juga sudah berpoligami dengan seluruh negara ASEAN, APCO Worlwide juga menjadi perunding kepada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)! Bahkan APCO dalam laman webnya dengan bangga memasukkan ASEAN sebagai salah satu dari senarai kajian kes kliennya yang berjaya.

Menariknya bila membaca penyelesaian-penyelesaian yang diberi oleh APCO kepada negara-negara ASEAN, terutama hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, harus tidak dilupakan bahawa Presiden ASERO Worldwide, yang juga salah seorang ahli Majlis Perunding Antarabangsa APCO Worlwide, Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Bahagian Perlindungan dan Keselamatan serta bekas pegawai keselamatan berpangkat kanan dalam Agensi Keselamatan Israel adalah pakar dalam hal-hal keselamatan dalam negeri ini.

Penyelesaian pertama, atau lebih tepat utama yang diberi oleh APCO Worldwide kepada negara-negara ASEAN adalah membangun dan menyampaikan mesej-mesej utama serta kit media berkaitan dengan perdagangan dan keselamatan di Asia Tenggara.

Lalu saya terfikir, patutpun dahulunya wujud istilah KMM, dari Kumpulan Mujahidin Malaysia menjadi Kumpulan Militan Malaysia, istilah-istilah ini pula diulang sebut dengan begitu hebat di media semata-mata mahu mewajarkan satu undang-undang yang tidak pernah lekang dari kontroversi, ISA! Apakah ini juga lahir dari kit media yang dibekalkan oleh APCO? Apakah Jemaah Islamiyah (JI) adalah istilah KMM versi ASEAN yang juga dicipta oleh APCO?

Apakah dari segi keselamatan dalam negeri, APCO membantu negara-negara ASEAN, melalui permainan media, mencipta omongan ancaman daripada puak pelampau Islam (kononnya), semata-mata kerana mahu menerbitkan rasa takut di kalangan rakyat supaya terus berharap dan bergantung kepada pemerintah sedia-ada, lalu semakin lemahlah gerakan pembangkang di negara-negara ini, maklumlah APCO sekarang bermajikankan kerajaan-kerajaan ASEAN yang sedia-ada ini.

Saya turut jadi terfikir, logiklah dalam sektor perdagangan dan ekonomi, setiap kali wujud masalah, media akan menjadi galak dan birah bermain dengan isu serangan luar, agen asing, agen IMF dan sebagainya. Apakah ini juga sebahagian dari bahan yang terkandung dalam kit media yang dibekalkan APCO Worldwide kepada negara-negara seperti Malaysia?

Secara kasarnya, apa yang nampak jelas, APCO pada kebiasaannya digaji oleh kerajaan-kerajaan yang sedang diselubungi rasa takut akan kehilangan kuasa, sebaliknya tanpa sedar kerajaan-kerajaan ini berisiko untuk mendedahkan rahsia-rahsia sulit dan strategik negara kepada sekumpulan pakar strategi Israel @ Yahudi!

Saya melihat, andaikata Yang DiPertuan Agung berkenan sekalipun supaya sebuah suruhanjaya diRaja ditubuhkan bagi mempertimbang kedudukan APCO Worldwide di Malaysia, ia hanya tindakan sebelah pihak, umpama memohon fasakh sebuah perkahwinan. Ini pula adalah perkahwinan haram Kerajaan Malaysia dengan APCO tanpa restu rakyat. Kalau berkahwin pun secara haram, apakah kerajaan sanggup berdepan dengan rakyat untuk berfasakh dengan APCO secara halal?

Lebih teruk dari itu, kalaupun berjaya bercerai, apa jaminan hubungan ini akan terputus? Lebih-lebih lagi APCO sekarang bukan hanya perunding Kerajaan Malaysia, tetapi juga perunding bagi ASEAN, dan seperti yang dinyatakan oleh APCO sendiri, mereka bekerjasama rapat dengan Sekretariat ASEAN yang sekarang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia.

Nampaknya, "Residen British" telah wujud semula di Asia Tenggara dalam bentuk APCO. Yang mengikuti sejarah harus mengetahui bahawa perlantikan Residen British adalah permulaan kepada terjajahnya seluruh kepulauan Melayu.

Tunggu apa lagi? Bangkitlah rakyat untuk memfarakkan perkahwinan haram ini.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26023:apco-kembali-semula-residen-british&catid=104:zukri-aksah&Itemid=140

Haris Zalkapli : Siapa sebenarnya agen Yahudi?

Umno kini dikemukakan dalam sesetengah blog dan media propembangkang sebagai mempunyai hubungan dengan "Yahudi." Apa yang ditulis dan cuba diterangkan sebenarnya tidak jelas dan sangat superfisial, kerana tiada siapa yang dapat menunjukkan dengan terperinci bagaimana hubungan itu memberi kesan kepada dasar dan tindakan Umno dan Barisan Nasional.

Secara mudah, yang penting dalam mesej itu ialah mengaitkan Umno dengan Yahudi, memainkan sentimen naif dan tersasar sebahagian pembaca dan pengikut pembangkang yang bencikan Umno.

Ekoran tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak memanggil pulang wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria kerana mengundi menentang resolusi berhubung kawalan nuklear terhadap Iran, Malaysia dan perdana menteri mendapat kritikan banyak pihak.

Tindakan itu, yang menempatkan Malaysia bersama Cuba dan Venezuela itu telah mengejutkan kerajaan Malaysia kerana tidak selari dengan sikap Malaysia, yang seperti biasa tidak menunjukkan penentangan terhadap kuasa-kuasa besar.

Bagi sesetengah pihak, insiden ini dijadikan hujah menjelaskan pentadbiran Najib sebenarnya rapat dengan AS, walaupun Umno begitu keras dengan kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan "agen Amerika Syarikat/Yahudi."

Hakikatnya, "Yahudi" seperti dikemukakan oleh banyak pihak dalam debat politik di negara kita tidak menjelaskan banyak perkara dan mungkin juga memberikan satu gambaran yang salah.

Banyak organisasi dan kumpulan masyarakat sivil dikuasai Yahudi (dan bukan mengikut maksud yang difahami oleh orang ramai), dengan matlamat yang berbeza-beza. Kumpulan ini mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin politik Malaysia.



Hubungan baik pentadbiran Najib dengan Barat dan "Yahudi" juga tidak secara automatik bermakna parti-parti lain anti-Barat dan tidak mempunyai hubungan dengan "Yahudi."

Gambaran-gambaran seperti "Barat," "dikuasai Yahudi" dan sebagainya hanya memperbodohkan lagi rakyat Malaysia yang mengikuti wacana politik di media, terutama yang menelan segala yang dikemukakan oleh media yang mereka percaya sebagai ayat-ayat suci.

Hal yang sama melibatkan istilah "Barat." Kritikan Mahathir tidak bermakna pentadbiran beliau dulu tidak sehaluan dengan Barat, terutama AS, kerana Mahathir sendiri mencapai satu perjanjian ketenteraan dengan AS semasa pentadbirannya.

Dasar luar ialah satu ruang politik yang pragmatik yang sentiasa mempunyai hubungan dengan politik dalaman. Dasar luar mudah digunakan untuk keperluan politik dalaman, dan mudah juga ditutup daripada audiens dalam negara.

Contohnya, ucapan-ucapan pemimpin negara di PBB memberikan impak yang kecil di sana, tetapi dikemukakan dengan gah kepada audiens dalam negara untuk keperluan politik dalaman.

Parti-parti politik Malaysia juga mengendalikan pelbagai isu global, contohnya Palestin, berdasarkan keperluan masing-masing. Ada parti yang menunjukkan kesungguhan dan ada yang mengabaikan isu tersebut.

Kuala Lumpur, semasa di bawah pentadbiran Mahathir, menyokong usaha AS menyerang Iraq melalui persetujuan Majlis Keselamatan PBB, walaupun pada masa sama mengambil sikap kritikal kepada AS.

Tidak ada yang mudah dalam hubungan antara negara, disebabkan kepentingan-kepentingan lain yang berkait. Malaysia tidak akan mengambil sikap yang bertentangan dengan AS, tetapi pada masa sama berbangga dengan kedudukannya sebagai anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Kedudukan Malaysia dalam NAM dan OIC tidak secara automatik menjadikan sikap Malaysia sentiasa sehaluan dengan semangat dua organisasi ini. Beberapa minggu lalu, perdana menteri sendiri mengeluarkan kenyataan pendek menyokong Arab Saudi dalam tindakan ketenteraannya ke atas sebuah kumpulan di utara Yaman.

Kenyataan itu tidak mengandungi saranan usaha damai tetapi hanya menunjukkan sokongan penuh kepada Arab Saudi.

Satu tindakan atau kenyataan - atau tulisan di blog - tidak memberikan gambaran sebenar tentang dasar sesebuah kerajaan. Setakat ini, hubungan kerajaan Malaysia - sama ada di bawah Mahathir atau Najib - berada pada tahap yang rapat dengan AS, dan tidak kelihatan beza yang besar melibatkan kerajaan pada masa ini dengan pentadbiran-pentadbiran sebelumnya.

Yang pasti ialah dasar luar kekal sebagai satu ruang politik yang mempunyai hubungan jelas dengan politik dalaman, dan akan sentiasa berdepan manipulasi untuk kepentingan politik tertentu.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23752:siapa-sebenarnya-agen-yahudi&catid=103:haris-zalkapli&Itemid=139

Mohd Rashidi Hasan : Chua Jui Meng mangsa Umno?

DATO' Chua Jui Meng begitu tenang apabila diarahkan Istana Johor memulangkan tiga pingat darjah kebesaran iaitu Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Sultan Ismail (PIS).

Dalam sidang medianya, bekas Menteri Kesihatan itu berkata surat rasmi mengesahkan bahawa darjah kebesarannya (DPMJ dan SPMJ) itu ditarik balik diterimanya pada 15 Jun lalu dan tiada alasan berhubung penarikan berkenaan diberikan.

Menurut bekas Naib Presiden MCA itu, beliau akan memulangkan pingat ketiga ke Istana selepas memaklumkan kepada Setiausaha Jemaah Majlis Di Raja Johor, Dato Abdul Rahim Ramli yang menghubunginya pada 10 Jun lalu.

"Saya dengan berlapang dada akan menghantar balik (pingat itu) kepada istana. Ketiga-tiga pingat itu saya akan pulangkan kepada Istana Johor," katanya yang juga Ahli MPT KeADILan.

Sebelum ini pihak Jemaah Majlis DiRaja Johor menjelaskan, penarikan pingat tersebut adalah di atas kuasa Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan baginda tidak perlu memberikan alasan mengapa tindakan tersebut dilakukan.

Alasan yang diberikan hanyalah, oleh kerana terdapat beberapa orang lain, yang turut ditarik balik pingat, maka dengan sebab itu tiada pihak yang harus mempertikaikan kuasa sultan.

Secara jelas dipertegaskan di sini, tidak ada sesiapa pun yang hendak mempertikaikan kuasa sultan, tetapi semua pihak harus beringat, bahawa kita hidup dalam sebuah negara demokratik, berperlembagaan dan menjamin hak asasi rakyat. Kita bukan hidup di zaman feudal, kita juga tidak ditadbir pemerintah secara diktator.

Apabila kita menjunjung prinsip demokrasi, maka pada setiap pertuduhan, larangan, arahan dan tindakan, seharusnya disandarkan dengan justifikasi.

Maka apakah justifikasinya, pingat yang dikurniakan kepada Jui Meng ditarik balik? Apa kesalahan beliau? Apakah beliau terbabit dengan jenayah? Apakah tindakan beliau yang boleh disabitkan sehingga kesemua pingat ditarik balik?

Apakah pingat beliau ditarik balik kerana beliau aktif dalam KeADILan dan gerak kerjanya di Johor sudah memberikan impak kepada Umno-Barisan Nasional?

Dalam hal ini, sudah tentu negeri Johor, malah di kesemua negeri, pihak istana ada mempunyai pra-syarat atau kriteria pemberian pingat, mahu pun penarikan balik pingat.

Pengurniaan darjah kebesaran sama ada oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan mahu pun Yang DiPertua Negeri, pada asasnya adalah suatu bentuk pengiktirafan kepada seseorang, sama ada ahli politik atau pegawai kerajaan, di atas jasa-jasa mereka terhadap negara dan negeri.

Justeru penarikan balik darjah kebesaran, akan dilihat oleh rakyat, sebagai suatu bentuk hukuman ke atas mereka, di atas kesalahan yang dilakukan.

Dalam konteks Jui Meng misalnya, rakyat tertanya-tanya apakah salah beliau? Takkan tanya pun tidak boleh? Jangan salahkan rakyat, apabila rakyat mempunyai persepsi yang tersendiri terhadap tindak tanduk pemerintah yang kurang jelas.

Barangkali dari sudut undang-undang, Chua Jui Meng tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan penarikan darjah kebesaran kepadanya, tetapi beliau konsisten mendakwa, Umno berada di sebalik tindakan tersebut.

Rakyat juga beranggapan bahawa tindakan diambil ke atas Jui Meng, adalah berikutan daripada dendam politik Umno ke atas beliau.

Hari ini Jui Meng menjadi mangsa. Mana tahu selepas ini pemimpin PAS juga dimangsakan? Suara-suara yang didalangi Umno pernah menggesa Sultan Perak menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Barangkali Umno berfikir dengan penarikan balik pingat akan menjejaskan kredibiliti bekas Menteri Kesihatan ataupun bekas MB Perak, namun ia hanya mencetuskan lebih banyak sokongan terhadap Pakatan Rakyat dan menajamkan kebencian terhadap Umno-BN.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27279:-chua-jui-meng-mangsa-umno&catid=90:mohd-rashidi-hasan&Itemid=128

Mohd Rashidi Hasan : PAS alternatif ganti Umno

UCAPAN dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-55 di Kelantan lebih memfokuskan kepada pembinaan kekuatan PAS.

Fokus ini ditekankan bukan kerana PAS tidak kuat sekarang ini. PAS diakui kawan dan lawan sebagai sebuah parti Islam yang menjadi teras dan harapan orang-orang Melayu, kuat serta dinamik.

PAS kini, berada di atas landasan yang betul iaitu PAS mesti menyediakan dirinya menjadi pengganti Umno, sebagai tonggak pemerintahan dalam negara.

Kita tidak bercakap soal rasis di sini. Soalnya ialah semua pihak harus menerima hakikat bahawa orang-orang Melayu merupakan kaum majoriti dalam negara, yang mempunyai suara yang lebih dan menjadi kaum penentu arus pemerintahan negara.

Oleh itu maka, parti yang mendapat sokongan terbesar orang-orang Melayu, maka parti itulah yang akan menjadi teras pemerintahan negara.

Sudah lebih 50 tahun Umno menjadi parti teras yang amat berkuasa dalam negara. Namun sejak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 yang lalu, dominasi Umno sejak sekian lama sudah dihentikan rakyat.

Walaupun pentadbiran Umno bertukar Presiden, pemerintahan negara bertukar Perdana Menteri, namun sehingga kini, kedudukan Umno yang tercalar teruk masih tidak mampu dipulihkan.

Sebenarnya, Melayu sudah lama menunjukkan sikap menolak Umno. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-10 1999 memberi petanda bahawa Melayu sudah semakin menolak Umno.

Trend penolakan terhadap Umno dari kalangan Melayu, kekal pada PRU 2004 dan 2008. Menerusi perbandingan tiga PRU iaitu 1999, 2004 dan 2008, graf turun naik pengundi Melayu hanya di sekitar 5 peratus sahaja. Ini membawa makna, majoriti Melayu yang mengundi PAS dan pembangkang pada 1999 hingga sekarang, masih kekal dan tidak berubah.

Oleh kerana itu, jikapun diadakan PRU ke-13 dalam waktu yang terdekat ini, harapan Umno untuk mendapat undi lebih dari kalangan Melayu amat terhad dan terbatas.

Sebab dan punca penolakan orang Melayu terhadap Umno begitu banyak. Hakikat daripada penolakan ini ialah, Umno tidak lagi mendapat kepercayaan orang-orang Melayu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan. Umno tidak lagi diterima menjadi parti yang melindungi kepentingan Melayu dan Islam dalam negara.

Dalam keadaan politik Malaysia yang disusun sedemikian rupa, maka tidak ada pilihan lain bagi PAS, selain memperkukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu atau 'Malay belt'.

Maka dengan itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya, mengajak semua NGO Islam yang secara relatifnya dianggotai ramai kalangan orang Melayu, untuk bernaung di bawah PAS.

Hanya PAS yang boleh diharapkan untuk menjaga dan melindungi, bukan sahaja kepentingan Melayu-Islam, malah menjaga kepentingan semua kaum.

NGO harus sedar bahawa Umno tidak punyai masa depan dalam negara. Umno gagal bukan kerana idealismenya tidak baik untuk Melayu dan Islam, tetapi ia gagal kerana ia dianggotai oleh kalangan pemimpin dan ahli yang tidak memahami, serta tidak mengamalkan apa yang diperjuangkannya.

Umno tidak boleh diharap kerana ia ditunjangi oleh pemimpin dan ahli yang berkepentingan, korup dan rosak akhlak.

Dari sudut kepimpinan, amali perjuangan, disiplin dan akhlak, pemimpin PAS jauh mengatasi Umno. PAS berjaya melahirkan kepimpinan yang bersih dan berwibawa.

PAS harus bersyukur kerana sepanjang 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepenggal di Terengganu, sebelas bulan di Perak dan dua tahun di Kedah, kini, tiada pemimpin PAS yang boleh dipalitkan dengan rasuah atau salahguna kuasa.

Kualiti dan integriti ini harus dikekalkan. PAS tidak boleh menjadi seperti Umno yang penuh terpalit dengan kebusukan. PAS jangan jadi seperti Umno jika berkuasa sepenuhnya kelak.

Maka, pada Muktamar kali ini, PAS harus memperkukuhkan organisasi dan kepimpinannya. Menjadi parti teras yang menggantikan Umno.

Jauh di sudut hati kita, harus kita letakkan keyakinan bahawa PAS mampu menggantikan Umno. Jika Umno dan Barisan Nasional tewas pada PRU ke-13 nanti, Umno harus dibubarkan dan disimpan dalam muzium.

Dan jika ketika itu, jika orang-orang Umno mahu melihat Melayu terus kukuh dan menjadi tuan dalam negara, maka mereka tidak ada pilihan lain selain menyertai dan menyokong perjuangan PAS.

Maka Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56 kali ini, merupakan platform terbaik untuk PAS membuat anjakan paradigma, menjadi parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27147:-pas-alternatif-ganti-umno&catid=90:mohd-rashidi-hasan&Itemid=128

Umno-BN terdesak, tuduh Presiden PAS penganas

Kerajaan Umno-BN sudah tandus dan hilang modal untuk berhadapan dengan pengaruh dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Isu Jemaah Islamiah (JI) adalah cubaan terkini Umno-BN untuk mengkaburi pandangan umum untuk mengaitkan tokoh Pakatan Rakyat dengan anasir JI.

Memetik laporan Malaysiakini berdasarkan taklimat Keselamatan yang dihadiri oleh pegawai tertinggi polis di sebuah hotel di Sepang malam semalam mengaitkan Presiden PAS Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang dengan JI.

Turut disenaraikan ialah bekas Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Shahidan Kassim. Manakala Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahabi.

Patutlah Perdana Menteri 1Malaysia beria-ia mempertahankan bahawa anasir JI wujud di negara ini. Rupa-rupanya seperti dijangka tokoh Pakatan Rakyat khususnya PAS akan dijadikan sasaran untuk mengkaburi dan mengelirukan rakyat bahawa PAS terlibat dan menaja aktiviti keganasan.

Tuduhan ini merupakan satu penghinaan dan tindakan yang begitu memalukan apabila Umno-BN cukup terdesak dengan menggunakan taktik keji dan kotor mengaitkan tokoh ulama dalam negara yang terkenal dengan ketokohan ilmu serta disegani kawan dan lawan dengan tuduhan yang tidak berasas.

Ternyata, piliuhanraya umum yang semakin hampir menjadikan Umno-BN hilang pedoman dan cuba bertindak di luar batas kemanusiaan serta bertentangan dengan prinsip dan lunas demokrasi.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua pimpinan, ahli dan penyokong pakatan Rakyat agar bertenang serta tidak terpengaruh dengan fitnah dan propaganda yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN untuk memastikan strategi kotor Umno-BN akan memerangkap diri mereka kembali.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27277:-umno-bn-terdesak-tuduh-presiden-pas-penganas&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Ulama masuk Umno, silakan jika mahu pikul maksiat

Siapakah Ulama’ yang tergamak masuk Umno dan bergelumang dengan dosa Umno. Isu kemasukan 100 Ulama’ ke dalam Umno ini dilihat sebagai gimik Umno untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Umno kini mendapat sokongn golongan Ulama’.

Ini semua cerita lama dan skrip lama Cuma pelakon sahaja yang bersilih ganti. Sudah beratus malah beribu Ustaz dan Ustazah menyertai Umno namun apa yang mereka boleh buat. Umno tetap teguh membelakangkan Islam.

Sudah ramai Ulama’ yang masuk Umno tetapi persoalannya adakah Ulama-ulama’ tersebut mampu membuat perubahan dalam parti.

Ulama' Umno yang baru masuk ini kebanyakan hanya duduk di 'kaki lima' Umno jauh sekali dari dilantik ke jawatan penting. Hanya 2 atau 3 kerat sahaja yang digunapakai oleh Umno dan selepas beberapa ketika mereka ditendang begitu sahaja.

Sudah ramai Ulama’ yang menyatakan sokongan terbuka kepada Umno selama ini tetapi adakah Ulama ini berjaya menasihatkan pimpinan Umno sehingga berubah. Contoh paling mudah ialah dalam soal menutup aurat, sudahkah Ulama’ Umno menasihat pimpinan Umno agar diri sendiri dan keluarga menutup aurat dengan betul.

Sudahkan Ulama” Umno menasihatkan kerajaan pusat supaya mengarahkan syarikat GLC atau GOC membayar zakat ?

Sudahkah Ulama’ Umno menasihatkan kerajaan supaya menggunapakai Hukum Islam secara menyeluruh.?

Sudahkah Ulama’ Umno menasihatkan kerajaan pusat supaya menukar sistem ekonomi dan kewangan negara dari berasaskan riba kepada bebas dari RIBA

Sudahkah Ulama’ Umno menasihatkan kerajaan pusat supaya menggunapakai Hukum Islam dengan menghapuskan undang-undang Lord Reid

Sudahkah Ulama’ Umno menasihatkan kerajaan pusat supaya menghapuskan lesen judi, arak, rumah urut, kelab malam dan pusat-pusat maksiat,

Sudahkah Ulama’ Umno menasihatkan kerajaan pusat supaya memerintah dengan adil dan tidak mendiskriminasikan kerajaan negeri-negeri PR.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27253:-ulama-masuk-umno-silakan-jika-mahu-pikul-maksiat&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46

Sindrom penafian

Senario Satu - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, polis menafikan mengaitkan Presiden PAS, bekas Mufti Perlis, Mufti Perlis dan Bekas MB Perlis sebagai pengganas dalam taklimat Bukit Aman. (Baca Mstar).

Timbalan Menteri itu berkata, ada taklimat kedua yang dipersoalkan kerana mengaitkan keempat-empat tokoh tadi dengan keganasan.

Berdasarkan sumber, taklimat kedua itu adalah daripada Pusat Islam. Penyampainya ialah Zamihan Mat Zain, seorang pegawai di situ.

Senario Dua – Zamihan pula menafikan beliau mengaitkan keempat-empat tokoh itu dengan Wahabi dan JI. Kata Zamihan lagi, dakwaan mengenai perkara itu ke atasnya adalah tidak betul, tidak jujur dan dusta (Baca Malaysiakini).

Beliau hanya berkata bekas Mufti Perlis sepemikiran dengan Wahabi berdasarkan buku tulisan Asri yang menyamakan sambutan Maulid Nabi dengan amalan orang Kristian.

Senario Tiga – Bekas Mufti Perlis pula menafikan bahawa beliau pernah menulis seperti yang didakwa oleh Zamihan di dalam buku yang dimaksudkan itu.

Beliau mencabar Zamihan supaya menunjukkan ayat dan muka surat mana yang menyebutkan perkara itu (Baca Malaysiakini).

* * * * * * * * * * * * *

Polis nafi tuduh empat orang itu pengganas. Zamihan juga nafi perkara yang sama. Kedua-dua pihak berlepas tangan. Polis nak jaga Bukit Aman, Zamihan pula nak jaga Pusat Islam. Pihak yang tertuduh telah pun tertuduh.

Zamihan dan Asri pula saling jawab menjawab. Entah siapa yang betul, entah siapa yang silap.

Polis biarkan Zamihan dan Pusat Islam berdepan dengan orang yang dituduh. Polis biarkan Zamihan dan Pusat Islam berdepan juga dengan Asri dan PAS.

Sedangkan isu ini pada asalnya dibangkitkan oleh polis. Perjumpaan ini adalah antara Naib Canselor dengan Ketua Polis Negara.

Tapi hujungnya ialah Zamihan, Asri, Mufti Perlis dan PAS yang menjadi mangsa. Shahidan macam mana?

Aaahh…, dalam isu ini ada atau tiada Shahidan serupa saja.

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27297:-sindrom-penafian&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46