TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin menempelak PAS dan Mursyidul Amnya Tok Guru Nik Abdul Aziz memperalatkan agama Islam untuk politik sebagai reaksinya kepada doa khutbah hari raya haji Tuan Guru itu.
Doa MB Kelantan itu memohon Allah membukakan pintu hati Perdana Menteri supaya memulangkan royalti gas dan minyak yang menjadi hak Kelantan kepada Kelantan. Kiranya Perdana Menteri enggan, maka beliau mohon pula supaya diturun balasan buruk setimpal dengan sikapnya itu.
Maka reaksi Timbalan Perdana Menteri, dikecamnya MB itu dan parti kononnya memperalatkan agama Islam dalam berpolitik.
Apa yang dicakapkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu bukan benda baru bagi pemimpin Umno. Sejak sebelum merdeka lagi, apabila Umno berhadapan dengan PAS, maka Tunku Abdul Rahman Putra pun berkata PAS memperalatkan agama dalam berpolitik.
Tun Razak kata begitu, Dr. Ismail kata begitu dan begitulah sekalian pemimpin Umno pada masa itu. Apabila datang pula pemimpin baru Umno, begitu jugalah tohmah mereka pada parti Islam itu.
Sesudah 52 tahun merdeka, jadilah Muhyidin Yasin sebagai Timbalan Presiden Umno. Maka dia juga memainkan lagu lama pimpinan Umno dulu kala.
Sebelum TV datang ke Malaysia, semua panggung wayang setiap pagi Ahad menayang filem lama dengan bayaran murah. Filem-filem lama yang TV tayang semula sekarang dipanggil filem klasik. Maka kenyataan TPM itu adalah ulang siar lagu lama, ulang tayang filem mudah dan filem klasik.
Berbuih mulut pemimpin-pemimpin dari semasa ke semasa, tiada banyak yang menakutkan orang tentang PAS dan perjuangan Islamnya.
Dapatlah dibodohkan orang ramai pada satu masa, tetapi tidaklah dapat dibodohkan mereka pada semua masa.
Bukan bertambah layu PAS dengan ‘wirid’ pimpinan itu bahkan ia bertambah menarik perhatian.
Apabila pimpinan Umno berkenaan berdepan dengan masalah dengan Umno, maka datang mereka menumpang tepias politik PAS yang mereka kata memperalat agama untuk tujuan politik.
Tiadalah orang Umno yang lebih layak dijadikan lagenda Umno selain dari Tunku Abdul Rahman. Tiada yang betul PAS padanya. Tetapi apabila Umno diharamkan, Tunku naik ke pentas PAS di Dun Pantai Merdeka, Kedah memberi nasihat kepada pengundi supaya menyokong calon PAS, Datuk Muslim Othman, sedang Tunku sebelumnya menempelak PAS memperalat agama dalam berpolitik.
Almarhum berasional masa itu, PAS percaya kepada perjuangan berasaskan Islam, maka biarlah dan beri kebebasan padanya memperjuangkan kepercayaannya.
Sebelum itu ketika Tun Razak mengepalai kerajaan Mageran berikut peristiwa 13 Mei, 1969, dijemputnya PAS menyertai politiknya dan kerajaan yang dipimpinnya. Ditukarnya Perikatan kepada Barisan Nasional bagi memungkinkan PAS menyertainya sedang dia tahu PAS berpolitik atas asas Islam.
Dulu Tun Razak kata, PAS peralat agama untuk berpolitik. Kemudian dia bertenggek atas politik Islam PAS yang pernah dikatanya memperalatkan agama.
Semua itu adalah kisah orang Umno yang sudah mati. Orang Umno yang masih hidup seperti Dr. Rais Yatim. Dia mengikut Tengku Razaleigh Hamzah bermuafakat dengan PAS untuk menumbangkan Umno dan kalau berjaya akan membentuk kerajaan bersama PAS.
Dia tahu PAS memperjuangkan Islam. Dia tumpang semangkuk menyangka PAS berpolitik dengan peralat agama. Tetapi boleh pula menumpang politik PAS yang dituduhnya peralat agama.
Tun Ghafar Baba ketika tersingkir dari Umno pimpinan Mahathir cuba mendekati PAS. Tetapi dia mengkaji pengalaman Tengku Razaleigh dan Rais Yatim. Dia takut mengulangi pengalaman Rais itu lalu dia membatalkannya. Dia membatalkan bukan kerana politik PAS dan Islam tetapi dia takut mengulangi pengalaman Rais dan Ku Li.
Dr. Mahathir pula guna Anwar Ibrahim untuk perkenalkan politik penerapan nilai-nilai Islam. Nilai Islam apa yang dia terap? Malaysia bertambah Islam di bawahnya atau bertambah jauh dari Islam? Tidak terfikirkan politik penerapan nilai-nilai Islam itu sebenarnya politik peralat agama?
Semasa PM Hussein Onn ditanya wartawan asing, kenapa kerajaannya banyak membina masjid? Jawabnya, kalau dia tidak bina masjid, rakyat akan menyokong PAS. Tidakkah dia berpoliltik dengan memperalatkan masjid?
Datang pula PM Abdullah Badawi. Ke Thailand, ke Mekah, ke mana-mana saja dia menjajah Islam Hadhari. Islam Hadhari itulah projek politiknya. Muhyidin ikut menjaja Islam Hadhari. Apakah ia bukan suatu politik kering peralat Islam?
Politik PAS dan politik Tok Guru Nik Aziz tidak berubah. Yang berubah strateginya. Dalam strategi yang berubah itu mahu pula DAP bermuafakat dengannya. Macam-macam Umno burukkan PAS hingga orang bukan Melayu takut pada PAS. Tetapi sekarang mereka tidak takut lagi.
Bilakah Lee Kuan Yew bersangka baik tentang PAS? Tidak pernah. Takut Lee pada PAS mungkin melebihi takut Umno pada PAS.
Ketika Muhyidin menjaja lagu lama dan filem murah tentang PAS, Lee Kuan Yew pergi ke Kota Bharu menziarahi Tok Guru Nik Aziz. Dia membuka pintu hotelnya untuk didatangi oleh Ustaz Abdul Hadi Awang lepas bertemu Tok Guru Nik Aziz.
Muhyidin jajalah lagi lama Umno tentang PAS barang seribu tahun lagi, tiada dipeduli orang dan PAS mara juga dan mara juga
Wednesday, December 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment