Wednesday, December 16, 2009

Mazlan Aliman: Mengapa BTN perlu diharamkan

Sebenarnya, pada awal tahun 2006, Dewan Pemuda PAS Pusat pernah menghantar satu memorandum kepada Biro Tatanegara (BTN) bagi menuntut satu pengubahsuaian besar terhadap kandungan kursus-kursus anjuran BTN yang sememangnya dipenuhi dengan propaganda politik dan perkauman sempit.

Elok juga disiarkan kembali memorandum ini sebagai mempertegaskan kembali bahawa PAS, sebagaimana parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat turut membantah penggunaan BTN untuk agenda politik sempit UMNO/BN.

Abdullah Karim
Dewan Pemuda PAS


MEMO Kepada Biro Tatanegara Oleh Dewan Pemuda PAS Pusat


BIRO TATANEGARA : AGEN PROVOKASI DAN PROPAGANDA ?

PENDAHULUAN ( PENDIRIAN DAN PRINSIP )

Secara prinsipnya Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) menyokong pada setiap usaha dan tindakan yang mendorong kepada :-

1. Pemupukkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa.
2. Pemupukkan dan penyemarakkan semangat patriotisme dikalangan rakyat negara ini.
3. Pembinaan masyarakat Melayu yang berdaya maju dan berdaya saing.

Ini adalah prinsip yang jelas dipegang teguh oleh DPPP. Malah kerana kejituan prinsip inilah juga DPPP kerap kali dengan beraninya bangkit secara vokal dan aksi dalam beberapa isu yang melanda negara ini, lebih-lebih lagi pada isu yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan kerajaan. Malah kerana keberanian itulah juga bukan sedikit daripada pimpinan dan ahli DPPP di’rehat’kan samada di penjara mahupun di ‘Resort Kemunting’. Bagi DPPP ianya adalah cerminan kepada perasaan cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa. Ianya juga adalah kemuncak kepada semangat patriotisme, memberi yang terbaik untuk mempertahankan maruah agama, negara dan bangsa. Ini adalah prinsipnya. Bertitik tolak daripada inilah DPPP secara tegasnya menyatakan bahawa kenyataan memorandum ini :

1. Tidak menyentuh atau berbangkit tentang penolakan DPPP kepada usaha bagi memupuk semangat patriotisme dikalangan rakyat.

2. Ianya juga tidak menyentuh atau berbangkit tentang penolakan DPPP kepada usaha bagi menyemarakkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa.

3. Kenyataan memorandum ini juga tidak menyentuh dan berbangkit tentang penolakan DPPP terhadap usaha untuk membangunkan masyarakat Melayu dinegara ini.

Malah secara simboliknya memorandum ini dengan sendirinya adalah cetusan daripada semangat patriotisme DPPP dan ianya juga luahan rasa cinta, kasih dan sayang DPPP kepada agama, negara dan bangsa.

ASAS KEPADA MEMORANDUM

Memorandum ini diasaskan atas laporan dan aduan ‘keterlanjuran terancang’ Biro Tatanegara ( BTN ) dalam penganjuran dan pengendalian kursus, latihan dan kem mereka. Keterlanjuran ini sesuatu yang menyentuh kepada :

1. Modul latihan yang dilihat dengan sengaja membangkitkan persoalan isu perkauman yang melampau dan tidak berasas. Kesannya timbul perasaan curiga dan ketidakpuashatian sesama kaum yang mampu menjadi “time bomb” kepada permasalahan yang lebih serius;ketegangan kaum.

ISU PERKAUMAN DALAM PROSES LATIHAN.

1. Petikan daripada salah satu modul sessi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang digunakan oleh Jurulatih (Fasilitator) Bertauliah BTN dalam satu Bengkel Kepimpinan &Pengurusan Persatuan Belia ( Peserta terdiri daripada pimpinan dan ahli persatuan belia sepenuhnya berbangsa Melayu ) :

Senario yang diberikan

a. Sepasang suami isteri – tinggal disebuah kampung – suatu petang bersiar-siar dipantai, jumpa orang tua – pinjam sampan – pergi ketengah laut – leka – sampan pecah dipukul ribut – Uda terdampar di pulau lain – Dara di pulau lain – sedih – Juragan Cina ( Ah Chong ) datang naik tongkang – simpati pada Dara – minta ganjaran iaitu menyerah kehormatan – cari Uda – jumpa – marah pada Dara – tolak Dara – kena batu – Ah Chong dan Uda bertengkar. Datang Muthu, bunuh kedua-duanya sekali.

Di dalam ulasan antara falsafah yang disampaikan oleh fasilitator ialah :

a. Terdapat watak manusia ( merujuk kepada watak Ah Chong ) yang pentingkan diri sendiri. Pertolongan yang diberi tidak ikhlas. Terdapat udang disebalik batu, lintah darat, mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain.

2. Di dalam satu sessi ceramah motivasi pada program Motivasi Kepimpinan ( melibatkan peserta pimpinan dan ahli persatuan belia ) penceramah yang merupakan Jurulatih ( Fasilitator ) Bertauliah BTN membangkitkan tentang bahawa satu hari nanti jika orang Melayu tidak bersatu ( pastinya merujuk kepada bersatu di dalam UMNO ) mereka akan diinjak oleh C_ _ _ .

3. Dalam satu program anjuran BTN diatas nama Kursus Kenegaraan yang diadakan disebuah kem BTN, khusus untuk pekerja sebuah agensi kerajaan ( kursus wajib dibawah Sistem Saraan Malaysia ) jurulatih atau fasilitator dalam satu sessi LDK mengaitkan orang-orang C_ _ _ sebagai komunis.

Jelas sekali di dalam contoh-contoh di atas satu gambaran buruk diberikan kepada suatu kaum. Gambaran buruk sebegini adalah sesuatu yang keterlaluan dan mampu mencetuskan permasalahan yang lebih serius dimasa hadapan.

JANGAN BERMAIN API !
Bagi DPPP ianya merupakan sesuatu yang amat dikesali, BTN sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberikan peranan dan tanggungjawab yang begitu luas bagi menjalankan aktiviti dan program ke arah membentuk masyarakat yang berjiwa patriot, serta terpupuk rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa tetapi pada hakikatnya melihat perspektif patriotisme itu dari sudut yang amat sempit dan bias. Lebih menyedihkan BTN kini dilihat oleh sebahagian rakyat negara ini sebagai kelompok cauvinis Melayu yang diperkudakan oleh UMNO sebagai agen provokasi dan propaganda.

Tegas DPPP jangan bermain api ! Persoalan hubungan kaum adalah isu sensitif yang perlu ditangani secara matang dan berhati-hati. Persoalan hubungan kaum ini bersangkut secara terus kepada perpaduan dan keharmonian negara ini, maka adalah suatu tidakan yang tidak wajar sama sekali, di dalam apa cara sekali pun ianya dijadikan hujah retorik oleh mana-mana individu mahupun kumpulan, lebih-lebih lagi agensi di bawah kerajaan. Malah ianya menjadi satu polisi yang amat tegas diamalkan oleh kerajaan.

Persoalannya mengapa di dalam hal ini BTN dilihat begitu berani untuk menggunakan logik lucah dan dangkal ini dalam modul latihan mereka. Jelas sekali sudah sampai masanya BTN itu sendiri disemak dan dinilai semula kerelevanan fungsi dan peranannya. Untuk itu DPPP menggariskan perkara-perkara dibawah sebagai desakan yang perlu kepada tindakan segera :-

1. Penyemakan semula modul latihan BTN perlu dilakukan. Modul BTN perlu dibersihkan sepenuhnya daripada:

o Unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti perkauman
o Unsur-unsur propaganda UMNO.
o Penekanan modul latihan perlu menekankan kepada melahirkan individu yang mampu untuk membuat penilaian sendiri, tegas dalam pendirian, teguh semagat patriotisme dan mantap peribadinya.

2. Fungsi dan peranan BTN perlu dihadkan. Penghadan fungsi dan peranan BTN bertujuan untuk memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan fungsi dan peranan mereka. Di dalam situasi seperti yang ada ketika ini BTN dilihat begitu mudah diperalatkan sebagai alat politik dan agenda peribadi pihak tertentu.

3. Program wajib BTN untuk golongan mahasiswa perlu dimansuhkan kerana ianya tidak lagi relevan lagi dengan wujudnya Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ). Ianya juga sesuai dengan status universiti sebagai sebuah autonomi yang membentuk generasi intelektual.

4. Kaedah pemilihan, latihan dan pentauliahan jurulatih-jurulatih ( fasilitator ) BTN perlu di dedahkan dan dilakukan secara telus. Kepincangan BTN kini dilihat banyak berpunca daripada sistem pentauliahan jurulatih ( fasilitator ). Jurulatih tauliahan BTN dilihat bebas menggunakan modul latihan tanpa pemantauan, ini secara tidak langsung dilihat mendedahkan BTN untuk dijadikan alat untuk kepentingan UMNO.

Kedudukan BTN dibawah Jabatan Perdana Menteri dengan fungsi yang begitu luas, menjadikan BTN sebuah agensi yang penting. Penglibatan BTN dalam proses penilaian penjawat awam ( Kursus Kenegaraan ), mahasiswa ( Kursus Bina Negara Mahasiswa ), remaja ( Kursus Bina Sahsiah Remaja ) dan banyak lagi menjadikan ia sebuah agensi yang mudah terdedah kepada salah laku amalan. Bagi mengekang semua ini samada yang telah, sedang atau pun akan berlaku suatu tindakan konkrit dan tegas perlu dilakukan. DPPP mendesak sebelum keterlanjuran yang telah berlaku menjadi parah dan mengundang sesuatu yang buruk kepada rakyat dan negara maka proses penilaian semula terhadap fungsi dan peranan BTN perlu disegerakan. Sekiranya jelas kewujudan BTN ini lebih kepada menjadi perkakas politik dan agenda individu maka tindakan terbaik yang perlu dilakukan kerajaan ialah dengan sama sekali memansuhkannya.

Mazlan bin Aliman
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments: