Friday, June 4, 2010

Sokong Pakatan PRU-13 untuk kekalkan subsidi dan pastikan negara tidak bankrap

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu rakyat berani membuat perubahan dengan menyokong Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti bagi memastikan negara ini tidak bankrap. PAS menolak teori Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala yang mendakwa bahawa negara ini akan bankrap jika subsidi tidak dihapuskan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Teori ini sengaja digembar-gemburkan bagi menakutkan rakyat dan memujuk rakyat supaya menerima dasar Kerajaan yang mahu memansuhkan subsidi dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

PAS melihat bahawa negara ini tidak akan bankrap walaupun rakyat masih diberikan subsidi sekitar RM 20 bilion setahun. Tetapi negara akan bankrap dengan dasar Kerajaan sendiri yang banyak membazirkan wang rakyat dengan penganjuran begitu banyak projek yang tidak memulangkan hasil kepada negara.

Rakyat tertanya-tanya, apakah hasil dari projek IRDA, ECER, NCER, SCORE dan SDC di zaman Tun Abdullah. Berbilion diperuntukan, tapi sejauh manakah projek yang dirancang dilaksanakan dan mendatangkan hasil kepada pendapatan rakyat. Bila Dato' Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri belia sibuk mencipta NKRA dan Model Ekonominya sendiri sedangkan koridor-koridor zaman Pak Lah senyap begitu sahaja.

Rakyat juga hairan bagaimana projek empangan bakun yang banyak kali rugi diberikan secara paksarela kepada Sime Darby Berhad. Dan akhirnya syarikat ini melaporkan kerugiannya sebanyak RM 1.6 bilion dari projek berkenaan dan beberapa projeknya diluar negara. Projek bakun adalah mimpi ngeri Kerajaan BN sejak 30 tahun lalu dan telah dilaksanakan oleh tiga Perdana Menteri.

POS Malaysia juga bakal digadai, kerana melakukan pelaburan yang mendatangkan liabiliti pada negara hingga meningkatkan beban hutangnya kepada RM 227 juta. Inilah bukti kegagalan pengurusan GLC dibawah pentadbiran BN.

Dana-dana KWSP, Perkeso, Tabung Haji, dan pelbagai dana awam dijadikan mangsa bagi membantu pelaburan syarikat-syarikat yang tidak menguntungkan ini.

Rakyat juga tidak lupa bagaimana Kerajaan Najib dengan curangnya menyerahkan dua telaga minyak bernilai RM 320 bilion kepada Brunei. Inilah hasil negara yang jelas diambil mudah oleh Kerajaan yang tidak serius mengurus sumber dan pelaburan negara. Dengan simpanan minyak RM 320 bilion ditelaga blok L dan M rakyat masih mampu menikmati harga minyak yang rendah.

Pengakuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan bahawa negara juga rugi RM 10 bilion setahun kerana rasuah membukti kegagalan pengurusan kerajaan. Jika perkara ini dapat dibendung, separuh dana subsidi telah berjaya diselamatkan. Tetapi isu rasuah ini membusuk dari kepala, sebab itulah ia susah dihapuskan.

PAS yakin jika mandat diberikatan kepada Pakatan, hal ini tidak berlaku. Walaupun begitu banyak cubaan untuk menuduh Kerajaan Pakatan mengamalkan rasuah dibuat, namun sehingga ke hari ini belum ada mana-mana wakil rakyat Pakatan yang dibuktikan mengamalkan rasuah. Malah dasar Pakatan yang telus telah terbukti di Pulau Pinang yang berjaya mengutip lebihan hasil negeri sebayak RM 70-80 juta setahun. Kini Kedah dan Kelantan berjaya menunjukan pemulihan hutang negeri dengan baik dengan Selangor terus memacu ekonomi Selangor dengan lebih rancak lagi walaupun dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

PAS akui, bukan mudah untuk memulihkan negeri-negeri yang suatu ketika dahulu diperintah BN. Pakatan mengambil masa yang panjang untuk membersihkan dasar-dasar pembaziran, penyelewengan, salah guna kuasa dan pemikiran yang tidak maju yang ditinggalkan BN. Kemajuan yang diwar-warkan BN hanya berupa retorik sempena pilihanraya dimana peruntukan hanya diberikan bila ada Adun atau Wakil rakyat yang meninggal dunia. Itupun hanya pembangunan seperti dana sekolah, masjid, jalanraya, jambatan dan parit sedangkan mereka mengabaikan pembangunan syaksiah dan pemikiran masyarakat.

Mereka melihat rakyat seperti semut mencari gula. Tetapi mereka lupa bahawa rakyat kini semakin bijak membuat perkiraan. Bila Kerajaan Pakatan sudah memerintah, barulah mereka melihat wakil rakyat BN bersungguh-sungguh untuk bekerja. Selama ini rakyat menjadi hamba mereka, susah untuk jumpa wakil rakyat kecuali jika ada projek.

PAS yakin rakyat tidak mahu membiarkan negara ini bankrap dalam 5 tahun akan datang. Modal inilah yang dijual BN ketika mereka kali pertama tewas di Kelantan. Seluruh negara mereka sebarkan bahawa Kelantan akan bankrap bila PAS sudah memerintah. Bila PAS memerintah ramai orang yang datang Kelantan bawa mee maggi sebagai bekalan temasuk wakil rakyat BN. Tapi mereka terkejut, selepas 20 tahun memerintah, tidak ada tanda-tanda Kelantan akan bankrap.

Tetapi tanda-tanda bankrap itu akhirnya muncul di Putrajaya. Selepas 12 penggal BN perintah Malaysia akhirnya Menteri BN sendiri akui negara akan bankrap dibawah pentadbiran mereka dalam masa lima tahun lagi. Jadi, rakyat kena ubah pemerintah supaya lima tahun akan datang rakyat dapat terus nikmati subsidi dan negara tidak bankrap.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Rujukan :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26868:sokong-pakatan-pru-13-untuk-kekalkan-subsidi-dan-pastikan-negara-tidak-bankrap&catid=85:ketua-penerangan&Itemid=137

No comments: