Pas akan kekal di persada politik negara seandainya Islam terus menjadi nadi perjuangan. Asas penubuhan Pas adalah Islam dan sesekali tidak akan meninggalkannya. Cita-cita untuk menegak daulah Islamiyyah kekal menjadi tulang belakangnya, tanpa sedikit pun menafikan hak mereka yang bukan Islam.
firman Allah:
“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir”
(Surah al-Maidah, ayat 44)
dan,
“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.”
(Surah al-Kafirun, ayat 6)
Apa yang kita lihat pada hari ini adalah polemik dan percambahan pemikiran kalangan pelbagai lapisan kepimpinan dan ahli dipelbagai peringkat. Polemik itu terus berkembang sesuai dengan arus modenisasi teknologi semasa. Internet, telefon bimbit, dan pelbagai gajet baru digunapakai bagi menyampaikan maksud dakwah itu.
Adakalanya pimpinan hadir dengan beberapa idea yang baru dan luar biasa hasil dari perbincangan dengan rakan-rakan di dalam dan luar negara. Tak dinafikan juga ada kalangan pimpinan yang modal bicaranya tidak melangkaui apa yang diharapkan ahli yang kini sudah semakin advance.
Walaubagaimana pun, methodologi yang diguna pakai boleh dijadikan alat terbaik bagi memudahkan pencerahan akal agar setiap apa yang ingin disampaikan difahami semua pihak. Perbezaan pendapat itu tetap akan wujud hingga kiamat dan tiada siapa yang mampu menghalangnya.
Oleh itu, sebagai pimpinan dan ahli kita perlu sedar hakikat ini dan setiap masalah hendaklah dirujuk kepada Al-Quran, Hadis, ijmak dan Qias. Jalan musyawarah diguna pakai bagi membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam.
Apa jua hasilnya semua pihak perlulah berlapang dada dan segala tindakkan wajar dilaksanakan secara berhemah.
Untuk ahli pula, keputusan pimpinan haruslah dihormati dan diikuti selagi mana ia tidak membuang perjuangan Islam sebagai asas perjuangan.
Janganlah kerana kita taksub pada fahaman politik, kita lupakan akal tarbiyyah yang telah lama terdidik dalam diri. Kita harus belajar memposisikan diri pada kedudukan yang terbaik untuk masa depan Islam. Adakalanya kita juga perlu belajar untuk bertolak ansur dan tidak terlalu terikat dengan faktor sejarah untuk menghukumi sesuatu.
Rasulullah juga mengajar kita untuk menghomati kawan dan lawan. Begitu juga dengan panglima-panglima perang Islam. Angkat bendera putih untuk berbincang bukan bermakna kita sudah kalah atau menjual harga diri. Adakalanya peperangan boleh diselesaikan dimeja rundingan.
Cuma, kita kena ikut sunnah. Jangan terima syarat perundingan kalau kita lihat ada kerugian di situ. Tapi kalau ia memanfaatkan Islam dan majoriti rakyat, ianya diharuskan.
Perjuangan ini bukan untuk hal dunia sahaja kerana akhirat kelak kita akan diminta bertanggungjawab di atasnya. Cukuplah, jika Allah sahaja yang kita sembah. Jangan sembah manusia kerana inginkan kemewahan dunia ataupun pangkat bertingkat-tingkat.
Firman Allah:
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah.. Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.
(Surah al-An‘am: 161-164).
Perjuangan ini akan tetap diganjari walaupun kita kalah ribuan kali di dunia ini. Yang penting mesej dan dasar Islam kita kekal menjadi panji. Methodologi itu hanyalah kiasan perjuangan. Biarkan takdir Allah yang tentukan, jangan kita pula mendahului takdir itu untuk mendera pimpinan mengikut telunjuk kita secara tergopoh-gapah.
InsyaAllah, ahli yang taat, pimpinan yang ikhlas akan membuahkan hasil yang mendamaikan. Sesungguhnya setiap masalah itu akan mematangkan kita, setiap perdebatan itu akan melahirkan banyak idea dan percanggahan fikiran itu akan membina Jamaah. Walau apa jua keputusannya tetap akan berlaku pihak yang setuju dan tidak setuju, tetapi bagi Allah hanya ada dua kumpulan. Satu yang diredhai dan satu lagi tidak diredhainya. Jadi kekallah niat perjuangan kita ini bersama Islam.
Rujukan:
http://syukran.wordpress.com/2008/07/30/pas-akan-terus-kekal-selagi-islam-menjadi-dasar-perjuangan/
Saturday, July 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment