Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w.
dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah
yang sesuai dengan naluri manusia.
Mereka yang tidak mahu berkahwin dan
enggan berkahwin adalah bermakna mereka
telah mensia-siakan hidupnya di dunia
yang telah disediakan Allah untuk
hambanya-Nya menikmati segala
pengurniaan-Nya.
Islam adalah melarang ummahnya hidup
membujang - tanpa berkahwin dengan
tujuan untuk menjauhkan diri dari
menikmati kesedapan berkelamin dan
kesenangan hidup didunia serta
mengelakkan diri dari menikmati
kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu
mempunyai keturunan.
Dalam Islam berkahwin adalah merupakan
suatu perkara yang digalakkan, kerana
dengan perkahwinan itu akan berkembang
biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana
baginda adalah merasa bangga dan
bergembira dengan sebab banyak ummatnya.
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah
s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan
daripada Sa'ad bin Abi Waqqas :
"Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku
dihari qiamat kelak akan bergembira
dengan sebab banyak ummahku. Dan
janganlah kamu menjadi seperti orang -
orang Nasrani bertapa - hidup membujang".
Mereka yang enggan berkahwin, Imam
Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan
hadith dari Anas bin Malik, katanya :
Tiga orang sahabat datang berkunjung ke
rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w.
menanyakan tentang 'ibadat yang
dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga
orang sahabat tadi mendapat jawapan dari
isteri-isteri Baginda, mereka merasa
bahawa 'ibadat mereka itu bila
dibandingkan dengan ibadat Rasullah
s.a.w. adalah terlalu sedikit dan
sangat-sangat "kurang."
Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana
'ibadat kita? Padahal Baginda adalah
orang yang ma'shum - tidak sedikit pun
mempunyai dosa, dan Allah telah
mengampunkan dosanya yang telah lalu dan
akan datang?. "Maka salah seorang dari
mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang
Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang
lain akan berkata:"Aku akan berpuasa
sepanjang tahun, dan tidak akan
berbuka." Dan seorang yang lain lagi
berkata: "Aku akan mengasingkan diri
dari orang perempuan, dan aku tidak akan
berkahwin selama-lamanya (hidup
membujang)" Maka datang Rasulullah
s.a.w., lalu bersabda:
Kamu semua berkata begitu? Ingat dan
ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang
yang sangat takut terhadap Allah, dan
sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku
berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak
berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku
tidur, dan aku juga berkahwin dengan
perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka
dengan sunnahku, mereka itu bukanlah
pengikutku (bukan dari kalangan
ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mereka yang enggan berkahwin (hidup
membujang) seumur hidupnya, padahal
mereka mampu menunaikan tanggungjawab
terhadap isterinya zahir dan batin, maka
bermakna mereka telah mengharamkan
sesuatu perkara yang halal ke atas diri
mereka, dan mereka itu adalah juga orang
yang menentang hukum Allah dari Sunnah
Rasul-Nya.
Dalam masalah ini, at-Tabari berkata:
"Sahabat Rasulullah s.a.w bernama
'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas
dirinya seorang perempuan, benda-benda
yang baik dan semua benda yang sedap dan
lazat. Dengan pengharaman tersebut,
Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu haramkan benda-benda yang
baik yang telah dihalalkan oleh Allah
bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui
batas pada apa yang telah ditetapkan
halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)
Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari
Ibnu 'Abbas:
Seorang lelaki mengadu dan bertanya
kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang
yang membujang (tidak berkahwin)
selama-lamanya, katanya: " Bolehkah aku
berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:
Tidak ada dalam agama kita orang yang
berkasi. (Riwayat Tabrani)
Dalam masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:
Rasulullah s.a.w. telah melarang
sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup
membujang (tanpa berkahwin). Andainya
Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un
membujang (tanpa berkahwin), tenteulah
kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)
APA YANG HAQ, ADALAH HAQ..
APA YANG BATIL, ADALAH BATIL..
SELAMAT BER'AMAAAAL..!!!
Monday, June 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment