Saturday, December 19, 2009

Abdul Aziz Ismail: Kenapa Ahmad Said bersara awal?

Persaraan awal ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menimbulkan banyak tanda tanya. Beliau masih ada lima bulan lagi - jangka masa yang tidak lama - untuk menamatkan perkhidmatannya tetapi mengapa beliau memendekkan tempoh persaraannya?

Beliau sepatutnya menamatkan perkhidmamannya secara rasmi pada 25 Mei 2010, tetapi memendekkannya pada 31 Disember tahun ini dengan alasan mahu menumpukan lebih masa kepada keluarga dan kerja-kerja amal.

Ahmad sudah berkhidmat selama 34 tahun di SPRM yang sebelum ini dikenal sebagai Badan Pencegah Rasuh (BPR). Beliau merupakan ketua pertama SPRM yang ditubuhkan pada 1 Januari 2009 setelah BPR dirombak, dinaik taraf dan diberi kuasa yang lebih besar.

Beliau akan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abu Kassim Mohamed dengan harapan SPRM akan lebih berkesan dan berwibawa di bawah pimpinannya.

Keputusan Ahmad untuk bersara lebih awal dikatakan boleh menjejas siasatan kes-kes rasuah yang sedang disiasat. Beliau juga didakwa pelbagai pihak berhenti awal kerana tekanan politik dari pihak atasan yang meragui kecekapan beliau mengurus SPRM dan menangani kes-kes rasuah yang tertangguh semakin meningkat.

Persoalan juga timbul, mengapakah Ahmad tidak boleh menunggu lima bulan lagi untuk bersara secara rasmi? Mengapa beliau mendesak berhenti awal sedangkan lima bulan bukanlah jangka waktu yang lama? Apakah sebab sebenar yang tersirat kenapa Ahmad mahu berhenti awal?

Walapun alasan Ahmad bersara awal adalah kononnya untuk memberi masa kepada penggantinya menyesuaikan diri, lima bulan lebih awal dari tarikh sebenar beliau bersara, setengah pemerhati berpendapat itu bukanlah alasan yang tepat.

Ahmad dikatakan memohon berhenti awal kerana kecewa dengan keputusan mahkamah dalam kes kematian misteri Teoh Beng Hock yang tidak memihak SPRM. Mahkamah memutuskan soal-siasat SPRM hanya boleh dilakukan pada waktu pejabat bukan sepanjang hari seperti sebelumnya.

Mereka berpendapat keputusan itu sudah mengurangkan kuasa SPRM yang sepatutnya dibenarkan mengendalikan soa-lsiasat sama seperti pihak polis. SPRM seharusnya diberi kuasa istimewa itu untuk menyelesaikan segera siasatan tanpa diberi had waktu supaya badan itu dapat menjalankan tugasnya dengan lebih licin.

Ahmad dikatakan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah itu dan berpendapat bidang kuasa badan itu menjadi semakin terhad serta sudah hilang taringnya.

Seorang bekas pengarah BPR berpendapat, kuasa terhad itu boleh melumpuhkan SPRM kerana menurutnya agensi-agensi penyiasatan terkemuka dunia masih mengamalkan siasatan sepanjang hari dan mereka dilihat berkesan.

Andaian lain berpendapat tugas beban SPRM semakin besar dan Ahmad tidak terdaya memikulnya ditambah kritikan umum yang berterusan tentang kelemahan dan kelewatan SPRM mengambil tindakan.

Beliau mungkin juga mengambil keputusan drastik berhenti awal kerana tidak tahan desakan pihak pembangkang yang mahukan kes-kes rasuah baharu dan tertangguh diselesaikan segera sedangkan realitinya SPRM menghadapai masalah kekurangan pegawai berkaliber dan kesukaran mendapatkan bukti serta saksi tertentu dalam kes-kes besar melibatkan tokoh-tokoh ternama.

Ini belum dikira kes istimewa seperti kes Teoh yang menjadi perhatian umum dengan pelbagai spekulasi dan andaian yang terus menekan badan itu. Kes Teoh menjadi begitu istimewa kerana beliau mewakilli ahli parti pembangkang dan SPRM didakwa serta dituduh menganiaya mangsa dengan deraan fizikal dan mental dalam waktu soal-siasat yang tidak terhad sehingga mangsa menjadi korban.

Kes itu sudah disensasikan sebegitu rupa sehingga persepsi umum sudah mengambil keputusan SPRM bersalah walaupun mahkamah belum membuat keputusan. Hal-hal begini mungkin membebankan SPRM dan pegawa-pegawai atasannya termasuk Ahmad yang merasa lebih tertekan dan tidak berdaya melawannya.

Jalan keluar yang lebih terhormat adalah dengan meninggalkan badan itu menyerahkan kepada orang lain untuk menyelesaikannya.

Seringkali persepsi umum mendedahkan jika sesuatu kes itu melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat ia harus disegerakan dan SPRM boleh menjadi kambing hitam yang patut dikorbankan jika keputusan kes tidak memihak PR. SPRM sering dipersalah padahal mahkamah sudah membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang ada dan nyata.

Hakikatnya mengurus badan seperti SPRM amat membebankan dan memerlukan ketua yang bijaksana, cekal dan berani. Ia adalah tugas yang penuh dengan cabaran, memerlukan ketua yang mempunyai keberanian luarbiasa untuk menghadapi pelbagai serangan itu.

Badan itu menjadi tumpuan semua pihak - kerajaan dan pembangkang - yang sentiasa mendesak badan itu berlaku adil dan saksama dalam setiap tindakan dan keputusannya.

Andaian lain menyebut ada dalam kalangan pegawai SPRM tidak berani mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin pembangkang dengan alasan takut menghadapi tindakan agresif dari kumpulan mereka.

Ada beberapa kes terbaru melibatkan pemimpin PKR di Selangor dengan pembelian saham besar dan kes pemimpin muda di Kelantan yang tidak disiasat segera oleh pegawai yang ditugaskan kerana bersimpati dengan pembangkang.

Pegawai-pegawai itu dituduh propembangkang padahal belum ada bukti konkrit untuk membuktikan tuduhan itu.

Pegawai itu dikatakan tidak profesional dan dituduh melambat-lambatkan kes yang melibatkan pemimpin pembangkang tertentu tetapi bertindak cepat jika kes itu melibatkan pegawai kerajaan dan pemimpin pemerintah yang menyelewang.

Tuduhan itu serius dan melibatkan imej dan integriti SPRM. Badan itu harus menjalankan siasatan jika ia benar-benar melibatkan pegawai-pegawainya dan menolak tuduhan itu jika tidak berasas.

Tuduhan dan andaian seperti itu boleh dimainkan oleh pihak tertentu untuk menutup kelemahan pihak kerajaan/SPRM dan kekurangan diri mereka sendiri yang tidak berani menunjukkan muka.

Rakyat dan masyarakat umum perlukan pendedahan cerita sebenar. Jalan terbaik adalah dengan mendedahkan bukti dan menangkap mereka yang bersalah dan pegawai yang bersekongkol dibawa ke muka pengadilan bagi mendapat keadilan.

Zukri Aksah :Hanya dipergunakan...

Ringkasnya begini, Muhammad Abdul Wahab yang dikatakan pengasas fahaman wahabi itu adalah guru kepada Ibn Saud, pengasas kepada Kerajaan Arab Saudi yang ada sekarang, sementara Muhammad Abdul Wahab ini pula berhukum fekahkan dengan tafsiran Ibn Taimiyyah, seorang sarjana Sunni yang hebat, bermazhab Hanbali dan pernah beberapa kali keluar masuk penjara kerana keteguhan pendiriannya.

Menariknya bila membaca abstrak biografi Ibn Taimiyyah, ia langsung mengingatkan saya kepada Dr. Asri, mantan Sahibus Samahah Mufti Perlis. Ibn Taimiyyah pernah dituduh menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan dan mempersoalkan ilmu kalam, beliau juga mengutuk amalan melawat kubur orang alim. Apakah Ibn Taimiyyah wahabi? Amat tidak masuk akal kerana Muhammad Abdul Wahab itu muncul terkemudian dari beliau.

Apa itu wahabi? Saya menolak wahabi sebagai satu mazhab, wahabi atau wahabisme cumalah istilah yang digunakan orientalis bagi merujuk kepada gerakan yang dipelopori oleh Muhammad Abdul Wahab, sama juga dengan sesetengah orientalis yang merujuk agama Islam sebagai Muhammadainisme. Muhammad Abdul Wahab, mengikut sejarahnya adalah seorang ulama pembaharuan dan ahli teologi Islam yang mengetuai gerakan salafiah yang sering dilihat sebagai ultra-konservatif. Gerakan beliau adalah gerakan pembaharuan, bukan satu mazhab!

Malangnya kita pula, umat Islam sendiri terikut-ikut dengan panggilan-panggilan dan gelaran-gelaran orientalis. Kita yang Islam inilah yang sering menyebut wahabi sebagai satu mazhab, mempersoalkan pula apakah ia termasuk dalam mazhab-mazhab ahli sunnah wal jamaah. Padahal Muhammad Abdul Wahab sendiri tidak pernah mengisytiharkan yang beliau membawa aliran mazhab baru, bahkan beliau seorang yang sangat dipengaruhi oleh Ibn Taimiyyah dan Imam Hanbali, pengasas dari mazhab yang empat juga.

Kita kata bila kita ke Mekah menunaikan Haji, kita kena ikut wahabi, benarkah? Apakah kita ikut wahabi? Tidak apalah bersentuh sesama bukan mahram ketika tawaf, tidak batal wudhu, adakah itu ajaran wahabi? Bukankah itu doktrin mazhab Hanbali, imam yang empat juga, yang menjadi ikutan Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab, yang kononnya si “wahabi” itu?

Apakah menolak bidaah itu salah, walaupun dalam sesetengah keadaan caranya nampak kasar? Kalau katakan saya tidak menyebut “saidina” ketika berselawat dalam tahyat saya kerana bagi saya ia perkara tiada yang diadakan, apakah saya akan dikatakan wahabi? Padahal himpunan hadis sahih Bukhari – Muslim ada menitipkan tentang perkara ini.

Salahkah sebuah gerakan pembaharuan dalam Islam? Pembaharuan Islam bukan bermaksud mewujudkan Islam yang baru seperti Islam Hadhari, sebaliknya adalah kerja mengilatkan kembali Islam yang semakin dilekati dengan habuk-habuk asing, sebelum habuk-habuk asing itu berisiko untuk dianggap dan diterima sebagai sebahagian dari amalan Islam. Ia bukan kerja mudah, kerana seringkali mujaddid muncul dalam kerangka politik status quo, politik kuasa faham Machiavelli. Tidak kiralah sama ada Ibn Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahab, atau Dr. Asri sendiri, mereka semua sudah menerima padahnya.

Oleh kerana politik jenis ini, akhirnya apa yang saya lihat adalah sesuatu yang menyedihkan, mujaddid dipergunakan sebagai tunggangan politikus-politikus tertentu. Sudah jelas, Muhammad Abdul Wahab dipergunakan oleh Ibn Saud dalam menguasai tanah arab yang kononnya seperti dakwaan Ibn Saud, “dikuasai tanpa menumpahkan setitik darah dengan izin Allah.” Hari ini kita lihat Arab Saudilah sekutu kuat Amerika Syarikat, negara yang telah menumpahkan entah berapa juta darah umat Islam.

Menjadi mujaddid seringkali mengundang kontroversi, tetapi dalam masa yang sama mencipta populariti, gabungan kedua-dua elemen ini bisa sahaja menjadi modal ampuh buat politikus bernafsu kuasa. Dalam kerangka politik yang punya banyak suis halus dan tersembunyi, sangat mudah bagi seseorang yang berkepentingan untuk menekan salah satunya bagi memainkan satu drama, kali ini aktornya Dr. Asri, seorang mujaddid zaman ditunggang tanpa sedarnya oleh orang yang mahu mengaut laba politik.

Betapa tidak! Anda bayangkan, JAIS yang bertaraf agensi sebuah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat tiba-tiba memperoleh kerjasama yang begitu memberangsangkan dari PDRM, sebuah agensi kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh BN. Dari video tangkapan Dr. Asri yang saya lihat, tidak kurang 30 anggota PDRM terlibat! Kalau PDRM secara biasanya memang memberi sokongan sehebat itu kepada penguatkuasa agama, saya jadi tertanya-tanya mengapa Ayah Pin masih utuh beraja di Kerajaan Langit?

Peliknya, mengapa PDRM yang sama tidak pernah langsung memberikan dokongan sehebat itu kepada Sivakumar dalam melaksanakan arahannya sama ada dari kamar Speaker, dari Dewan Undangan Negeri Perak, atau dari Jawatankuasa Hak dan Kebebasan? Oh ya, tiada yang menekan suis.

Hanya royalti dalam Akta Petroleum, bukan wang ihsan- Salahuddin

Royalti atau wang ihsan kata pemimpin Umno sama sahaja kerana bagi mereka tidak ada perbezaan di antara dua istilah tersebut.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno, Affandi Yusof misalnya menyebut royalti hanya istilah bahasa Inggeris dan wang ihsan bahasa Melayu.

Semua tanggapan itu tersasar jauh kerana royalti terkandung dalam Akta Petroleum 1974, sedangkan wang ihsan tidak ada dalam akta tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, royalti terikat dengan Akta 144 dan mesti dibayar kepada negeri terbabit dua kali setahun iaitu Mac dan Ogos.

“Pembayaran dibuat Petronas pula dalam bentuk tunai dan perlu dimasukkan ke dalam akaun milik kerajaan negeri.

“Sedangkan wang insan tidak terkandung dalam akta tersebut dan ia boleh dibayar kepada sesiapa sahaja. Misalnya kalau kes di Terengganu sebelum ini pernah wang ihsan diberi kepada Ketengah.

“Di Kelantan pula kemungkinan akan dibayar kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan dan lebih istimewa lagi duit tersebut tidak perlu diaudit,” katanya pada ceramah isu semasa anjuran Dewan Pemuda PAS Tumpat di Kampung Berangan di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rosli Abdullah.

Tuntutan kerajaan Kelantan ke atas royalti mulai digegerkan Julai lalu setelah menyedari ada laporan mengenai pengeluaran minyak dan gas di perairannya berdasar laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perangkaan yang dibuat jabatan berkenaan menyebut Kelantan, Terengganu dan Sabah mengeluarkan petroleum pada 2004 bernilai RM47 bilion.

Biar pun ada menteri dari Kelantan cuba menafikan kewujudan telaga minyak di perairan Kelantan, namun akhirnya Perdana Menteri sendiri mengakui perairan negeri terbabit mempunyai sumber minyak dan gas.

Pada persidangan parlimen pada 4 November lalu, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Akta 144 ditulis bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bagi membantu Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanggungjawab mengasaskan kewujudan Petronas ketika itu.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional sekarang menerima tekanan hebat berkaitan isu royalti minyak apabila semua anggota parlimen Pakatan Rakyat sepakat memperjuangkannya.

“Setiap kali ada ruang kita bercakap isu royalti di Dewan Rakyat kita perjuangkan sehingga terpaksa dijawab Perdana Menteri sendiri.

“Oleh itu rakyat Kelantan tanpa mengira ideologi politik perlu memperjuangkan tuntutan royalti minyak bagi membolehkan ia dinikmati rakyat secara saksama,” katanya.

Menurutnya juga beliau pernah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat isu royalti pada bila-bila masa sahaja.

Mohd Zaki berkata, sekiranya wang ihsan disalur melalui JPP rakyat Kelantan tidak dapat menikmati manfaat sepenuhnya.

“Ini kerana kita tahun sejak diwujudkan JPP lebih 19 tahun di sini peranannya tidak banyak membantu kerajaan negeri. Orang kampung hendak dapatkan peruntukan membaiki madrasah pun susah.

“Sebab itulah kita tetap menuntut seperti mana yang terkandung dalam perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975,” katanya.

Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya royalti petroleum diperolehi banyak masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk menyediakan prasarana lebih sempurna di sekolah-sekolah agama.

Katanya juga setiap tahun kerajaan negeri terpaksa menyediakan peruntukan besar kepada sektor pendidikan sehingga mencecah RM70 juta.

Salahuddin juga berkata, anggota parlimen Pakatan Rakyat akan memastikan Biro Tata Negara (BTN) tidak lagi diteruskan kerajaan memandangkan ia tidak membantu mencapai matlamat mewujudkan integrasi nasional.

“Apa yang diajar ketika latihan di BTN ialah membenci kaum bukan Melayu dan melemparkan tomahan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, biar pun kerajaan telah menggunakan duit rakyat begitu besar, namun perpaduan kaum tidak juga tercapai.

Kata beliau tahun hadapan sebanyak RM60 juta disediakan kerajaan kepada BTN bagi mengendalikan kursus tata negara kepada pegawai kerajaan dan pelajar

Anwar Ibrahim: Keyakinan kepada rakyat

Kita mengadakan konvensyen ini sebagai menyambut suara rakyat. Rakyat telah bersuara pada 8hb Mac 2008. Dan suara rakyat semakin lantang.

Apakah yang rakyat mahu?

Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan. Tsunami politik 2008 memcerminkan rakyat telah muak dengan kerenah rasuah, politik perkauman dan taktik jelek adu domba Umno-BN. Mereka marah dengan skandal V K Lingam, dan tatkala harga petrol melabung mereka tidak yakin BN bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-Bn, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.

Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.

Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.

Maka kita mengadakan konvensyen ini bukan untuk mencerca dan mengkritik BN dan Umno. Pemerintahan yang ada sekarang sudah kehilangan keabsahan moral, legitimasi moral mereka sudah terhapus. Kita berada di sini untuk mengungkapkan dasar dan kebijakan Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.

Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.


II. FALSAFAH KEBANGSAAN


Apa yang hendak kita lakukan adalah tidak lain dari membina semula sebuah bangsa dan sebuah Malaysia yang berteraskan kekuatan moral rakyat. Dan kekuatan moral rakyat adalah berteraskan prinsip karamah insaniah, kemuliaan darjat insaninya “walakad karamna bani Adam.” Prinsip ini turut diungkapkan oleh seorang pejuang kemanusiaan dan rakyat; Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of thier character." Rakyat sudah merdeka 50 tahun, dan rakyat mahu keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit.

Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik. Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud. Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi. Surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar kita meninggalkan perkauman sempit ini:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Prinsip karamah insaniah dan litaarafu inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga.

Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.

Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan:

Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi tamil: ontre kulam oruvane thevan ( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara)

III. MENJANA MUAFAKAT


Saya menghargai keringat dan buah fikiran rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang sanggup berbincang secara terbuka dan ikhlas. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Maka hari ini kita mencipta sejarah. Bukan mudah untuk sampai kepada suatu muafakat yang boleh disebut sebagai overlapping consensus sepertimana yang diungkapkan oleh filasuf John Rawls. Proses perbincangan yang intense dan rancak dari kalangan yang berbeza latar, fahaman dan kepercayaan. Kita menghormati falsafah perjuangan parti-parti masing, yang punya sejarah gemilang dan getir melawan kerakusan kuasa dan mengalami pelbagai bentuk penindasan. Kita berbincang secara terbuka dan ikhlas. Perkara-perkara yang selama ini dianggap sensitif kepada parti masing-masing dan kaum-kaum tertentu. Kerana ada kejujuran maka kita berjaya mencapai muafakat.

Dengan muafakat yang kita perolehi, bangsa Malaysia boleh berrgerak ke hadapan mengharungi abad ke 21 dengan penuh keyakinan, bangsa Melayu punyai keyakinan, bangsa Cina perolehi keyakinan, bangsa India perolehi keyakinan, bangsa Iban perolehi keyakinan dan bangsa Kadazan perolehi keyakinan. Kita tidak membina satu muafakat dengan rasa ketakutan atau rasa tidak selamat.

IV. EKONOMI

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh negara adalah dalam sektor ekonomi. Jika ekonomi lembap, kesejahteraan rakyat akan terhakis, ramai rakyat akan hilang pekerjaan. Dasar-dasar yang ada sekarang menyebabkan negara kita jauh ketinggalan dengan negara-negara di rantau ini seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Pakatan Rakyat ingin merangka satu dasar yang akan mengembalikan Malaysia di barisan pertama dengan negara-negara termaju di rantau ini. Kita mesti melakukan satu reformasi ekonomi yang mampu meransang daya saing, kecekapan dan produktiviti. Dan unsur bersepadu daam reformasi tersebut adalah menjaga kepentingan rakyat melalui satu kerangka keadilan sosial. Kita perlu memastikan pengagihan yang saksama dan menumpukan pertolongan kepada anggota masayarakat yang paling lemah, tanpa mengira kaum atau kumpulan. Kita akan mengadakan kerangka-kerangka dan kebijakan-kebijakan untuk menarik pelabur asing demi meransang pelaburan tempatan. Kita akan mesra dengan usahawan dan memastikan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi.

Saya menegaskan di sini sebagai satu Pakatan Rakyat, hati nurani tidak boleh membiarkan sesiapapun di kalangan rakyat tidak memperolehi taraf kehidupan yang manusiawi, seperti rumah, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain perkara asas. Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya, usahawan kita berdaya saing dan produktif. Pekerja-pekerja rajin dan tekun dan kita mempunyai penjawat-penjawat awam yang berdisiplin. Dengan gabungan kesemua ini tidak mustahil dalam masa 15 tahun, Malaysia akan kembali ke barisan pertama negara-negara maju di rantau ini.


V. WANITA


September yang lalu telah terbit kajian yang berjudul The Female Economy dalam makalah Harvard Business Review. Menurut kajian makalah tersebut, ketakjuban ekonomi terkini bukanlah ekonomi China ataupun India, ataupun ekonomi kedua-duanya digabungkan. Ketakjuban ekonomi itu ialah ekonomi kaum hawa. Pendapatan kaum hawa seluruh dunia untuk tahun 2009 sahaja berjumlah USD 13 trillion, lebih besar dari gabungan KDNK China dan India untuk tahun ini; masing-masing sekitar USD 4.4 trillion dan USD 1.2 trillion. Pada masa 5 tahun akan datang jumlah jumlah pendapatan kaum hawa dijangka mencecah USD 18 trillion, manakala gabungan KDNK India dan China hanya pada angka sekitar USD 8.4 trillion. Maka seperti gejala globalisasi, kebangkitan ekonomi hawa adalah satu gejala yang tidak boleh dihentikan atau diterbalikkan(unstoppable dan irreversible). Oleh itu dalam dokumen Dasar Pakatan Rakyat, terdapat khusus satu bab mengenai wanita.

VI. GOLONGAN MUDA


Golongan muda seharusnya mempunyai serta memperlihatkan keyakinan yang tinggi untuk melakukan perubahan. Pakatan Rakyat sedar bahawa golongan muda memainkan peranan penting demi memastikan kejayaan pilihanraya umum yang lepas. Pakatan Rakyat menyedari untuk mengeratkan lagi hubungan antara generasi dan demi merapatkan jurang tersebut, perlu ada satu keputusan berani, bertanggungjawab dan meyakinkan. Kini kita lihat ramai pemimpin muda yang muncul, samada sebagai ahli parlimen mahupun sebagai adun.

Namun ini tidak seharusnya menjadikan anak-anak muda khususnya yang bersama Pakatan Rakyat cepat berpuas hati. Kita mempunyai agenda yang lebih penting, iaitu menterjemahkan janji-janji serta dasar-dasar yang kita ungkapkan. Oleh demikian pemimpin muda Pakatan, di semua peringkat, perteguhkan tekad, kefahaman serta gerak kerja berdasarkan garis besar perjuangan Pakatan Rakyat. Kita mesti meyakinkan golongan muda betapa Perubahan merupakan perkara asasi, fundamental, bukan sahaja untuk generasi sekarang, juga untuk generasi masa depan.


VII. ALAM SEKITAR


Tatkala kita merumuskan dasar Pakatan Rakyat ini, sedang berlangsung Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen. Persidangan yang lebih dikenali sebagai COP 15 itu sungguh mustahak bagi mendapatkan persetujuan serta kesanggupan masyarakat antarabangsa untuk memastikan kelangsungan bumi yang kita diami ini.

Kita akui pembangunan sememangnya penting namun ini tidak bermakna kerusakan yang berlaku terhadap alam harus diiyakan sahaja. Makanya kebelakangan ini, laporan seumpama Stern Review, berupaya menjadi garis panduan melakar dasar nasional yang mengembalikan hala tuju pembangunan ke landasan yang tepat di samping memastikan agenda alam sekitar dan kelangsungan bumi tidak terabai. Pakatan Rakyat bersama dengan masyarakat antarabangsa yang prihatin menyatakan iltizam serta tekad untuk menangani isu perubahan iklim dan berusaha untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

VIII. KEBUDAYAAN

Bangsa Malaysia yang kita gagaskan bukanlah satu bangsa yang eka dimensi-one dimensional nation. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sekadar bangsa ekonomi, meskipun ekonomi itu amat penting untuk kesejahteraan. Kita mahu bangsa Malaysia itu satu bangsa yang syumul, bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi dan segar lagi kreatif dalam pengucapan kebudayaan. Justeru itu antara unsur penting dalam Dasar Pakatan Rakyat adalah Muafakat Kebudayaan Baru. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap lanjutan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).


IX. PENUTUP


Hari ini kita mencipta sejarah. Tetapi ini hanyalah titik permulaan. Dasar Pakatan yang akan dimeterai sebentar lagi adalah garis besar perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral compass dalam perjungan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh, maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics of coalition, Etika Pakatan.

Setiap kumpulan punya tuntutannya sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap empathy, keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan constituency rakan –rakan kita.

Justeru menjayakan agenda Pakatan Rakyat adalah menjadi prasyarat untuk mendapat dokongan penuh dan keyakinan rakyat. Hanya dengan keyakinan rakyat , bahawa rakyat yakin kita bersatu hati, kita akan memperolehi kemenangan. InsyaAllah.

Wednesday, December 16, 2009

Mat Zain Mat Isa: Wang ihsan ibu segala rasuah politik

Di antara faktor memudahkan berlakunya rasuah ialah apabila keperluan hidup seseorang tidak seimbang dengan pendapatannya. Tuntutan kewangannya lebih besar berbanding apa yang mampu dibiayainya.

Kita dapat menghidu faktor ini di sebalik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk membuat kajian menyeluruh terhadap peraturan, sistem dan prosedur serta kawalan dalam perbelanjaan peruntukan wakil-wakil rakyat, minggu lalu.

Penubuhan pasukan itu dikatakan sebagai usaha kerajaan menutup ruang dan peluang berlakunya gejala rasuah di kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Ia sebagai langkah memberi garis panduan yang jelas kepada para wakil rakyat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan menerusi dana dan peruntukan kerajaan.

Isu utama ialah kepelbagaian tuntutan rakyat yang melebihi kemampuan seseorang Ahli Parlimen atau Adun. Ekoran itu timbul pula ura-ura elaun mereka akan dinaikkan.

Sementara kita lebih tertarik dengan kemungkinan menambah saraan wakil rakyat, parti pemerintah China pula memilih pendekatan moral dalam usaha memerangi rasuah di kalangan para pegawainya. Media pada Isnin (16 November) lalu melaporkan arahan terbaru Parti Komunis yang memerintah agar para pegawai kerajaan meninggalkan perempuan simpanan mereka, mengelak mengunjungi bar yang menggunakan pelayan wanita dan berhenti berbelanja boros.

Teguran perihal moral itu bertolak daripada fakta bahawa 95 peratus pegawai kerajaan China yang disiasat atas tuduhan rasuah didapati memiliki perempuan simpanan. Sedangkan dengan jumlah gaji, agak mustahil bagi mereka mengamalkan gaya hidup sebegitu.

“Jadi, apa yang anda lakukan jika tidak mempunyai wang? Biasalah, anda akan gunakan kuasa untuk mendapatkannya,” kata kenyataan media seorang penguatkuasa disiplin Parti Komunis China.

Sama ada dalam kes perbelanjaan wakil rakyat Malaysia atau gaya hidup boros pegawai kerajaan di China, isu di situ ialah tuntutan hidup yang lebih besar daripada kewangan yang mampu ditampung. Ketidak seimbangan itu menyediakan medan sangat subur membiakkan amalan rasuah.

Dalam skop lebih luas, hakikat tidak seimbang sebegitu turut berlaku ke atas masyarakat terbanyak. Seyogia diakui bahawa beban hidup rakyat semakin meningkat, sedangkan sumber pendapatan mereka semakin kompetitif. Ketidak seimbangan itu memudahkan mereka akur kepada apa juga yang dihulurkan pihak yang memiliki kekuatan kewangan dan kebendaan.

Dalam banyak keadaan, rakyat yang terdesak memenuhi tuntutan hidup tidak lagi bebas berfikir secara lebih bermaruah menyelesaikan masalah mereka. Apa yang mereka utamakan ialah membebaskan diri dari keperitan hidup. Di hadapan mereka pula terhidang berbagai peluang untuk mereka rebut.

Sebab itu jika definisi umum rasuah itu adalah pemberian yang mengharapkan balasan, maka pihak paling cenderung mengamalkannya ialah sebuah kerajaan. Apatah lagi jika pada setiap pemberian dihulurkannya kepada rakyat diiringi ingatan agar terus menyokongnya. Akujanji itu, sama ada secara formal atau tidak, melengkapkan takrif rasuah yang umum itu.

Tabiat itu tidak sukar dilihat. Ia sangat menyerlah saban kali datangnya musim pilihan raya, sama ada umum atau kecil. Ketika itulah segala aktiviti kebajikan memuncak. Keprihatinan kerajaan kepada rakyat diserlahkan. Segala bentuk bantuan dilonggokkan di kawasan berlakunya pilihan raya.

Rakyat tidak seyogia dipersalahkan sekiranya mereka begitu mudah dilenakan dengan lambakan pembangunan segera dan curahan pelbagai peruntukan. Selain desakan hidup, tabiat Barisan Nasional (BN) memanjakan mereka dengan berbagai bantuan juga mendorong mereka mengambil keputusan mudah. Lebih baik mereka akur saja dengan syarat BN, yakni memberi undi, asalkan mereka dapat sesuatu sebagai balasan.

Sikap tidak kesah rakyat itu memudahkan BN menawarkan rasuah politik secara terbuka. Paling terbuka ialah bantuan di bawah program wang ihsan. Nama ini mula digunakan pada tahun 2000 terhadap kerajaan Terengganu yang diperintah PAS. Kononnya wang itu adalah sebagai ganti royalti minyak yang sejak lebih 20 tahun sebelumnya diterima kerajaan negeri itu.

Apa yang melayakkannya dianggap rasuah politik ialah apabila BN memilih ‘pintu belakang’ untuk mengagihkannya. Ia tidak disalurkan kepada kerajaan negeri selaku penjaga sah yang dipilih rakyat Terengganu, sebaliknya dimanfaatkan mekanisme parti.

Tindakan menyeleweng itu menzahirkan agenda jahat BN untuk kembali memenangi hati rakyat. Ertinya ia bersungguh mempamerkan bakti budi kepada rakyat Terengganu dengan maksud memancing sokongan dan undi mereka.

BN berjaya menundukkan rakyat negeri itu lewat pilihan raya umum 2004. Curahan wang ihsan yang mengikat kesetiaan rakyat terhadap parti itu terbukti bukan semata-mata bantuan murni BN kepada rakyat. Ia sebenarnya rasuah politik paling terancang yang dilakukan secara terbuka tanpa silu.

Kini setelah berjaya di Terengganu, BN berangan-angan mengulangi amalan terkutuk itu di Kelantan. Ibu segala rasuah politik itu bakal dijadikan umpan memancing hati rakyat negeri itu pula.

Sehingga niat jahat itu tidak dibatalkan BN, agak sukar kita mengharapkan rasuah lebih kecil dapat dibasmikan dalam negara ini.

Anual Bakri Haron: Garam dan usia, guru kepada Nik Aziz

Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.


Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."

Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "Usually a true leader is not born. It is made."

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:


a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.

b) Berpisah dengan keluarga.

c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.

d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.

e) Digoda dan dirayu wanita.

f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.

g) Dipenjara selama 9 tahun.

h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.

) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.

a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Kasturba.

b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan ijazah Undang-Undang.

c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.

d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya di Bombay dan Rajkot.

e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.

f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K. Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki dalam kancah politik.

g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.

h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau Satyagraha telah digunakan untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk menghasilkan garam sendiri.

i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur, India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist. Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere."

Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid Ibrahim, pengerusi penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.

Zaid melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama, dan tembok kaum.

Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44 peratus sokongan sementara Anwar mendapat 43 peratus.

Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK, beliau tetap sabar bersahaja.

Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi pesuruhjaya negeri beliau mahu digugat oleh seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.

Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Aziz yang kini berusia 78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan kerana sedang berada dalam zaman septuagenarian yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.

Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini:

"Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lainlah yang perlu melakukannya. Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada."

Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur. Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk di kerusi kemudi.

Biar ia berlaku secara natural. Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang yang belum mumayyiz. Jangan karier kita berakhir, mati muda dalam malu, terhingguk-hingguk di kerusi malas.

Penulis adalah setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd Rashidi Hassan :Mencontohi sikap Tuan Guru

TERIMA kasih tuan guru kerana mendengar rintihan kami. Terima kasih tuan guru kerana mengutamakan perjuangan Islam dan parti PAS lebih daripada kepentingan peribadi dan keluarga.

Terima kasih tuan guru kerana atas nasihat dan kebijaksanaan menilai perjuangan jangka panjang, tuan guru menasihatkan menantu mengundurkan diri.

Terima kasih kepada kepimpinan PAS yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membantu menyelesaikan kemelut ini dengan sempurna dan bijaksana.

Setelah beberapa minggu dilanda pelbagai kontroversi dan persepsi buruk, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan kepada kita semua bahawa beliau boleh ditegur dan diperbetulkan.

Bukan Tuan Guru Mursyidul Am sahaja, malah Tuan Guru Presiden PAS juga mempunyai sifat yang sama. Beliau dikritik secara berdepan pada 7 November lalu, dalam Seminar Memperkasakan PAS.

Keterbukaan kedua-dua tokoh PAS ini merupakan suatu teladan yang terbaik pernah ditunjukkan oleh kepimpinan. Mereka membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar retorik sahaja.

Kepimpinan PAS sedia ditegur untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kepimpinan PAS sedia dimuhasabah, demi kebaikan perjuangan Islam.

Ini adalah bukti keberkesanan dan ketelusan sistem Islam, pentadbiran Islam dan politik Islam yang dipelopori PAS. Ianya juga merupakan suatu sistem tarbiyah (pendidikan) dalaman, yang harus diteladani dan dicontohi oleh parti-parti politik lain dalam negara.

Bagaimanapun, dengan satu dua perkara yang baik ini sahaja, tidak cukup untuk PAS berbangga. Terlalu banyak halangan dan cabaran menanti PAS. Mungkin lebih berat daripada fitnah yang melanda kepimpinannya pada waktu ini.

Cabaran yang paling besar kepada sebuah perjuangan, ialah bagaimana ia boleh mempunyai suatu bentuk kepimpinan yang mantap, jujur, lengkap dengan ilmu serta telus dalam tindakan dan amalan.

Cabaran yang paling hebat kepada seseorang pemimpin ialah, bagaimana ia boleh mengelak dari dipalitkan dengan persepi penyalahgunaan kuasa, mengamalkan kronisme atau nepotisme.

Masalah kepada sebuah perjuangan parti politik akan wujud, apabila ada di kalangan kepimpinannya, dilihat tidak bersih.

Dalam soal ini tidak harus ditunding jari atau dipersepsi negatifkan urusan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan menantunya sahaja. Tidak juga harus dipersalahkan Presiden PAS seorang, jika PAS berada di tahap yang menurun.

PAS dan Pakatan Rakyat punyai cabaran yang lebih besar. Iaitu bagaimana ia boleh mengekalkan momentum sokongan rakyat, yang diterima pada 8 Mac 2008.

Bagaimana Pakatan Rakyat boleh menarik sokongan rakyat dengan mengenengahkan kepimpinan yang bersih, telus, adil dan demokratik.

Sayugia diingatkan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, mahupun DAP yang memegang jawatan, mesti benar-benar bersih, bukan sahaja dilihat bersih.

Mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ketua Menteri, mahupun Exco Kerajaan Negeri, mesti berusaha mengelakkan sebarang elemen yang mengkayakan diri sendiri. Mereka jangan berebut balak, jangan berebut pasir, projek, tender dan sebagainya.

Mereka harus mengelak daripada dikelilingi oleh circle ahli perniagaan atau kroni-kroni tertentu. Mereka mesti mengelak daripada memberikan apa jua anugerah kepada anak beranak, adik beradik ataupun sanak saudara.

Persoalannya di sini, bukan soal sesiapa yang menerima jawatan, anugerah atau projek atau laba, layak atau tidak. Bukan soal layak atau tidak dari segi undang-undang. Tetapi ianya berkait dengan kesalahan moral dan etika.

Dan antara yang paling utama sekali ialah, pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengekalkan cara hidup yang mereka jalani sebelum berkuasa, tatkala mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mula hidup mewah ataupun menunjukkan cara hidup yang mewah, maka rakyat kebanyakan yang miskin, yang susah akan menjauhi mereka, sekali gus mereka akan memalitkan persepi buruk kepada parti yang diwakili.

Ingatlah, bahawa rakyat menolak Umno-Barisan Nasional kerana pemimpin mereka mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Umno-BN mencipta jurang besar antara mereka dengan rakyat, kerana kebanyakan pemimpin mereka hidup dengan serba mewah. Mewah bukan kerana keturunan mereka kaya, tetapi mewah selepas memegang dalam Umno dan kerajaan.

Semakin lama Umno-BN berkuasa, menjadikan pemimpinnya semakin tamak. Secara beransur-ansur rakyat semakin sedar dan menjauhi Umno. Maka malang bagi kita, jika rakyat melihat kita (Pakatan Rakyat) sama sahaja dengan mereka (Umno-BN).

Tambahan pula jika kita dari PAS, sebuah parti Islam, memperjuangkan kebenaran Islam, maka barang dijauhkan Allah untuk kita melakukan sebarang tindakan yang dilihat sama dengan Umno. Pemimpin PAS jangan jadi seperti pemimpin Umno.

Justeru, bagi seluruh kepimpinan dan ahli PAS, menjadi cabaran besar bagi mereka untuk berjuang melawan hawa nafsu, melawan godaan pangkat, melawan godaan harta dan kuasa.

Tambahan bagi mereka yang 'bertitle' ustaz, cabaran lebih besar bagi mereka untuk memperlihatkan diri mereka bersih dari rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Mereka mesti mengelakkan hidup dengan penuh kemewahan dan kemegahan.

Mereka tidak harus menunjukkan kemewahan dengan memiliki banglo mewah, mempunyai kenderaan mewah atau menaiki kapal terbang dengan menempah tiket business class. Semua ini harus dielakkan kerana ia bakal mencetuskan persepsi buruk terhadap PAS.

Perjuangan PAS yang dipelopori oleh alim ulama mesti dibuktikan dengan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan bersih.

Pemimpin mesti membuktikan bahawa perjuangan dalam PAS bukan diasaskan oleh kekuatan retorik semata-mata, kemurnian dan ketelusan amalan Islam bukan retorik.

Tetapi kemurnian Islam hendaklah dijelmakan dalam bentuk fizikal, iaitu telus dan bersih semasa diberi amanah memegang kuasa.

Buat waktu ini contohilah sikap dan kerendahan jiwa dua tuan guru ini. Merekalah ikon perjuangan kita, kedudukan mereka sebagai pemimpin terlalu tinggi, namun mereka sanggup merendah diri diteguri. Salam perjuangan.