DATUK Seri Samy Vellu berjanji sekiranya calon MIC memenangi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, maka dia akan mengambil langkah untuk berundur dan pimpinan MIC akan diserahkan kepada timbalannya. .
Mungkin kemenangan itu dikiranya MIC sudah pulih setelah tersungkur teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Ditakdirkan calonnya menang. Samy Vellu menunggu pula kepada satu masa yang difikirkannya sesuai. Ia menyebabkan setengah anggota MIC bimbang Samy tidak mengotakan janjinya. Malah sekutunya seperti Umno pun bimbang Samy akan mengekalkan pimpinannya.
Pandangan umum merasakan jika Samy kekal hingga pilihan raya umum akan datang, dibimbangi MIC tidak dapat memberikan bantuan kepada BN bagi mempertahankan kuasanya.
Justeru itu Timbalan Ketua Pemuda MIC mendesak supaya Samy jangan bertangguh lagi. Letaklah jawatan serta merta. Lalu Samy memecatnya. Berikutnya terbentuk GAS – Gerakan Anti Samy Vellu. Ia mengawatkan krisis MIC.
Ia menyebabkan putera tunggal Samy, Vell Paari membuat kenyataan menuduh Umno di belakang gerakan menggulingkan Samy. Gempar pula Umno dan akhirnya anak Samy minta maaf kepada Umno.
Dr. Mahathir lalu menasihatkan Samy supaya berundurlah sebelum orang benci. Kononnya seperti yang dilakukannya, dia berundur dari Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika dia cukup popular.
Masalah bagi Samy sekarang dia sedang tidak popular atau dia sedang dibenci. Tidak berbangkit lagi soal dibenci kerana dia sedang dibenci.
Bagaimana dia hendak berhenti dalam keadaan dia dicerca kiri dan kanan. Hanya Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Ling Leong Sik yang sanggup berundur ketika tidak popular.
Samy mungkin tidak mahu jadi macam itu. Dia mungkin mahu jadi macam Dr. Mahathir tidak sedia berundur ketika dia dibenci tetapi Dr. Mahathir menunggu masa kembali popular, baru dia berhenti.
Mungkin Samy mahu berguru dengan pengalaman Dr. Mahathir. Ketika baru menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir memberitahu, dia tahu bila hendak berhenti. Iaitu dibenci atau sebelum disuruh orang berhenti.
Tetapi Dr. Mahathir pernah menghadapi tiga pusingan dibenci oleh banyak pihak. Pertama ketika dia berdepan dengan krisis dengan raja-raja. Boleh dikatakan sekalian raja-raja membencinya. Pandangan umum rakyat khususnya orang Melayu tidak mahu melihat kedudukan raja-raja direndahkan begitu sekali, maka dia dirasakan patut berundur.
Bagaimana pun Dr. Mahathir tidak berundur ketika raja-raja benci kepadanya dan rakyat merasakan dia tidak patut kekal lagi. Dia tunggu masa raja-raja tidak marah lagi kepadanya barulah dia berundur.
Kedua, ketika dia berlawan dengan Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam. Dia menang tipis dengan Ku Li. Dia pun diseretkan ke mahkamah. Natijahnya Umno diharamkan. Ibrahim Ali berpusing ke seluruh negara mengutuk Dr. Mahathir.
Itulah masa Dr. Mahathir paling tidak popular atau paling dibenci oleh Umno. Tetapi dia tidak berhenti ketika dia amat dibenci oleh partinya. Hingga Umno hidup semula dan kembali kuat dan Ibrahim Ali menobatkannya sebagai Wira Dunia Ketiga.
Sesudah Ibrahim Ali lebih sayang kepadanya daripada sayang kepada Tengku Razaleigh barulah dia bersara.
Ketiga, Dr. Mahathir dibenci lagi apabila dia memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Sehingga ada yang menyindirnna sebagai Maha Firaun. Ertinya berganda lebih teruk dari Firaun.
Siapa yang kata begitu? Dipercayai orang Umno atau kerabat Umno sendiri.
Bercempera sekali Umno hingga BN kalah di Terengganu gara-gara krisis di bawah pimpinan Mahathir. Tidak berhenti dia ketika popularitinya begitu rendah.
Dia tunggu hingga sebahagian dari penyokong kuat Anwar benci pula kepada Anwar. Mereka cium tangannya. Ketika dia kembali popular dia pun mengumum bersara. Menangis sekalian atas tindakannya itu.
Jika dibandingkan benci MIC kepada Samy Vellu dengan benci Umno kepada Dr. Mahaathir dulu, belum tentu Samy Vellu lebih buruk. Tetapi Dr. Mahathir tidak berundur ketika namanya terlalu buruk.
Samy Vellu adalah orang yang membanggakan diri seperti Dr. Mahathir juga. Dia tidak mahu bersara ketika GAS muncul bagi memalukannya. Bagaimana dia mahu bersara ketika Umno sedang merendah-rendahkannya?
Umno menempelaknya dengan menolak calon pilihannya di Hulu Selangor iaitu timbalannya. Bagaimana dia mahu berhenti ketika dia dimalukan oleh pimpinan Barisan Nasional?
Mungkin meniru Mahathir, Samy Vellu mahu menunggu beberapa bulan lagi atau sehingga partinya benar-benar pulih dan ketika orang MIC menyayanginya kembali. Dia percaya, jika Umno dan BN tidak mengganggunya, dia boleh susun semula MIC dan boleh pulihkan sokongan masyarakat India kepada partinya.
Bolehkah dia memulihkan MIC adalah satu hal yang lain tetapi Samy tidak mahu meninggalkan MIC dalam keadaan parti itu amat lemah dan keadaan penuh krisis.
Rujukan :
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26893:samy-berhentilah-sebelum-orang-benci&catid=88:subky-latif&Itemid=130
Friday, June 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment