Peristiwa yang berlaku sekitar perkembangan politik sering dikaitkan dengan andaian atau tanggapan umum atau juga disebut persepsi. Ia merupakan ramalan atau jangkaan pendapat seseorang atau pemimpin tertentu atau pertubuhan yang diwakilli berdasarkan fikiran dan analisis mereka terhadap sesuatu perkembangan peristiwa politik yang berlaku.
Persepi boleh menjadi benar dan diyakini kebenarannya jika orang yang berkata itu individu atau pemimpin yang dihormati pandangannya dan mempunyai kewibawaan yang diakui. Namun, ia juga boleh membawa implikasi sebaliknya dan memudaratkan jika ia sengaja diberi gambaran buruk dan tidak benar kerana ada agenda peribadi atau kepentingan parti politik tertentu.
Jika ini berlaku, ia boleh merosakkan pandangan umum dan tanggapan rakyat terhadap sesuatu peristiwa kerana ia didedahkan atas kepentingan tertentu. Dengan kata lain, pemimpin itu tidak bercakap benar dan sengaja berniat begitu sekaligus boleh mencederakan kewibawaan pemimpin itu di mata rakyat kerana tingkah laku buruknya itu.
Jika sesuatu peristiwa yang tidak benar digambarkan seolah-olah benar dengan berbagai alasan serta dalih dan rakyat serta masyarakat umum terpengaruh dengan pesepsi itu, ini boleh membawa bencana kepada negara dan rakyat. Ini kerana rakyat telah termakan dengan persepsi buruk itu yang menyebabkan senario kejadian menjadi sebaliknya. Dan lebih buruk, ada pemimpin tertentu hilang kredibiliti serta pengaruh akibat persepsi buruk yang sudah dilemparkan ke pundak peribadinya.
Demikianlah, apabila pemimpin yang sengaja mendedahkan cerita tidak sebenar dan memesongkan fikiran rakyat dengan alasan palsu yang diada-adakan maka senario peristiwa boleh bertukar jika rakyat tidak dapat menilai persepsi itu dari perspektif yang betul dan waras.
Pemimpin seperti itu mungkin cuba mengalih perhatian kepada kelemahan diri sendiri atau pertubuhannya dengan menyalahkan pemimpin lain yang sebenarnya tidak bermasalah dan tidak patut dilibatkan.
Begitu juga jika berlaku sebaliknya. Jika pemimpin bercakap betul dan ikhlas dengan agenda telus atas dasar prinsip perjuangan tanpa niat kotor, rakyat akan dapat menilai niatnya dan kesan positif yang ditinggalkannya. Mungkin implikasinya lambat tetapi masyarakat yang diwakili dan rakyat akhirnya meraih kebaikan dan nikmatnya pada jangka waktu panjang.
Justeru, pertimbangan waras rakyat dan kebjiksanaan masyarakat menilai fakta dan menganalisis cerita menjadi faktor penentu adakah persepsi itu benar, boleh dipercayai atau ditolak begitu saja.
Jika rakyat menerima semua cerita yang datang sebagai persepsi umum yang tidak perlu ditapis dan dianalisis, situasi mungkin bertukar arah menjadi buruk mengikut agenda yang dibawa oleh pemimpin yang menyebar persepsi itu.
Perkembangan mutahir politik di negara kita khususnya dalam kalangan pemimpin parti pembangkang sudah menjurus kepada situasi itu. Senario situasi ketika ini agak mengelirukan dan menuntut ahli, penyokong parti terlibat dan rakyat kebanyakan menilai setiap persepsi yang datang dengan pertimbangan yang bijak dan waras.
Jika mereka menerima semua cerita yang hadir tanpa fikiran kritis, dikhuatiri ada pemimpin tertentu yang tidak berdosa menjadi mangsa persepsi buruk yang dibawa. Situasi harus diperbetul demi mencari kebenaran cerita supaya rakyat mendapat gambaran sebenar tanpa emosional.
Mengikut tanggapan umum, hal itu mungkin sesuatu yang biasa dan boleh berlaku dalam dalam percaturan politik. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Kawan yang disangka baik dan dihormati boleh menjadi musuh yang dibenci dan ditakuti.
Demikan juga sebaliknya. Musuh yang ditakuti dan dibenci mungkin boleh menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai. Semuanya bergantung kepada persepsi dan perancangan tertentu yang diatur oleh pemimpin tertentu yang mahu melakukannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment