PERMATANG PAUH, 29 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Umno mengemukakan nama individu Melayu yang pernah dihalau oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mendiami perkampungan sekitar Jelutong.
Jelasnya, apa yang berlaku sepertimana Kampung Pokok Asam di Jelutong atau Kampung Binjai di Bayan Lepas bukan masalah kerajaan negeri sebaliknya adalah arahan mahkamah kerana tanah yang mereka duduki telah dibeli atau dimiliki oleh pemaju.
Itupun katanya, kerajaan negeri masuk campur untuk mencari penyelesaian seperti mendesak pemaju di Pokok Asam agar menghentikan pelaksanaan projeknya selama tiga bulan untuk mengadakan perbincangan bagi manfaat penduduk.
"Mana ada individu yang Kerajaan Pakatan Rakyat halau. Kalau ada berikan saya satu nama, melainkan ia adalah arahan mahkamah kerana pemaju telah membeli tanah yang mereka diami dari pemilik asal. Macam tu kita tak boleh buat apa sebab tanah swasta," jelasnya ketika menyampaikan pidato di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti, malam tadi.
Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Di Kampung Binjai pula, katanya belum pun berlaku apa-apa lagi tetapi Umno sudah tunjuk 'hero' hendak membela orang Melayu walhal pelan perancangan belum dibuat lagi.
Begitupun, melalui media kepimpinan Umno Balik Pulau mengapi-apikan penduduk kononnya tanah yang mereka duduki sejak sekian lama akan diambil oleh kerajaan dan akan berlaku kejadian menghalau bangsa Melayu.
Katanya lagi, Umno sengaja membangkitkan isu tersebut untuk melahirkan penentangan di kalangan orang Melayu agar jangan tertipu dengan kerajaan berjiwa rakyat pimpinannya yang telah berjaya membawa perubahan ketara berbanding di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Umno bangkitkan isu perkauman untuk kepentingan senario politik sempit mereka selain untuk melagakan PAS, PKR dan DAP. Bila berpecah BN dan Umno akan bersorak tetapi masalahnya setakat ini semua perancangan yang dibuat makan diri," tegas beliau dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.
Tambahnya, tindakan yang dilakukan Umno terhadap kerajaan negeri bermatlamat memberi gambaran jahat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bertindak zalim terhadap orang Melayu jika diberi mandat memerintah negara.
DAP pula, katanya ditohmah parti anti Melayu apabila mengambil langkah menghalau orang Melayu dari perkampungan yang diduduki sejak puluhan tahun.
"Tujuan mereka hanya satu iaitu nak menakutkan orang Melayu di negeri lain jika biarkan Pakatan Rakyat memerintah, bencana akan terjadi. DAP akan melakukan sesuatu di luar dugaan dan negara akan jadi huru hara," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Justeru itu, beliau mengingatkan masyarakat Pulau Pinang sama ada Melayu, Cina mahupun India supaya jangan terpengaruh dengan dakyah Umno dan BN sebaliknya memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat secara mendalam.
Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan membela rakyat selaras dengan dasar dan matlamat menjadikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera, aman, makmur dan ada integeriti.
Ini, ujarnya berbeza dengan BN yang asyik menyuruh rakyat mendahulukan sesuatu termasuk menghadiahkan rakyat dengan beberapa kenaikan harga barangan dan petroleum, baru-baru ini.
Thursday, July 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment