Persoalan haramkah atau perlukah diperbetulkan ESQ berbangkit setelah pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh mewartakan hujahnya dalam bentuk fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursus ESQ bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurut fatwa tersebut, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam. Fatwa tersebut telah menguraikannya kepada 10 ajaran yang difatwakan menyeleweng, antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu, menekankan suara hati sama dengan Hindu, mengutamakan logik, mengingkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran, menyamakan bacaan 17 kali surah al-Fatihah dengan amalan Bushido menurut agama Buddha, mengiaskan mukjizat Nabi Musa dengan apa yang berlaku kepada seorang juruterbang, dan mentafsirkan kalimah syahadah sebagai “triple one” sama dengan konsep trinity dalam ajaran Kristian.
Kepada umat Islam seluruhnya, hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu sudah menjadi satu fatwa bila ia diwartakan pada 17 Jun 2010. Meskipun pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sudah menghadkan pemakaian fatwa itu untuk Wilayah Persekutuan sahaja (Utusan Malaysia, 9 Julai 2010), namun ia dilihat sebagai kenyataan yang terkeluar daripada konteks amalan keIslaman. Penting dilihat ialah pihak mufti sudah memfatwakan dengan mengemukakan hujah lalu menghukum ESQ haram kerana ada beberapa perkara amalan di dalam ESQ bercanggah dengan Islam.
Sementara ada pihak lain yang belum boleh menerima fatwa tersebut, malah terus menghalalkan ESQ itu dengan pelbagai alasan yang bukan hujah memfatwa. Termasuklah menyandarkan hasil muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan berhujah yang tidak mengharamkan. Walau bagaimanapun, majlis itu belum mengeluarkan lagi sebarang fatwa mengenai ESQ itu.
Hujah lawan hujah
Maka di sana masing-masing sudah ada hujah. Justeru jika mahu menolak hujah Mufti Wilayah Persekutan itu, perlulah pihak yang hendak menolak itu menjawab atau memperbetulkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu. Langkah berlaku adil terhadap fatwa mufti itu amat baik. Dalam kaedah muzakarah pun, apabila berhujah perlu dijawab dengan hujah dan hujah mana yang boleh disepakati menepati ajaran Islam, maka hujah itu diterima sebagai benar.
Dalam kes ESQ, pihak Mufti Wilayah Persekutuan sudah membutirkan 10 hujah yang mempamerkan ESQ bercanggah dengan Islam dan jika ingin menafikan hujah itu, perlulah dijawabkan kesemua 10 hujah tersebut dengan hujah Islam yang lebih sahih dan menepati hukum. Mana yang dinilai bercanggah dan tidak benar tentang ESQ hendaklah diperbetulkan agar selari dengan Islam.
Fatwa mufti mendahului
Malangnya, sehingga kini pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) belum bersidang untuk memutuskan fatwa mengenai ESQ. Jawatankuasa itu hanya baru bermuzakarah sahaja. Sedangkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah mendahuluinya. Kenapa lambat sangat? Mungkin belum cukup kajian dibuat. Sedangkan sebelum ini Panel Kajian Aqidah Jawatankuasa Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan telah melakukan kajian (antara Ogos 2008 hindaa Februari 2009) dan menyimpulkan ada modul ESQ yang bercanggah dari segi akidah dan syariah. Namun, perkara itu tidak disusuli dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa MKI. Dalam hal ini, nampaknya Mufti Wilayah Persekutuan lebih prihatin dan bersistem dalam menjalankan tugas sehingga mendahului Jawatankuasa Fatwa MKI. Demikianlah mufti itu melaksanakan prinsip tugas didahulukan dan fatwa diutamakan.
Fatwakan di peringkat kebangsaan
Dalam menyelesaikan kekeliruan atau kekaburan serta percanggahan tentang penerimaan kursus motivasi ESQ ini, sebaiknya muzakarah dapat diadakan sekali lagi. Muzakarah itu penting bagi memahami realiti kursus ESQ sebelum difatwakan di peringkat kebangsaan. Setidak-tidaknya dapat memandu masyarakat yang berminat dengan ESQ memahami isu agama sebenar yang tersirat di sebalik kursus yang diikuti nanti. Paling utama, kandungan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat dijadikan bahan untuk dimuzakarahkan. Berpandukan hujah mufti itu sebagai bahan perbincangan diyakini banyak persoalan dapat dirungkaikan. Paling penting dirungkaikan adalah apa yang tersirat dan tersurat asas Islam di sebalik pendekatan motivasi diri yang memberi makna E (emotion), S (spiritual) dan Q (quotient) atau dipermudahkan sebagai kecerdasan emosi dan spiritual yang kini mencandui segelintir masyarakat yang mencari kesedaran akidah dan akhlak Islam serta kesungguhan diri ke arah terbaik.
Oleh kerana itu, ia tidak padan dengan pengumuman mufti-mufti untuk menjawab semua persoalan yang keliru mengenai pengisian kursus ESQ. Misalnya, Sinar Harian (9 Julai 2101) menyiarkan jawapan Mufti Perak yang menghukumkan motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan dan tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Bagaimana pula dengan hujah Mufti Wilayah yang memfatwakan kursus ESQ itu adalah mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme-agama. Bukti dengan hujahnya berlaku dalam kursus ESQ amalan mentafsir nas-nas agama secara bebas dan mengajar peserta berfahaman semua agama adalah sama dan benar.
Masyarakat ingin tahu, apakah hujah Mufti Perak lebih menepati hukum berbanding Mufti Wilayah Persekutuan, sedangkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan sudah dapat dibaca.
Langkah penyelesaian
Langkah ke arah penyelesaian amat wajar memandangkan alumni atau lepasan kursus ESQ ini sudah puluhan ribu. Berpandukan kenyataan Mufti Selangor (Sinar Harian 12 Julai), pihak berwajib fatwa belum memutuskan apa-apa fatwa, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa MKI dapat bertindak cepat sebelum kekhilafan menjadi lebih kusut. Apa yang utama, pihak Jawatankuasa Fatwa MKI itu dapat menjadi penyelesai muktamad sesuai dengan fungsinya ke arah menyelesaikan masalah-masalah keagamaan kini melanda masyarakat Islam yang melalui atau akan melalui kursus ESQ.
Di mana perginya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diberi tanggungjawab memajukan Islam di negara ini? Seharusnya Jakim bertindak secara produktif dan aktif. Jangan pula Jakim dilihat sebagai agensi pusat yang cepat dalam hal ehwal politik pemerintah seperti isu Wahabi dan Syiah sahaja. Semoga bergandingan baik Jawatankuasa Fatwa MKI dengan Jakim. Perbetulilah mana yang tersilap. Kini isu ESQ sudah kelihatan tersilap, maka perbetulkan demi kemajuan seluruh umat Islam.
Kenapa perlu sangat ESQ
Sebenarnya dalam pokok ajaran Islam telah terkandung nas yang cukup bagi memotivasi diri, alam pekerjaan dan bermualamat dengan persekitaran hidup kita. Justeru apa perlu sangat mengikuti kursus ESQ. Sampai ia semacam fenomena bagi organisasi termasuk sektor awam mengikuti kursus ESQ. Sedangkan Islam yang didatang khusus oleh Allah SWT adalah mencapai makam tertinggi dan paling sempurna dan lengkap di dalam menyantuni seluruh aspek kehidupan manusia.
Tambahan pula ESQ adalah ciptaan manusia yang hanya bertaraf khalifah di bumi, lalu ia terdedah dengan segala macam kerendahan dan kekurangan. Oleh itu, munasbahnya kursus ESQ itu dipersembahkan dengan pelbagai seni pendorong, meskipun memakai nilai-nilai yang bersumberkan bukan dari Islam.
Kaji pengalaman Kelantan
Oleh sebab itu, sewajarnya umat Islam mengetahui dan menyakini bahawa pokok ajaran Islam dalam konteks motivasi diri, kecerdasan dan kerohanian telah ada nilai terasnya, iaitu ubudiah (pengabdian), masuliah (tanggungjawab) dan itqan (cemerlang), ringkasnya UMI. Pihak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan telah memakmurkan pentadbiran negeri Kelantan berteraskan UMI ini selama 20 tahun dan terbukti menghasilkan natijah yang berintegriti. Maka, penghuraian apa makna sekalipun atas nama Islam yang bertujuan mencari kebaikan dan kehebatan diri mestilah berpandukan kepada prinsip nilai teras UMI ini. Ini kerana teras UMI ini adalah relevan dan mempunyai kekuatan untuk memandu manusia menjalankan apa sahaja urusan dengan Allah SWT, urusan sesama manusia dan dengan alam sejagat.
Sehubungan itu, apabila menelusuri pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu ESQ ini, maka seruan kepada pihak yang begitu kagum dengan kursus ESQ itu (sehingga sanggup mempertahan dan membelanya) sewajarnya diteliti beberapa persoalan untuk dijawab. Antara persoalannya, pertama kenapa kita mudah terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan baru, sedangkan ajaran Islam sebagai ad-din telah sempurna. Islam adalah dari Allah Tuhan Yang Maha Pencipta yang bersifat milik hakiki dan kalimah Allah.
Kedua, apa perlu kita fikir dan rumuskan ‘barang’ yang telah ada di dalam Islam, apa hebatnya kursus ESQ itu jika dibandingkan pendekatan Islam yang meletakkan pendorong utama kehidupan adalah pahala/dosa, syurga/neraka, ikhlas/riak/takabur dan iman/kafir/munafik. Bagi insan yang bergelar manusia sebagai khalifah Allah di bumi, bermula akhil-baligh seharusnya telah memilih jurus hidupnya yang memenuhi perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini bermakna pilihan tepat adalah mengutamakan iman, berniat ikhlas, mengharapkan syurga Allah dan menjadikan pahala sebagai bekalan menghadapi alam akhirat.
Ketiga, sekiranya kita merasai dengan mengikuti kursus ESQ kita berupaya mencapai kebijaksanaan dan kecemerlangan, apakah kita telah memahami hakikat Islam, iman dan ehsan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sedangkan di dalam Islam terlalu banyak ruang untuk kita mencapai kecerdasan rohani dan emosi malah jasmani serta kualiti kerja. Antaranya mengamalkan doa harian, solat fardu, amalan sunat, bersedekah dan seumpamanya yang sukatannya telah dirumus sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, tidak semestinya kursus ESQ satu-satunya ruang untuk kita mencapai kecerdasan atau ruang untuk kita menunjuk-nunjuk kebijaksanaan.
Keempatnya, apa jaminan ESQ akan membantu kita mencapai rahmat Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Adakah dengan mengikuti kursus ESQ akan membawa kita ke syurga? Sedangkan, kekeliruan yang timbul sekarang (berikutan persimpangan hujah antara Mufti Wilayah Persekutuan dengan beberapa mufti negeri lain) telah menelanjangkan hakikat ESQ adalah sebenarnya tidak sempurna dari segi akidah dan syariat Islam. Ketidaksempurnaan itu harus diuruskan terlebih dahulu dan sebarang kekeliruan hendaklah diperjelaskan demi memurnikan akidah dan syariat masyarakat Islam. Sesuatu yang sempurna sahaja akan mendapat nilai kasih-sayang dari Allah SWT.
Kelima, realiti di dalam Islam, al-Quran adalah rujukan mutlak dan Nabi Muhammad SAW merupakan ikutan dan idola kepada sekalian umat dan alam semesta. Sesungguhnya al-Quran adalah perlembagaan hidup dan Nabi pula adalah idola terbaik (qudwah hasanah). Mungkin dengan kekeliruan yang ada, ESQ sudah berada pada persimpangan antara al-haq dan al-bathil. Kedudukan tersebut sekaligus menafikan signifikannya kandungan kursus ESQ boleh dijadikan asas rujukan, jauh sama sekali untuk meletakkan pengasasnya A. G. Gustian sebagai idola yang mampu mendekatkan hakikat keinsanan yang selari dengan sukatan al-Quran.
Keenam, apabila menghayati dan menerima pakai kajian Mufti Wilayah Persekutuan berhubung dengan amalan fahaman-fahaman selain Islam, akhirnya umat Islam akan terperangkap dengan kekufuran yang nyata. Dalam kajian mufti tersebut (bertajuk Kertas Gerakan Islam Liberal di Indonesia dan kaitan dengan ESQ, boleh diakses di laman www.muftiwp.gov.my/) yang memetik fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), pihak MUI telah mengharamkan umat Islam mengikuti faham pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama. Bersesuaian pula dengan penemuan mufti tersebut bahawa di dalam ESQ adanya unsur fahaman ini, maka wajarlah asas-asas motivasi diri untuk mencapai kelebihan kerjaya dapat dibuat penilaian semula sehingga suatu penyelesaian atas kekeliruan diketemukan. Ada baiknya kita kembali kepada kaedah Islam berasaskan kandungan al-Quran yang menganjurkan prinsip bekerja berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan dijadikan panduan utama.
ESQ perlu permurnian akidah
Akhirnya, jika benar apa yang dihujahkan tentang ESQ itu mengandungi unsur campur aduk yang merosakkan akidah dan syariat Islam, sewajarnya kita mengelak dan menjauhinya. Kepada pihak berkuasa agama Islam terutama Jakim dan jabatan mufti setiap negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada pengharaman Pertubuhan al-Arqam suatu masa dahulu. Asas pengharaman itu berpunca daripada amalan tarikat yang berlaku di luar konteks akidah dan syariat apabila mempercayai manusia biasa bakal bangkit semula sebagai nabi dan amal ibadatnya pula bertaksubkan manusia. Demikian pula, seketika dahulu sekitar 1950-an pernah berlaku amalan kerohanian bernama Subuk di Kelantan yang menggunakan pendekatan campur aduk pelbagai kepercayaan turut diharamkan. Begitu pula, sebelum ini (Oktober 2008) amalan Yoga di kalangan umat Islam telah diharamkan kerana ia bukan sahaja salah satu cabang agama Hindu malah di dalamnya ada bacaan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Oleh itu, sewajarnya di dalam isu ESQ ini umat Islam hendaklah bertindak secara cermat dari segi penglibatan dan pengamalannya, atau perlu dilakukan pemurniaan isi kandungan kursus itu agar tidak terpalit dengan permasalahan campur aduk akidah yang boleh membawa kepada kesyirikan atau kekufuran.
Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Rujukan:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27571:haramkah-atau-perbetulkan-esq&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131
Tuesday, July 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment