Saturday, December 19, 2009

Abdul Aziz Ismail: Had retorik dan isu politik

Mencipta isu menjadi senjata penting parti politik menambat hati rakyat dan pengundi supaya sentiasa sedar tentang kehadirannya dan kewujudan pemimpinnya. Dari masa ke semasa isu baru perlu dicipta atau membaharui isu lama yang boleh mendorong sensitiviti rakyat supaya sedar tentang keaktifan parti itu yang sentiasa tidak kering dengan idea menghidupkan minda rakyat.

Tanpa mencipta isu – apalagi yang panas dan sensasi – pemimpin sesebuah parti itu dianggap tidak bijak berpolitik dan secara perlahan-perlahan boleh dilupakan kehadirannya kecuali parti lawannya juga menunjukkan prestasi yang sama.

Tetapi jika pihak lawan sudah jauh ke hadapan dengan segala agenda pembangunan dan slogan kemajuan yang menyuntik kesedaran rakyat khususnya golongan bawahan, kehadiran parti itu boleh "disenyapkan" dan mungkin dilupakan begitu saja.

Maka itu parti patut segera bangkit mengatur startegi mencari isu baru yang berkualiti bagi menangkis dan mematahkan perancangan parti lawannya. Atau pemimpin parti itu mencipta isu-isu baru yang boleh menyakinkan rakyat dengan perancangan yang teratur.

Jika ini dapat dibuat, parti itu kelihatan hidup dan sentiasa dalam ingatan rakyat. Namun, isu yang dibangkit harus dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan bukan semata-mata retorik politik yang sedap didengar tetapi gagal direalisasikan.

Isu yang diutarakan harus relevan dan menyakinkan kerana rakyat boleh menilai sendiri sesuatu isu itu benar-benar memberi faedah kepada mereka atau sebaliknya.

Isu yang diketengahkan harus mengarah kepada keuntungan rakyat terbanyak secara keseluruhan dan bukan gimik politik atau cakap-cakap kosong yang semata-mata dibuat bagi menyedapkan hati mereka.

Isu yang dibangkit juga harus boleh mengubah persepi hidup rakyat kepada kehidupan yang lebih nyata dan realistik bersandarkan perancangan fakta yang boleh direalisasi dan bukan janji-janji manis yang tidak boleh dicapai.

Rakyat tidak boleh dikelirukan dengan isu yang kononnya bagus, panas dan membangkitkan semangat mereka tetapi mempunyai agenda tersembunyi yang menguntungkan pemimpin tertentu saja serta segelintir penyokong yang setia.

Rakyat tidak boleh disogokkan dengan isu-isu yang popular dan menyerang peribadi tertentu untuk menangkap minda rakyat. Ia harus mendedah situasi sebenar dan fakta kejadian yang betul supaya rakyat mendapat gambaran tepat dan rasa tidak tertipu tentang sesuatu isu itu untuk dinilai dan dikaji secara objektif.

Seringkali isu yang didedah tidak melebar kepada kepentingan rakyat terbanyak seperti yang diharapkan kerana pemimpin itu menggunakan isu untuk perluasan pengaruh dan cengkamannya kepada parti akibat dari merosotnya populariti serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Ada juga pemimpin yang sengaja mencipta isu untuk menutup kelemahan diri akibat daripada kemasyhuran pemimpin pihak lawan yang semakin mendapat perhatian rakyat.

Isu sepatutnya dicipta demi kebaikan rakyat dan untuk rakyat yang sudah memberi undi kepercayaan kepada parti yang menang dalam pilhan raya lalu.

Rakyat mahu melihat hasil dan perkotaan kata dan janji yang sudah ditabur dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dan mahukan perlaksanaannya. Pemimpin yang menang tidak boleh menyalahkan parti lawan tanpa melihat ke dalam diri tentang kelemahan dan sumbangan mereka kepada rakyat secara objektif.

Permainan isu yang bukan benar dan sengaja diada-adakan tanpa asas kukuh boleh mengelirukan dan merosakkan fikiran rakyat. Walapun pada mulanya ia mungkin boleh diterima, tetapi lambat laun ia menjadi bahan ejekan dan sindiran yang memakan diri dan parti sendiri.

Ketika ini kebanyakan rakyat semakin bijak dan melihat situasi yang berlaku di depan mata dengan fikiran terbuka dan kritis.

Retorik politik ada had dan waktunya. Pada awalnya ianya memang menyeronokkan dan sedap didengar. Tetapi apabila waktu berlalu dan kesedaran rakyat wujud, cakap-cakap politik yang tidak bermakna menjadi cemuhan rakyat yang boleh menjejas kredibiliti pemimpin serta peluang parti itu dalam pilihan raya akan datang

No comments: