Monday, October 11, 2010

Dr Azman Ibrahim : Kenapa ‘Tok Guru’ ni suka sebut gilo

Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘kelentong’ penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah Maghrib dan menziarahi kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’. Entah apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP.

Tambahan pula Najib sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.

Entah berapa 'upah' yang diterimanya malam tadi (1 Oktober) sehingga begitu bersemangat sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang). Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’ diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”, “jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Rupanya benar sebagaimana pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda PAS Kelantan bahawa ‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas Umno di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! Kalu tak dak ore nak ganti, biar ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti,” ujarnya angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Malangnya Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang menggambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya. Intipati ceramahnya cuba untuk menggambarkan khianatnya PAS dan PKR bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan gendang dan tepukan hadirin.

Mungkin tak sampai maklumat kepada dia, Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR). Kerajaan Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Datuk Ngeh Kho Ham, Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat Exco supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru Pondok ini yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari lepas telah belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Di samping kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.

Buku Sejarah Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditunjukkan kepada hadirin, “inilah dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia buku Perlembagaan yang sebenar walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun belum tentu dia boleh faham.

“Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang mempertahankan orang Melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” ujarnya, mungkin merujuk kes doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk orang bukan Islam dan dah lama selesai.

Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) negara kita kepada puak-puak gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan padu kepada Datuk Seri Idris, Datuk Abdullah Mohd Zain dan pastikan puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan datang.”

Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak banding dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi dengan langit.

Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.

Sunday, October 10, 2010

PRU 13: Bagaimana kalau Anwar-Ku Li bergabung?

Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.

Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Datuk Patinggi Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).

Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.

Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.

Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang.

Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).

Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.

Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.

Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap Mr.Clean menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenagan yang terlalu besar dalam sejarah politik politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.

Jika tahun 1990 ekoran tekerlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.

Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?

PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.

Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar”

Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umumtahun ke-12 tahun 2008.

Ibrahim Ali memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi

Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).

Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.

Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?

sumber:
http://kalamperantau.wordpress.com

Nasrudin Hassan at-Tantawi : Bagaimana Transaksi Wang Haram?

Muqaddimah

Isu ini bukanlah perkara baru di dalam Islam. Ini kerana hal ini juga pernah berlaku pada zaman Nabi saw apabila Saidina Abu Bakar ra merujuk kepada Baginda saw mengenai wang haram yang diperolehinya.



ولما نزل قوله تعالي: {ألم * غُلِبَتِ الرُّومُ * فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ} [الروم:1-3]، كذبه المشركون وقالوا للصحابة: ألا ترون ما يقول صاحبكم، يزعم أن الروم ستَغلب. فخاطرهم أبو بكر رضي الله عنه، بإذن رسول الله صلي الله عليه وسلم، فلما حقَّق الله صدقه، وجاء أبو بكر رضي الله عنه، بما قامرهم به، قال عليه الصلاة والسلام: "هذا سحت، فتصدَّق به". وفرح المؤمنون بنصر الله، وكان قد نزل تحريم القمار بعد إذن رسول الله صلي الله عليه وسلم له في المخاطرة مع الكفار

Mafhum daripada hadith ini adalah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a pernah bertaruh [di awal Islam sewaktu perjudian belum diharamkan secara menyeluruh] dengan seorang Musyrik [yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah al-Rum ayat 1 dan 2 yang mengisyaratkan kejatuhan Rom] bahawa Kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh maka Saidina Abu Bakar ra telah memperolehi harta pertaruhan itu [ianya haram kerana judi dan tujuan Saidina Abu Bakar ra hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran], apabila Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW menceritakan perihal harta haram yang diperolehi melalui hasil taruhan [judi] itu,

Rasulullah bersabda : "Ini kotor, sedekahkanlah ia". Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir.



Menginfaqkan harta yang diperolehi dari cara yang haram

Pendapat pertama
Dibolehkan untuk menginfaq harta yang diperoleh dari hasil yang haram. Pendapat ini adalah pendapat jumhur.


Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi [1]


“Kebenarannya adalah bahawa harta tersebut adalah kotor [ haram ] dengan dinisbahkan kepada orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik [ halal ] dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan


Haram ke atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana, harta tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu tertentu kerana sebab yang tertentu.


Transaksi harta haram biasanya berlaku dalam 4 keadaan ;

I. Individu tersebut mengambil harta haram itu untuk kegunaan dirinya dan keluarganya. Keadaan ini telah jelas pengharamannya

II. Harta haram [Harta riba’ yang diperolehi melalui system perbankan] dibiarkan kekal dalam bank yang berurus niaga secara riba’. Perbuatan ini juga adalah haram

III. Harta yang diterima atau diperolehi melalui hasil yang haram ini dimusnahkan [dibakar dll]. Hal ini ada di dalam riwayat yang menceritakan hal keadaan salafus-soleh yang wara’. Akan tetapi perkara ini telah ditolak oleh al-Imam al-Ghazali rhm di dalam kitab al-Ihya’.

IV. Harta tersebut digunakan dalam transaksi yang bertujuan kepada kebaikan seperti untuk disedekahkan kepada orang-orang faqir miskin, anak-anak yatim, ibnu al-Sabil ataupun mana-mana pertubuhan kebajikan, dakwah dan kemasyarakatan Islam. Perkara sebegini adalah dibenarkan.



Al-Imam al-Ghazali rhm

Sekiranya ada yang bertanyakan apakah dalil yang membolehkan untuk disedekahkan dengan sesuatu yang haram?, dan bagaimana pula bersedekah dengan sesuatu yang bukan miliknya[2] ?. Sedangkan di sana terdapat sekumpulan [ulamak] yang tidak membenarkan perkara tersebut kerana ia adalah haram. Sememangnya di sana terdapat satu riwayat yang menyatakan al-Fudhail tidak menerima sedekah yang diterima dari hasil yang haram.



Sheikh Atiyyah Saqor [3]

"Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya [harta yang haram] dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).



Imam Ibnu Qayyim[4]

Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah swt. Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah



Dalil yang membenarkan


فأمر رسول الله صلي الله عليه وسلم، بالتصدُّق بالشاة المصلية التي قدِّمت إليه فكلَّمته بأنها حرام، إذ قال صلي الله عليه


وسلم: "أطعموها الأساري"

Mafhum hadith


Hadith ini menceritakan bahawasanya pernah dihidangkan kepada Nabi saw daging kambing. Lalu daging tersebut menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahawa ia adalah haram. Lalu Nabi saw menyuruh sahabat untuk memberikan ia kepada orang lain untuk dimakan [menyedekahkannya].

Rasional hadith


Perbuatan Nabi saw yang menyedekahkan daging kambing [yang haram] untuk disedekahkan.



al-Athar Saidina Hasan ra


وسئل الحسن رضي الله عنه، عن توبة الغال (مَن يأخذ من مال الغنيمة قبل أن يقسم، وما يؤخذ منه بعد تفرُّق الجيش)،
فقال: يتصدَّق به.

Mafhum athar


Athar ini menceritakan mengenai taubat bagi orang yang mengambil ghanimah sebelum ianya dibahagikan. Saidina Hasan ra mengatakan bersedekah dengan apa yang diambilnya tadi membuktikan taubat bagi perbuatannya yang mengambil harta dengan cara yang haram.


Rasional athar


Walaupun athar ini menceritakan mengenai ghanimah yang pada asalnya halal, tetapi sekiranya ia diambil dengan cara yang tidak betul maka hukumnya tetap haram kerana harta ghanimah bukanlah pemilikan dia seorang. Ianya perlu dibahagikan mengikut apa yang diajarkan oleh Allah swt. Tuntasnya, apabila ia tidak diambil dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah swt maka ianya tetap haram. Justeru, bagi mereka yang melakukan dosa besar [melakukan sesuatu yang haram] wajib bertaubat dan Saidina Hasan ra menyatakan salah satu cara membuktikan dia bertaubat adalah dengan menyedekahkan apa yang telah diambilnya dengan cara yang salah.


Persamaan hal ini dengan kes di atas adalah kedua-kedua harta tersebut adalah diperolehi melalui hasil yang haram. Hukum haramnya tetap ke atas orang yang melakukan iaitu dia tidak
boleh membelanjakan wang tersebut demi dirinya atau kepentingan keluarganya. Penyelesaiannya adalah wang tersebut perlu diberikan kepada orang lain [faqir miskin] kerana wang tersebut tidak haram pada zatnya untuk orang lain.



Qiyas


Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan bahawasanya harta sebegini berada dalam timbangan samada untuk dimusnahkan atau digunakan untuk jalan kebaikan. Ini kerana harta tersebut telah menjadi rosak di sisi pemiliknya. Secara dharuri melalui pengetahuan kita, menggunakan harta tersebut kearah kebajikan adalah lebih baik dari membuangnya ke dasar lautan [memusnahkannya]. Ini kerana, sekiranya kita membuang ia ke dasar lautan maka sesungguhnya benda tersebut hilang dari sisi kita tanpa kita memperoleh faedah daripada perbuatan kita tadi.


Akan tetapi, sekiranya kita menginfaqkan ia kepada faqir miskin nescaya mereka akan mendoakan pemiliknya keberkatan daripada Allah swt. Selain itu, mereka yang faqir tadi boleh memenuhi tuntutan keperluan mereka di samping tuan [harta haram] yang menyedekahkannya tadi memperolehi ganjaran di sisi Allah swt.


Di dalam masalah yang berkaitan penerimaan bantuan dari hasil judi dan situasinya adalah penerima mengetahui wang bantuan tersebut adalah datang dari hasil judi maka wang tersebut perlulah dikembalikan kepada orang yang memberikan atau wakil kepada yang memberikan kerana wang yang diperolehi dari hasil yang haram perlu [wajib] dilupuskan [6]. Ini kerana hukum asal menggunakan wang yang diperolehi dari hasil yang haram hukumnya juga adalah haram. Hal ini dikuatkan dengan kaedah “ bahawa menolong dan menyebarkan yang haram itu juga adalah haram “[7].



Pendapat kedua
Segala bentuk wang yang haram perlu disimpan [dibekukan]. Ini kerana ditakuti harta tersebut jatuh ke tangan mereka yang zalim bukan kepada mereka yang adil. Justeru, dengan menyimpan [membekukan] wang tersebut, ia dapat memelihara harta tersebut daripada jatuh ke tangan orang yang zalim. Antara yang menggunakan pendapat ini adalah Sheikh al-Islam Ibn Taimiah[8]


Dalil bagi pendapat kedua adalah

1. Firman Allah swt di dalam Surah al-Baqarah


Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji "



2. Daripada al-Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud ra[9]


ما رواه ابن مسعود – رضي الله عنه – أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: "والذي نفسي بيده لا يكسب عبد مالاً من حرام فينفق منه فيبارك له فيه، ولا يتصدق فيقبل منه ولا يتركه خلف ظهره إلا كان زاده إلى النار"


Rasional dalil


Secara umumnya, dalil di atas menunjukkan bahawasanya Allah tidak akan menerima sedekah melainkan hal keadaan pemberian itu adalah baik. Jadi sedekah dengan harta ini tidak akan diterima melainkan dengan harta yang halal dan diperolehi melalui cara yang mengikut syarak. Syarat untuk amalan yang baik itu diterima [sedekah] adalah melalui infaq harta yang halal.



Jawapan al-Imam al-Ghazali[10]


Adapun kata-kata : kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan.



Pendapat ketiga
Hasil dari harta haram perlu dimusnahkan. Sebahagian kecil daripada ulamak-ulamak salaf seperti Qadhi Fudhail al-‘Iyyadh

Walaupun sebahagian besar ulamak yang menerima pandangan bahawasanya duit haram yang diperolehi boleh disedekahkan, akan tetapi masih ada ulamak yang menolak menggunakan duit haram yang disalurkan sebagai sedekah / bantuan.

وحُكي عن الفضيل أنه وقع في يده درهمان، فلما علم أنهما من غير وجههما، رماهما بين الحجارة، وقال: لا أتصدق إلا بالطيِّب، ولا أرضي لغيري ما لا أرضاه لنفسي!



Cara untuk tassorruf [ transaksi ] dengan harta dari hasil yang haram

Pendapat pertama

Digunakan untuk maslahah[11] umum orang Islam dan ini adalah pendapat Sheikh al-Islam Ibnu Taimiah rhm


Pendapat kedua

Digunakan dengan memberi sedekah secara umum[12] dan ini adalah pandangan Hanafiah, Malikiah, Imam Ahmad dan ulamak-ulamak mazhabnya serta Imam Ghazali daripada mazhab Syafi’e


Pendapat ketiga

Digunakan untuk maslahah umat Islam yang faqir (dll) bukan untuk membina masjid. Pendapat ini adalah dari Suruhanjaya Fatwa Penerbitan di Arab Saudi[13] dan Penasihat Gedung Kewangan Kuwait

Pendapat keempat

Digunakan untuk jihad di jalan Allah swt dan ini adalah salah satu pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taimiah

_________________________________________________________________________



Pencerahan [ Nota Tambahan ]

Apa yang dimaksudkan dengan harta itu haram

Harta yang haram adalah harta yang haram digunakan dan untuk dimanfaatkan oleh pemiliknya. Contohnya Abu terlibat dengan perniagaan yang berunsurkan riba’ dan dia mendapat keuntungan melalui riba’. Maka haram bagi Abu untuk menggunakan keuntungannya tadi demi kepentingan dan manfaat bagi dirinya dan keluarganya. Akan tetapi, sekiranya duit riba’ tersebut disedekahkan kepada faqir miskin untuk manfaat mereka maka itu adalah halal kerana pengharamannya adalah dengan sebab riba’ bukan kerana duit tersebut haram.

Allah tidak menerima sedekah melainkan dengan harta [pemberian] yang baik


Harta yang haram sudah tentu bukan dari hasil dan pemberian yang baik. Malah ia bukan dari milik kita. Bagaimana untuk kita memberi sedekah pada suatu benda yang bukan dari pemilikan kita?.


Secara mudahnya, memberi sedekah dari harta haram ini merupakan kewajipan untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Perkataan sedekah itu diterjemah sebagai memberi bantuan kepada golongan faqir dan miskin. Orang yang menginfaqkan hartanya dari hasil yang haram tidak akan mendapat pahala kerana bersedekah tetapi dia akan mendapat pahala dari sudut yang lain[14] antaranya ;

1. Menahan dirinya daripada harta tersebut dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa jua keadaan.

2. Meletakkan harta tersebut pada tempatnya iaitu ke jalan kebajikan.

3. Melaksanakan kewajipan iaitu melupuskan harta haram disisinya dll.

____________________________________________________________________________________

Mulaahazah [ Perhatian ]


Membincangkan isu transaksi wang haram yang dibolehkan pada keadaan tertentu bukan bermakna ia menjadi satu keharusan untuk sebuah kerajaan mengekalkan atau menggalakkan sesuatu amalan [ muamalah ] yang diharamkan oleh Allah swt. Sebaliknya persoalan ini , fokus kepada penerima seperti faqir miskin atau rakyat.


Sementara pihak kerajaan [ pemberi ] mempunyai sudut perbahasan yang berbeza dengan perbahasan mengenai penerima [ rakyat ] .


Ringkasnya, bagi sebuah kerajaan sayugia berikhtiar agar membebaskan diri dari sistem muamalah yang diharamkan oleh Allah swt sebagaimana menjadi kewajipan jua bagi sebuah kerajaan tidak menjalankan kegiatan - kegiatan yang diharamkan seperti industri perjudian . Ini bagi memastikan kerajaan tersebut diredhai oleh Allah swt pentadbiran dan pembendaharaannya .


Kerajaan yang terpaksa berurusan dengan sumber haram seperti melibatkan wang cukai dari industri arak [ yang diharamkan kepada orang Islam tetapi tidak kepada non muslim - berbeza isu judi ] maka.....


saya berpendapat , biarpun ada pandangan ulama' yang mengharuskan wang itu di hulurkan kepada rakyat sebagai bantuan faqir miskin dan seumpamanya [ sebagaimana perbahasan panjang di atas ] dan rakyat harus menerimanya pula rakyat tidak wajib mengusul periksa sumber kewangan tersebut , namun adalah terlebih afdhal dan wara' [ bagi pihak kerajaan - terutama kerajaan Islam ] mengasingkan tabung atau pembendaharaan yang di perolehi dari sumber yang tidak halal . Kemudiannya memastikan hanya wang yang jelas halal disalurkan [ disuap ] kepada rakyat . Ianya terlebih afdhal jika kerajaan boleh bertindak demikian .


Wallahualam bissowab.


Nasrudin bin Hassan At tantawi

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

[1] Laman web Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi (www.qaradawi.net) di dalam : فتاوى و أحكام

إنفاق المال المكتسب من حرام

[2] Ini kerana setiap barang yang diperolehi dari sumber yang haram bukanlah menjadi milik bagi orang yang memperolehinya

[3] Min Ahsani al-Kalam fi al-Fatawa (2/65)

[4] Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim, 4/251

[6] Sheikh ‘Athiyyah Saqar ; Min Ahsani al-Kalam fi al-Fatawa

[7] Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi ; Bab 1 Halal dan Haram

[8] Kitab لفتاوى الكبرى (4/210-213)

[9] Imam Ahmad di dalam Kitab المسند (1/387)

[10] Kitab إحياء علوم الدين (5/83)

[11] Maslahah umum di sini bermaksud adalah digunakan untuk kegunaan ramai bukan seorang individu

[12] Keadaan yang kedua ini adalah lebih menyeluruh kerana termasuk kepadanya diberikan kepada faqir miskin

[13] Lihat : مجموع فتاوى اللجنة الدائمة (13/354)

[14] Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi

Mohd Nasir Awang : Samy Vellu didesak Tun M atau contohi Keng Yaik

Semacam berpakat, dua pemimpin besar parti komponen Barisan Nasional (BN) memilih hari yang sama minggu lalu untuk mengumumkan pendirian menolak jawatan penasihat kepada parti yang pernah masing-masing terajui. Tanggal 4 Oktober 2010 akan dicatat sebagai salah satu tarikh penting dalam sejarah parti Gerakan apabila bekas presidennya, Tun Dr Lim Keng Yaik memaklumkan keputusannya melepaskan jawatan penasihat parti itu.

Beliau yang menyerahkan kepemimpinan parti kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada April 2007, berkata tindakan itu ekoran kekecewaannya terhadap kegagalan penggantinya itu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan berbagai isu dalaman Gerakan.

“Apa guna beri nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar (nasihat),” media memetik katanya.

Sementara faktor pengunduran Keng Yaik agak jelas, apa yang mendorong Presiden MIC yang bakal berundur, Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil keputusan serupa pula masih menjadi tanda tanya. Pada tarikh sama, Samy Vellu memaklumkan menolak cadangan supaya beliau dilantik menjadi penasihat kepada parti selepas menyerahkan jawatan kepada Timbalannya, Datuk G. Palanivel, Januari depan.

Beliau sebaliknya meluahkan keyakinan beberapa pemimpin lebih muda MIC yang kini menyandang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri mampu membantu Presiden baru mengendalikan urusan parti itu.

“Saya tidak akan memberi nasihat kepada mereka kerana semua mereka orang yang berpengalaman dan tahu apa yang mereka lakukan,” media cetak pada Selasa memetik kata Samy Vellu.

Pada zahirnya, kenyataan itu kelihatan tulus. Namun, sejauh manakah ia tidak disirati perasaan kecewa dan unsur-unsur tekanan, sepertimana terzahir dalam kes dialami Keng Yaik itu?

Beberapa hari sebelumnya bekas Menteri Kerja Raya itu mencuri tumpuan media apabila mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu dipangku Palanivel.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha memaksa beliau berundur. Lebih tidak diduga ialah apabila beliau akhirnya akur untuk berundur lebih awal dari apa yang diumumkannya sebelum ini.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu lapan atau sembilan bulan sebelum berakhir penggal perkhidmatannya pada Mei 2012.

Ertinya beliau sepatutnya menyerahkan jawatan sama ada pada Ogos atau September 2011. Justeru, apakah yang menyebabkan pelan peralihan kuasa MIC itu dipercepatkan tujuh atau lapan bulan lebih awal?

Samy Vellu melakar sejarah agak mengagumkan sepanjang terlibat dalam MIC. Beliau mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu yang berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya kekal dalam parti.

Namun penolakan rakyat, khususnya pengundi India, terhadap MIC pada pilihan raya umum lalu benar-benar mencalar kehebatan Samy Vellu. Parti diterajuinya kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain, termasuk MIC agar ikut berbuat serupa.

Salah seorang pemimpin ternama yang secara terbuka mengkritik Samy Vellu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi Mahathir, MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy Vellu memimpinnya.

Tidak semua pemimpin dan pendukung MIC dapat menerima kritikan terhadap presiden mereka. Lebih-lebih lagi kenyataan yang secara jelas memperlihatkan usaha campur tangan dalam urusan MIC.

Bagaimana pun, kritikan balas seorang pemimpin bahagian MIC terhadap Tun Mahathir di atas hasrat membela Samy Vellu nampaknya bertukar menjadi sokongan membawa rebah. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri itu, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kecaman keras pelbagai pihak.

MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.

Apakah episod itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada Samy Vellu? Adakah beliau redha dengan tindakan ke atas seorang anak buah yang membelanya itu, atau terpaksa akur kepada pandangan sebaliknya yang lebih menguasai partinya?

Saya kira episod itu sedikit sebanyak mendorong Samy Vellu akur kepada “desakan” Tun Mahathir. Lalu akhirnya beliau memilih untuk mengikuti jalan cerita yang pernah dialami Tun Abdullah. Pada asalnya Presiden Umno itu menyatakan hasrat berundur pada 2010, tetapi dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak keadaan agar tidak menunggu terlalu lama, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.

Abd Shukur Harun : Manek Urai jadi sandaran ke Galas

Siapapun yang menjadi pengarah dan calon Pilihan Raya Kecil Galas, Kelantan – sama ada Tengku Razaleigh Hamzah atau bukan, bukan menjadi persoalan kepada PAS.

(Pilihan Raya Kecil tersebut akan diadakan kerana kematian Adun Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaima baru-baru ini).

Yang penting di sini ialah persiapan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut. Tentu saja keputusan menang tipis calon PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu mengalahkan calon BN dirasakan amat pahit dan masih menjadi ingatan kepada ramai orang, tentunya di kalangan pemimpin PAS sendiri.

Oleh itu pimpinan PAS peringkat negeri, malah pusat, tentunya menjadikan peristiwa itu sebagai ingatan dan tindakan penting supaya keputusan seperti itu tidak berulang lagi. Adakah benar pengundi muda tidak balik mengundi, atau mereka yang ada di Manik Urai tidak mengundi PAS, atau adakan pengundi ‘tua’ tidak mengundi PAS dalam pilihan raya tersebut?

Kita yakin, PAS Kelantan akan membaiki prestasinya dalam Pilihan Raya Kecil Galas itu dengan membuat pendekatan yang perlu, justru mood dan persepsi pengundi akan berubah mengikut keadaan dan masa.

Bagaimanapun, dari segi persiapan pilihan raya, PAS Kelantan dalam sejarahnya sejak dulu, sentiasa bersiap sedia. Kelantanlah negeri yang dikira amat maju ke depan mendaftar pengundi baru, memantau pergerakan pengundi lama, membaca strategi terkini dan sebagainya dan sentiasa berada di tengah-tengah rakyat.

Kekuatan PAS Kelantan ini juga ada pada PAS Kedah dan Terengganu, sementara negeri-negeri lain juga nampaknya sedang memperkukuh jentera masing-masing.

Sementara itu dengan pengumuman Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS Pusat telah bersetuju melantik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ab. Halim Ab. Rahman sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRK Galas dianggap sangat tepat sekali oleh pemerhati politik, berdasarkan pengalamannya selama ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Dun Galas pada 2008 dulu, Chek Hashim Sulaima telah menang majoriti 646 mengalahkan calon BN Mohamad Saufi Deraman, sementara dalam Pilihan Raya umum 2004, calon BN, Mohd Saufi Deraman mengalahkan calon PAS Cik Hashim Sulaima juga dengan majoriti 1729.

Dengan dua keputusan berbeza bagi dua pilihan raya Dun Galas ini tentunya sangat menarik perhatian dan banyak soalan mengapa terjadi demikian. Kali ini tentu saja PAS akan mempertahankan habis-habisan Dun Galas ini.

Dun ini mempunyai pengundi 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 1.8 pengundi India, sementara lain-lain 10.5 peratus. Dalam hubungan ini Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, peningkatan sokongan terhadap calon Umno semasa pilihan raya kecil Manek Urai tahun pada 2008 bukan disebabkan apa-apa modul tertentu yang unik kepada pilihan raya itu saja.

Dalam mana-mana pilihan raya juga sama, katanya, mereka hanya ada satu modul iaitu gunakan sumber kewangan dan menabur janji-janji, termasuk janji membina satu jambatan baru di Manek Urai.

Jambatan dua lorong dianggarkan bernilai RM7 hingga RM10 juta itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen pilihan raya kecil tersebut, bagi menggantikan satu jambatan merentasi sungai sedia ada di kawasan itu.

"Kita akan dedahkan balik janji-janji ini di Galas," kata Idris lagi kepada Malaysiakini.

Dalam perkembanhan lain, Dewan Muslimat PAS Kelantan diberitakan telah bersedia untuk ‘menggalas’ tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bagi menghadapi pilihan raya kecil nanti.

Ketuanya, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, berkata Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan yang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya, bukan setakat pilihan raya kecil Dun Galas, sebaliknya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti akan memastikan calon PAS memenangi Dun berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Halwa Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini baru-baru ini.

Program berkenaan dan pelancaran tabung pilihan raya umum dan Dun Galas dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya lagi, Dewan Muslimat PAS seluruh Kelantan akan memastikan calon PAS mengekalkan kemenangannya pada pilihan raya kecil akan datang.

Apakah isu besar yang akan ditimbulkan dalam sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas itu nanti? Tetapi sudah tentu baik PAS mahupun BN akan bekerja kerja keras untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

Isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Kelantan tentu menjadi sebahagian dari isu penting yang akan berbangkit. Di samping itu isu pembangunan Kelantan setelah 20 tahun memerintah yang dilihat begitu rancak, membuktikan bahawa Islam tidak menolak pembangunan dan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah membuktikannya.

Di samping itu Kerajaan Kelantan juga telah berjaya memperkukuh hubungan antara kaum dan agama seperti yang terpancar selama ini di mana pelbagai kaum dan agama hidup dengan sangat harmonis.

Majlis Hari Raya telah dikunjungi oleh pelbagai kaum dan agama yang menghantar isyarat rakyat Kelantan telah menolak perkauman. Sementara itu, dengan berakhirnya majlis-majlis Hari Raya, termasuk yang diadakan oleh PAS, Ijtimak Tarbawi yang penting sudah berakhir dengan jayanya, maka kini tiba masanya semua wagra PAS meneruskan tugas masing-masing dan tentunya tugas utama PAS sekarang untuk menghadapi pilihan kaya kecil Galas.

Pilihan raya kecil Dun tersebut akan menjadi tumpuan pelbagai pihak. Namun ramai berpendapat bahawa kempen isu perkauman jika ditimbulkan akan ditolak oleh rakyat Kelantan seperti masa-masa lalu, justru rakyat Kelantan sangat matang berpolitik dan pemikiran mereka sangat terbuka, rasional dan tidak perkauman.

Mohd Rashidi Hasan : Padah buruk jika BN terus memerintah

Dalam ucapan pada majlis Malam Sejuta Harapan Ke-6 sempena ulangtahun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke-20 baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak melahirkan kegusarannya terhadap masa depan negara.

Katanya, jika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa memerintah pada Pilihan Raya umum ke-13 akan datang, ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat.

Oleh itu PM menyeru rakyat perlu bijak menggunakan peluang yang ada dalam membuat pilihan kerajaan.

Di sebalik kegusarannya itu, PM secara tidak langsung mengakui bahawa BN kini, tidak lagi kuat dan bila-bila masa sahaja boleh tumbang.

Oleh itu PM cuba membuat ugutan secara halus supaya rakyat mempercayai bahawa hanya BN sahaja yang boleh membawa kemakmuran dan kestabilan.

Apa yang dinyatakan PM itu, bukan perkara baru bagi rakyat. Politik pembangunan sudah menjadi modal kempen BN untuk mengelabui mata rakyat sekian lama.

Hakikatnya PM lupa bahawa rakyat Malaysia semakin bijak. Rakyat tidak lagi boleh digula-gulakan dengan modal politik pembangunan.

Rakyat sudah sedar bahawa politik pembangunan adalah rasuah seketika untuk BN meraih undi sahaja.

BN hanya muncul menjadi juara kebajikan pada saat-saat pilihan raya, selepas menang pilihan raya, kelibat wakil rakyat BN tidak lagi kelihatan.

Politik pembangunan dan kebajikan tatkala pilihan raya sudah tidak laku. Modal yang BN jaja, iaitu hanya BN sahaja boleh membawa pembangunan juga tidak laku lagi.

Rakyat Malaysia bijak menilai dan membezakan di antara tanggungjawab sesebuah kerajaan dengan janji-janji palsu pemimpin BN.

Pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan, bukan jasa-jasa BN. Di negara yang mengamalkan sistem komunis dan sosialis, seperti di China, Rusia dan sebagainya, kerajaan membuat pembangunan yang pesat untuk keperluan rakyat.

Ideologi nasionalisme yang menjadi anutan BN, bukannya ideologi yang boleh menjanjikan keamanan dan demokrasi. Di negara yang mengamalkan sistem komunis dan sosialis, sistem pentadbiran dan politiknya lebih stabil dan demokratik.

Masalah di Malaysia bukan soal kemajuan. Kemajuan negara berjalan seiring dengan kemajuan dunia. Masalah kita ialah, BN mendakwa mereka membawa kemajuan dari segi pembangunan fizikal, tetapi pembangunan minda cuba disekat dan ditutup.

Kuasa yang dinikmati BN sekian lama, menjadikan mereka begitu tamak. Pemimpinnya kaya raya kerana mendapat faedah daripada pembangunan yang dibuat. Di sebalik kepesatan pembangunan, BN menyuburkan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Apa ertinya pembangunan jika tiada keadilan dalam pemerintahan. BN menguasai media massa, sehingga suara Pakatan Rakyat ditenggelam dan dinafikan. Media massa menjadi agen propaganda BN, tidak membuat laporan yang seimbang.

Sedangkan di negara-negara yang pesat membangun, setiap parti sama ada dalam kerajaan mahu pun pembangkang mempunyai hak yang sama rata.

Oleh sebab itu kita harus wujudkan sistem dua parti, supaya pemerintah dapat dikawal oleh rakyat. Ada parti yang boleh menjadi check and balance kepada pemerintah.

Maka pada saat ini rakyat amat sedar bahawa bukan BN sahaja yang boleh menjamin pembangunan dan kebajikan. Kini rakyat sudah ada alternatif, iaitu Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat adalah 'kerajaan menunggu' menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, kerana rakyat sudah sedar padah yang akan diterima jika BN dikekalkan lagi.

Bolehkah taruh harapan kepada Sekolah Harapan

Isu buang bayi, kehamilan luar nikah dan pelbagai masalah sosial khususnya di kalangan remaja hebat diperkatakan baik oleh para menteri, isteri menteri, ahli politik dan ahli ahademik mahu pun masyarakat umum. Pelbagai saranan, pendapat, cadangan dan program baik yang masuk akal dan munasabah mahupun yang “separuh masak” dan dangkal dilaporkan di akhbar serta radio dan televisyen.

Inilah masalah yang melanda negara kita. Bukan setakat masalah sosial yang melanda tetapi masalah kecelaruan pemikiran pada pemimpin mengenai sesuatu isu dan bagaimana menanganinya. Inilah masalahnya apabila ada golongan yang sangat cepat mengeluarkan idea tetapi tidak berlandaskan fakta daripada penyelidikan yang terperinci. Walau pun masalah ini telah dikesan sejak sekian lama tetapi dek kerana sikap “ambil mudah” dan “tidak serius” maka masalah sosial itu berterusan atau berulang. Saya pernah ditanya oleh wartawan Berita Harian pada tahun 1996 mengenai isu buang bayi, tetapi setelah lebih 10 tahun masalah berkaita bukan sahaja tidak selesai atau berkurangan bahkan makin meningkat.

Sehingga ini tidak ada penyelidikan yang serius mengenai isu kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi walaupun ramai yang sedar masalah itu makin membarah. Saya dan beberapa orang rakan dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah selama dua tahun (dari 2008 hingga 2009) dengan peruntukan Geran Penyelidikan Universiti yang bernilai RM70,000 itu telah dipotong kemudiannya. Menjangkakan sukarnya untuk mendapat data mengenai hal tersebut, kami telah bersetuju untuk mengambil kes yang dirujuk di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Atas beberapa sebab semua kes yang direkodkan dari tahun 2004 hingga 2008 sahaja yang telah kami ambil.

Mendapatkan geran penyelidikan untuk mengkaji isu-isu berkaitan masalah sosial kurang mendapat tempat. Proposal penyelidikan selalu ditolak oleh penal penilai dengan alasan tidak ada “produk yang boleh dikomersialkan”. Walaupun geran yang dipohon jarang mencecah jutaan ringgit sebagaimana penyelidikan dalam sains dan teknologi tetapi kebanyakannya ditolak atas alasan tadi. Demikianlah nasib proposal penyelidikan dalam bidang sains sosial kerana statusnya yang dipandang lebih rendah daripada bidang sains tulin dan gunaan. Pernah orang membuat “lawak” dengan berkata “oh penyelidikan so sial” (sangat sial).

Mengetahui kami ada menjalankan penyelidikan mengenai kehamilan luar nikah, salah sebuah agensi kerajaan telah menunjukkan minat terhadap penyelidikan kami. Atas minat dan saranan yang ditunjukkan oleh agensi tersebut jugalah satu kertas cadangan penyelidikan telah dikemukakan. Malangnya setelah hampir dua tahun, pihak berkenaan masih berdiam diri tidak menyatakan sama ada masih berminat atau tidak dengan proposal penyelidikan berkenaan. Antara jawapan yang diberikan ialah tiada ada wang, tidak boleh diberi terus kepada satu kempulan penyelidik sahaja dan perlu dibuat tender terbuka. Perkembangan terbaharu ialah pegawai yang ada di jabatan berkenaan diminta membuat kajian dan dan menganjurkan program sendiri bagi ujuan menangani isu tersebut.

Itulah sebahagian daripada senario yang berlaku di negara kita. “Malaysia boleh”, semua orang boleh membuat apa sahaja, dalam konteks ini pegawai yang tidak ada latar belakang sosiologi, antropologi atau psiokologi dipertanggung-jawab untuk menjalankan penyelidikan dan program bagi menangani masalah sosial yang serius itu. Dia sebabkan kurang kompetennya dan tidak ada pengalaman menjalankan penyelidikan, beliau meminta jasa baik kami agar memberikannya salinan soalselidik yang telah digunakan dalam penyelidikan kami bagi memudahkan kerjanya. Persoalannya ialah di mana “ethics” agensi kerajaan yang berpegang kepada prinsip keislaman? Ini adalah satu contoh kepincangan yang berlaku. Bagaimana hasil penyelidikan boleh dianggap boleh dipercayai dan sah jika penyelidik tidak berpegang kepada etika penyelidikan dan tidak tahu prosedur dalam penyelidikan sosial. Patutlah banyak masalah sosial tidak selesai malah bertambah serius kerana bukan sahaja pihak yang bertanggung-jawab tidak serius dengan masalah yang melanda masyarakat malah menjalankan kajian pun “pakai ikut suka” sahaja.

Menangani masalah kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi bukan sekadar membuat program dan kempen serta menyediakan sekolah untuk remaja yang berkaitan. Ini kerana langkah ini bukan sahaja berat sebelah kerana si lelaki yang bertanggung-jawab menyebabkan kehamilan dan bersubahat membuang bayi berkemungkinan besar terlepas dan tidak menjalani apa-apa program pemulihan. Selain daripada persoalan penyelidikan sosial yang tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana kos penyelidikan yang dikatakan mahal walaupun hakikatnya tidak pun mencapai jutaan ringgit, kaedah menanganinya dibuat “ikut suka” tanpa perancangan yang teliti dan didasarkan kepada data atau fakta daripada penyelidikan menjadi antara sebab mengapa masalah sosial di negara ini tidak selesai-selesai malah makin bertambah.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang sains sosial (sosiologi keluarga), saya kira sudah sampailah masanya pihak berkuasa meneliti semula apa yang telah dilakukan selama ini dalam menangani masalah sosial remaja dan masalah sosial yang lain. Bolehkah di letakkan harapan kepada Sekolah Harapan di Melaka itu? Apakah program atau kurikulum yang dirancangkan untuk penghuninya? Sudahkah dibuat kajian yang rapi dan terperinci sebelum sekolah itu dibuka? Ini kerana mereka yang bakal menjadi penghuninya sudah pasti datang dari latar belakan keluarga, sosioekonomi dan etnik yang berbeza. Sebab mereka hamil juga berbeza; ada yang disebabkan rogol, paksaan, sumbang mahram atau suka sama suka.

Saya berpendapat bahawa meletakkan para remaja di institusi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah berkenaan. Saya kira semua pihak harus sedar dengan hakikat atau kenyataan sebenar dalam hidup. Remaja yang terlibat harus kembali kepada keluarga. Keluarga dan komuniti perlu memikul tanggung-jawab membimbing remaja-remaja berkenaan. Semua pihak baik remaja yang terlibat, keluarga mereka, komuniti di mana mereka tinggal dan membesar serta pihak berkuasa perlu berganding bahu menangani isu tersebut. Walau pun akan ada sebahagian daripada ahli komuniti yang mencemuh tetapi itu adalah perkara biasa dalam kehidupan. Keluarga mesti memikul tanggungjawab membimbing anak anak di samping mendapatkan kerjasama daripada komuniti dan komitmen kerajaan harus diberikan secara berterusan. Biarlah remaja kembali kepada keluarga, hidup dan memikul tanggung-jawab sebagai ahli keuarga dan komuniti sehingga mereka melahirkan anak dan membesarkan anak yang dilahirkan itu. Beri mereka kemahiran untuk membuat kerja produktif di samping didikan agama dan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan penjagaan bayi. Ini penting agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang normal dalam keluarga dan komuniti setelah melahirkan anak, dan mempunyai cukup sumber pendapatan bagi menampung hidup tanpa perlu menyerah anak kepada ibu bapa angkat.

Seperti yang dinyatakan di atas, ibu bapa dan keluarga mungkin malu dengan apa yang berlaku. Ahli komuniti pula mungkin memandang serong. Akan tetapi ini adalah perkara biasa dalam kehidupan. Kesilapan dan dosa yang telah dilakukan adalah pengajaran untuk memperbaiki kehidupan seterusnya bukan sahaja oleh remaja berkenaan, malah kesilapan yang yang telah berlaku itu juga sebahagiannya disebabkan oleh kesalahan dan kelemahan keluarga, komuniti/masyarakat dan pemerintah juga yang lalai dengan tanggung-jawab mereka. Saya kira tentunya lebih silap lagi jika ibu bapa menyerahkan cucu mereka kepada orang lain atau mengambil bayi yang dilahirkan sebagai anak angkat sedangkan bayi itu adalah cucunya sendiri dan orang yang kemudiannya dipanggil kakak itu sebenarnya si ibu kandung. Lebih parah lagi ialah jika bayi itu dinasabkan kepada datuknya. Akan tetapi inilah hakikatnya yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat apabila keluarga memberitahu jiran tetangga yang dia mengambil anak angkat.

Memandangkan remaja yang terlibat perlu berhadapan dengan komuniti dan kehidupan sebenar dalam komunit dan masyarakat yang lebih besar maka saya kira dia perlu meneruskan hidup dalam masyarakat dan bukan melarikan diri atau membawa mereka keluar. Jika dia diberi peluang untuk meneruskan hidup secara normal berserta dengan bimbingan agama dan pengetahuan lain besar kemungkinan semua pihak akan mendapat faedah malah mungkin lebih berkat kerana wujudnya hubungan saling membantu. Sebaliknya jika remaja berkenaan di tempatkan di institusi, dia akan menghadapi masalah apabila keluar dari institusi, apabila dia perlu berhadapan dengan keluarga dan komuniti sekeliling yang mungkin akan terus memandang serong terhadapnya. Dia mungkin berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya malah seluruh komuniti. Dia juga perlu menyara hidupnya sendiri, tanpa sokongan ahli keluarga dan komuniti apabila keluarga sendiri “membuangnya”. Apabila hidupnya tidak menentu dan terumbang ambing kebarangkalian untuk dia mengulangi episod lama adalah tinggi.

Ibu-ibu muda yang ditemui di rumah perlindungan memberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku atau yang mereka lakukan sehingga hamil dan mengandung. Mereka juga menyatakan rasa sedih, kesal dan bersalah dengan apa yang telah berlaku. Malangnya mereka meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat melihat bayi yang dilahirkan kerana ibu bapa telah menyerahkan anak tersebut kepada keluarga angkat dan dia tidak tahu siapa keluarga angkat tersebut. Walaupun sedar akan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan tetapi kesedihan itu berpanjangan apabila ibu bapa tidak mahu bercakap dengan mereka walaupun pernah membuat panggilan telefon ke institusi di mana dia di tempatkan. Menurut ibu muda itu dia tidak pasti ke mana dia akan pergi setelah keluar dari institusi tersebut. Bayangkan jika dia terus tinggal dalam keluarga dan komuniti, dia akan dapat meneruskan hidupnya secara normal, malah bayi yang dilahirkan itu juga boleh mendapat jagaan, perlindungan dan kasih sayang daripada ibu, datuk nenek dan saudara mara dekat. Sokongan sosial dari keluarga dan komuniti sangat penting kepada ibu muda dan anaknya itu. Justeru, sudah sampai masanya ibu bapa perlu mengenepikan rasa malu dan menjaga “air muka” sendiri tetapi mengabaikan tangggung jawab menjaga dan memberi sokongan kepada anak dan cucunya. Ini kerana kesilapan sianak sedikit sebanyak ada kaitan dengan kelalaian ibu bapa juga.

Pada saya sekolah harapan hanya sebuah projek peribadi tidak mempunyai asas yang kukuh dalam usaha menangani masalah sosial. Mungkin ramai yang tidak bersetuju tetapi ini adalah pandang saya berdasarkan alasan di atas. Dalam menangani masalah sosial, penyelidikan sosial yang terperinci dan sistematik perlu dilakukan dengan serius. “Bank data” mengenai isu sosial perlu dikumpul dengan sistematik agar program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan kepada kumpulan sasar sebelum dasar sosial digubal. Jika pihak berkuasa boleh menghabiskan jutaan ringgit untuk program-program seperti “Kami Prihatin” maka apa sangatlah nilai bagi geran penyelidikan sosial yang jauh lebih rendah. Saya bimbang kos sosial akan meningkat pada masa depan jika pihak berkuasa tidak serius dengan masalah sosial yang sedang melanda sekarang. Justeru, bolehkah kita menaruh harapan kepada sekolah harapan?

Penulis adalah mantan Prof Madya dalam bidang Sosiologi Keluarga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.