Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu berjuang membela agama Allah nescaya Allah mengurniakan kemenangan kepada kamu dan meneguhkan pendirian kamu. (Surah Muhammad: Ayat 7)
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
1. Marilah sama-sama kita merafa’kan [mengangkat] kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla di atas inayahNya [keizinan] kita masih memiliki keiltizaman [ komitmen ] dan keistiqamahan [pro aktif] untuk bersama dengan perjuangan yang murni dan suci ini.
2. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana jerih payah Baginda mengeluarkan ummah dari kegelapan jahiliyyah ke arah cahaya hidayah .
3. Jua tidak mungkin kita dapat lupakan setiap titis pengorbanan yang dicurahkan oleh salafus-soleh, mujahid, alim ulama’ dan tokoh reformasi Islam yang lebih awal merintis denai kehidupan semata-mata untuk memastikan Islam terus bersinar sehingga ke hari ini.
Yang berbahagia Saudara Pengerusi majlis .
Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abdul Rani Timbalan Ketua DPPP
AL Fadhil al akh Sabky bin Yusuf Naib Ketua DPPP
Al Fadhil al akh Kamaruzaman bin Mohamad Setiausaha DPPP
[merangkap Pengarah Panitia Muktamar DPPP kali ke 51]
Yang dikasihi anggota Jawatan Kuasa Harian DPPP
Yang dihormati sahabat - sahabat EXCO DPPP , Pengarah Jabatan dan Ketua DPP negeri
Yang berbahagia al Fadhil Pengerusi & Timbalan Pengerusi Tetap DPPP
Yang dimuliakan dhif – dhif kehormat yang terdiri daripada pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat [ AMK dan DAP ] serta NGO jua tokoh akademik dan masyarakat .
Akhirnya , tidak sekali – kali saya lupakan ialah para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah s.w.t sekalian . Buat julung kalinya muktamar kita dihadhiri oleh pemerhati rasmi dari Dewan Himpunan Penyokong PAS .
4. Saya mewakili seluruh anggota Dewan Pemuda PAS dengan penuh rasa tawaadhu’[ merendah diri kepada Allah swt ] pada hari ini , menjulang kembali wahyu Allah :
5. Sebagai satu seruan perjuangan buat seluruh warga pemuda memacu gerakkerja mencari kemenangan yang dijanjikan oleh Allah swt. Justeru kemenangan adalah suatu yang sangat bermakna dan tinggi pula nilainya maka perjuangan untuk mencapainya adalah satu usaha murni yang tidak perlu diragui oleh Pemuda .
6. Kemenangan tetap dicari dalam segenap ruang dan peluang demi melestari intipati perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Namun, untuk menang bukan bermakna kita mesti memudarkan cahaya perjuangan Islam yang didokong.
Para Ansoorullah yang dihormati sekalian,
7. Sementara PAS menakluk kemenangan dengan tangan kirinya, tangan kanannya mestilah memelihara ketulenan perjuangan yang didokong. Justeru itu, suka saya tegaskan bahawa PAS mesti tetap berada di atas manhaj perjuangan Islam yang tulen dan mesti dilihat tulen dalam pengambilan manhajnya . Justeru, Islamlah menjadikan kita mulia dan hebat . Sebagaimana penegasan Umar al Khattab r.a :
Kita adalah satu golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam maka sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya nescaya Allah akan menghina kita .
8. Berasaskan realiti inilah , kita menitah satu arahan tegas yang diangkat menjadi tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat bagi kali yang ke 51 iaitu “Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan”.
Sahabat Ansoorullah yang dihormati sekelian
9. Parti Islam SeMalaysia [PAS] pada usia yang melebihi separuh abad, telah mengharungi pelbagai tribulasi dan pahit jadam dalam perjuangan bagi menegakkan syariat Islam di bumi Allah ini. Sepanjang tempoh tersebut, al-Qur’an dan as-Sunnah tetap menjadi pegangan dan tidak pernah sekali-kali ia ditinggalkan . Inilah rahsia umum kejayaan PAS, istiqamah dan berpegang teguh kepada Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS semenjak dahulu sehingga sekarang.
10. Lebih menarik apabila tenaga pemuda memainkan peranan penting dalam membantu perjuangan Baginda Rasul s.a.w. Nama-nama agung seperti Ali bin Abu Talib, Khalid Al-Walid, Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah dan ramai lagi, merupakan pemuda-pemuda yang gemilang dalam lipatan sejarah kebangkitan Islam sehingga berjaya mendaulatkan syariah di bumi Madinah dan mengembangkan syiar Islam ke suluruh pelosok dunia.
11. Negara kita turut menyaksikan tercetusnya gerakan reformis muda yang berjuang untuk menegakkan Islam lalu menuntut kemerdekaan dan bangkit menentang penjajahan British. Nama besar ulama’-ulama’ muda seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha, Syed Sheikh Al-Hadi yang muncul pada awal abad ke-20 menjadi tokoh kepimpinan terbilang.
12. Sementara di pertengahan kurun ke 20 pula , ketika dunia berhadapan dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki, muncul seorang tokoh ulama’ muda, Maulana Abdullah Noh daripada Kelantan yang mempelopori sebuah pertubuhan Islam pada tahun 1946 di dalam negara ini. Obor perjuangan itu terus dilangsungkan oleh tokoh-tokoh pembaharuan Gerakan Islam seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir yang menubuhkan Hizbul Muslimin dan kemudiannya menjadi satu ancaman besar kepada British.
13. Kemuncaknya PAS ditubuhkan pada tanggal 23 Ogos 1951. Disusuli beberapa tahun kemudian penubuhan Dewan Pemuda PAS pada tarikh 25 Ogos 1953, yang digagaskan menerusi Kongres Pemuda Islam Malaya di Madrasah al-Ulum, Bagan Datoh. Ia tegas mendokong cita-cita untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Malaysia yang kita cintai ini.
14. Menelusuri kembali perjuangan Dewan Pemuda PAS yang berusia kira-kira 57 tahun, tidak lengkap tanpa saya nukilkan selaut pengorbanan dan suka duka perjuangan yang suci murni ini. Cerminan sejarah perjuangan jatuh bangun PAS terutama dalam tempoh 50 tahun pertama, sewajarnya dijadikan iktibar untuk membentuk dan merajah potret perjuangan pemuda dalam era 50 tahun kedua ini.
15. Pergerakan Dewan Pemuda PAS pada detik itu lebih cenderung memfokuskan gerak kerjanya kepada aspek kaderisasi ahli dan pembinaan fikrah perjuangan yang sahih. Disinilah Dewan Pemuda PAS menjadi hab produksi pelapis kepimpinan.
16. Pada tahun 1954, DPPP menubuhkan Kesatuan Penuntut Islam SeMalaya (KEPAS) untuk mengkaderkan anak-anak ahli gerakan di peringkat pelajar.
17. Zaman kepimpinan Ustaz Amaluddin Darus bermula dengan pembangunan dan penstrukturan organisasi bagi membentuk kerangka yang lebih sistematik dan efektif. Fasa ini juga merancakkan kegiatan tarbiyah secara agresif dengan penganjuran aktiviti-aktiviti seperti usrah, tamrin, daurah dan sebagainya. Sehinggalah penghujung dekad 60-an dan awal 70-an, kita menyaksikan kepimpinan Pemuda PAS diterajui oleh kombinasi ulama’ yang [ mantap ] dan ahli profesional yang ‘arif .
18. Gerakan pentarbiyahan Pemuda PAS terus diperhebat meskipun kita mengalami kekalahan pilihanraya yang agak teruk pada tahun 1978. Inilah buktinya, Pemuda PAS tidak menganggap sifir kalah menang dalam pilihanraya sebagai indikator asas perjuangan ini, bahkan yang paling penting adalah penerapan dakwah dan tarbiyah terus digerakkan.
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
19. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1982 dibawah kepimpinan Yang Berbahagia Tuan Haji Mustafa Ali [Dato’] mengusulkan gagasan Kepimpinan Ulama’ dan penubuhan institusi Majlis Syura Ulama yang menjadi ‘izzah jemaah kita sehinggalah ke hari ini.
20. Dalam dekad 80-an, kita mendepani mehnah apabila beberapa tokoh pemuda seperti Haji Mohammad Sabu, Ustaz Abu Bakar Chik dan Ustaz Bunyamin Yaakob [Al-Marhum] diheret dengan rantai drakonian ISA ke Kamunting pasca tragedi berdarah di Memali dan Lubuk Merbau.
21. Selain itu, Pemuda PAS diwarnai pula dengan diversifikasi [kepelbagaian] jalur pemikiran yang dilihat menjadi satu hambatan kepada kepimpinan pemuda untuk menyatu dan mencari titik pertemuan dalam dilema ini. Kepimpinan Ustaz Abu Bakar Chik telah mengambill langkah pro aktif dengan menubuhkan Jabatan Pelajar PAS untuk memurnikan fikrah perjuangan pelapis-pelapis PAS terutamanya di Institusi Pengajian Tinggi yang agak berkecamuk dengan kemunculan pelbagai aliran fikrah dan jemaah.
22. Di peringkat keahlian, kebajikan dan kaderisasi, Pemuda PAS telah mewujudkan Unit Kerja Jemaah [UKJ], Pusat Bina Syakhsiyyah [Pembina], Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam [PASTI], Unit AMAL yang menjadi satu badan beruniform alternatif untuk aktivis gerakan Islam. Saudara ..... Inilah legasi jariah yang telah diamanahkan untuk kita mempersadakannya ke tahap yang lebih cemerlang.
23. Ledakan reformasi penghujung dekad 90-an memperlihatkan partisipasi [penyertaan] sejumlah besar rakyat memasuki gerbang parti sehingga menampilkan PAS sebagai wadah alternatif kepada UMNO. Pada saat itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Tuan Haji Mahfuz Omar [Dato’ YB] gigih membantu Presiden PAS, Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor untuk memobilisasi momentum kesedaran rakyat melalui Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK bersama KeADILan, DAP dan NGO-NGO yang lain.
24. Operasi Dewan Pemuda PAS ketika itu lebih tertumpu kepada aspek percaturan politik untuk mempersiapkan parti sebagai “government in waiting” bagi mentadbir Malaysia Baru. Jaringan kerjasama di peringkat luar negara mula dirintis dengan penubuhan Sekretariat Pemuda Islam Asean [AMSEC] bagi melonjakkan imej PAS dalam agenda internasionalisasi bersama gerakan-gerakan Islam serantau.
25. Penyerahan baton kepimpinan kepada Tuan Haji Salehuddin Ayub [YB] telah menganjakkan Pemuda PAS ke tahap yang cukup membanggakan di dalam termometer perjuangan. Enam tahun sehingga 2009, kita telah menggapai dua perkara penting dalam siri pencapaian gerakan iaitu:
o pendekatan sifat pembangkang yang konstruktif menerusi peluasan engagement yang objektif
o serta pemerkasaan agenda pendidikan politik sehingga mampu membayangi momokan kurafat parti pemerintah.
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
26. Hari ini kita mengiktiraf dan mengisytiharkan bahawa As-Sabiquun Al-Awwaluun [golongan yang mendahului kita] ini sebenarnya telah memenuhi tuntutan perjuangan berasaskan realiti dan keupayaan yang mereka miliki . Hari ini juga, saya menyeru kepada seluruh Pemuda PAS termasuk diri saya sendiri , agar kita pula merencana peta dakwah yang lebih luas dan segar untuk kita tangani dan depani suasana politik baru negara ke arah mencipta kemenangan yang kita sama-sama impikan.
27. Episod perjuangan yang sedang direntas oleh Dewan Pemuda PAS pada hari ini sangat berbeda. Kita bersama memimpin tangan dalam pemuafakatan Pakatan Rakyat, kita giat memposisikan peranan untuk membantu masyarakat dengan ruang dan peluang yang lebih besar diperingkat negeri dan persekutuan, kita juga tegas menangkis angkara fitnah dan tohmahan dalam dunia langit yang lebih terbuka tanpa sempadan. Kita juga santun menghormati saudara-saudara bukan Islam dalam institusi parti yang semakin berkembang.
1. GAGASAN BARU TEMPOH 50 TAHUN KEDUA
28. Demi untuk melangsungkan perjuangan itu, PAS telah mengambil langkah bijak [ hikmah ] dalam berpolitik sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Sepanjang lima dasawarsa itu, PAS telah menghadapi jerih-perih, pahit-getir dan jatuh-bangun dalam melangsungkan perjuangan, sehingga PAS kini boleh “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan parti-parti yang menerajui negara semenjak merdeka. Dengan pengertian lain PAS semakin bersedia untuk berkongsi masa depan bersama rakyat Malaysia. Insyaallah.
29. Para Pemuda PAS telah memainkan peranan besar dalam menunjangi perjuangan ini dengan usaha gigih yang tidak pernah kenal lelah dan bosan demi memahamkan golongan muda tentang hala tuju perjuangan PAS. Tiada siapa yang boleh menyangkal bahawa golongan muda lebih mudah untuk menerima dakwah kita , seterusnya berkongsi cita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera , adil dan saksama.
30. Dewan Pemuda PAS bertekad untuk meneruskan usaha memberi kefahaman tersebut dengan pendekatan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash`ari rha. : Berikanlah khabar gembira, janganlah menyebabkan mereka lari dan permudahkan olehmu, jangan kamu menyusahkan.
[Riwayat Muslim]
31. Menyedari betapa pentingnya pendekatan yang dianjurkan oleh baginda s.a.w ini, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Tarbiyah , Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam serta Akademi Kepimpinan Pemuda [AKP] akan meneruskan usaha mencetak pemuda-pemuda yang berkualiti tinggi dan memiliki skill dakwah yang hebat untuk mendekati masyarakat lantas memahamkan halatuju perjuangan PAS kepada mereka .
1. Penghargaan kepada Masyarakat Bukan Melayu
32. Selepas Tsunami Besar Pilihanraya Umum pada Mac 2008 sehingga Tsunami Kecil pada Pilihanraya Kecil Sibu bulan Mei baru-baru ini, sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat [PR] termasuklah PAS kelihatan tidak surut. Secara khususnya, PAS sendiri melalui satu pengalaman yang menakjubkan apabila ramai kaum bukan Melayu khususnya dari kalangan kaum Cina dan India menjadi sukarelawan menyampaikan mesej perjuangan PAS.
33. Fenomena ini lebih ketara ketika PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam beberapa pilihanraya kecil seperti di Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Permatang Pasir, DUN Manek Urai dan DUN Bagan Pinang. Dewan Pemuda PAS yakin fenomena ini bukan sementara, tetapi disebabkan mereka kian memahami halatuju perjuangan PAS.
34. Dewan Pemuda PAS melihat fenomena ini sebagai kejayaan awal PAS dalam melaksanakan Da`wah . Mawdu` [ bahan ] kepada dakwah kategori ini ialah kesejahteraan sistem politik Islam dan keadilan serta kesaksamaan yang dijamin oleh sistem tersebut kepada seluruh kehidupan.
35. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi, termasuk dalam rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w ialah dalam perkara dunia selain daripada rahmat dalam perkara al-Din. Maka dengan rahmat yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w kepada seluruh alam, PAS berjuang untuk mewujudkan negara Malaysia yang sejahtera, adil dan saksama untuk semua.
36. Dewan Pemuda PAS melihat masyarakat bukan Melayu khususnya golongan muda semakin celik daripada hasutan BN yang menakut-nakutkan mereka dengan perjuangan PAS. Sebaliknya situasi mutakhir ini menunjukkan UMNO dan proksinya yang bertindak secara melampau, membakar sentimen keagamaan termasuk menghina penganut agama lain.
37. PAS telah memperlihatkan kematangannya, dengan berusaha membuka lebih luas ruang dialog dalam menghadapi provokasi yang menggugat keharmonian rakyat. Sehubungan dengan itu , Dewan Pemuda PAS begitu serius untuk menyahut seruan Majlis Syura Ulama’ dan YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden supaya ruang dialog antara agama dan peradaban ini dibuka dengan lebih luas.
38. Langkah ini menganjakkan paradigma dakwah yang dipelopori oleh PAS kepada dakwah tahap ketiga iaitu:
o Oßgø9Ï?»y_ur ÓÉL©9$$Î/ }?Ïd ß`|¡ômr& 4
…dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang terlebih baik…
Surah al-Nahl . Ayat : 125
39. Sebagai menyahut seruannya, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional akan menubuhkan Pusat Dialog antara Agama dan Peradaban yang akan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah negara Malaysia yang sejahtera, adil , saksama dan diampunkan oleh Allah s.w.t. Pusat ini juga akan melahirkan lebih ramai pemuda yang akan menyemarakkan lagi kegiatan dialog, selain turut menjalin hubungan dengan badan-badan seumpama itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang dipelopori oleh Dr Kamal al-Helbawi.
2. Harapan kepada Masyarakat Melayu
40. Melangsungkan perjuangan Islam yang diwarisi dari Rasulullah s.a.w, sokongan daripada masyarakat Melayu-Islam sememangnya sangat penting. Agenda memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah dan menyelamatkan manusia daripada kezaliman golongan yang melampaui batas menuju rahmat keadilan Allah, sewajarnya lebih difahami oleh mereka kerana ia merupakan tujuan utama para Rasul diutuskan kepada manusia.
41. Berdasarkan kepada halatuju tersebut suka saya tegaskan di sini, bahawa tiada percanggahan antara usaha untuk mengekalkan sokongan masyarakat bukan Melayu dan meraih sokongan yang lebih luas daripada masyarakat Melayu.
42. Hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti UMNO dan BN , beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu. Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib juga diberikan kepada golongan bukan Islam sebagaimana firman Allah swt dalam ayat ke 8, surah al-Mumtahanah:
?w â/ä38yg÷Yt? ª!$# Ç`tã tûïÏ%©!$# öNs9 öNä.qè=ÏG»s)ã? ?Îû ÈûïÏd?9$# óOs9ur /ä.qã_Ìø?ä? `ÏiB öNä.Ì»t?Ï? br& óOèdr??y9s? (#þqäÜÅ¡ø)è?ur öNÍkö?s9Î) 4 ¨bÎ) ©!$# =Ïtä? tûüÏÜÅ¡ø)ßJø9$# ÇÑÈ
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
43. Bertitik tolak daripada hakikat itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada pendukung dan penyokong parti, supaya menghentikan perselisihan dalaman yang tidak berkesudahan. Yakinlah bahawasanya tiada percanggahan antara usaha untuk mempertahankan sokongan masyarakat bukan Melayu seperti yang diperolehi oleh PAS dalam PRU ke-12 yang lalu dengan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu untuk PRU ke-13 yang akan datang. Kedua-dua golongan masyarakat bukan Melayu (ummah al-da`wah) dan masyarakat Melayu (ummah al-ijabah) sepatutnya didekati supaya mereka boleh memahami halatuju perjuangan PAS.
Sahabat-sahabat Ansoorullah sekalian,
44. Ayuh! mari kita gemblengkan tenaga untuk mendekati mereka demi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keredhaan Allah berteraskan prinsip yang digariskan oleh al-Quran: negeri kamu negeri yang baik (aman dan makmur) dan Tuhan Yang Maha Pengampun.
Surah Saba’ . Ayat : 15
45. Oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada seluruh masyarakat Melayu-Islam supaya sama-sama berkongsi hasrat dengan PAS ke arah membina sebuah negara yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keampunan Allah s.w.t , seterusnya meninggalkan perjuangan perkauman yang sempit.
3. Seruan kepada Pencinta Islam
46. Dewan Pemuda PAS melihat ‘Tsunami Politik’ yang berlaku merupakan kesempatan yang terbaik dianugerahkan oleh Allah untuk kita semua melakukan perubahan ke arah itu. Kepada semua golongan yang mencintai tertegaknya keadilan Rabbani, marilah kita berganding bahu untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Golongan yang mempelopori kezaliman di negara ini semakin goyah dan cuba berpaut kepada apa sahaja yang difikirkan dapat menjadi talian hayat mereka.
47. Bagi para pencinta Islam, tidak sepatutnya kita dalam tempoh yang begitu kritikal seperti ini, secara langsung atau tidak langsung mendukung dan menyokong golongan yang terus melakukan kezaliman terhadap agama Allah dan manusia yang lain.
48. Maka dengan ini, saya menyeru kepada seluruh golongan yang telah dan pernah menerima tarbiyah PAS [abna’ al-harakah] di segenap peringkat untuk berperanan membantu PAS ke arah mencapai cita-cita murni ini. Setelah sekian lama Dewan Pemuda PAS berkecimpung mendidik generasi muda, puluhan ribu golongan abna’ al-harakah ini berada di seluruh negara termasuk dalam sektor-sektor yang strategik sama ada sebagai penjawat awam ataupun pekerja swasta.
49. Dengarlah, seruan saya ini ditujukan khusus untuk saudara-saudara semua supaya menggembelingkan tenaga ke arah menegakkan keadilan Rabbani dan meruntuhkan kezaliman golongan yang melampaui batas. Gembelingan tenaga saudara-saudara semua begitu penting untuk meningkatkan sokongan Melayu-Islam sekurang-kurangnya 15-20% kepada PAS.
50. Demikianlah juga kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan pertubuhan bukan kerajaan [NGO]. Saya yakin, saudara semua menyedari bahawa UMNO bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat.
51. Dengarlah, seruan ini saya tujukan khusus untuk para agamawan dan NGO-NGO Islam, marilah kita mengeratkan kerjasama atas dasar al-birr wa al-taqwa supaya masyarakat Melayu-Islam akan lebih mengenali keadilan Islam dan kezaliman taghut. Dewan Pemuda PAS menginsafi, kami tidak berupaya meneroka segenap wilayah dakwah, maka diyakini saudara-saudaralah yang berupaya menyempurnakan visi dan misi kita bersama.
52. Sesungguhnya UMNO adalah sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, malah disifatkan oleh mantan Presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad: “UMNO kini telah busuk sehingga ke ususnya”. Manakala PAS semakin dilihat bersedia untuk menggalang-ganti kedudukan itu dengan mengajak seluruh masyarakat Melayu kembali kepada manhaj Rabbani yang menjamin kesejahteraan , keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh manusia. Maka dengan ini, saya juga mengambil kesempatan menyeru kepada Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli UMNO yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan perjuangan kita bersama , dengan panggilan Jom Sertai PAS .
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
2. Agenda Menyelamatkan Malaysia
53. Pada pandangan saya, tempoh dua tahun mendatang sebelum menjelangnya PRU ke-13 adalah cukup kritikal, ia menuntut seluruh pencinta Islam dan pendukung kebenaran bersinergi. Sekiranya kita gagal bersinergi untuk menumbangkan golongan yang melakukan kezaliman dalam tempoh ini, tidak diketahui bilakah lagi kita akan dikurniakan oleh Allah kesempatan yang sebaik ini untuk melakukan perubahan tersebut. Mereka yang melakukan kezaliman itu pula semakin tidak mengendahkan kepentingan negara dan rakyat, sebaliknya terus rakus mengaut kekayaan dari khazanah negara. Oleh kerana itu, seluruh rakyat yang sedar tentang situasi ini sepatutnya berganding bahu untuk menyelamatkan negara dari golongan yang zalim dan rakus.
2.1 Mengekang Penerobosan Zionis
54. Salah satu daripada agenda menyelamatkan negara yang seharusnya didukung bersama, ialah mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi zionis dari menerobos masuk ke negara ini. Kesemua kita memperakui, aspek keselamatan negara adalah sangat penting dan merupakan satu perkara yang sentiasa malah sentiasa mendapat perhatian pihak Dewan Pemuda PAS. Keselamatan negara yang lemah dan lolos akan mengundang berbagai ancaman dan serangan, bukan sahaja yang bersifat fizikal tetapi juga ancaman dan serangan yang bersifat psikologi, ideologi dan ekonomi. Lihat sahaja bagaimana sebuah negara yang gagah seperti USSR suatu ketika dahulu, ranap apabila serangan dalam bentuk ideologi dan ekonomi dilancarkan oleh blok pro-demokrasi tajaan Amerika dan Eropah Barat.
55. Bagi kami Dewan Pemuda PAS, berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.
56. Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, betapa pula syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kredibilitinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel.
57. Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gazza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak. Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina. Terbaru dunia dikejutkan oleh serangan kejam tentera udara Israel ke atas Armada Freedom Flotilla yang sarat dengan bantuan makanan dan ubat – ubatan . Bagaimana para pencinta Islam dan pendukung keadilan boleh berasa tenang dan sabar dengan kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh rejim ini sedangkan kita selalu diperingatkan dengan ayat Allah swt (maksudnya):
Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).
Surah an-Nisa’. Ayat : 75
58. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat mohon kepada sidang muktamar DPPP kali ke 51 ini untuk merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan penghormatan kepada semua wira negara dalam misi kemanusiaan ke Gazza , khasnya buat sdr Jamuliddin Elias dari Yayasan Amal Malaysia dan beliau juga adalah mantan EXCO DPP Pusat .
Sahabat Ansoorullah yang dihaormati sekelian
59. Mengapa kita tidak belajar dengan sejarah titik mula penjajahan negara kita oleh British, Belanda dan Portugis? Bukankah semuanya ini bermula dengan kelalaian dalam membuat perjanjian sehingga mendedahkan pertahanan kita untuk dilolosi oleh musuh? Apakah jaminan kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BN bahawa penglibatan APCO Worldwide tidak akan menyumbang kepada anasir neo-kolonialisme?
60. Malaysia sebagai sebuah Negara yang menganggotai OIC, kerap kali menyuarakan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis Israel. Oleh sebab itu, bagaimana mungkin Malaysia boleh membenarkan sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan rejim zionis Israel untuk menguruskan perkara strategik negara? Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN berhubung dengan perkara ini. Maka dengan ini Dewan Pemuda PAS mendesak agar perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini ditamatkan dengan serta-merta, atau kami akan menggerakkan rakyat untuk sekali lagi turun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pengkhianatan ini.
2.2 Membasmi Rasuah dan Salahguna Kuasa
61. Kita menegaskan untuk kesekian kalinya, tiada kompromi dalam persoalan yang berkaitan dengan keselamatan Negara. Malangnya mutakhir ini, barah rasuah telah menjadi semakin kronik apabila turut merebak kepada ‘organ’ penting negara seperti Kementerian Pertahanan. Hari ini sistem kelengkapan pertahanan kita mulai dijadikan bahan jenaka oleh rakyat kita sendiri dengan menganggap canggihnya jet pejuang kita mengatasi jet pejuang Israel tanpa pemandu apabila negara memiliki “jet pejuang tanpa enjin” dan “kapal selam yang mampu timbul tanpa boleh menyelam”. Bagaimana kita akan menghadapi sebarang kemungkinan yang mengancam keselamatan dan pertahanan negara dengan sistem kelengkapan pertahanan yang rakyat sendiri tidak begitu meyakininya?
62. Dewan Pemuda PAS yang sejak dahulu konsisten memerangi rasuah dengan ini mengisytiharkan ; bahawa kami tiada lagi mempunyai keyakinan terhadap Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh BN untuk menangani barah rasuah dan salahguna kuasa , apalagi untuk membenarkan mereka terus memerintah .
63. Sebelum ini, kita diberikan sedikit harapan oleh Perdana Menteri kelima dengan komitmen beliau untuk memerangi rasuah dan salahguna kuasa. Beliau telah mengambil beberapa langkah seperti mengisytiharkan Pelan Integriti Nasional [PIN] , memperkasakan Badan Pencegah Rasuah [BPR] menjadi sebuah suruhanjaya dan berusaha mengembalikan keyakinan semua pihak terhadap sistem kehakiman. Namun begitu, selepas teraju kepimpinan negara jatuh ke tangan Dato Seri Mohd Najib, harapan rakyat bukan sekadar hancur sebaliknya kes-kes rasuah berprofail tinggi yang mempunyai kaitan dengan beliau termasuk semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan mulai terdedah. Maka dengan sebab itu, wajar sekali kepada rakyat untuk hilang keyakinan terhadap jentera kerajaan yang ada untuk membasmi rasuah dan salahguna kuasa.
64. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah 2009 yang lalu, semakin menjunam teruk ke tangga 56 daripada 180 negara yang dikaji. Sebaliknya, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low memberi penghargaan kepada negeri-negeri yang diterajui oleh PR dalam usaha mereka memerangi rasuah dan salahguna kuasa.
65. Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri mengumumkan, Indeks Jenayah telah turun sebanyak 15.35% pada empat bulan pertama tahun ini, lalu mendakwa kejayaan Kerajaan mencapai matlamat NKRA kedua yang berkaitan dengan penurunan kadar jenayah. Bolehkah kita mempercayai angka-angka ini, sedangkan di masa yang sama kereta Ketua Polis Selangor sendiri telah dicuri oleh penjenayah. Hakikatnya, rakyat boleh merasai sendiri bahawa jaminan terhadap keselamatan dan kualiti hidup mereka semakin rapuh.
2.3 kelulusan lesen judi
66. Dewan Pemuda PAS kini melihat satu lagi ancaman yang bakal melanda, malah indeks jenayah negara dijangka menunjukkan tanda aras yang lebih parah apabila kerajaan UMNO dan BN dengan angkuh sombongnya meluluskan Lesen Judi Sukan dan kemudiannya dianugerahkan kepada tauke judi yang banyak berjasa kepada mereka .
67. Dewan Pemuda PAS memberikan komitmen 200 % untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya . Kini rakyat mula tertanya – tanya , agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan UMNO dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini . Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama , penasihat agama dan mufti – mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini .
68. Justeru itu sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan , Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri – negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan UMNO dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji ini . Negeri – negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan UMNO dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka .
69. Kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi dibawah wilayah penguasaan mereka . Lantaran kami yakin , pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk Pakatan Rakyat melakukan perubahan , menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah.
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Surah al Maaidah . Ayat : 90 - 91
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
Saya percaya tiada siapa yang undi Pakatan Rakyat supaya Pakatan Rakyat berjudi . kalau mereka mahukan judi , tentunya mereka kekal mengundi BN . Insyaallah , Kita akan bersama satu lagi siri himpunan membantah judi bola anjuran GMJ pada 3 Julai 2010 kelak .
2.3 Memperkukuhkan Keperibadian Belia
70. Dewan Pemuda PAS juga melahirkan rasa sedih terhadap beberapa kejadian yang sedang melanda negara kita khususnya di kalangan masyarakat Melayu-Islam, seperti kes ragut, penderaan kanak-kanak, pembunuhan sadis, buang anak, rogol dan liwat yang turut melibatkan golongan seawal usia kanak-kanak. Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, kejadian-kejadian ini berpunca daripada faktor-faktor yang berkaitan dengan kekangan ekonomi, kemurungan disebabkan kehidupan sekeliling yang tidak tenteram selain daripada faktor utamanya berkaitan dengan sistem pendidikan yang tidak menitik-beratkan soal pembentukan akhlak. Faktor-faktor ini secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada kesongsangan sosial dan budaya.
71. Dewan Pemuda PAS melihat sekurang-kurangnya ada dua resolusi bertindak yang harus diambil segera bagi mengatasi kebejatan yang kian meruncing ini. Melihat posisi kita hari ini, sebenarnya tanggungjawab itu terpikul ke atas kita, betapa pula kita sering meletakkan harapan sebagai government in waiting.
72. Pertama, kita mesti memastikan kebajikan rakyat terbela dengan memastikan aliran kewangan termasuklah zakat berjalan dengan telus dan cekap.
73. Kedua, kita mesti turun ke gelanggang rakyat untuk merasai jerih-perih mereka dan membina kejiwaan mereka supaya berpaksikan kehambaan kepada Allah swt dan kemuliaan budi pekerti.
74. Sesungguhnya belia merupakan tonggak kepada sesebuah negara. Belia yang mempunyai nilai jati diri yang tinggi juga merupakan aset terpenting negara. Kita mengerti proses pembaratan (westernization) semakin menular namun langkah kita tidak boleh berhenti, lantaran syair yang mendesak semangat juang kita sentiasa berdengung di cuping telinga:
Kita mempunyai sumber tenaga dan tugasan [ yang perlu diurus ] , kita juga mempunyai masa depan dan wawasan [ yang perlu ditunai ] .1
75. Kita seharusnya memulakan langkah sulung untuk menganjakkan kepompong paradigma belia. Dewan Pemuda PAS menyarankan supaya negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan belia untuk mereka mengasah bakat kepimpinan termasuklah menyediakan platform yang sesuai bagi mereka bersuara seperti sudut pidato dan forum anak muda.
3. Memartabatkan Pendidikan Bangsa
76. Kita harus menyedari generasi belia yang ada hari ini merupakan acuan sistem pendidikan kebangsaan terhadap generasi remaja sewaktu mereka di alam persekolahan beberapa tahun sebelum ini. Generasi remaja yang sedang di bangku sekolah hari ini, merupakan generasi belia di masa akan datang. Gejala keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial yang berlaku di kalangan belia hari ini menjadi indikator yang jelas tentang kelemahan sistem pendidikan kebangsaan dan menunjukkan sistem pendidikan nasional perlu direformasikan. Malang sekali dasar-dasar yang berkaitan dengan pendidikan seumpama “sekali air bah sekali pantai berubah”, iaitu mengikut kehendak atau selera siapa yang menjadi Menteri berkenaan.
3.1 Pasca PPSMI
77. Dewan Pemuda PAS mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pejuang bahasa yang akhirnya telah berjaya mengembalikan pendidikan Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Kita juga menghargai keperihatinan Kementerian Pelajaran yang akur kepada saranan kita supaya mengembalikan semula peranan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Metematik. Bagaimanapun, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003 membabitkan kos sebanyak RM 5 bilion meliputi penyediaan peralatan dan latihan guru. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk menampung keperluan kos pendidikan pada masa sekarang yang telahpun dikurangkan peruntukan belanjawannya. Demikianlah kesannya dasar-dasar kerajaan termasuklah bidang pendidikan yang bersifat flip-flop.
78. Setakat ini nampaknya Menteri Pendidikan masih komited untuk memansuhkan PPSMI, namun dengan adanya peruntukan kuasa Menteri tersebut, komitmen ini masih belum terjamin malah masih terdedah kepada perubahan dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan yang menjadi wahana utama perpaduan kaum di negara ini, akta tersebut perlu dipinda supaya selari dengan semangat bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan.
79. Menurut pakar bahasa dan para ilmuwan, penggunaan istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu. Dewan Pemuda PAS menyokong usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur [Kalam] Ke-15, pada bulan Januari 2010 yang lalu, supaya dikembalikan istilah bahasa Melayu.
80. Penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
4. Mendepani Cabaran MEB
Sahabat Ansoorullah yang dimuliakan
81. Setelah lebih dua dekad Dasar Ekonomi Baru (DEB) berakhir, dan dua Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) telah dilaksanakan dengan meneruskan semangat DEB, masalah polarisasi kaum masih belum selesai. Setelah DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN), sekali lagi kita dibentangkan dengan satu lagi harapan untuk mencapai perpaduan nasional iaitu Model Ekonomi Baru (MEB). Bagaimanapun, sebagaimana dibayangkan oleh Perdana menteri, MEB ini tidak begitu memfokuskan secara langsung kepada perpaduan nasional dan mengatasi polarisasi kaum.
82. Dengan tempoh yang tinggal 10 tahun sahaja lagi, kerajaan yang diterajui oleh BN dan UMNO begitu tergesa-gesa untuk merealisasikan Wawasan 2020. Antara sasaran MEB ialah memacu ekonomi Malaysia ke arah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi (High Income Economy), dari pendapatan perkapita sekitar USD 6,000 kepada USD 15,000 dalam masa 10 tahun. Ketika negara sedang mengejar status negara maju, masalah jurang kaya-miskin dalam negara yang disifatkan antara yang terburuk di Asia semakin melebar. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga barang sehingga mengakibatkan kuasa beli rakyat Malaysia semakin menirus.
4.1 Mengapa Ekonomi Neo-Liberalism?
83. Berdasarkan kecenderungan Perdana Menteri, Dewan Pemuda PAS menjangkakan MEB akan memperkukuhkan lagi dasar ekonomi yang dicedok daripada Neo-Liberalisme setelah terbukti dalam beberapa kes tidak menguntungkan negara dan rakyat. Dasar Penswastaan dan Dasar Persyarikatan Malaysia yang merupakan sebahagian daripada semangat Neo-Liberalisme tidak semuanya memberikan kebaikan kepada negara dan rakyat, sebaliknya wang negara dan rakyat digunakan untuk menanggung beberapa syarikat apabila bermasalah. Perdana Menteri telah membayangkan bahawa usaha seperti ini akan diperkukuhkan termasuk membuka ruang kepada pemilikan peribadi terhadap GLC.
84. Dewan Pemuda PAS menegaskan, GLC adalah sebuah kumpulan amanah yang peranannya sangat penting dalam melindungi kepentingan rakyat teramai di samping mengimbangi pasaran supaya tidak hanya menguntungkan golongan kaya. Dengan sebab itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha untuk meliberalkan lagi pemilikan peribadi (private ownership) terhadap aset-aset penting rakyat.
85. Usaha kerajaan melalui MEB untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing sememangnya satu ikhtiar yang positif. Bagaimanapun, peningkatan daya saing Negara tidak semestinya boleh dicapai hanya dengan menghapuskan campurtangan kerajaan melalui dasar-dasar deregulasi (deregulation). Dasar-dasar kawalan seperti peruntukan kuota, pemberian subsidi, kawalan harga dan insentif-insentif yang sering dikatakan oleh golongan kapitalis mengganggu perjalanan sistem pasaran bebas, sebenarnya masih diperlukan oleh rakyat teramai. Peranan terbesar kerajaan ialah menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat teramai, bukannya menjadi promoter kepada kegiatan perniagaan golongan kaya.
86. Dewan Pemuda PAS menuntut supaya dikembalikan semula status quo kebajikan rakyat seperti yang pernah dinikmati sebelum ini. Peruntukan subsidi untuk kebajikan rakyat ini sepatutnya boleh ditampung dengan menutup ketirisan berbilion ringgit daripada perbelanjaan kerajaan
87. Dasar-dasar ekonomi yang dicedok daripada Neo-Liberalisme bukanlah dasar yang sesuai untuk membangunkan negara yang masih dihambat dengan masalah polarisasi kaum, dispariti yang semakin melebar, kuasa beli rakyat yang semakin merudum, pergantungan sumber makanan daripada luar dan amalan rasuah yang begitu berluasa dalam kegiatan ekonomi. Sekiranya kecederungan ekonomi seperti ini diteruskan, kesemua masalah ini akan semakin kronik dan secara langsung akan mengancam kestabilan politik negara kita. Oleh sebab itu, dasar ekonomi berkebajikan adalah lebih sesuai sepertimana yang diketengahkan oleh manifesto Pakatan Rakyat.
88. Dalam kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS menyeru supaya manifesto Negara Kebajikan yang telah disarankan dalam PRU yang lalu diberi nafas baru untuk direalisasikan di negeri-negeri Pakatan Rakyat , termasuklah dengan memperkukuhkan aspek keadilan ekonomi dan persoalan etika.
89. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat yang tidak lagi memberi lesen premis baru kepada kegiatan-kegiatan ekonomi yang tidak adil dan tidak beretika seperti perjudian. Kegiatan perjudian merupakan satu kegiatan ekonomi yang menzalimi rakyat teramai dan mendatangkan habuan hanya kepada segelintir ‘taukeh-taukeh’ perjudian. Malah mereka yang terlibat dengan kegiatan ini selalunya akan lebih banyak bergantung kepada nasib, justeru membunuh semangat bekerja dan daya produktiviti.
4.2 Ekonomi Mesra Anak Muda
90. Pendekatan konsultansi Perdana Menteri dalam mengutarakan MEB ini juga dipersoalkan, iaitu berunding dengan segelintir rakyat di kalangan golongan korporat dan perniagaan. Sebelum daripada ini, selalu dikumandangkan bahawa golongan inilah sebagai pemain-pemain utama (key players) untuk membangunkan dan mengayakan Negara. Dengan tidak berhasrat menafikan sumbangan golongan yang lebih dikenali sebagai golongan kapitalis ini, sepertimana pengalaman di negara-negara maju golongan ini kurang semangat patriotik berbanding rakyat teramai. Golongan kapitalis yang menerajui syarikat-syarikat multi-nasional seringkali dikatakan tiada ketaatan (loyalty) kepada sesebuah negara. Merekalah yang bertindak ‘membangunkan’ ekonomi sesebuah negara, dan bila dirasakan perlu mereka ‘meranapkan’ pula ekonomi yang telah dibangunkan. Bagi Dewan Pemuda PAS, golongan seperti ini sewajarnya diberi peranan yang terbatas dalam membangunkan Malaysia.
91. Sebenarnya, golongan yang seharusnya dipertanggungjawabkan membangunkan negara ialah rakyat teramai terutamanya belia atau anak muda. Negara-negara yang mempunyai golongan anak muda yang ramai hari ini dilihat sebagai negara yang berpotensi menerajui ekonomi dunia. Para pemerhati politik dan ekonomi meramalkan Turki adalah antara negara yang akan bangkit menerajui ekonomi dunia disebabkan kedudukannya yang strategik dan mempunyai golongan anak muda yang ramai. Sekiranya Turki menganggotai Kesatuan Eropah (EU), dipercayai pencapaian itu akan lebih pantas. Maka negara Malaysia juga sewajarnya memberi peluang kepada anak muda yang mewakili komposisi yang besar dalam masyarakat sebagai tonggak membangunkan ekonomi negara. Merekalah seharusnya diberikan peranan sebagai pemain utama dalam kegiatan ekonomi negara.
92. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS menyarankan supaya negeri-negeri Pakatan Rakyat memberikan perhatian penting terhadap peranan anak-anak muda dalam kegiatan ekonomi. Bantuan dan bimbingan perlu diberikan kepada golongan ini untuk terlibat dalam sektor industri kecil sederhana (IKS), perniagaan-perniagaan berpasaran tempatan, menebusguna tanah-tanah terbiar, melibatkan diri dengan eko-pelancongan, menerokai sektor perikanan laut dalam dan lain-lain. Golongan anak muda juga disarankan supaya menubuhkan organisasi-organisasi untuk tujuan tersebut seperti badan koperasi dan syarikat usahasama untuk bekerjama dengan agensi-agensi kerajaan negeri. Dewan Pemuda PAS bersedia memainkan peranan menghubungkan golongan anak muda ini dengan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat demi mencapai kemakmuran ekonomi sesuai dengan tujuan merakyatkan ekonomi dan menuju sebuah negeri berkebajikan.
5. Persediaan Menuju Politik Baru
93. Peranan golongan belia dan anak muda bukan hanya perlu diperkasakan dalam sektor sosial dan ekonomi , tetapi juga dalam politik. Peranan golongan ini dalam PRU ke-12 yang lalu sememangnya diakui, malah mereka juga berperanan penting dalam PRK-PRK pasca Tsunami Politik 2008 seperti PRK Parlimen Permatang Pauh , Bukit Gantang , Kuala Terengganu dan lain – lain .
94. Dewan Pemuda PAS begitu menyedari bahawa golongan anak muda ini tidak mewarisi politik lapuk yang lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebalik golongan ini lebih terbuka dan rasional. Seluruh anggota pemuda PAS sewajarnya mendalami perubahan ini , yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia di masa hadapan. Oleh yang demikian, wajah baru politik Malaysia sebenarnya telah mula direalisasikan oleh golongan anak muda, justeru peranan mereka dalam sektor politik tidak boleh diperkecilkan.
95. Bagaimanapun, peranan golongan anak muda dalam menentukan halatuju politik negara ini tidak dapat diperkasakan sepenuhnya sekiranya mereka tidak berdaftar sebagai pengundi. Kita semua terkejut terkejut apabila mengetahui kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu. Lebih mengejutkan lagi daripada mereka yang tidak mendaftar itu, 65% daripada mereka adalah bumiputera.
96. Dewan Pemuda PAS sendiri akan mengambil inisiatif-inisiatif tertentu untuk melaksanakan agenda ini yang bertujuan menyedarkan golongan anak muda tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia. Kita mensasarkan menjelang 2012, peratusan mereka yang tidak mendaftar akan menurun daripada 28% kepada 15% khususnya di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, seperti Selangor yang mempunyai paling ramai pengundi yang layak tetapi belum berdaftar, iaitu seramai 787,000.
Gerakan Mendaftar Pemilih dan Ahli Baru [ GEMPA ]
97. Penyertaan dalam sistem pilihanraya untuk memperjuang dan mempertahankan Islam ini meletakkan kita dalam satu bentuk pertarungan yang sangat taktikal dan teknikal . Antara penumpuan yang wajib diberi keutamaan oleh Pemuda PAS ialah Gerakan mendaftarkan pemilih baru terutama dari kalangan anak – anak muda yang telah layak mendaftar sebagai pemilih .
98. Pastikan setiap aktiviti dan program kepemudaan seperti “Orang Muda Geng Kita” dilengkapi dengan kaunter pendaftaran pemilih dan kaunter pendaftaran ahli baru . Awasi virus “syok sendiri” yang hanya membuatkan kita begitu teruja melihat kehadhiran orang ramai dalam setiap ceramah umum yang kita anjurkan sedang kebanyakan mereka yang hadhir bukanlah pemilih yang layak atau berdaftar untuk memenangkan perjuangan Islam yang kita dokong .
Pemuda Ansoorullah yang dihormati sekelian
MAKNAKAN KEMENANGAN KITA
99. Pasca PRU 2008 menyaksikan natijah aspirasi rakyat dalam penolakan terhadap hegemoni kuasa BN yang sudah lumpuh dimamah barah korupsi dan kegagalan urus tadbir negara. Harapan besar rakyat untuk mengecap keharmonian hidup di Malaysia merupakan suatu tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh PAS dan barisan pelapis dalam Dewan Pemuda kerana tugas mengisi kemenangan jauh lebih sukar daripada mencapai kemenangan.
100. Kita tidak mahu kejayaan kita menumbangkan jahiliyyah [UMNO dan BN] dalam pilihanraya hanya menelurkan jahiliyyah baru untuk didirikan oleh kita pula , wal’iyazubillah . Sebagaimana kita juga tidak mahu bahawa kemenangan yang kita raih ini adalah hanya merupakan isdtidraj daripada Allah Azza wa Jalla lantaran kita membelakangi ketulenan perjuangan bahkan tidak juga mempeduli keabsahan pedoman dan manhaj perjuangannya.
Pemuda Dalam Membina Malaysia Baru
101. Dewan Pemuda PAS menginsafi kewajipan melaksanakan tuntutan pembinaan negara (nation building) ini selaras dengan firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”
Surah An-Nisa’ . Ayat : 58
102. Memetik wasiat Imam Hassan al-Banna di dalam risalah ‘Antara Semalam Dan Hari Ini’: “Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa?.. Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya. Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya. Jika dikatakan kepada anda.. ini adalah politik. Katakanlah inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti ini.”
Para Ansoorullah yang dirahmati Allah sekelian
103. Marilah kita sama-sama menghayati matlamat perjuangan kita sepertimana yang terkandung di dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS yang menggariskan Tujuan PAS iaitu:
1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2. Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
104. Nyata di sini, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syariat Islam sebagai Minhaajul Hayah (cara hidup) atau way of life dalam aspek bermasyarakat & bernegara demi memperoleh redha Allah semata-mata, bukan mengejar redha manusia apatah lagi tunduk pada kehendak musuh.
105. Sebagaimana kesyumulan Islam merangkumi aspek aqidah, syariah dan akhlaq, maka inilah falsafah yang ingin kita realisasikan dalam pembinaan Malaysia Baru, iaitu membentuk dan membina:
106. Negara yang sejahtera dari segi aqidah – bersendikan keadilan Islam & keharmonian antara agama, dibina atas dasar saling menghormati tanpa prejudis dan mengiktiraf kedudukan Islam serta non-Muslim selaras dengan prinsip “Tiada paksaan dalam beragama”.
107. Negara yang sejahtera dari segi syariah - dibina atas dasar amanah & integriti dalam urusan pemerintahan, keadilan sistem kehakiman & undang-undang, ekonomi yang berdaya saing, dan keadilan sosial dalam masyarakat. Inilah syariat al-Quran, iaitu syariat yang paling adil untuk dilaksanakan. Firman Allah :
"Celupan Allah; Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah."
(al-Baqarah:138)
108. Negara yang sejahtera dari segi akhlaq - dibina atas dasar qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam melahirkan fardul (individu) muslim, baitul (keluarga) muslim dan mujtama’ul (masyarakat) muslim.
109. Secara praktikalnya, melaksana agenda Islah dalam konteks kenegaraan perlu bermula dari pemahaman dan manifestasi pendekatan prinsip – prinsip umum Siasah Syari’yyah.
110. Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa siasah syari’yyah mestilah diberi ruang untuk dilaksana dan diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat bagi memastikan kemenangan yang dicapai benar – benar menepati maknanya. Prinsip – prinsip umum Siasah Syari’yyah yang saya maksudkan itu adalah seperti berikut :
Sadduz Zaraai’
111. Satu prinsip yang membentuk tindakan, peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut. Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.
Raf’ul Haraj
112. Mengangkat, merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang, peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik.
Tahqiqul A’daalah
113. Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dilaksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal kerajaan yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat .
114. Teras dalam politik Islam ialah penegakan keadilan dikalangan manusia. Inilah yang wajib dipastikan oleh setiap pergerakan politik Islam. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah an Nisa’ ayat 58 yang saya bacakan tadi .
115. Sementara mekanisma biarpun bersifat Islam tetapi tidak dapat mencapai maksud adil dalam keadaan tertentu, maka mekanisma itu patut ditangguhkan atau tidak dilaksana pada ketika itu. Ini yang menyebabkan Saiyyidina ‘Umar tidak melaksanakan hukuman had mencuri ‘potong tangan’ pada tahun ramadhah [kemarau] disebabkan suasana yang diambil kira oleh Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab sebagai salah satu syarat hukum tersebut dapat berfungsi. Bukan kerana hukum itu tidak sesuai, tetapi suasana tidak serasi dengan hukum.
116. PAS mesti medahului dalam usaha menegakkan keadilan dan memenuhi keperluan rakyat. Dalam ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial (basic social values) yang rakyat mengharapkan negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah :
* security [keselamatan],
* freedom [kebebasan],
* order [peraturan],
* justice [keadilan] dan
* welfare [kebajikan].
117. Sebagai sebuah gerakan Islam kita wajar menambah penegakan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur :
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.
Surah an Nuur . Ayat : 55
Dar’ul Mafaasid muqaddam min Jalbil Masoolih
118. Menolak kerosakan atau kemusnahan diutamakan berbanding mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama. Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah. Sebagai contoh , menolak aktiviti judi & pertaruhan sukan yang menjurus ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat.
119. Perlu ditegaskan di sini bahawa Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan juga bukan ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi, Tuhan yang mencipta manusia. Berasaskan realiti ini, pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka. Sebagaimana Islam yang didokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani. Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim .
Pemuda Ansoorullah yang dihormati sekelian
Memperkukuh Muafakat dan Perpaduan nasional
120. Justeru, PAS perlu realistik untuk merealisasikan gagasan Malaysia Baru ini dalam kerangka meraikan kepelbagaian agama & kaum di Malaysia. Berlatar belakangkan landskap politik rencam agama & budaya serta hakikat perpaduan nasional yang sering tergugat dek amalan politik sempit perkauman peninggalan British, usaha merapatkan jurang prejudis non-muslim terhadap PAS perlu dipertingkatkan. Usaha penerangan, dialog serta ziarah dan dakwah perlu menjadi wasilah baru pendekatan PAS di Malaysia terhadap golongan mad’u non-Muslim. Ruang tahalluf siyasi bersama Pakatan Rakyat merupakan platform terbaik untuk merealisasikan tanggungjawab ini.
Ia juga selaras dengan ajaran Islam yang suci lagi mulia ini iaitu saling mengenali dan menghormati antara kaum, bangsa dan agama agar dapat diwujudkan suasana sejahtera, harmoni , aman dan damai. Firman Allah s.w.t :
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
121. (Al-Hujurat: 13).
122. Sesungguhnya, tekad dan usaha melahirkan Malaysia Baru, agar wujud di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, merupakan asas perjuangan Dewan Pemuda PAS yang hakiki.
123. Sayugianya bagi Dewan Pemuda PAS mengenderai perjuangannya dengan berlandaskan manhaj tarbiyah , dakwah dan siasah [politic] an-Nabawi. Sekurang – kurangnya 10 elemen utama yang menunjangi manhaj tarbiyah , dakwah dan siasah [politic] Baginda Rasul saw . :
o Menanam Aqidah
o Menyelamatkan Maruah
o Membina Ukhuwwah
o Menyatupadukan Ummah
o Membenteras Kezaliman
o Mendirikan Institusi Masjid
o Membina Penguasaan Ekonomi Serantau
o Mewujudkan Jaring Hubungan Antarabangsa
o Mengasaskan Kaedah dan Garis Pandu Mendepani Musuh
Cabaran Politik Jahiliyyah Pecah dan Perintah
124. Kita senantiasa berdepan dengan musuh yang tidak mahu melihat perjuangan Islam ini tegak dan berdaulat. Aneka ancaman dan tekanan dihadapkan kepada perjuangan ini samaada di peringkat antarabangsa mahupun domestic.
125. Sebagai contoh , Bekas Setiausaha Luar Amerika, Warren Christopher, sebelum pembentukan anggota kabinet Amerika yang baru dizamannya telah berkata:
'Kalau kita boleh meleburkan dunia Arab kepada 5, 000 buah negara, kita tidak akan teragak-agak melakukannya".
126. Orang yang pertama menonjolkan pandangan bahawa Islam adalah musuh selepas Komunis ialah Bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, Dick Shirmy. Sementara itu, mantan Presiden Turki, Suleiman Dimeral pada 13-2-1997 yang dipetik oleh agensi berita Anatolia, berkata;
"Sesiapa yang membawa politik ke masjid adalah melakukan jenayah dan dosa". Beliau menambah kata; "adalah satu tanda kemunduran jika ada orang yang mahu kembali kepada sistem syari'ah sekali lagi"
127. Akhir – akhir ini jelas kelihatan bagaimana musuh – musuh Islam di dalam negara kita juga, sedang berusaha untuk mengekang kebangkitan Islam dan rakyat dengan percubaan nekad memisahkan rakyat dari agama , memisahkan pemerintahan dari syariat dan memisahkan politik dari masjid.
128. Malah mereka turut bertindak berani memberikan gambaran buruk mengenai perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS kepada masyarakat non muslim , apabila mereka menyedari kini ramai dari kalangan non muslim memberi sokongan padu kepada perjuangan kita.
Jangan Prejudis Terhadap Islam dan perjuangannya
Pemuda Ansoorullah yang dirahmati Allah sekalian .
129. Islam adalah agama suci yang diwahyukan Allah swt. Agama yang mendamaikan hati , menyatukan silaturrahim , memperkayakan budi, menegakkan keadilan , menentang kezaliman , membina peradaban , menolak korupsi , anti penyelewengan , menyanggah penyalahgunaan kuasa , benci sikap hipokrit , tidak berpura – pura , memberi hak beragama dan tidak mencela antara satu sama lain .
130. Islam agama yang benar . Ianya agama Allah Tuhan yang maha sempurna bukan ciptaan manusia yang terdedah kepada 1001 kekurangan dan kelemahan . Justeru itu Islam adalah agama yang layak dianuti bukan dikeji . Islam adalah agama yang wajar diterima bukan dihina .
131. Islam adalah agama yang diutus oleh Allah swt sebagai Minhaajul Hayah [ cara hidup ] atau way of life . Ianya menepati sebuah manual yang didokumenkan sebagai satu deklarasi hidup untuk memimpin serta membimbing ummat manusia membina tamaddun dan peradaban mereka . Justeru Islam diutus oleh Tuhan yang mencipta manusia dan segala pra sarana yang menjadi keperluan manusia untuk hidup [ maka Ia lah Tuhan yang berauthoriti untuk menentu arah tuju dan peraturan hidup manusia yang diciptanya ]
132. Islam bukan teori , fantasi dan ilusi sebaliknya Islam adalah Manhaj hidup yang praktis dan realistik untuk diamal di semua tempat dan masa jua untuk semua bangsa dan bahasa .
133. Islam adalah cara hidup yang universal . Merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan menyusun kehidupan manusia dengan wahyu Allah Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak . Tidak pernah diketemui satu pun peraturan dan undang - undang Islam yang zalim , kejam , menindas dan menginaya sebaliknya ia adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan oleh manusia yang zalim dan kejam
134. Islam diutus sebagai pedoman untuk memberi makna , erti dan nilai pada kehidupan yang dianugerah ini . Islam dikirim sebagai petunjuk untuk mewarnai kehidupan dan memberi cahaya yang membebaskan manusia dari perangkap kegelapan . Islam adalah cara hidup yang sesuai di semua tempat dan masa serta keadaan dan zaman .
135. Ketika berhadapan dengan An Najasyi [ Raja Habsyah ] , Jaafar bin Abi Talib rha sewaktu berhujjah bagi memberikan penjelasan mengenai Islam yang diragui kebenaran dan peranannya oleh Najasyi dan pembesarnya telah berkata : [ bagi memberi gambaran jelas tentang Islam dan peranannya ] 2
Wahai Raja , Kami dulunya adalah orang - orang jahiliyyah . Kami menyembah berhala , kami memakan bangkai , kami berzina , kami memutuskan silaturrahim , kami menyakiti jiran , yang kuat dikalangan kami menindas yang lemah , begitulah keadaan kami sehingga Allah swt mengutuskan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami . Kami kenal keturunannya , kebenaran risalahnya , kejujuran dan ketinggian budi pekertinya .
Ia telah mengajak kami kembali kepada Allah swt supaya kami mentauhidkan dan mengabdikan diri kepadanya [ tidak menyekutukannya ] , memisahkan kami dari apa yang kami dan datuk nenek moyang kami sembah sebelum ini yang terdiri dari batu dan berhala.
Ia menyuruh kami supaya bercakap benar , menunai amanah , menghubung silaturrahim , berbuat baik terhadap jiran tetangga , berhenti dari melakukan jenayah dan menumpah darah serta melarang kami dari melakukan zina , bercakap kotor , makan harta anak yatim dan melempar tuduhan / fitnah kepada wanita yang baik .
Ia menyuruh kami mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Esa tanpa menyengutukannya dengan sesuatu pun . Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang , membayar zakat dan berpuasa [ Jaafar menyebut beberapa perkara yang terkandung di dalam rukun Islam ] , maka kami membenarkannya dan kami beriman kepadanya . Kami melaksanakan apa yang dibawanya daripada Allah swt . ................
Jaafar bin Abi Talib rha.
136. Islam bukan sebagaimana yang digambarkan oleh Amerika dan sekutunya dari golongan orientalis bahawa Islam adalah ekstrim dan terrorist , melampau dan mencetuskan huru hara. Sempit dan prejudis , ketinggalan zaman dan anti pembangunan . Ini semua adalah fitnah dan momokan yang tidak berasas pula berniat jahat terhadap Islam . Ini juga adalah perang saraf pihak musuh yang terus menyimpan dendam kesumat dan hasad dengki terhadap Islam .
137. Islam ditegakkan dengan hujjah . 30 juzuk 114 surah yang terkandung di dalam al Quranul karim sebagai kitab suci ummat Islam adalah merupakan hujjah kebenaran yang diperjuangkan . Justeru itu, kekerasan , keganasan dan paksaan bukan dari pendekatan Islam . Sementara insiden keganasan [ terrorist ] yang berlaku serata dunia hari ini dan melibatkan ummat Islam adalah , samaada ia lahir dari kejahilan ummat Islam sendiri atau datang dari propaganda musuh yang mahu mempalit fitnah kepada Islam dan ummatnya.
138. Islam ibarat bahtera penyelamat . Apa yang diajar oleh Islam ialah keadilan , kebaikan, hubungan silaturrahim , anti kezaliman dan penindasan serta banyak lagi elemen - elemen positif dan baik buat kehidupan manusia yang berakhlak dan bermoral.
139. Saya mengharapkan semua pemuda Islam , khasnya pemuda PAS mengambil pendekatan berhikmah dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat . Jangan bermusuh dengan masyarakat sebab mereka adalah madu'u kita . Mana mungkin seorang doktor bermusuh dengan pesakitnya biarpun pesakit itu tidak gemar ubat pahit yang dibekalkan oleh doktor tersebut .
140. Masyarakat awam pula tidak perlu bimbang terhadap kehadhiran Islam dan pejuang - pejuangnya . Islam dan para pejuangnya tidak akan bertindak kasar dan keras kecuali mereka ditekan , ditindas dan dizalimi . Mereka akan hadhir dengan hujjah yang benar . Islam tidak boleh ditolak mentah mentah begitu sahaja melainkan dengan hujjah . Sila kemukakan hujjah di mana tidak betulnya Islam jika ianya mahu ditolak !
Pemuda Ansoorullah yang rahmati Allah sekalian .
Pemantapan Organisasi
141. Memiliki sebuah organisasi yang mantap dan kukuh adalah sebahagian daripada mekanisma untuk memelihara , mengisi , mempertahan dan memaknakan kemenangan .
142. Ruh dan keagresifan pemuda dalam menggagaskan agenda Kepimpinan Ulama’ pada tahun 1983 adalah bertujuan untuk memelihara dan memulihara prinsip perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan yang berlandaskan kepada kesyumulan Islam. Terma ulama’ sewajarnya dikembangkan penakrifan serta pemahamannya. Ia harus dilihat kepada kriteria peribadi susuk insan terhebat, Muhammad Rasulullah SAW.
143. Malah, dalam nas Al-Qur’an juga turut menggambarkan bagaimana Nabi Musa AS dipilih untuk bekerja dengan Nabi Shuaib AS kerana memiliki dua elemen yang selektif iaitu Al-Qawiyyu Al-Amin (Kompetensi) dan (Integriti). Begitu juga yang berlaku terhadap Nabi Yusuf AS tatkala meminta diposisikan untuk mengurus ekonomi dan perbendaharaan negara kerana memiliki elemen Al-Hafeez (merujuk kepada integriti) dan Al-Alim (merujuk kepada kompetensi).
144. Seluruh kepimpinan dan ahli pemuda wajib berusaha untuk memiliki keupayaan par excellence ini. Inilah ramuan terbaik untuk melakukan perubahan yang dicita-citakan. Bagi memenuhi tuntutan ini, Pemuda PAS akan membuat sejumlah pelaburan yang besar bagi tujuan pemerkasaan aktiviti tarbiyyah, pembudayaan intelek dan pembinaan kualiti ahli. Inilah wajah pemuda PAS yang diharapkan untuk menggempur krisis dan cabaran semasa yang melatari negara hari ini.
145. Sesungguhnya, jentera yang melengkapi Dewan Pemuda PAS ini akan terus melipatgandakan usaha-usaha yang telah dirancang untuk menyusup ke segenap segmentasi rakyat. Dari telatah kanak-kanak sehingga ke meja kolar biru, dari ufuk Timur sehingga penghujung lirikan Barat, kita akan pastikan mesej dakwah yang digalas akan sampai ke setiap denyut nadi rakyat.
Operasi Politik dan Pilihanraya
146. Inilah masanya untuk kita merenung sejenak dalam pembaharuan budaya politik yang mula mendapat perhatian rakyat. Era kini adalah era yang menuntut kepada fokus kerja yang tepat , mutu penghujahan dan kepentingan untuk meyakinkan seluruh rakyat bagi menerima keindahan dan keunikan prinsip-prinsip Islam.
147. Pemuda PAS perlu mengemukakan solusi alternatif, polisi, dasar dan corak pentadbiran yang lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional. Kita juga perlu menyahut seruan As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa penguasaan terhadap ilmu Usul Fiqh dan Qawaidnya itu sudah menjadi satu keperluan disamping kepentingan Al-Maqasid As-Syari’ah untuk menterjemahkan Islam sesuai dengan kehendak semasa rakyat tanpa menafikan asas nas Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Dakwah dan Program Anak Muda
148. Keluasan jalur dakwah dan politik mestilah meraikan golongan non Muslim, NGO-NGO, Sabah dan Sarawak. Ijtihad PAS yang telah menaiktaraf Kelab Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diselarikan dengan usaha-usaha daripada Pemuda untuk menarik lebih ramai rakan-rakan pemuda non Muslim bagi mengukuh keutuhan perjuangan kita.
149. Percambahan NGO-NGO yang memperjuangkan idealisme dan kepentingan tertentu adalah salah satu indikator kesuburan demokrasi di Malaysia. Saya berharap kewujudan mereka dapat memberikan input kepada pemerkasaan Pemuda PAS. Andaikata kita sudah tegal bekerjasama dengan NGO-NGO yang berlatarkan politik, agama, bangsa, bahasa, pekerjaan, ekonomi dan belia , ......
150. Maka, inilah masanya untuk kita terus menjalinkan hubungan dengan persatuan-persatuan alam sekitar dan agrikultur, seni teater dan muzik, sukan dan aktiviti lasak, seni mempertahankan diri dan pertempuran. Tidak keterlaluan jika saya katakan, satu hari nanti kita mampu mempersembahkan teater muzikal di Istana Budaya dan mambariskan kelab bola sepak sendiri di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
151. Sementara itu buat rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak. Kita akui, Dewan Pemuda PAS tidak mampu memperuntukkan jutaan dan bilion dana untuk projek-projek penurapan jalanraya, pembekalan air bersih dan kuasa elektrik yang bagus, pembangunan institusi sekolah, dewan dan perumahan yang mantap sepertimana yang digula-gulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.
152. Namun, kita jauh lebih mampu berbanding mereka insyaallah untuk melahirkan insan cerdik seperti Mu’az bin Jabal, kepetahannya seperti Mus’ab bin ‘Umair (Muqri’ul Madinah) dan keberaniannya pula seperti ‘Umar bin Khattab dengan bermodalkan pentarbiyyah gerakan Islam. Tidak sekadar membekalkan aktiviti , program berkembar secara efektif perlu dirancang oleh Lajnah Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk melahirkan tenaga pejuang Ansoorullah dari kalangan pemuda – pemuda tempatan yang mampu miliki kemahiran dan pengalaman berjuang yang baik .
Gerakan Menghasilkan Kepimpinan Pelapis
153. Mengisi , mempertahan dan memaknakan kemenangan ini tidak akan lengkap tanpa gerakan dan perancangan yang sistematik untuk melahirkan kepimpinan pelapis yang bakal menerajui dan mengemudi bahtera perjuangan ini di masa depan . Kita tidak mahu parti besar dan penting untuk masa depan negara seperti PAS ini dipimpin oleh pemimpin tangkap muat atau pemimpin bidan terjun yang tidak menghayati budaya dan fikrah perjuangan Islam yang didokong oleh PAS .
154. Menginsafi realiti ini , Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Tarbiyahnya mestilah memastikan proses mengilang dan menghasilkan saff kepimpinan yang mendapat pentarbiyahan lengkap berasaskan manhaj dan modul tarbiyah parti yaang dapat diurus dengan sistematik. Sekalung tahniah kepada Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat yang telah berjaya menubuhkan Majlis Naqiibun Nuqaba’ yang akan berperanan sebagai skuad khas dan penggerak utama Amal Tarbawi di dalam Dewan Pemuda .
155. Demi masa depan perjuangan Islam , Dewan Pemuda PAS mengharapkan pemilihan kepimpinan parti disetiap peringkat serta pemilihan calon pilihanraya yang mewakili PAS tidak lagi dibuat secara “tangkap muat” atau “tunjuk muka” tetapi mestilah berasaskan merit dan keutamaan adalah kepada mereka yang telah melalui proses pentarbiyahan yang mantap seperti Ilham dan kini kita mempunyai KUIZM yang dibangunkan oleh DUPP.
156. Akademi Tarbiyah Pemuda wajar dibentuk agar menjadi sebuah pusat yang terancang untuk melahirkan penggerak tarbiyah yang mahir disetiap organ dan peringkat Dewan Pemuda . Insyaallah , melalui 2 Akademi yang dimiliki oleh Dewan Pemuda PAS [ iaitu Akademi Kepimpinan Pemuda dan Akademi Tarbiyah Pemuda ] kelak akan berjaya melahirkan pemimpin berkualiti tinggi , memiliki fikrah serta aqidah perjuangan yang mantap dan skill serta wibawa kepimpinan yang hebat .
157. Harapan saya pada pemilihan parti yang akan datang , Dewan Pemuda PAS tidak segan untuk mengangkat muka apabila mampu mengemukakan pemuda - pemuda yang layak membarisi saff kepimpinan PAS diperingkat pusat . Justeru itu pentarbiyahan dan pengkaderan [tajnid] mesti aktif bermula dari sekarang .
MURNIKAN PERJUANGAN KITA
158. Sewajarnya PAS sebagai sebuah Gerakan Islam melihat dari pelbagai sudut pendekatan yang telah diambil , agar hadhirnya PAS ke tengah gelanggang politik tidak hanya sekadar untuk memenangi kerusi pilihanraya tetapi membawa mesej perjuangan suci sekaligus menawan dan menambat hati seramai mungkin madu'u [ pengundi ] agar mereka menerima perjuangan Islam yang kita dokong .
159. Wajah PAS sebagai sebuah Gerakan Islam sekali - kali tidak boleh dibiarkan pudar apalagi bertukar menjadi sebuah parti politik yang hanya memburu kuasa semata - mata . PAS mesti kekal dengan wajah asalnya sebagai sebuah Gerakan Islam yang berpolitik dan berjuang untuk membebaskan manusia dari neraka Allah swt , menyelamatkan mereka dari perhambaan sesama hamba dan menolak ideologi ciptaan manusia.
160. Justeru itu sekali lagi saya tegaskan , PAS mesti tetap berada di atas manhaj perjuangan Islam yang tulen dan mesti dilihat tulen dalam pengambilan manhajnya justeru Islamlah menjadikan kita diterima dan diredhai oleh Allah swt .
Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.
Surah Aali Imran : 85
Pemuda Ansoorullah yang dihormati sekelian
Melahirkan Pemuda Ansoorullah :
161. Sebagai sayap penting kepada perjuangan ini , Dewan Pemuda PAS dipelbagai peringkat mestilah bekerja keras untuk melahirkan pemuda – pemuda Ansoorullah guna membantu perjuangan mencapai objektif dan matlamatnya. Firman Allah swt di dalam surah as Shaff Ayat 14 :
Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang.
10 Kriteria Pemuda Ansoorullah :
162. Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut seruan perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini . Ikrar mereka ialah ikrar seorang pejuang :
Samaada menang atau gugur sebagai syuhada’
163. Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan , biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa , tenaga, harta , darah dan nyawa . Sebagaimana taujihat Khalid Ibnul Walid rha ketika berdepan dengan tentera musuh:
Kami datang dengan suatu golongan yang kasih kepada mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup .
164. Ketiga : Pemuda yang memiliki kualiti dan tahap piawaian yang dikehendaki oleh Dewan Pemuda PAS melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur merangkumi amal tarbawi [pengkaderan] , amal siasi [politik] serta amal kebajikan dan dakwah [penerangan] .
165. Keempat : Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang dihadapkan oleh musuh kepada kita . Bukan pemuda yang kasar dan ganas , bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi ....
o Pemuda yang beriman dan bertaqwa
o Pemuda yang berilmu dan berwibawa
o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
o Pemuda yang berhemah dan berhikmah
o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada
o Pemuda yang tangkas dan berani
o Pemuda yang cerdas dan cergas
o Pemuda yang sabar dan tabah
o Pemuda yang amanah dan setia
o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ]
166. Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda:
Islam telah bermula dalam keadaan gharib [ asing ] , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula , maka berbahagialah orang – orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing .
167. Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki pemikiran Islam yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki keperibadian muslim yang unggul sekalipun ia seorang pelumba motor.
168. Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut Taghyiir [ egent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara , masyarakat dan sistem pemerintahannya . Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem ciptaan manusia yang korup . Negara dan masyarakat yang hanya mementingkan pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual . Negara dan masyarakat yang hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan membina tamaddun serta peradaban terpisah dari wahyu Allah swt.
169. Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami , kebajikan dan sosial . Menghubungkan jamaah dengan ummah , menjadi jambatan antara parti dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta menanganinya dengan bijak dan bistari . Memimpin dan membimbing masyarakat secara hikmah berasaskan hujjah , mengambil tempat seorang pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali karramallahuwajhah :
Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya.
170. Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya untuk bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama lain sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk diurus. Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan pemuda yang mantap dan perkasa . Firman Allah swt :
Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.
Surah Al Anfaal : Ayat 46
171. Kesembilan : Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah . Berfikir dan merancang untuk memperkukuhkan jamaah agar senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah yang semakin mendesak. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong sedang amanah pula semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja memegang jawatan tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw:
Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya
172. Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada , merendah diri dan berjiwa besar . Sedia memberi arahan dan diarah . Sedia memimpin dan dipimpin. Sedia menegur dan ditegur . Sedia mengkritik dan dikritik . Sedia menasihati dan dinasihati . Sedia mentarbiyyah dan ditarbiyyah . Cepat pula belajar dari kesilapan dan pantas mengambil iktibar dari kesalahan . Sedia mendengar pandangan dari siapa jua dan menelitinya lalu mengambil yang terbaik . Firman Allah swt :
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna.
Surah Az Zumar : Ayat 18
Murnikan Perjuangan Kita dengan Ruh Islam
173. Intima’ atau penglibatan kita bersama Parti Islam Se Malaysia [PAS] mestilah berpaksi di atas Intima’ul Aqidi iaitu Penglibatan berasaskan Aqidah Perjuangan yang sohih dan di atas paksi inilah kita menggerakkan misi dan visi perjuangan kita .
* Perjuangan kita bukan perjuangan yang berasaskan semangat perkauman sempit yang mencetus sengketa diantara rakyat dalam negara kita .
* Perjuangan kita bukan perjuangan yang memburu kepentingan peribadi dan kelompok tertentu lalu menumbuhkan rasa benci tanpa asas di antara satu sama lain .
* Perjuangan kita bukan perjuangan yang jumud dan primitif jauh sekali terlibat dengan gerakan terrorist dan ekstremist.
* Perjuangan kita bukan perjuangan yang menabur fitnah , mengumpat cela dan memaki hamun sehingga menambah dosa dan mengundang murka Allah swt.
* Perjuangan kita bukan perjuangan untuk berpolitik semata – mata mencari kuasa dan pengaruh .
* Perjuangan kita ialah perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya sebagaimana yang diwarisi dari Mujahid Agung al Musthafa saw yang kemudiannya dilangsungkan oleh para sahabat rhm , salafussoleh dan ulama’ mutaakhirin . Sementara politik , kuasa dan pengaruh hanyalah alat untuk mencapai matlamat yang kita perjuangkan.
* Perjuangan kita ialah perjuangan untuk menyebarkan Islam, menyeru dan memahamkan manusia agar kembali kepada cara hidup yang diredhai oleh Allah swt dalam seluruh aspek kehidupan mereka merangkumi politik , ekonomi dan sosial .
* Perjuangan kita ialah perjuangan membasmi segala maksiat dan mungkar yang mengheret rakyat terjebak dalam jenayah , gejala sosial dan krisis nilai yang membinasakan tamadun kemanusiaan .
* Perjuangan kita ialah perjuangan untuk memartabatkan nilai – nilai murni sehingga membentuk sebuah negara yang adil , aman , sejahtera , maju, membangun dan mendapat keampunan Allah swt.
* Perjuangan kita ialah perjuangan untuk menentang kezaliman dan penindasan lantas membela masyarakat marhain yang sering menjadi mangsa penindasan dan ketidakadilan.
Sahabat Ansorullah yang dihormati sekalian,
Pemuda Kebanggaan Rasulullah s.a.w.
174. Pemuda kebanggaan Rasulullah saw adalah pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt. Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .
175. Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .
176. Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah .
177. Justeru itu , setiap pemuda mesti bertolak dari nokhtah penting [badihiyyat] ini
10 BADIHIYAT PEMUDA PAS
* Pertama: Memiliki aqidah yang sohih dengan memantapkan iman berasaskan manhaj tauhid ahlis sunnah wal jamaah lantas meyakini bahawa Islam wajib diperjuangkan demi mendaulatkan ajaran tauhid dan menyelamatkan ummah dari kepungan jahiliyyah moden.
* Kedua : Membina pemikiran [ fikrah ] yang syumul melandasi ilmu Islam yang diwahyukan oleh Allah swt . Pemikiran yang berpaksi pada keutuhan nas dan hujjah serta menguasai feqh al Usuliah [fundamental], feqh al mua’sirah [ kontemporary] dan feqh al istiqbaliah [ futuristic ] . Demikian juga sayugianya pemuda PAS mesti menguasai bidang feqh yang lain guna melengkapkan diri menjadi pemimpin masa depan yang hebat . Antara Feqh yang perlu ialah :
1. Feqhus Siasah , Jihaad wad Da’awah
2. Feqhul Khitab [ komunikasi ]
3. Feqhusy Syura
4. Feqhul Wala’
5. Feqhu Sunnatut Tamkin
6. Feqhut Tanmiyah
7. Feqhul Juudah [ kecemerlangan ]
8. Feqhul Aulawiyyat
9. Feqhut Taarikh wal Waqi’
10. Feqhus Taskhir
Ketiga : Membentuk keperibadian yang soleh dengan meneladani akhlak Rasulullah saw dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang memperjuangkan agamanya.
1. Soleh hubungan dengan Allah dan RasulNya saw.
2. Soleh terhadap ketetapan syariah Islamiyyah.
3. Soleh terhadap jamaah yang didokong
4. Soleh terhadap pemimpin yang dipilih dan dilantik
5. Soleh terhadap ahli yang dipimpin dan dibimbing
6. Soleh terhadap amanah yang dipangku
7. Soleh terhadap madu’u yang didekati [ sasaran dakwah ]
8. Soleh terhadap musuh yang menentang
9. Soleh terhadap non muslim yang menyokong
10. Soleh terhadap ujian yang menimpa
Keempat : Menghayati Amal Tarbawi sebagai teras pembinaan dan penyediaan diri untuk berjuang dengan nokhtah bermula dari Tarbiah ar Ruuhiyah , Tarbiah al Harakiah dan Tarbiah ath Thaqaafiah. Memandu organisasi parti berasaskan feqh Amal Jamaei dengan memahami akhlak , adab dan disiplin berjamaah kemudian memastikan kejernihan fikrah dan ketulenan manhaj tarbiyyah dipelihara dengan penyelarasan dan pengukuhan yang sedang dilaksanakan oleh Lajnah Tarbiyyah.
Kelima : Memimpin “politik acuan kita” [ siasah ] bertunjangkan politik Islam anjuran Rasul saw yang telah mempelopori ..
1. Politik kasih sayang
2. Politik pintar matang
3. Politik lapang dada
4. Politik jiwa besar
5. Politik pantang menyerah
6. Politik hujjah dan fakta
7. Politik objektif dan rasional
8. Politik benar dan optimis
9. Politik pemerintah dan negarawan
10. Politik informatif dan interaktif
Mengurus “politik kita” sebagai “politik berhemah” dengan membersihkannya dari kotoran elemen politik perkauman sempit dan perpecahan serta politik material dan bermuka – muka . Islamkan politik kita jangan kita mempolitikkan Islam .
Keenam : Menggerakkan aktiviti Dakwah Islamiah dengan berkesan , hikmah serta bestari merangkumi dakwah fardiah [ personal contact ] dan dakwah ammah [ public relation ] dengan mendekati semua pihak tanpa kecuali dalam membawa risalah dan hidayah Ilahi . Kuasai methodology dakwah dan fahami maudhu’ ad dakwah serta hargai madu’u . Mengaplikasi dakwah bil lisan dan dakwah bil hal dengan mengaktifkan ziarah dan dakwah , cit cat anak muda dan wacana ilmiah , kebajikan dan dialog serta rekreasi dan komunikasi . Kita adalah pendakwah bukan penghukum
Ketujuh : Bekerja secara jamaei atau kolektif dan memuktamadkan keputusan berasaskan syura . Rapatkan saff , eratkan ukhuwwah dan tutup segala ruang dan peluang anasir – anasir negative dari menyusup masuk dan menyerap ke dalam setiap organ dan saraf pemuda . Sama sekali tidak boleh dibenarkan organisasi pemuda ini menjadi sarang membiaknya pemikiran – pemikiran asing yang bertentangan dengan manhaj pemikiran Islam dan amal tarbawi yang telah diputuskan oleh parti . Sebagaimana politik individu , politik kumpulan tertentu , politik cantas , politik anai – anai dan politik parasit juga sekali – kali tidak boleh diberi ruang bernafas di dalam saff perjuangan kita.
Kelapan : Membina wibawa dan karisma kepimpinan Islam yang mantap melalui skima dan modul pengkaderan Akademi Kepimpinan Pemuda . Justeru Pemimpin tangkap muat atau pemimpin bidan terjun akan memberi kesan yang negative kepada kepimpinan parti sama sebagaimana memilih atau melantik pemimpin yang tidak layak.
Kesembilan : Menjadi agent perubah [ Rijaalut Taghyir ] yang mencetus kebangkitan ummah menolak secara total ideology ciptaan manusia yang bertentangan dengan wahyu Allah swt dan sunnah Rasulullah saw. Lantas memimpin perubahan agar tidaklah kita meruntuhkan jahiliyyah lalu membina jahiliyyah yang baru . Merubah landskap sosial dan politik tanahair menuju Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghafur .
Kesepuluh : Bertanggungjawab mengisi dan mengawal kemenangan agar kemenangan itu tidak menjadi fitnah kepada perjuangan suci yang kita dokong . Amanah Presiden parti dalam ucapan dasar beliau pada sessi yang lepas telah menegaskan supaya “ pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan – kerajaan PAKATAN Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat “ . Menang dan kuasa adalah wasilah perjuangan bagi mencapai redha Allah swt.
Penutup
Sahabat Ansoorullah yang dimuliakan Allah s.w.t sekalian .
178. Akhirnya saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS , bermula dari Jawatan Kuasa Harian DPPP , EXCO dan pengarah Jabatan – Jabatan DPPP , DPP negeri negeri dan seluruh perwakilan yang terdiri dari DPP kawasan – kawasan seluruh Negara yang julung – julung kali dalam sejarah Dewan Pemuda PAS berhimpun dan bermuktamar diperingkat kebangsaan bagi kali yang ke 51 merakamkan setinggi – tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada tuan rumah Al fadhil Yb. Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman Ketua DPP Negeri Kelantan dan seluruh exconya , Pengarah dan ajk Panitia Muktamar DPPP kali ke 51 dan kepada semua pihak yang terdiri daripada orang perorangan dan badan – badan tertentu yang memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan hari bersejarah ini dengan berlangsungnya Muktamar DPPP kali ke 51 .
179. Marilah kita jadikan Muktamar kita hari ini sebagai satu ruang untuk membuat post mortem atau muhasabah terhadap prestasi kita dihari semalam untuk memastikan prestasi kita berjuang dihari esok dapat dipertingkatkan . Berbincang dan berbahaslah dengan sebaik mungkin . Tampilkan pandangan – pandangan yang bernas dan bestari . Berilah nasihat , tunjuk ajar dan kritikan yang membina sementara kami saff kepimpinan pemuda yang digalaskan amanah dan tanggungjawab memimpin akan sedia untuk dimuhasabah tanpa sebarang prejudis .
180. Sebelum saya menamatkan ucapan ini , suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan – rakan exco DPPP serta seluruh para perwakilan jua pemerhati sekelian agar kita bersiap sedia untuk melengkapkan diri kita dengan aqidah perjuangan yang sohih , fikrah perjuangan Islam yang syumul serta akhlak Islami yang terpuji demi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam jamaah yang kita dokong ini
Marilah sama – sama kita hayati kandungan surat wasiat Saiyidina Umar al Khattab r.a kepada Saad bin Abi Waqqas r.a selaku Komander Tentera Islam pada waktu itu :
Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .
Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .
Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .
Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .
Semoga Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat bagi kali ke 51 yang bermula semalam majlis perasmiannya dapat berlangsung dengan jaya dan cemerlang disamping mendapat keredhaan Allah swt. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 51 turut merakamkan setinggi – tinggi terima kasih kepada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS kerana sudi turun merasmikan ketiga – tiga dewan , pemuda , ulama’ dan muslimat secara serentak .
Friday, June 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment