InsyaAllah saya sertakan dalil untuk mengambil wudhuk sebelum tidur dan dalam keadaan janabah. Bukan sahaja sebelum tidur org yang dalam keadaan janabah ini diberatkan utk berwudhuk, bahkan utk keperluan lain seperti makan dan sebagainya pun amat digalakkan berwudhuk terlebih dahulu.
Disunnahkan berwudhuk ketika hendak tidur berdasarkan hadis riwayat Barra’ bin ’Azib, RasulAllah SAW bersabda: Jika hendak tidur, berwudhuklah seperti untuk solat, kemudian berbaringlah dengan bahagian kanan badan dan ucapkanlah doa berikut :-
Allaahumma Aslamtu Nafsii Ilaika Wawaj-jahtu Nafsii Ilaika Wafau-Wad-tu Amrii Ilaika Wa-Al-ja’tu Zohri Ilaika Ragh-bataw-warahbatan Ilaika. Allahumma Amantu Bikitaa-bikal-lazii Anz-zalta Wanabiy-yikallazi Arsalta (Ya Allah! Kuserahkan diriku kepadaMu, kuhadapkan jiwaku kepadaMu, dan kulimpahkan urusanku kepadaMu, serta kulindungkan punggungku kepadaMu, demi cinta dan takutku kepadaMu. Ya Allah! Aku beriman kepada Kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada Nabi-Mu yang telah engkau utus)
Seandainya kamu mati pada malam itu, maka kamu suci seperti baru dilahirkan. Kerana itu, jadikanlah doa tersebut sebagai akhir kata yang akan kamu ucapkan. Barra’ berkata: Maka saya bacakan lagi doa itu dihadapan Nabi SAW, dan setelah sampai pada Allahumma Aamantu Bikitaabika Allazi Anz-zalta saya katakan Warasuulika, maka Nabi SAW bersabda: Bukan! Tetapi Wa Nabiy-yika Allazii Arsalta.
(Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)
Dan bagi orang yang berjunub dan hendak tidur, anjuran berwudhuk ini lebih ditekankan lagi berdasarkan hadis riwayat Ibn Umar r.a bahawa dia bertanya: Ya RasulAllah! Bolehkah kami tidur dalam keadaan berjunub? Jawab Baginda SAW: Ya boleh! Bila berwudhuk.
Dari Aisyah r.ha, dia berkata: Apabila RasulAllah SAW bermaksud hendak tidur, sedang dia dalam keadaan junub, maka dia membasuh kemaluannya lalu berwudhuk seperti ketika hendak solat.
(Hadis Jama’ah)
Apabila RasulAllah dalam keadaan janabat, dan dia hendak makan, minum atau tidur, maka dia (terlebih dahulu) berwudhuk.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ammar bin Yasir: Nabi memberi keringanan bagi orang janabat yang hendak makan, minum atau tidur untuk berwudhuk seperti wuduk untuk melakukan solat.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi yang menyatakannya sohih)
(Dipetik daripada terjemahan Kitab As-Solaatu alal Mazahibil Arba’ah, karangan Abdul Qadir ar-Rahbawi)
No comments:
Post a Comment