Saturday, December 19, 2009

Hanya royalti dalam Akta Petroleum, bukan wang ihsan- Salahuddin

Royalti atau wang ihsan kata pemimpin Umno sama sahaja kerana bagi mereka tidak ada perbezaan di antara dua istilah tersebut.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno, Affandi Yusof misalnya menyebut royalti hanya istilah bahasa Inggeris dan wang ihsan bahasa Melayu.

Semua tanggapan itu tersasar jauh kerana royalti terkandung dalam Akta Petroleum 1974, sedangkan wang ihsan tidak ada dalam akta tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, royalti terikat dengan Akta 144 dan mesti dibayar kepada negeri terbabit dua kali setahun iaitu Mac dan Ogos.

“Pembayaran dibuat Petronas pula dalam bentuk tunai dan perlu dimasukkan ke dalam akaun milik kerajaan negeri.

“Sedangkan wang insan tidak terkandung dalam akta tersebut dan ia boleh dibayar kepada sesiapa sahaja. Misalnya kalau kes di Terengganu sebelum ini pernah wang ihsan diberi kepada Ketengah.

“Di Kelantan pula kemungkinan akan dibayar kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan dan lebih istimewa lagi duit tersebut tidak perlu diaudit,” katanya pada ceramah isu semasa anjuran Dewan Pemuda PAS Tumpat di Kampung Berangan di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rosli Abdullah.

Tuntutan kerajaan Kelantan ke atas royalti mulai digegerkan Julai lalu setelah menyedari ada laporan mengenai pengeluaran minyak dan gas di perairannya berdasar laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perangkaan yang dibuat jabatan berkenaan menyebut Kelantan, Terengganu dan Sabah mengeluarkan petroleum pada 2004 bernilai RM47 bilion.

Biar pun ada menteri dari Kelantan cuba menafikan kewujudan telaga minyak di perairan Kelantan, namun akhirnya Perdana Menteri sendiri mengakui perairan negeri terbabit mempunyai sumber minyak dan gas.

Pada persidangan parlimen pada 4 November lalu, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Akta 144 ditulis bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bagi membantu Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanggungjawab mengasaskan kewujudan Petronas ketika itu.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional sekarang menerima tekanan hebat berkaitan isu royalti minyak apabila semua anggota parlimen Pakatan Rakyat sepakat memperjuangkannya.

“Setiap kali ada ruang kita bercakap isu royalti di Dewan Rakyat kita perjuangkan sehingga terpaksa dijawab Perdana Menteri sendiri.

“Oleh itu rakyat Kelantan tanpa mengira ideologi politik perlu memperjuangkan tuntutan royalti minyak bagi membolehkan ia dinikmati rakyat secara saksama,” katanya.

Menurutnya juga beliau pernah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat isu royalti pada bila-bila masa sahaja.

Mohd Zaki berkata, sekiranya wang ihsan disalur melalui JPP rakyat Kelantan tidak dapat menikmati manfaat sepenuhnya.

“Ini kerana kita tahun sejak diwujudkan JPP lebih 19 tahun di sini peranannya tidak banyak membantu kerajaan negeri. Orang kampung hendak dapatkan peruntukan membaiki madrasah pun susah.

“Sebab itulah kita tetap menuntut seperti mana yang terkandung dalam perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975,” katanya.

Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya royalti petroleum diperolehi banyak masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk menyediakan prasarana lebih sempurna di sekolah-sekolah agama.

Katanya juga setiap tahun kerajaan negeri terpaksa menyediakan peruntukan besar kepada sektor pendidikan sehingga mencecah RM70 juta.

Salahuddin juga berkata, anggota parlimen Pakatan Rakyat akan memastikan Biro Tata Negara (BTN) tidak lagi diteruskan kerajaan memandangkan ia tidak membantu mencapai matlamat mewujudkan integrasi nasional.

“Apa yang diajar ketika latihan di BTN ialah membenci kaum bukan Melayu dan melemparkan tomahan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, biar pun kerajaan telah menggunakan duit rakyat begitu besar, namun perpaduan kaum tidak juga tercapai.

Kata beliau tahun hadapan sebanyak RM60 juta disediakan kerajaan kepada BTN bagi mengendalikan kursus tata negara kepada pegawai kerajaan dan pelajar

No comments: