Monday, August 9, 2010

Pelajar tertarik pada PAS kerana kebenaran

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pelajar dalam dan luar negara pada hakikatnya tertarik dengan PAS kerana Umno hanya mampu memberikan duit, bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.

Justeru, dakwaan Pengerusi Biro Kelab Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek kononnya PAS membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

“PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukkan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, memang melucukan apabila Shabery menyebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang menggunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar supaya menyokong PAS.

Tegasnya, PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau di mana-mana negara luar seperti Umno.

“PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah parti Islam yang berteraskan kebenaran Islam,” katanya lagi.

PAS, jelasnya tidak perlu menggunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan, tambahan pula di luar negara tiada akta AUKU menyebabkan mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja.

Katanya, golongan yang cerdik di luar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau menambah, mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.

Menurutnya, pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, maka tidak hairan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam.

Katanya lagi, walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa presiden parti mereka ke sana, namun para pelajar yang cerdik tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa di negara ini melalui internet.

“Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut,” ujarnya.

766 peneroka Serting saman Felda RM200 juta

SEREMBAN, 9 Ogos: Seramai 766 peneroka Felda Serting Negeri Sembilan memfailkan saman di Mahakamah Tinggi hari ini terhadap Felda dan menuntut gantirugi sebanyak RM200 juta.

Mereka mendakwa Felda telah menipu mereka dan menyebabkan mereka menanggung kerugian yang besar.

Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit".

Tuntutan saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban 2 pada jam 10.45 pagi tadi melalui peguam yang dilantik Sivarasa Rasiah dan Latheefa Koya.

Sivarasa dalam satu sidang media di perkarangan mahkamah memberitahu, tindakan itu diambil setelah meneliti satu kes yang sebelum ini berlaku di Felda Kemahang 3 Kelantan yang mendapati wujud penipuan terhadap kadar perahan gred (KPG) yang telah dikemukakan oleh peneroka.

"Setelah meneliti kes yang berlaku di Kelantan serta kajian yang telah dilakukan oleh peneroka terhadap KPG mendapati terdapat unsur penipuan telah berlaku pada KPG yang mana kesemua peneroka telah ditipu oleh Felda sejak dari mula mereka memasuki tanah Felda ini,” katanya.

Katanya, peneroka menghantar hasil kutipan sawit mentah mereka ke kilang kelapa sawit kepunyaan Felda di Serting dan Serting Hilir.

Tambahnya, apabila kutipan dibawa dalam lori, ianya ditimbang setelah pengasingan dibuat mengikut kualiti tandan dibuat iaitu samada ianya busuk, kosong, mengkal, panjang, kotor dura dan sebagainya.

"Berat yang ditimbang kemudiannya dibayar mengikut Kadar Perahan Gred (KPG) yang telah tertera di atas satu dokumen bernama akuan penerimaan Berat Timbang Sawit (BTS) pada setiap timbangan atas setiap lori pada setiap kali penghantaran.

“KPG yang tertera di atas akuan BTS tersebut adalah 16 peratus hingga 19 peratus. KPG ini bertukar-tukar pada setiap masa dan peneroka tidak mengetahui bagaimana peratusan KPG ini ditetapkan setiap kali penghantaran,” jelasnya lagi.

Pada 10 Februari 2010, katanya peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Sime Darby Research Sdn Bhd untuk tujuan KPG dan hasil ujian menunjukkan bahawa KPG adalah 24.1 peratus manakala pada 19 julai 2010 peneroka telah menghantar sampel tandan ke makmal Felda Analytical Laboratory dan hasil ujian menunjukkan KPG adalah 25.57 peratus`.

Menurutnya, oleh kerana memandangkan bahawa hasil ujian kedua-dua makmal secara rawak dan bebas menunjukkan KPG jauh lebih tinggi iaitu di antara 24 peratus hingga 25.5 peratus berbanding dengan KPG yang tertera di atas akaun penerimaan BTS yang dikeluarkan oleh defendan kedua iaitu antara 16 peratus hingga 19 peratus, maka plaintif mendapati wujudnya penipuan (fraud) dan atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli hasil buah sawit diantara Felda bagi pihak peneroka.

Tambahnya, tindakan itu jelas wujud penipuan yang dilakukan dengan sengaja dan niat jahat, merendahkan gred sawit sehingga menyebabkan peneroka tidak mendapat hasil yang setimpal dengan usaha yang mereka lakukan.

Kesemua peneroka tersebut menamakan Felda dan anak syarikat Felda, Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan, selain itu juga Felda telah lama melakukan penyelewengan dan penipuan terhadap peneroka di kedua-dua rancangan Felda tersebut.

"Bagi saya ini adalah satu penipuan dan juga pecah amanah yang dilakukan oleh Felda, kalau mengikut ujian yang dilakukan di kedua-dua makmal tersebut peneroka sepatutnya menerima hasil perahan minyak sebanyak 24 peratus hingga 25 peratus tetapi sikap Felda yang tidak jujur mereka hanya menbayar peneroka atas 16 peratus hingga 19 peratus sahaja.

"Kita hari ini bercakap kerugian yang bernilai jutaan ringgit bukannya yang bernilai RM1, kita mempunyai dokumen yang membuktikan segala dakwaan itu benar dan tepat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan kiraan yang dibuat sebulan peneroka mengalami kerugian RM20 ribu, dalam tempoh 15 tahun 766 orang peneroka Felda di Serting mengalami kerugian RM229.8 juta, sebanyak itulah yang telah dikaut oleh Felda dari peneroka tanpa ada belas kasihan.

Tiada ahli PAS masuk Umno di Pengkalan Chepa

PENGKALAN CHEPA, 9 Ogos: Berita ‘194 keluar PAS, masuk Umno’ disiarkan hampir kesemua media cetak berbahasa Melayu hari ini. Namun timbul persoalan siapa yang tertipu dengan lakonan di Pulau Tukang Dollah malam kelmarin.

Mungkinkah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed terperangkap dengan taktik Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin apabila tiada seorang pun ahli PAS menyertai Umno di majlis berkenaan.

Sebenarnya apa yang berlaku, mana-mana penyokong Umno yang belum mendaftar di bahagian Pengkalan Chepa dikutip kad pengenalan dan diisi dalam borang permohonan menjadi ahli Umno.

Penghulu Pulau Pak Amat, Mohd Nor Dollah berkata, tiada seorang pun ahli PAS yang dikatakan menyertai Umno di majlis yang dihadiri Mustapa.

“Saya sudah membuat semakan dengan penduduk tempatan dan berbincang dengan beberapa pihak termasuk penghulu Pulau Panjang, tiada seorang pun yang disahkan sebagai ahli PAS menyertai Umno di Pulau Tukang Dollah.

“Beberapa nama yang disebut dalam akhbar bukan ahli atau penyokong PAS. Seorang yang bernama Zulkifli difahamkan berasal dari Tanah Merah.

“Manakala Abdul Rahmat pula tiada rekod sebagai ahli PAS. Malah saya diberitahu mereka yang hadir di majlis berkenaan sekitar 70 orang,” katanya di sini.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan seramai 194 ahli PAS keluar parti itu dan menyertai Umno pada satu majlis yang diadakan di Pulau Tukang Dollah.

Pada majlis itu kesemua penyokong Umno terbabit memegang banner yang bertulis ’Selamat Tinggal PAS berlambang dacing. Turut kelihatan dalam gambar Mustapa, Dali dan seorang penceramah Umno dari Tumpat.

Mohd Nor berkata, Umno bahagian terbabit difahamkan mengutip nama penyokong Umno dari beberapa kampung termasuk Parang Puting, Pulau Panjang, Taman Seri dan Pulau Dollah Tukang untuk diisi dalam borang keahlian Umno.

Katanya, penduduk memberitahu penyokong Umno yang belum menjadi ahli diminta mengisi borang keahlian untuk diserah pada satu majlis kepada Mustapa.

”Bagaimanapun ramai terkejut kerana penyokong Umno yang mengisi borang menjadi ahli tiba-tiba diisytiharkan pada majlis tersebut sebagai bekas ahli PAS.

”Ramai mereka terkilan kerana dipermainkan Umno Bahagian Pengkalan Chepa. Mereka tidak pernah menjadi ahli PAS. Ramai yang malu dengan tindakan tersebut,” ujarnya yang juga bekas aktivis Semangat 46.

Beliau juga mendakwa Umno bahagian Pengkalan Chepa masih lagi menghantar surat jemputan mesyuarat kepadanya biar pun sejak 1990 sudah meninggalkan Umno.

Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Azmi Nor berkata, Umno bahagian berkenaan sudah bankrap idea apabila terpaksa mengulang tayang taktik lama sehingga diketawakan orang kampung.

Katanya, orang kampung tahu mana penyokong PAS atau Umno di tempat mereka.

”Namun dalam kes di Pulau Tukang Dollah kelihatan seperti ada pihak yang diperbodohkan semata-mata untuk mendapat publisiti murahan dalam media,” katanya.

Perjuang diskaun rumah mewah tetapi lupa subsidi dipotong

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas pengampu-pengampu pemimpin Umno yang hanya memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera tetapi berdiam diri terhadap pemotongan subsidi.

"Sikap mereka yang membisu seribu bahasa terhadap pemotongan subsidi yang ternyata membebankan rakyat terutama menjelang musim perayaan ini membuktikan sikap mereka yang bukan sahaja tidak prihatin malah tidak peduli sama sekali terhadap penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah," katanya.

Malah, katanya lagi, mereka bersekongkol dengan tindakan kerajaan yang hanya berani merampas subsidi dari rakyat dan mengumumkan kenaikan harga barang sebaik sahaja sesi Parlimen selesai bersidang.

Beliau mendedahkan, tidak ada sebarang pandangan diminta mahupun perbicangan secara khusus dibuat bersama-sama Ahli Parlimen sepanjang Parlimen diadakan.

"Selepas tamat sesi Parlimen, kerajaan terus umum kenaikan harga barang tanpa berunding dengan rakyat. Masa bila kerajaan berunding dengan rakyat?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Pengampu-pengampu pemimpin Umno yang membuat bising menentang pemotongan diskaun rumah mewah itu juga lansung tidak peduli terhadap nasib hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700, katanya.

"Bila harga minyak dan harga barang makanan dinaikkan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), bukan harga barangan tersebut sahaja yang naik harganya tetapi, seperti yang berlaku sebelum ini, ia akan mengakibatkan kesan berganda dan barangan lain juga naik harga.

"Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan dengan sendirinya harga begitu banyak barangan lain akan naik harga.

"Kenaikan harga gula pula akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan minuman lain. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan, pergilah ke pasar-pasar Ramadhan dan lihat sendiri adakah pelbagai juadah yang menggunakan gula sebagai bahan akan tetap sama harga?

"Kalau tidak dinaikkan harga pun, biasanya para peniaga terpaksa mengurang kuantiti atau mengecilkan saiz," kata Mahfuz.

Tetapi, katanya, para pemimpin Umno dan pengampu-pengampu mereka tidak peduli penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang itu.

"Saya yakin, sebahagian besar dari 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700 itu adalah adalah orang-orang Melayu Islam yang akan menyambut Ramadhan kali ini dengan penderitaan akibat kenaikan harga barang.

"Malang bagi mereka kerana orang-orang Umno hanya sibuk dengan memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera.

"Maklumlah, mereka yang hendak beli rumah-rumah itu kerana pekerja yang berpendapatan bawah RM700 sebulan tentu tidak mampu membeli rumah-rumah mewah itu," kata Mahfuz.

Agenda perpaduan: Umno kini rasa terancam

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Umno akan sentiasa bertindak untuk mengekalkan kedudukannya sebagai teras politik negara ini terutama sekali jika merasa kedudukannya terancam, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau mengulas cadangan dan usaha yang dibuat Umno terutama melalui medianya Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini yang cuba memancing PAS agar berpadu dengannya atas nama kepentingan Melayu dan Islam.

"Sejak dari awal perkembangan politik negara, iaitu sejak dari merdeka lagi sampai kini, Umno dan BN (dahulunya Perikatan) memang sentiasa menjadi teras politik negara. Dan Umno sememang akan berusaha untuk mempastikan dia kekal menjadi teras politik negara sepanjang masa. Tetapi dalam tempoh tertentu Umno terasa kedudukan ini terancam. Ketika itu, Umno akan ada agenda tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya itu," kata Mustafa.

Mustafa dipercayai mengulas usaha Umno untuk memancing PAS agar bersatu dengannya kerana merasakan kedudukannya terancam selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan akhbar politik Siasah pagi tadi. Wawancara penuh bakal diterbitkan hujung minggu ini (Jumaat). Dalam keluaran terbarunya, Siasah menyiarkan wawancaranya dengan Tun Dr Mahathir.

Antara lain, Dr Mahathir mendakwa PAS menjaga kepentingannya sendiri semasa dalam BN menyebabkan PAS ditendang dari BN. Mahathir juga mendakwa, Melayu kini minoriti selepas berpecah kepada tiga iaitu Malyu Umno, PAS dan PKR.

Menurut Mustafa dalam wawancara itu, selepas peristiwa 13 Mei, Umno buat pertama kali terasa kedudukannya terancam apabila PAS menang di banyak kerusi dan Gerakan juga menang besar dalam pilihan raya itu.

"Ekoran peristiwa 13 Mei dan melalui Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak berbincang dengan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Asri Muda. Umno juga berbincang dengan Gerakan. Saya yakin kedua-duanya (Tun Razak dan Asri) ikhlas untuk menjaga kepentingan Melayu Islam dan negara ketika itu. Apabila PAS berada dalam BN, dalam kerajaan, fenomena baru berlaku. Kalau selama ini banyak sektor masyarakat yang takut bersama PAS kerana PAS adalah parti pembangkang, ia telah berubah," kata Mustafa.

Selepas itu, katanya, PAS ditendang keluar dari BN.

Mustafa juga menolak, orang Melayu kini berpecah tiga dan menjadi minoriti dalam negara ini sebagaimana didakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir apabila mendakwa Melayu kini berpecah tiga iaitu dalam Umno, PAS dan PKR.

"Apakah ia bererti Melayu berpecah? Bagi saya tidak asalkan masing-masing tahu matlamat dan dasar yang murni perlu diperjuangkan bersama. Sepanjang masa, kita sentiasa berkata, PAS akan menyokong Umno dalam melaksanakan Islam dan untuk kepentingan orang Melayu di negara ini. Sejarah membuktikan PAS tidak pernah menghalang usaha sebegini. Yang sentiasa menghalang adalah Umno sendiri," kata Mustafa.

Baca wawancara penuh dengan Datuk Mustafa dalam Siasah Jumaat ini.

Awang Selamat rasa tak selamat- Mahfuz

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Penulis ruangan Bisik-Bisik Mingguan Malaysia, Awang Selamat sudah merasa tidak selamat dengan kuasa politik Umno sehingga terpaksa menghentam PAS dan pemimpinnya, kata Datuk Mahfuz Omar.

Awang Selamat katanya, sudah mula merasai dan menjangka bahawa Umno bukan sahaja akan hilang kuasa politik malah hilang sokongan Melayu itu sendiri.

"Saya tak nak layan sebab dia tengah meroyan, kita biar dia tenang dulu.

"Apapun ini menunjukkan Awang Selamat sudah rasa tak selamat kerana dia tahu Umno akan hilang kuasa politik," katanya kepada Harakahdaily.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam menyifatkan Mahfuz sebagai pemimpin yang 'angkuh dan paling menjijikkan' kerana didakwanya suka menghina orang Islam.

PAS pula didakwanya sebagai parti dayus kerana menolak permuafakatan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata Awang Selamat digunakan Umno sebagai orang upahan atau lebih tepat 'juak Umno' untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat.

Ianya juga kata Mahfuz, sebagai bukti pemimpin Umno sudah takut sehingga terpaksa menggunakan juak-juaknya.

"Pemimpin Umno dah tak ada yang berani bersuara, dia hantar juak-juak dia sahaja untuk berkokok termasuk Awang Selamat.

"Saya nak bagitahu Awang Selamat, InsyaAllah Melayu Islam termasuk kaum lain akan lebih selamat tanpa Umno," tegasnya lagi.

Awang selamat juga mendabik dada kononnya Umno terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berbanding PAS.

Bagaimanapun, tulisannya dilihat banyak pihak, lebih kepada melahirkan perasaan kecewanya ekoran penolakan PAS untuk bekerjasama dengan Umno.

Terbaru, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam, sekali lagi menyeru rakyat agar meninggalkan Umno kerana mendakwa parti perkauman itu diselimuti penyelewengan dan salah guna kuasa sejak sekian lama.

Akibat dari itu juga katanya, orang Melayu dan Bumiputera menjadi mangsa Umno apabila parti pemerintah itu menggunakan senjata 'kedudukan istimewa orang Melayu' untuk mempertahankan Umno dan merobek harta negara.

Thursday, July 29, 2010

Tiada cara lainkah jimatkan perbelanjaan negara?

Apa yang dibimbangi sebelum ini nampaknya sudah menjadi kenyataan. Penerimaan baik sebahagian rakyat terhadap kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian sebelum ini terbukti menjadi isyarat silap terhadap tindakan kerajaan itu.

Bagai diduga, Barisan Nasional (BN) memanipulasi penerimaan rakyat atas kenaikan itu untuk mengurangkan lebih banyak bantuan, peruntukan dan subsidi yang selama ini mereka nikmati. Terbaru, sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi, kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api dan gula, berkuatkuasa Jumaat (16 Julai) lalu.

Subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram. Dengan penyelarasan itu, petrol RON95 kini dijual pada harga RM1.85 seliter, diesel RM1.75 seliter dan LPG RM1.85 sekilogram.

Turut diselaraskan ialah harga gula, sebanyak 25 sen sekilogram menjadikannya RM1.90 sekilogram. Kenaikan itu adalah kali kedua selepas Januari lalu.

Sepertimana lazimnya di setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat, ia sering diiringi seruan klise agar rakyat berjimat cermat atau berbelanja dengan berhemah. Bagi menyokong pendiriannya itu, BN yang selalunya tidak mengutamakan hujah agama tergamak pula menukilkan hujah dan pandangan Islam berhubung kebaikan berjimat-cermat dan kekejian berborosn.

Ditaburkan juga janji manis kononnya setiap sen yang dijimatkan kerajaan ekoran penarikan balik subsidi itu akan disalurkan kepada perkara lain yang dibayangkan akan memebri manfaat lebih besar kepada rakyat.

Kita masih ingat itulah antara hujah BN ketika ia mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel dulu. Rakyat disintuk limau dengan janji penambahbaikan sistem pengangkutan awam menggunakan wang negara dijimatkan itu.

“Pada saya tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat,” itu pula hujah Perdana Menteri sepertimana dipetik media pada 4 Januari lalu bagi merasionalkan kenaikan harga gula.

Kerapkali juga BN berterus-terang bahawa kerajaannya sudah tidak mampu menampung pembiayaan subsidi barangan terbabit. Bahkan ada menteri sampai tergamak membayangkan negara akan muflis dalam masa sedekad lagi sekiranya pembiayaan subsidi sepertimana diamalkan kini tidak dirasionalisasikan.

Andaian itulah yang dijadikan alasan utama untuk merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi wajar diterima secara positif oleh rakyat.

Setakat itu kelihatannya BN memiliki hujah dari berbagai sudut – agama, kesihatan, maslahah umum mahu pun ekonomi negara. BN bertuah kerana setiap kali ia mengambil tindakan menambah bebanan hidup rakyat, akan sentiasa ada golongan yang tampil membela dan menyokong tindakan itu.

Itulah yang kita katakan isyarat silap. Betapa penerimaan dizahirkan rakyat itu, biar pun tidak mewakili keseluruhan mereka, sudah lebih dari cukup memberikan keselesaan kepada parti pemerintah itu untuk terus melaksanakan apa juga langkah difikirkannya sesuai.

Lebih menyeronokkan lagi bagi BN ialah apabila penerimaan rakyat terhadap hujah dan rasional dikemukakan tadi akhirnya semacam menjadi karat yang membentengi pemikiran rakyat daripada menyelongkar punca sebenar yang menjerumuskan kewangan negara ke kedudukan amat tenat kini.

Usaha menjimatkan perbendaharaan negara adalah langkah yang wajar dialukan. Soalnya, apakah setiap kali langkah penjimatan itu disuarakan maka yang perlu menanggung bebannya semestinya rakyat?

Kita kerap didendangkan dengan lagu bernada apologetik dan menagih simpati dari mulut para pemimpin negara. Kononnya rakyat perlu berkongsi masalah di hadapi negara. Kononnya negara ini milik bersama antara pemimpin dan rakyat. Justeru, rakyat juga perlu berperanan membina negara.

Tempat jatuh bodekan itu ialah agar rakyat dapat menerima hakikat bahawa mereka perlu berganding bahu bersama kerajaan memikul beban perbelanjaan negara. Kononnya perkongsian bijak rakyat-kerajaan akan memudahkan usaha memantapkan kedudukan ekonomi negara. Untuk itu rakyat perlu bersedia menyerap sedikit kos kenaikan harga barangan keperluan mereka.

Agak rendah diri kelihatannya para pemimpin tatkala membuat rayuan itu. Seolah-olah sebelum ini setiap keputusan berhubung perbelanjaan negara, mereka membuatnya dengan terlebih dahulu bertanyakan rakyat selaku “rakan kongsi pemerintahan”.

Sudah agak kerap kita dihidangkan dengan luahan dan pandangan berterus-terang beberapa tokoh negara berhubung salah pengurusan kewangan negara. Bagi mereka ini punca utama kedudukan kewangan negara terjejas adalah apabila perbelanjaan tidak diurus dengan baik.

Tidak syak lagi rekod pembaziran dan salahurus kewangan negara di bawah BN amat menakjubkan. Isu kapal selam, kapal perinda TUDM, Sukhoi, PKFZ, dan banyak lagi menjadikan negara kita persendaan dunia. Itu belum lagi kita senaraikan kes-kes pembelian tidak masuk akal barangan oleh agensi dan jabatan kerajaan sepertimana sering didedahkan laporan Ketua Audit Negara saban tahun.

Kita rasa fakta-fakta itu dengan sendirinya menjelaskan bahawa cara lebih berkesan menjimatkan wang negara ialah dengan mengelakkan pemborosan, ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan negara

Rujukan:

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27841:-tiada-cara-lainkah-jimatkan-perbelanjaan-negara&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46