Walaupun ada sesetengah cikgu yang membenarkan pelajar kelasnya memilih ketua kelas mereka sendiri, kita sebagai pelajar tidak pula pernah mempertikaikan kuasa memilih cikgu itu andai dia kembali mahu pilihannya ditempatkan sebagai ketua kelas.
Ketika itu, demokrasi bagi kita tiada tempat dan tidak langsung dipertimbangkan.
Begitu juga dengan kehidupan kanak-kanak kita di luar waktu sekolah di bawah seliaan ibu bapa. Ibu bapalah tempat rujukan kita, ibu bapalah tempat kita mohon pelepasan, ibu bapalah tempat kita minta kelulusan, ibu bapalah tempat kita mengabsahkan segala keputusan.
Walaupun kadang-kadang kita sebagai kanak-kanak bersikap degil dan ingkar arahan ibu bapa, kita yang kanak-kanak itu menerima bahawa keingkaran tersebut adalah satu kesalahan, bukan satu tunjuk perasaan menuntut kebebasan, menuntut demokrasi.
Dalam kamus kita sebagai kanak-kanak, demokrasi itu tidak wujud pun.
Dalam kehidupan yang tiada demokrasi inilah kita membesar, jadi manusia juga, tiada cacat-celanya. Ramai kalangan kita yang asalnya kanak-kanak ini membesar menjadi orang yang bijaksana, melanjutkan pengajian ke universiti.
Di sini, di universiti inilah kita mula didedahkan dengan amalan demokrasi, pilihan raya kampus. Pilihan raya bagi memilih ahli majlis perwakilan pelajar dan juga pemimpin di peringkat kolej kediaman.
Apakah niat baik boleh dicernakan melalui demokrasi? Apakah demokrasi menyokong pencernaan niat baik tersebut. Ada kalangan pegawai universiti ketika saya masih menyandang jawatan mahasiswa dahulu lebih suka jika pemimpin pelajar dipilih melalui temuduga, bukan pilihan raya.
Namun kerana pilihan raya kampus itu sesuatu yang sudah termaktub dalam akta, maka ia terus dilaksanakan sehingga sekarang.
Waktu itu, rakan-rakan mahasiswa saya, pemimpin pelajar yang pro parti pemerintah dan pro pembangkang buat pertama kalinya cuba bergabung. Mereka menang besar dan bersatu membentuk kabinet majlis perwakilan pelajar. Malangnya niat baik mereka tidak kesampaian, penyatuan ini akhirnya pecah berantakan.
Demokrasi telah memusnahkan sebuah hasrat murni kerana ruang demokrasi jugalah yang mengizinkan mereka untuk belajar berpolitik.
Saya menulis ini bukan kerana saya benci demokrasi, jauh sekali untuk menghentamnya. Saya juga seorang demokrat, ya mungkin saya berkata begini kerana saya membesar dalam sistem demokrasi.
Cuba kalau saya membesar di China atau Brunei, dalam sistem komunis atau monarki, saya mungkin akan menjadi komunis atau monarkis.
Apapun, sama ada demokrasi, komunis atau monarki, semuanya adalah sistem. Memanglah setiap sistem ini saling berlumba untuk membuktikan merekalah yang terbaik dan sempurna, tetapi sebagai sistem, walau sesempurna mana sekalipun, tetap akan ada ruang yang rapuh dan longgar.
Ketika ruang rapuh dan longgar itu berada di atas dalam pusingan rodanya, masa itulah kita akan lihat sisi hodoh segala sistem ini.
Negara kita adalah negara demokrasi, menariknya negara kita juga adalah negara Raja Berperlembagaan, maka ada sedikit pengaruh monarki. Dalam konteks tulisan ini, saya hanya mahu bercakap soal demokrasi.
Baik atau buruk, setakat ini demokrasi adalah sistem terbaik buat negara kita, sekurang-kurangnya atas alasan ia telah digunapakai semenjak negara kita merdeka.
Sampai hari ini demokrasi telah begitu kuat menjalar dan mencengkam kehidupan masyarakat kita. Dari universiti tadi ia masuk ke parti-parti politik yang seterusnya berfungsi membentuk sistem pemerintahan negara kita.
Demokrasi adalah satu proses, ia bergerak, atau lebih tepat berpusing dalam kitaran hayatnya yang tersendiri. Seperti saya katakan, pasti satu masa ia akan mempamerkan sisi hodohnya kepada khalayak.
Inilah yang berlaku kepada MCA, parti terbesar, atau lebih tepat parti tunggal kaum Cina di Malaysia. MCA sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang panjang. Segala cara telah diusahakan bagi menyelesaikan masalah ini, tetapi kesudahannya kelihatan semakin bertambah buruk.
Presiden tidak mampu berbuat apa-apa, timbalan presiden yang bersilih ganti juga tidak dapat mencari cara, apalagilah naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa pusatnya. Mereka hanya mampu menggagaskan cadangan, usulan, akhirnya sistem dalaman, iaitu demokrasi jugalah yang memberi kata putus.
MCA memecat Soi Lek menggunakan instrumen demokrasi, iaitu mesyuarat majlis presiden hasil cadangan lembaga disiplin. Hal ini tidak menyelesaikan masalah, lalu satu lagi instrumen demokrasi, iaitu jawatankuasa pusat digunakan, maka keputusan memecat bertukar menjadi penggantungan.
Ia tidak juga menamatkan krisis, kerana itu satu EGM dipanggil sebagai instrumen demokrasi ketiga. Keputusannya di luar dugaan, Ong Tee Keat sebagai presiden diundi tidak percaya oleh perwakilan, sementara keahlian Soi Lek diberi semula, penggantungannya dibatalkan.
MCA semakin serabut. Undi tidak percaya terhadap Tee Keat tidak cukup dua pertiga, dan kerana kehendak demokrasi MCA memerlukan dua pertiga untuk tujuan itu, Tee Keat bertegas mahu kekal di kerusi Presiden.
Akibat ketegasannya bukan setakat mahu kekal di kerusi itu tetapi mahu memanggil EGM kedua sebagai instrumen demokrasi keempat bagi memberi laluan pemilihan baru secara demokratik, Tee Keat tiba-tiba ditentang oleh komrad-komradnya yang paling setia selama ini, termasuk Timbalan Presiden yang baru dilantik menggantikan Soi Lek, Liow Tiong Lai. Idea EGM kedua mati sekejap di situ.
Tanpa disangka, Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berfungsi mengawalselia kedemokrasian pertubuhan-pertubuhan yang berdaftar di bawahnya mengambil keputusan yang agak memeranjatkan bila mengembalikan jawatan timbalan presiden kepada Soi Lek.
Ini bermaksud perlantikan Tiong Lai sebagai timbalan presiden tidak diiktiraf dan tidak disahkan oleh ROS, terbatal!
Dalam kes MCA, demokrasi benar-benar teruji, mampukah ia disesuaikan dengan setiap keadaan dan setiap masa? Kemelut MCA makin memburuk tanpa ada sedikitpun bayangan pemulihan.
Adakah lagi instrumen demokrasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan MCA yang demokratik itu yang boleh digunakan? Sesetengah pemimpin MCA mencadangkan agar satu referendum dibuat.
Jika ia dilaksanakan, ia adalah instrumen demokrasi kelima yang akan digunakan oleh MCA. Namun melihat akan keadaan semasa MCA, berupayakah referendum ini menyelesaikan masalah? Atau MCA bakal tertolak ke jurang yang lebih dalam?
Perkembangan terbaru semacam mengiyakannya, bila majlis presiden memecat sembilan anggotanya, termasuk pemimpin kanan parti iaitu Ketua Wanita dan Ketua Pemuda. Dan ini menyemarakkan semula gerakan dalaman MCA yang dipimpin oleh Tiong Lai dengan sokongan ketua wanita dan ketua pemudanya untuk meneruskan rancangan EGM kedua, instrumen demokrasi keempat seperti yang saya katakan tadi.
Mereka mengambil jalan demokrasi, tetapi mampukah nanti ia menenangkan gejolak yang sedang membara itu? Sebab saya yakin Tee Keat juga sudah tentu akan melakukan tindak balas.
Demokrasi dalam insiden MCA menjadi sangat buruk, sangat lemah di mata masyarakat. Apakah ia kesalahan sistem, atau kesalahan kita yang mengabdikan diri kepada sistem tersebut?
Untuk jangka pendek, jelas MCA perlu melupakan instrumen demokrasi dan menjemput mediator luar bagi menyelesaikan masalah mereka.
Sementara untuk jangka panjang, mereka perlu belajar, bukan setakat dari krisis ini, tetapi juga dari krisis terdahulu seperti episod Neo – Tan, untuk mencari jalan penambahbaikan kepada sistem demokrasi dalamannya sambil menutup ruang rapuh dah longgar dengan sebanyak mungkin.
Soalnya, apakah penambahbaikan sistem demokrasi dalaman parti itu adalah dengan membuka seluas-luasnya ruang perwakilan seperti yang dibuat Umno dan PKR? Saya jadi kabur dan mengaku rupanya saya masih di kelas tadika dalam sekolah demokrasi.
No comments:
Post a Comment