Ringkasnya begini, Muhammad Abdul Wahab yang dikatakan pengasas fahaman wahabi itu adalah guru kepada Ibn Saud, pengasas kepada Kerajaan Arab Saudi yang ada sekarang, sementara Muhammad Abdul Wahab ini pula berhukum fekahkan dengan tafsiran Ibn Taimiyyah, seorang sarjana Sunni yang hebat, bermazhab Hanbali dan pernah beberapa kali keluar masuk penjara kerana keteguhan pendiriannya.
Menariknya bila membaca abstrak biografi Ibn Taimiyyah, ia langsung mengingatkan saya kepada Dr. Asri, mantan Sahibus Samahah Mufti Perlis. Ibn Taimiyyah pernah dituduh menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan dan mempersoalkan ilmu kalam, beliau juga mengutuk amalan melawat kubur orang alim. Apakah Ibn Taimiyyah wahabi? Amat tidak masuk akal kerana Muhammad Abdul Wahab itu muncul terkemudian dari beliau.
Apa itu wahabi? Saya menolak wahabi sebagai satu mazhab, wahabi atau wahabisme cumalah istilah yang digunakan orientalis bagi merujuk kepada gerakan yang dipelopori oleh Muhammad Abdul Wahab, sama juga dengan sesetengah orientalis yang merujuk agama Islam sebagai Muhammadainisme. Muhammad Abdul Wahab, mengikut sejarahnya adalah seorang ulama pembaharuan dan ahli teologi Islam yang mengetuai gerakan salafiah yang sering dilihat sebagai ultra-konservatif. Gerakan beliau adalah gerakan pembaharuan, bukan satu mazhab!
Malangnya kita pula, umat Islam sendiri terikut-ikut dengan panggilan-panggilan dan gelaran-gelaran orientalis. Kita yang Islam inilah yang sering menyebut wahabi sebagai satu mazhab, mempersoalkan pula apakah ia termasuk dalam mazhab-mazhab ahli sunnah wal jamaah. Padahal Muhammad Abdul Wahab sendiri tidak pernah mengisytiharkan yang beliau membawa aliran mazhab baru, bahkan beliau seorang yang sangat dipengaruhi oleh Ibn Taimiyyah dan Imam Hanbali, pengasas dari mazhab yang empat juga.
Kita kata bila kita ke Mekah menunaikan Haji, kita kena ikut wahabi, benarkah? Apakah kita ikut wahabi? Tidak apalah bersentuh sesama bukan mahram ketika tawaf, tidak batal wudhu, adakah itu ajaran wahabi? Bukankah itu doktrin mazhab Hanbali, imam yang empat juga, yang menjadi ikutan Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab, yang kononnya si “wahabi” itu?
Apakah menolak bidaah itu salah, walaupun dalam sesetengah keadaan caranya nampak kasar? Kalau katakan saya tidak menyebut “saidina” ketika berselawat dalam tahyat saya kerana bagi saya ia perkara tiada yang diadakan, apakah saya akan dikatakan wahabi? Padahal himpunan hadis sahih Bukhari – Muslim ada menitipkan tentang perkara ini.
Salahkah sebuah gerakan pembaharuan dalam Islam? Pembaharuan Islam bukan bermaksud mewujudkan Islam yang baru seperti Islam Hadhari, sebaliknya adalah kerja mengilatkan kembali Islam yang semakin dilekati dengan habuk-habuk asing, sebelum habuk-habuk asing itu berisiko untuk dianggap dan diterima sebagai sebahagian dari amalan Islam. Ia bukan kerja mudah, kerana seringkali mujaddid muncul dalam kerangka politik status quo, politik kuasa faham Machiavelli. Tidak kiralah sama ada Ibn Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahab, atau Dr. Asri sendiri, mereka semua sudah menerima padahnya.
Oleh kerana politik jenis ini, akhirnya apa yang saya lihat adalah sesuatu yang menyedihkan, mujaddid dipergunakan sebagai tunggangan politikus-politikus tertentu. Sudah jelas, Muhammad Abdul Wahab dipergunakan oleh Ibn Saud dalam menguasai tanah arab yang kononnya seperti dakwaan Ibn Saud, “dikuasai tanpa menumpahkan setitik darah dengan izin Allah.” Hari ini kita lihat Arab Saudilah sekutu kuat Amerika Syarikat, negara yang telah menumpahkan entah berapa juta darah umat Islam.
Menjadi mujaddid seringkali mengundang kontroversi, tetapi dalam masa yang sama mencipta populariti, gabungan kedua-dua elemen ini bisa sahaja menjadi modal ampuh buat politikus bernafsu kuasa. Dalam kerangka politik yang punya banyak suis halus dan tersembunyi, sangat mudah bagi seseorang yang berkepentingan untuk menekan salah satunya bagi memainkan satu drama, kali ini aktornya Dr. Asri, seorang mujaddid zaman ditunggang tanpa sedarnya oleh orang yang mahu mengaut laba politik.
Betapa tidak! Anda bayangkan, JAIS yang bertaraf agensi sebuah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat tiba-tiba memperoleh kerjasama yang begitu memberangsangkan dari PDRM, sebuah agensi kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh BN. Dari video tangkapan Dr. Asri yang saya lihat, tidak kurang 30 anggota PDRM terlibat! Kalau PDRM secara biasanya memang memberi sokongan sehebat itu kepada penguatkuasa agama, saya jadi tertanya-tanya mengapa Ayah Pin masih utuh beraja di Kerajaan Langit?
Peliknya, mengapa PDRM yang sama tidak pernah langsung memberikan dokongan sehebat itu kepada Sivakumar dalam melaksanakan arahannya sama ada dari kamar Speaker, dari Dewan Undangan Negeri Perak, atau dari Jawatankuasa Hak dan Kebebasan? Oh ya, tiada yang menekan suis.
Saturday, December 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment