Minggu ini kita dihidangkan dengan satu sandiwara politik mengenai ancaman keganasan terhadap apa yang dilabel sebagai “Jemaah Islamiah” – JI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan sepupunya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin sebagai pelakon utamanya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bertindak sebagai pelakon pembantu.
Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa kononnya pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang tanpa membentang bukti-bukti sahih.
Kita cuba diyakinkan bahawa JI adalah sebuah kumpulan pengganas yang didakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam, sedang menyusup masuk ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia untuk merekrut anggota-anggota barunya dari kalangan pelajar-pelajar tempatan dan luar negeri.
Sandiwara ini dilihat tidak meyakinkan dan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memang tidak mempercayai dakwaan ini. DMPP juga mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha yang boleh dianggap sebagai sengaja mereka cipta dan menyiarkan kenyataan palsu tanpa bukti dan secara halus memburuk-burukkan Islam dan umat Islam di negara ini.
DMPP bersama-sama menyokong pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, SM Idris mendesak agar dakwaan wujudnya aktiviti-aktiviti pengganas yang dikaitkan dengan JI ini perlu dibuktikan serta membawa mereka ke muka pengadilan mahkamah terbuka. Juga untuk membuktikan bahawa Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang berintregriti dan mengutamakan norma-norma kerajaan yang maju dan bertamadun.
Sebenarnya semua dakwaan penglibatan JI dan penyebaran propaganda hitam unit Polis Indonesia Detachment 88 yang diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia adalah usaha terdesak Najib untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu-isu yang sedang melanda negara sekarang. Ianya juga dapat ditafsirkan sebagai usaha terdesak beliau untuk meyakinkan Presiden Obama bahawa Malaysia adalah sekutunya dalam isu pengganas tersebut.
Terlalu banyak isu-isu yang sedang menghimpit pentadbiran Najib tanpa penyelesaian yang baik dan selesa sekarang. Isu lesen judi sukan “sports betting” di mana PAS bersama-sama NGO akan mengadakan himpunan 100 ribu rakyat pada 3 Julai ini, menampakkan bahawa beliau telah silap langkah dan menaikkan kemarahan rakyat terhadap gejala kerosakan yang berpunca dari judi.
Kejutan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia akan jatuh bankrap dalam tempoh 9 tahun akan datang bagi mengiyakan tindakan pemansuhan subsidi yang akan mengakibatkan kenaikan harga barangan memaparkan kemelut ekonomi yang melanda negara kini.
Dalam isu pindaan Akta ISA yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai ini juga dilihat antara tindakan awal agar dapat menakut-nakut dan meyakinkan rakyat akan keperluan ISA dan pindaan yang akan dibuat.
Ianya juga boleh dilihat sebagai satu alasan terancang untuk mengabsahkan tindakan menyerbu, menangkap dan menghantar pulang 9 orang pelajar asing kebanyakannya dari Timur Tengah di Gombak tidak lama dulu.
Di samping secara halus menakut-nakut pelajar-pelajar IPTA/IPTS dan kalangan akademik tempatan dan asing. Selama ini sedikit ruang yang dibuka dari Akta AUKU yang mencengkam aktiviti-aktiviti pelajar dilihat oleh beliau tidak dapat mengukuhkan sokongan mereka kepada kerajaan.
Sehubungan itu juga beliau berharap dapat menakut-nakut rakyat bukan Islam dan menanamkan bibit keraguan mereka terhadap usaha-usaha PAS membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dari kalangan bukan Islam bagi meraih sokongan yang lebih besar. Usaha-usaha PAS ini sangat menggusarkan beliau.
Selain itu sebanyak sedikit cuba menghilangkan rasa ingin tahu rakyat terhadap kes rasuah terhadap pembelian dua kapal selam di mahkamah Perancis yang akan berjalan tidak lama lagi.
DMPP bertegas bahawa seperti peribahasa yang mengatakan “tidak ada angin masakan pohon bergoyang” propaganda jahat ini tidak akan dapat menghasilkan natijah yang baik. Ia sebenarnya telah memudahkan APCO serta anasir zionis yahudi menjalankan jarum khianatnya terhadap rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia.
DMPP juga memohon semua pihak dan rakyat seluruhnya bertenang dan jangan membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Kita yakin semua permasalahan ini jika ditangani mengikut garis panduan Islam dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebenarnya akan membuahkan satu penyelesaian yang adil. Oleh kerana Islam itu adil untuk semua.
Nuridah Mohd Salleh,
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Rujukan :
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27271:ji-sandiwara-najib-yang-tidak-meyakinkan-&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131
Friday, June 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment