KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Umno akan sentiasa bertindak untuk mengekalkan kedudukannya sebagai teras politik negara ini terutama sekali jika merasa kedudukannya terancam, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Beliau mengulas cadangan dan usaha yang dibuat Umno terutama melalui medianya Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini yang cuba memancing PAS agar berpadu dengannya atas nama kepentingan Melayu dan Islam.
"Sejak dari awal perkembangan politik negara, iaitu sejak dari merdeka lagi sampai kini, Umno dan BN (dahulunya Perikatan) memang sentiasa menjadi teras politik negara. Dan Umno sememang akan berusaha untuk mempastikan dia kekal menjadi teras politik negara sepanjang masa. Tetapi dalam tempoh tertentu Umno terasa kedudukan ini terancam. Ketika itu, Umno akan ada agenda tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya itu," kata Mustafa.
Mustafa dipercayai mengulas usaha Umno untuk memancing PAS agar bersatu dengannya kerana merasakan kedudukannya terancam selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.
Mustafa berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan akhbar politik Siasah pagi tadi. Wawancara penuh bakal diterbitkan hujung minggu ini (Jumaat). Dalam keluaran terbarunya, Siasah menyiarkan wawancaranya dengan Tun Dr Mahathir.
Antara lain, Dr Mahathir mendakwa PAS menjaga kepentingannya sendiri semasa dalam BN menyebabkan PAS ditendang dari BN. Mahathir juga mendakwa, Melayu kini minoriti selepas berpecah kepada tiga iaitu Malyu Umno, PAS dan PKR.
Menurut Mustafa dalam wawancara itu, selepas peristiwa 13 Mei, Umno buat pertama kali terasa kedudukannya terancam apabila PAS menang di banyak kerusi dan Gerakan juga menang besar dalam pilihan raya itu.
"Ekoran peristiwa 13 Mei dan melalui Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak berbincang dengan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Asri Muda. Umno juga berbincang dengan Gerakan. Saya yakin kedua-duanya (Tun Razak dan Asri) ikhlas untuk menjaga kepentingan Melayu Islam dan negara ketika itu. Apabila PAS berada dalam BN, dalam kerajaan, fenomena baru berlaku. Kalau selama ini banyak sektor masyarakat yang takut bersama PAS kerana PAS adalah parti pembangkang, ia telah berubah," kata Mustafa.
Selepas itu, katanya, PAS ditendang keluar dari BN.
Mustafa juga menolak, orang Melayu kini berpecah tiga dan menjadi minoriti dalam negara ini sebagaimana didakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir apabila mendakwa Melayu kini berpecah tiga iaitu dalam Umno, PAS dan PKR.
"Apakah ia bererti Melayu berpecah? Bagi saya tidak asalkan masing-masing tahu matlamat dan dasar yang murni perlu diperjuangkan bersama. Sepanjang masa, kita sentiasa berkata, PAS akan menyokong Umno dalam melaksanakan Islam dan untuk kepentingan orang Melayu di negara ini. Sejarah membuktikan PAS tidak pernah menghalang usaha sebegini. Yang sentiasa menghalang adalah Umno sendiri," kata Mustafa.
Baca wawancara penuh dengan Datuk Mustafa dalam Siasah Jumaat ini.
Monday, August 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment