Thursday, July 29, 2010

Ahmad Lutfi Othman : Najib yang tersepit

Mulanya saya mahu tinggalkan sekejap isu sekitar karenah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak habis-habis itu, juga hal permit penerbitan Suara Keadilan dan Roket yang belum diperbaharui, serta halatuju dan program KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) bagi melobi dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Ya ... banyak lagi isu di luar sana yang wajar disinggung waktu ini, misalnya kembang-kempis perpaduan PAS-Umno, kes saman ekor yang mengundang amarah rakyat atau sensasi pengguguran Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Abdul Latif dari pasukan pendakwaan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ramai beranggapan polemik kebebasan akhbar tidak menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat yang makin terhimpit dan tersepit sekarang; ia hanya menarik minat pengamal media bebas, manakala kalangan wartawan media propemerintah pun seperti buat tak kisah saja.

Senario politik baru

Malah khabarnya ada segelintir aktivis media baru (laman web, blog dan seumpamanya) menganggap ia bukan isu mendesak kerana, bagi mereka, akhbar bercetak sudah ketinggalan zaman dan makin susut pengaruh dan tandus kredibilitinya.

Justeru, imiginasi rakyat dikatakan sukar "menangkap" isu berkenaan, apatah lagi untuk menggembleng kekuatan bagi menentangnya, sepertimana berjaya diusahakan melalui demonstrasi besar-besaran dalam isu tuntutan pilihan raya Bersih, mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Saya tidaklah sampai ke peringkat untuk merendah-rendahkan keupayaan rakyat Malaysia menanggapi isu-isu kritikal, apatah lagi senario "politik baru" semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bermula daripada pilihan raya 1999 lagi, dan begitu mengakar kukuh dalam pilihan raya ke-12 dua tahun lalu.

Persoalan yang dahulunya nampak abstrak dan dilihat tidak kurang menarik minat pengundi Melayu, seperti isu kebebasan kehakiman, hak asasi, kepentingan golongan minoriti, sudah mula difahami dengan baik. Teriakan reformasi 1998 memulakan babak baru itu.

Darjah keaktifan penyertaan rakyat terhadap isu-isu sosio-politik semakin tinggi, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, selain parti-parti siasah. Meskipun pengaruh pembangkang merosot teruk dalam pilihan raya 2004, namun kesedaran yang bercambah dengan pantas itu sukar disekat lagi.

Tekanan Najib dan implikasi terhadap pilihan raya

Proses pendemokrasian atau peluasan ruang sivil tumbuh selaras dengan pertumbuhan pesat kelas menengah, kemajuan ICT dan terobosan globalisasi, peningkatan urbanisasi serta penghayatan hidup beragama.

Apa pun, saya tetap melihat bahawa tekanan menyeluruh dan terancang oleh pemerintahan Dato' Seri Najib Razak terhadap tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) mampu mengundang implikasi politik yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Benar, Harakah sudah diperbaharui permitnya - setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran - tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat "karut-marut" dan "ugutan" terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Mempersudutkan Harakah sekadar untuk "ahli-ahli PAS" serta hanya boleh dijual "di pejabat urusan dan markas parti sahaja", dan amaran KDN akan mengambil tindakan keras jika melanggar pantang-larang itu mengggambarkan terdapat fenomena "counter democratization" di Malaysia.

Parti perlu berinteraksi bebas dengan pengundi

Setiap perdana menteri yang baru menaiki singgahsana takhta mempamerkan dengan bangga gimik melonggarkan sekatan terdahulu, tetapi tanpa perlu menunggu lama, belangnya menyerlah apabila menyerkup kembali sisa-sisa kebebasan dengan peraturan lebih ketat. Senario pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib adalah contoh nyata.

Bukankah PAS, juga KeADILan dan DAP, merupakan parti politik yang dijamin bebas bergerak memperluaskan pengaruh di kalangan rakyat, dan kemudiannya dibenarkan bertanding dalam pilihan raya (yang sepatutnya bersih, bebas dan adil), bagi memilih kerajaan baru dan "menjatuhkan" regim terdahulu?

Agar rakyat dapat membuat pilihan yang tepat, setiap parti mesti boleh berinteraksi sebebasnya dengan pengundi, bagi menjelaskan manifesto, sikap dan pendirian terhadap apa jua isu dan dasar-dasar yang ingin dibentuk. Saluran perhubungan itu, terutama media, tidak boleh diganggu dengan seribu satu peraturan "karut-marut" yang bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.

Memperkecilkan semua lidah rasmi parti Pakatan Rakyat sebagai "sebuah akhbar yang berkonsepkan surat berita parti yang berperanan memaklumkan kepada ahli-ahlinya mengenai maklumat aktiviti parti" - seperti peraturan baru yang dipaksakan KDN - juga merupakan satu lagi syarat yang menodai amalan kebebasan bersuara, selain menonjolkan rasa takut pemerintah terhadap potensi saingan politiknya.

Keadaan ini lebih buruk daripada situasi "padang permainan tidak sama rata" apabila realitinya seolah-olah Umno-BN langsung tidak membenarkan "pemain lain" masuk ke padang!

Pakatan Rakyat ke Putrajaya

Najib cukup menyedari bahawa tugasnya untuk melangsungkan survival kuasa Umno-BN cukup perit, malah seperti bakal menemui "jalan mati". Pilihan raya umum ke-13 memang genting buat kedua-dua, BN dan Pakatan. Inilah peluang terbaik rakyat memilih kerajaan alternatif.

Selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan di Parlimen dan penguasaan ke atas lima negeri (antara yang termaju di negara ini), target seterusnya Pakatan hanya satu: Berpindah ke Putrajaya! Dan ini merupakan matlamat yang rasional dan mudah diterima akal, tidak seperti impian pembangkang sebelum ini yang pernah dipersendakan sebagai "menunggu kucing bertanduk".

Kita lihat pelbagai kaedah dilakukan, dengan peruntukan dana awam yang cukup besar (mewabakkan lagi amalan rasuah dalam kerajaan), untuk menjinakkan hati rakyat kembali bersama pemerintah, namun setakat ini "teori pendulum" tidak nampak akan berulang.

Memang diakui bahawa setiap pilihan raya pertama yang diterajui perdana menteri baru (seperti Tun Abdul Razak, dalam 1974; Dr Mahathir, 1982; Abdullah, 2004) menunjukkan prestasi membanggakan BN, tetapi saya yakin fenomena "politik baru" telah menamatkan tradisi itu. Najib tidak berpeluang untuk menikmatinya.

Walaupun ada pihak menyanggah pendapat bahawa majoriti pengundi Melayu masih bersama Umno - merujuk pilihan raya April 2008 - saya lebih suka agar pandangan itu diterima dahulu agar mudah membentuk strategi menawan kelompok terbesar ini.


Pelampau Melayu yang tidak realistik

Najib tentu mengakui bahawa harapannya lebih tertumpah kepada pengundi Melayu sepertimana pengundi Cina menjadi penyelamat kepada Dr Mahathir pada 1999. Trend masyarakat Cina yang bangkit sederap memprotes melalui kertas undi dalam pilihan raya lalu dijangka berterusan. Difahamkan mereka selesa dengan kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan begitu terkilan dengan tindakan "merampas kuasa" di Perak.

Kewujudan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali, dan sokongan terbuka akhbar Melayu yang dikawal mutlak Umno kepadanya, seperti Utusan Malaysia, makin memburukkan suasana. Faktor Dr Mahathir yang menyusahkan Abdullah dahulu turut tidak membantu.

Walaupun Dr Mahathir pernah dikagumi pengundi Cina, terutama dalam pendekatan ekonominya,bagaimanapun selepas bersara dan kini dilihat agak dekat dengan Najib, imejnya begitu mengelirukan; ada kalanya beliau seakan-akan "pelampau Melayu" yang tidak realistik, mungkin mahu mengulangi era penentangannya terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman khususnya pasca tragedi 13 Mei 1969.

Rakyat, termasuk orang Melayu, semakin bijak menilai. Membakar sentimen perkauman tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan, sebaliknya boleh mengundang padah buat semua.


Propaganda Media

Selama mana kita mahu dipermainkan oleh elit penguasa seolah-olah kita mesti merebut-merampas hak bangsa lain untuk hidup lebih sempurna? Miskin sangatkah Malaysia sehingga sesuatu bangsa seolah-olah hanya boleh survive dengan menindas kaum lain? Walhal, berdasarkan skandal kewangan negara yang hangus puluhan bilion, negara kita cukup kaya bukan saja untuk menampung kepelbagaian warganya, malah meliputi pendatang luar.

Najib tidak jemu-jemu cuba mencuri sokongan masyarakat bukan Melayu, antaranya, melalui konsep 1-Malaysia dan beberapa langkah "liberalisasi", tetapi beberapa pilihan raya kecil menunjukkan pengundi Cina tidak mudah diumpan.

Dalam masa sama, hanya mengharapkan orang Melayu terus menjadi penyelamat bahtera BN adalah risiko cukup tinggi. Usah perkecilkan kematangan berpolitik mereka walaupun tiada perubahan jelas di Hulu Selangor dan Bagan Pinang.

Propaganda media yang mendakwa nasib orang Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, mungkin boleh menyentuh emosi kemelayuan, tetapi apabila tersingkap realiti, ia boleh menelanjangkan pembohongan tadi dan memberikan kesan lebih buruk buat Umno. Rekod parti itu menerajui kerajaan sejak merdeka adalah catatan sejarah yang membuktikan orang Melayu tetap ketinggalan sedangkan pemimpin Umno merangkul pelbagai keistimewaan.

Mungkin situasi awal lebih memihak Umno tetapi dengan usaha berterusan PAS mendekati rakyat, serta berupaya menjelaskan perkara sebenar terhadap kemusykilan yang sengaja diada-adakan, selain imejnya yang cukup positif sebagai penerajui kerajaan Kedah (dan Kelantan selama lebih 20 tahun), posisi Umno sebagai parti utama orang Melayu boleh menggelongsor.

Yang penting informasi, sebagai kuasa sakti alaf ini, dan cara ia diolah, harus langsung tanpa sensor kepada masyarakat Melayu. Orang Melayu yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi diharap tidak mudah lagi menelan fitnah media tradisional yang dikatakan semakin mendekati tarikh luputnya itu.

Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP lebih ampuh

Mungkin Najib percaya majoriti orang Melayu masih terpengaruh dengan media yang dikawal mutlak pihaknya, seperti televisyen dan akhbar, sedangkan internet tetap terbatas di bandar. Justeru, akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan, harus disekat atau paling tidak jualannya dipastikan "tidak membahayakan".

Dengan lingkungan mencengkam itu, sudah tentu Najib tidak bersedia mempertaruhkan kedudukan dan maruahnya, hanya demi mempamerkan imej terbuka dan sederhana.

Dr Mahathir yang merasakan bakal terjunam dengan pengaruh hebat Anwar pada 1998 ternyata tidak sanggup menunggu nasib buruk yang menimpa rakannya, Suharto di Jakarta, lalu merencanakan konspirasi menjatuhkan timbalannya. Begitulah juga Najib. Asakan Pakatan cukup berbisa. Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP, yang lebih ampuh berbanding Barisan Alternatif dahulu, mesti dipecahkan.

Orang yang terdesak, seperti Najib, dan parti yang biasa mewah-selesa dengan nikmat kuasa seperti Umno-BN, akan melakukan apa saja untuk mempertahankan takhta. Jangan hanya sekadar menunggu tindakan luar biasa tidak terduga mereka untuk melakukan serangan balas.

No comments: