Monday, August 9, 2010

Pelajar tertarik pada PAS kerana kebenaran

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pelajar dalam dan luar negara pada hakikatnya tertarik dengan PAS kerana Umno hanya mampu memberikan duit, bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.

Justeru, dakwaan Pengerusi Biro Kelab Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek kononnya PAS membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

“PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukkan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, memang melucukan apabila Shabery menyebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang menggunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar supaya menyokong PAS.

Tegasnya, PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau di mana-mana negara luar seperti Umno.

“PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah parti Islam yang berteraskan kebenaran Islam,” katanya lagi.

PAS, jelasnya tidak perlu menggunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan, tambahan pula di luar negara tiada akta AUKU menyebabkan mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja.

Katanya, golongan yang cerdik di luar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau menambah, mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.

Menurutnya, pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, maka tidak hairan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam.

Katanya lagi, walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa presiden parti mereka ke sana, namun para pelajar yang cerdik tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa di negara ini melalui internet.

“Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut,” ujarnya.

No comments: