"Kumpulan 16" yang diketuai naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sepatutnya sedar tentang kedudukannya melawan kehendak presiden dan ahli jawatankuasa pusat yang menyebabkan sembilan anggotanya disingkir dari majlis presiden termasuk ketua pemuda dan ketua wanita.
Tindakan itu disifatkan kurang demokratik dan agak keterlaluan. Namun, presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat bersama 23 ahli jawatankuasa pusat mempertahan tindakan dengan alasan kumpulan itu masih berkeras merancang untuk meneruskan EGM kedua dan menolak pelan perpaduan anjuran presiden dan timbalannya.
Dari sudut logik, Liow dan kumpulannya seharusnya menerima pelan perpaduan yang dicadangkan presiden dan timbalannya untuk mententeramkan krisis yang sudah lama berlanjutan dan mengembeling semula ahli yang sudah mula berpecah dan keliru.
23 ahli jawatankuasa pusat bersetuju dengan tindakan presiden mengikut Artikel 46 perlembagaan untuk melucutkan semua ahli kumpulan Liow daripada Majlis Presiden dengan anggapan mereka tidak serius mencari jalan penyelesaian untuk menamatkan kemelut dalaman parti secara muktamad.
Dan terkini – untuk menyelematkan diri mereka – kumpulan 16 itu bertindak bijak bersedia menemui Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mendapat nasihat serta kononnya mencari jalan penyelesian.
Tindakan mereka dianggap sudah terlambat kerana agenda mereka sudah terbongkar dan telah "dipancung" oleh Ong dan 23 ahli jawatankuasa pusat. Mereka sekarang tiada pilihan lain melainkan mengadu kepada Najib untuk menyelamatkan nasib mereka.
Soalnya, mengapakah kumpulan 16 tidak merestui pelan perpaduan anjuran presiden dan timbalannya yang jelas bertujuan menyelamatkan parti dan mengajak ahli bersatu padu semula?
Kenapa kumpulan ini berkeras mahu mengadakan juga EGM kedua pada 28 November ini sedangkan 70 peratus ahli perwakilan membantah dan dua pertiga ahli jawatankuasa pusat sudah mengambil keputusan menolak EGM itu?
Apakah yang dikehendakki Liow dan kumpulannya sedangkan kuasa penentu masih berada di tangan presiden dan ahli jawatankuasa pusat yang ketara tidak memihak kumpulan mereka?
Kumpulan ini masih mendesak mahu terus mengadakan EGM kedua walaupun tidak mendapat restu parti sekaligus menunjukkan kumpulan itu bakal dipulaukan oleh presiden dan majoriti ahli perwakilan serta kepimpinan tertinggi MCA walaupun mereka sudah berjumpa dan mendapat nasihat Najib.
Najib sudah memberi nasihat dan mendengar cerita pihak mereka, tetapi sukar bagi beliau memihak kepada mereka kerana majoriti ahli sudah menunjukan pendirian menyebelah presiden dan timbalannya berdasarkan perkembangan terbaharu parti.
Cita-cita Liow dan kawan-kawannya berkeras mendesak diadakan pemilihan baharu parti pada hujung tahun juga sukar menjadi kenyataan kerana ternyata majoriti ahli sudah dapat membaca motif beliau.
Dengan perkembangan ini, hasrat beliau untuk mendapatkan semula jawatan timbalan presiden yang "dihadiahkan" kepada beliau oleh ahli jawatankuasa pusat tempoh hari juga mungkin berkubur.
Ini kerana ahli sudah dapat menghidu niat peribadi dan agenda beliau mahu mengejar jawatan kedua tertinggi dalam parti melebihi kemahuan beliau menamatkan kemelut parti.
Nasib Liow mungkin boleh menjadi buruk dan hilang segala-galanya seperti kata peribahasa; "Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran," jika majoriti ahli jawatankuasa pusat tidak dapat menerima kehadiran semula beliau.
Yang menang dan selamat adalah Dr Chua Soi Lek, timbalan presiden yang mendapat kepercayaan semula Ong dan mendapat jawatan pengerusi MCA Johor yang pernah disandang.
Walaupun tindakan presiden parti boleh dipersoal kerana mencantas sembilan ahli jawatankusa pusat daripada kumpulan 16 itu dan sudah dianggap zalim dan tidak demokratik, realitinya presiden memang ada kuasa mutlak berbuat demikian - apalagi mendapat sokongan majoriti ahli jawatankuasa itu– kerana kedegilan kumpulan itu mahu mengadakan EGM kedua dan enggan mematuhi pelan perdamaian parti.
Najib sudah memberi foemula pelan perdamaian kepada pemimpin terlibat dalam usaha untuk mencari jalan penyelesain segera krisis parti kedua terbesar BN itu.
Perkembangan terbaharu MCA semakin serius dan parah apabila setiausaha politik Ong meletak jawatan kerana dikatakan tidak puashati dengan tindakan presiden memecat sembilan ahli majlis presiden dari kumpulan Liow.
MCA patut segera menyelesaikan kemelut dalamannya bagi menarik semula sokongan pengundi kaum Cina. Jika krisis tidak dapat diredakan segera dan formula Najib ditolak, nasib MCA bakal menjadi seperti MIC di mana masyarakaat Cina hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan parti.
Jika ini berlaku, BN mungkin menghadapi kemorosotan undi yang ketara kaum bukan Melayu yang boleh menjejas teruk peluang mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Sebenarnya tidak mudah bagi Najib meneteramkan kedua belah pihak yang bertelagah. Kumpulan presiden boleh disifatkan agak selamat kerana mereka tidak menangguh isu dan tidak memanjangkan krisis.
Mereka sudah memulakan idea pelan perpaduan untuk menamatkan krisis yang sepatutnya dipersetujui oleh semua ahli termasuk kumpulan 16 itu.
Yang bermasalah ialah Liow dan kumpulan 16 yang terpaksa menunggu formula perdamaian Najib dapat diterima oleh kumpulan presiden atau sebaliknya.
Nasib dan kedudukan mereka dalam parti belum tentu selamat kerana terpaksa menghadap presiden parti dan majoriti ahli jawatankuasa pusat yang sudah terluka dengan tindak-tanduk mereka.
Adakah mereka boleh diterima semula dan semua jawatan yang dilucut dipulang kembali kepada mereka, adalah persoalan yang boleh terjawab dalam pelan perdamaian Najib yang mereka harus fikir dan teliti sedalam-dalamnya sebelum dikembalikan semula kepada Najib.
No comments:
Post a Comment