Thursday, July 29, 2010

Jakim disaran perkenal logo haram

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memperkenalkan logo haram di samping mesti berani untuk mengisytiharkan produk-produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, pihak berwajib itu wajar berbuat demikian setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal.

“Saya mengira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo haram untuk menjauhkan masyarakat umat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Ini, katanya kerana kini lambakan barangan atau produk haram bagi umat Islam kian bertambah malah semakin membimbangkan umat Islam dan lebih malang terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

Fenomena itu, tambahnya mencetus kekeliruan dan memerangkap umat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab.

Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti memperkenalkan logo haram, ujarnya.

“Sebelum ini, telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka, justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal, sementara pihak Jakim tidak mempunyai skuad yang mencukupi untuk membuat pemantauan yang serius,” katanya lagi.

DPPP, ujarnya menjangkakan andainya Jakim mengisytiharkan produk-produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut, peluang untuk lambakan barangan haram di pasaran akan menjadi lebih kecil.

Dengan cara itu, katanya pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo haram jika mereka benar-benar mahu mencari produk halal di pasaran.

Ini kerana, ujarnya sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod-kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk haram yang diimport dari Israel.

Justeru, katanya kod-kod barangan yang mengandungi bahan-bahan haram hendaklah diganti dengan logo haram.

“Jika logo haram dapat dikuatkuasa, maka mudahlah bagi Jakim yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau, justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, risiko pemalsuan logo haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal, lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna.

Kaedah Islam, jelasnya asal sesuatu perkara (produk) ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram.

“Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal. Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu logo haram bukan logo halal,” katanya.

No comments: