Monday, August 30, 2010

Masuk Surau: Nie Ching temui Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.

"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.

22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.

Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.

"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.

"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu.

Umno jadi macam beruk telan mercun

PERMATANG PAUH, 30 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan, Umno kini tidak ubah seperti seekor beruk yang tertelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit akibat letupan ketika bermain bersama tuannya.

Apa tidaknya, tambah beliau, semua bahan dakyah yang direka khas untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat mahupun memperlihatkan kepada dunia bahawa PAS tidak patriotik terhadap negara akhirnya memakan diri Umno.

Katanya, kenyataan demi kenyataan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin hari kian berkumandang di dada akhbar atau media elektronik menghentam PAS dan Pakatan Rakyat.

"Umno tidak ubah seperti beruk yang menelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit kerana bahan itu meletup. Bila tuan beruk membakar mercun, dia baling ke atas, maka beruk ingatkan benda apa, lalu melompat dan terus memasukan ke dalam mulutnya.

“Apa lagi, pecah mulut binatang tersebut," ujarnya sinis ketika berucap pada program Ihya Ramadhan Perdana di Tapak Ekspo Seberang Jaya, malam tadi.

Turut berceramah ialah Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Halim Husain

Berucap dalam majlis anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri itu, beliau berkata, rakyat kini sudah matang berpolitik dan tidak menunjukkan reaksi terhadap isu yang ditimbulkan Umno itu.

Katanya, Umno BN begitu cemburu apabila melihat PAS bersama DAP duduk sepentas bercakap soal kebajikan rakyat, penyelewengan, penipuan pemimpin Umno dan banyak lagi.

"Fenomena itu yang membimbangkan Umno dan BN. Mereka kecut bila berhadapan dengan pembangkang seperti PAS yang tahu di mana kelemahan parti asobiah itu," jelas beliau.

Menurutnya, ketakutan Umno kepada PAS bertambah teruk apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini berperanan sebagai sebuah sayap terbaru parti untuk berhadapan dengan BN pada masa depan.

Saman Petronas demi maruah rakyat - Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.

"Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.

"Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya," kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.

Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.

"Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami," katanya lagi.

Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.

"Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini," katanya lagi.

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.

"Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya.

Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.

Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.

Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.

"Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan," katanya.

Sunday, August 29, 2010

Fitnah: Umno seolah rela kutip dosa di Ramadhan

PERMATANG PAUH, 29 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kepimpinan Umno lebih rela kutip dosa daripada pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang Ramadhan dengan melemparkan fitnah semata-mata supaya rakyat terus memarahi kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, Umno juga sengaja mencari publisiti murahan mengaibkan individu yang dilihat janggal selama ini apabila berkhutbah dengan menyebut nama bukan Islam untuk mendapatkan hidayah.

Selain itu, ujarnya mereka sanggup pula menyanggah keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bagi Hal Agama Islam Malaysia yang mengharus kemasukan pelancong bukan Islam ke masjid dan ruang solat asalkan mendapat persetujuan jawatankuasa dengan perlakuan dan tingkah laku tidak mencemarkan kesucian masjid serta sentiasa terkawal dan beradab.

"Kepimpinan Umno lebih nampak dosa dari pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT di bulan Ramadhan. Sepatutnya mereka tidak bertindak begitu seandainya mereka bijak," tegasnya ketika berucap di majlis Ihya Ramadhan Perdana anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Ujar beliau lagi, pemimpin Umno memang ketandusan idea sehingga melakukan kesalahan yqang disifatkan memberikan bola tanggung untuk pembangkang membidas dengan sepakan kuda sepertimana aksi pemain sepak takraw Thailand.

Katanya, segala tuduhan terhadap dua isu terbaru itu jelas menunjukkan kejahilan para pemimpin Umno sendiri malahan menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian ahli Umno yang bijak menggunakan fikiran.

Sebenarnya, kata beliau tindakan itu yang dianggap Umno boleh memerangkap PAS dan Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya menjatuhkan maruah parti asobiah itu sendiri yang kononnya mewakili serta mementingkan orang Melayu selama memerintah melebihi 53 tahun setelah negara mencapai kemerdekaan.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendesak Umno supaya berhadapan dengan PAS dan Pakatan Rakyat secara 'anak jantan' dalam gelanggang politik dengan tidak mencampuradukkan isu perkauman dan agama untuk meraih simpati orang Melayu.

"Persilakan jika Umno 'anak jantan' berada dalam gelanggang sebenar, jangan pula kerana terlalu terdesak mereka gunakan orang luar untuk menyerang dan memukul Pakatan Rakyat," ujarnya.

Turut berceramah pada majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik.

Kaitkan PAS, Utusan berdepan saman

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: PAS sedang menimbang untuk mengambil tindakan saman ke atas akhbar Utusan Malaysia ekoran mengaitkan parti itu dengan insiden kunjungan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang Ahad lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada mesyuarat mereka siang tadi.

"Utusan menyiarkan laporan bahawa beliau (Nie Ching) hadir untuk memberi sumbangan kepada Ahli PAS, sedangkan sumbangan tersebut untuk membaiki pagar surau.

"Kita akan ambil tindakan mahkamah, dan saya telah berbincang dengan pengerusi surau tersebut, kita akan saman mana-mana pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah keselamatan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Utusan dalam laporanya 27 Ogos lalu mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada "ahli-ahli PAS".

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena begaimanapun mendakwa, laporan akhbar itu adalah bohong, berniat jahat dan cuba memburukkan imej PAS.

Beliau tidak menolak kemungkinan, akhbar terebut cuba mewujudkan persepsi bahawa kehadiran Nie Ching tersebut untuk berpolitik dalam masjid.

Sementara itu, beliau juga mendakwa Umno telah mendalangi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan memberi maklumat salah kepada Sultan Selangor sehingga Tuanku dudakwa murka.

Ini kerana, tiada sebarang tazkirah yang disampaikan Nie Ching seperti yang didakwa melainkan sekadar ucapan lima minit selepas dijemput berucap oleh jawatankuasa surau.

Selain itu, ucapan ahli parlimen Serdang itu juga jelasnya langsung tidak menyentuh soal politik kepartian melainkan menjelaskan program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

"Saya berani mengatakan bahawa, Mais telah didalangi Umno, menipu pihak Istana.

"Memang tidak ada tazkirah, tidak ada ucapan berkaitan politik dan bukan memberi sumbangan kepada ahli PAS," tegasnya.

Tambahnya, tindakan Umno tersebut telah merugikan Islam apabila masyarakat mungkin berpandangan mereka tidak boleh lagi memasuki masjid atau surau.

Sedangkan kata Mahfuz, itu merupakan salah satu cara dakwah kepada bukan Islam dan sememangnya dibolehkan seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu.

"Kalau tindakan itu salah, Mais bukan kena hantar surat amaran kepada ahli parlimen Serdang, tetapi kena hantar juga kepada Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Friday, August 27, 2010

Imigresen Tidak Amanah, SPRM Tiada Kuasa, Menteri Dalam Negeri Letak Jawatan Segera

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan mempertingkatkan Intergriti dan Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam langkah memerangi rasuah dinegara ini. Laporan Berita Harian pada hari ini mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalangan penguatkuasa Imigresen di Pulau Ketam adalah antara contoh kelemahan sistem pentadbiran negara.

Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara asing ke negara ini.

PAS amat kecewa dengan laporan ini dan mahu Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab meletakan jawatan dan
penguatkuasa yang tidak amanah ini dipecat segera.

PAS yakin bahawa rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.

Kelemahan urustadbir Imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara. PAS mahu rombak besar dibuat dalam organisasi Imigresen dan mahu SPRM membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM), Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya orang-orang politik dalam pentadbiran Kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat.

SPRM seharus menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat dan Menteri. Kerajaan perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.

PAS yakin, begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi Kerajaan kerana setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan kecurangan-kecurangan yang sukar diterima rakyat. Oleh itu setiap Kementerian dan Jabatan Penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM serta meningkatkan intergriti jabatan mereka.

PAS menasihatkan agar para penjawat awam meningkatkan intergriti mereka dan menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya. Tidak semua penjawat awam mengamalkan rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. PAS yakin, amalan rasuah dan kecurangan intergriti ini akan dapat dihapuskan jika pemimpin yang menguruskan kerajaan ini terdiri dari orang-orang yang amanah kerana ikan yang busuk hanya bermula dari kepalanya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Lagi sokongan Kelantan saman Petronas

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Tindakan kerajaan Kelantan yang mahu memfaikan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan Royalti 5 peratus, terus mendapat sokongan pelbagai pihak.

PAS pusat dalam satu kenyataan menyokong penuh usaha tersebut dan mengarahkan ahlinya hadir hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini.

"PAS menyeru agar rakyat, khususnya anak-anak Kelantan dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan exco Kerajaan negeri yang akan menghantar writ saman berkenaan," kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Selain itu PAS juga katanya meminta agar Kerajaan Negeri mengheret sekali Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan bagi menghalang Kelantan menerima hak royalti berkenaan.

Menurutnya, kabinet telah cuba menafikan hak rakyat negeri itu sedangkan Akta 144 Petroleum Development Act 1974 memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Kelantan menuntut hak royalti tersebut.

Selain PAS pusat, kepimpinan PAS di peringkat kawasan di seluruh Lembah Klang juga mula menyeru ahli PAS di kawasan masing-masing untuk sama-sama hadir ke mahkamah pada hari tersebut.

Khidmat Pesanan Ringkas SMS, FaceBook dan Twitter dilihat digunakan sepenuhnya menyebarkan maklumat ini.

Selain itu, Penasihat Persatuan Anak-anak Darul Naim (Persada), Wan Johari Wan Omar juga turut mengarahkan seluruh ahli persatuan itu hadir memberi sokongan.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap tindakan berani kerajaan Kelantan tersebut.

Kelantan akan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada hari Isnin, 30 Ogos ini jam 9 pagi.

Selesai urusan saman tersebut dibuat, satu majlis solat hajat akan dibuat di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dijangka diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.